19 Nov 2009

PERUTUSAN KEPADA JEMAAH HAJI



Salam perjuangan,

Mekah adalah negeri yang paling disayangi oleh Rasulullah saw. Seperti yang nyatakan dalam sabdanya bermaksud “jikalau aku tidak dikeluarkan dari Mekah, aku tak akan keluar dari sini”. (maksudnya berhijrah ke Madinah al Munawwarah) hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi.

Bila tibanya musim haji, seringkali dikaitkan dengan pengisahan Nabi Ibrahim A.S, isterinya Hajar serta anak mereka Nabi Ismail A.S dalam melaksanakan pengorbanan yang agung demi mengikuti perintah Allah s.w.t. Sebagai penghormatan pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya, maka Allah menjadikan ibadat Haji adalah rukun Islam yang ke-5. Umat Islam yang berkemampuan diwajibkan menunaikan ibadat haji.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada rakyat Malaysia amnya dan anggota kerja Kraftangan Malaysia khasnya yang telah terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Bagi melengkapkan rukun Islam ke-5 ini, gunalah kesemua peluang dan ruang semasa berada di bumi bertuah ini untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

Ingatan juga kepada para jemaah dimana perlu peka dengan situasi kesihatan dunia sekarang yang dilanda wabak penyakit H1N1. Jemaah haji dinasihati supaya sentiasa menjaga kesihatan diri sejak berada di tanah air lagi supaya mereka tidak mengalami sebarang masalah ketika berada di tanah suci nanti. Kami disini berharap dan seterusnya mendoakan tuan/puan mendapat Haji yang mabrur. Akhir kata, saya mengucapkan selamat menunaikan Ibadah Haji kepada semua jemaah khususnya warga Kraftangan Malaysia dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1430H.

Semoga anda semua selamat berlepas dan selamat kembali dengan jayanya.

PERUTUSAN TAHNIAH KEPADA PELAJAR IKN

Graduan yang dikasihi,

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar Institut Kraf Negara (IKN) yang telah menamatkan pengajian pada sesi kali ini.Berkat kesabaran, ketekunan sepanjang mengikuti pengajian telah membuahkan hasil. Saya percaya, dalam tempoh tersebut, para pelajar semua telah memperolehi segala ilmu, pengalaman dan kemahiran dalam pelbagai bidang yang ditawarkan di IKN.

Hidup tanpa ilmu umpama malam tanpa bulan. Kepada barisan graduan yang baru sahaja selesai menerima sijil dan diploma, cabaran hidup anda telah sedia menunggu. Pilihlah jalan yang anda rasa tepat dengan diri anda berpandukan segala ilmu yang diberikan dan dibekalkan oleh tenaga pengajar semasa menuntut di IKN. Semoga latihan dan kemahiran yang dipelajari, anda dapat mengaplikasi dan mampu melakukan perubahan untuk diri,keluarga dan masyarakat kelak.

Akhir kata, saya bagi pihak Kraftangan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua anggota kerja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kerana telah memberikan komitmen bagi menjayakan Majlis Konvokesyen IKN ke-8 ini. Penghargaan khas jua kepada semua tenaga pengajar yang telah memberikan tumpuan penuh dedikasi bagi mendidik anak bangsa. Tahniah dan syabas diucapkan sekali lagi kepada semua graduan.


Sekian, Wassalam.

12 Nov 2009

LAWATAN ISTERI PRESIDEN REPUBLIK RAKYAT CHINA


Kompleks Kraf Kuala Lumpur, 11 November 2009 - Kraftangan Malaysia telah menerima lawatan singkat daripada Puan Liu Yongqing isteri kepada Presiden Republik Rakyat China diiringi oleh Yang Berbahagia Datin Sri Chooi Yoke Chub, isteri Menteri Pengangkutan Malaysia serta delegasi di Lobi Seri Anjung, Kompleks Kraf kuala Lumpur.

Ketibaan delegasi kira-kira pukul 9.00 pagi di sini disambut bersama dengan pegawai-pegawai kanan Kraftangan Malaysia. Sejurus tiba, isteri Presiden Republik Rakyat China melawat Muzium Kraf di Bangunan Seri Budaya diikuti dengan membeli belah di kedai Kraf Karyaneka, Moden Malaysia FELDA serta menyaksikan demonstrasi batik tulis dan anyaman rotan di laman wau serta diakhiri dengan membeli belah di Karyaneka Kraf Butik.


Ini merupakan salah satu usaha untuk mendekatkan dan memperkenalkan keunikan kraf Malaysia kepada delegasi yang mengikuti program lawatan ini. Puan Liu Yongqing berada di Malaysia selama dua hari bagi bagi mengiringi Presiden China, Hu Jintao sempena ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Malaysia-China


Terima kasih atas kerjasama dan perhatian yang diberikan oleh semua anggota kerja yang terlibat sempena Program Lawatan Isteri Presiden Rakyat China ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan semangat sebegini akan berterusan.

10 Nov 2009

MAJLIS KONVOKESYEN INSTITUT KRAF NEGARA KE-8


SALAM HORMAT DAN SALAM SATU MALAYSIA


Institut Kraf Negara akan mengadakan Majlis Konvokesyen kali ke 8 yang akan diadakan pada 14 November 2009 di Institut Kraf Negara, Templer Park, Rawang Selangor. Pada sidang kali ke 8 ini seramai 168 orang akan dianugerahkan diploma dan sijil. Daripada jumlah tersebut seramai 69 orang akan menerima sijil dan 99 orang akan menerima diploma.
Bersempena dengan Majlis Konvokesyen ini, turut diadakan Pesta Konvokesyen bermula pada 12 November hingga 15 November 2009. Pesta ini akan diserikan dengan aktiviti pameran produk hasilan pelajar, jualan produk hasilan pelajar dan usahawan, pertandingan melukis dan membentuk produk kraf serta demonstrasi dan interaktif kraf.


Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada bakal graduan dan berbesar hati menjemput semua hadir menyerikan Pesta Konvokesyen Institut Kraf Negara.

3 Nov 2009

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2009



Sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2009 telah diadakan di Ladang Siliau, Port Dickson Negeri Sembilan pada
1 November 2009(Ahad).Majlis telah diadakan bertujuan mengetengahkan dan mengembalikan amalan tradisi menyambut Deepavali, mengeratkan perpaduan dan persefahaman di kalangan mereka.








Majlis telah dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim; Menteri Besar Negeri Sambilan, Datuk Seri Mohammad Hassan; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Samad.


Kraftangan Malaysia sebagai salah sebuah agensi di bawah KPKK bertindak menguruskan hiasan dan keceriaan di samping membantu urusan sambutan dan protokol.








*Gambar ehsan dari KPKK