15 Nov 2013

TAHNIAH KEPADA GRADUAN IKN 2013


Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan Institut Kraf Negara di Majlis Konvokesyen ke 12 pada 14 November 2013 (Khamis) yang lalu. Seramai 157 orang pelajar telah menerima sijil dan diploma masing-masing. 58 orang adalah penerima sijil dan 99 orang penerima diploma dalam bidang masing-masing. Tahniah dan syabas semua!



UCAPAN PENGHARGAAN YBHG DATUK KSU


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ybhg. Datuk Dr Ong Hong Peng kerana telah menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-12 Institut Kraf Negara pada 14 November 2013 (Khamis) yang lalu. Terima kasih juga kepada Pengerusi Kraftangan Malaysia, Ybhg. Dato' Haji Sohaimi bin Shahadan dan semua yang telah hadir ke majlis ini. Terima kasih daun keladi....

13 Nov 2013

PERKONGSIAN ILMU : KELEBIHAN HARI ASYURA (10 MUHARRAM)




KELEBIHAN HARI ASYURA - 10 MUHARRAM

Insya Allah, 10 Muharram 1435H jatuh pada hari Khamis 14 November 2013 dimana kita disunatkan berpuasa.

Kita juga digalakkan berpuasa pada hari ke-9 Muharram (Rabu, 13 November 2013) yang dipanggil Puasa Tasu’a supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, "Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Sumber: http://www.utusankini.com/2012/11/kelebihan-hari-asyura-10-muharram.html



PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU PADA HARI ASYURA

Tanggal 10 Muharram dinamakan juga hari Asyura kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi pejuang yang gigih menegakkan syiar Islam. Antaranya:

1. Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.

2. Allah jadikan bulan, bintang, matahari dan cakrawala.

3. Allah jadikan Arasy, Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat.

4. Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.

5. Allah menjadikan Siti Hawa.

6. Allah menjadikan Syurga.

7. Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga.

8. Taubat Nabi Adam diterima Allah.

9. Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan.

10. Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud.

11. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

12. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

13. Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah.

14. Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

15. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.

16. Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.

17. Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.

18. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar.

19. Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.

Sumber : http://familiazam.com/hari_asyura.htm


MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
KELEBIHAN PERTANIAN


Daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahuanhu; beliau berkata telah bersabda Rasulullah SAW : “Tidak ada daripada seorang Muslim yang menanam satu tanaman, kecuali apa sahaja yang dimakan daripadanya itu menjadi sedekah. Apa yang dicuri orang daripadanya juga menjadi sedekah. Dan tidak diambil daripadanya oleh seseorang kecuali semuanya itu menjadi sedekah.” Dalam riwayat yang lain, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak menanam oleh seorang Muslim akan suatu tanaman, lalu tanaman itu dimakan oleh manusia atau binatang atau burung, kecuali semuanya itu menjadi sedekah baginya sehingga hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Pertanian adalah salah satu di antara usaha yang mudah dilaksanakan oleh setiap orang. Berjasa kepada bumi ini memberikan banyak pulangan. Dengan sedikit modal sudah boleh aktiviti dijalankan. Keperluan manusia kepada hasil pertanian tidak pernah putus. Ertinya, hasil pertanian ini akan mudah menembusi pasaran.

Selain daripada itu, menanam suatu pohon itu sudah mendapat pahala walaupun hasilnya masih belum dapat dinikmati oleh pengusahanya. Walaupun hanya dimakan oleh binatang atau dicuri orang, maka itu adalah dikira sebagai satu sedekah yang akan diberikan pahalanya pada hari akhirat kelak. Jadi, orang yang bertanam ini tidak rugi sama sekali.

Oleh sebab itu, janganlah kita malas untuk bercucuk tanam kerana hasil pertanian itu bukan hanya sekadar memberikan pulangan di dunia ini, bahkan juga sebagai amal jariah yang kita akan perolehi pahala selama mana pohon yang kita tanam itu masih menghasilkan buahnya.

(Sumber: 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)


FESTIVAL KRAF LANGKAWI 2013



Kraftangan Malaysia melalui Kompleks Kraf Langkawi akan mengadakan Festival Kraf Langkawi 2013 seperti berikut:


− Kompleks Kraf Langkawi / 22 November – 02 Disember 2013 / 10.00 pagi –5.00 petang 

− Perkarangan Pekan Rabu, Kuah / 22 November – 01 Disember 2013/ 7.00 malam – 12.00 malam 



Majlis Perasmian sempena festival ini akan diadakan pada 23 November 2013 ( Sabtu )jam 11.00 pagi di Dataran Tangga Seribu, Kompleks Kraf Langkawi. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda sepanjang festival ini seperti jualan dan demonstrasi kraf, jualan dan demonstrasi masakan tradisional, pertandingan, persembahan kesenian, persembahan artis terkenal dan lain-lain lagi.  

Pada tarikh majlis perasmian program ini, turut diadakan aktiviti “Berjalan Santai Di Langkawi Bersama Anjung Seri” anjuran Berita Publishing Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang menerbitkan majalah popular Anjung Seri. Aktiviti ini akan melibatkan penyertaan seribu orang peserta dari seluruh Malaysia yang akan berjalan santai sejauh 03 km di sepanjang Pantai Pasir Hitam. 

Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi festival ini!

6 Nov 2013

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA CALON SPM 2013


Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2013) telah bermula pada hari ini 6 November 2013 hingga 5 Disember 2013. Seramai 470,395 calon peperiksaan SPM di seluruh Malaysia akan menduduki peperiksaan ini.


Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini daripada jumlah itu seramai 415,509 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Sebanyak 8,054 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); 8,325 calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 11,261 calon sekolah swasta berdaftar dengan KPM; 22,857 calon sekolah persendirian; dan 1,389 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon peperiksaan SPM 2013 terutamanya kepada anak-anak kakitangan Kraftangan Malaysia dan usahawan-usahawan kraf Kraftangan Malaysia. Semoga anda semua dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang dan mendapat keputusan yang cemerlang. Selamat berjuang semua!

1 Nov 2013

SALAM 1 MUHARRAM 1435H




MUHARRAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al-Baqarah : 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah S.A.W telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi). Sandaran yang dilakukan oleh Baginda S.A.W kepada Allah SWT lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk-makhlukNya.

Daripada al-Hassan Al-Basri Rahimahumullah sesungguhnya Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharaam. Tiada bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharaam 1435H yang akan disambut pada 5 November 2013 (Selasa) kepada seluruh umat Islam. 


PESTA CAHAYA DEEPAVALI 2013

Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. 

Menurut lagenda, Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan. Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua manusia agar mereka merai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.


Sempena perayaan ini yang jatuh pada 2 November 2013 (Sabtu), saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara. 

MAJLIS PERASMIAN INSTITUT KEMAHIRAN TENUN PAHANG DIRAJA TENGKU AMPUAN BESAR MERIAM


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam. Majlis disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 20 Oktober 2013 bertempat di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan Pahang.

Hadir sama ialah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang , Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan Isteri.Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia serta Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.



Pada majlis ini,  Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menyempurnakan Pengurniaan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja kepada 43 orang penerima yang mana terdiri daripada Graduan IKTPD (10 orang), Sijil Watikah Pemakaian Logo Tenun Pahang Diraja (11 orang), Sijil Anugerah UNESCO (2 orang) dan Sijil Penyertaan Bimbingan Teknikal (20 orang).

Sempena majlis ini juga, beberapa aktiviti khas diadakan seperti Pameran Produk Pelajar, Pameran Produk Rekaan Baru Tenun Pahang, Interaktif dan Pendidikan Kraf, Jualan Produk Kraf oleh 11 syarikat tenun Pahang termasuk produk kraf dari Jabatan Penjara, Demonstrasi Kraf, Persembahan Kesenian dan Kuiz Tenun Pahang.