28 Jan 2014

SELAMAT MENYAMBUT HARI WILAYAH 2014



Saya juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2014 kepada semua warga wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang bakal disambut pada 1 Februari 2014. Memilih tema 'Wilayah Persekutuan Ceria' bagi tahun 2014 ini selaras dengan hasrat untuk mewujudkan persekitaran kota yang lebih makmur, selesa, indah, selamat, kondusif, serta mengembangkan sumber masyarakat kota yang produktif untuk terus berkembang ke tahap maksimum.

Objektif sambutan Hari Wilayah Persekutuan adalah bagi mewujudkan warga kota yang harmoni, prihatin, maju, sejahtera, menyuburkan semangat muhibah serta integrasi pelbagai lapisan masyarakat di samping menghargai individu yang banyak memberi pelbagai bantuan dan sumbangan kepada Wilayah Persekutuan.


SELAMAT TAHUN BARU CINA 2014



Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2014 kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia khususnya dan kepada semua warga Malaysia yang akan disambut pada 31 Januari 2014. Semoga sambutan tahun ini akan membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada anda semua termasuk keluarga dan seterusnya kepada negara.


21 Jan 2014

UCAPAN AMANAT YANG BERBAHAGIA TAN SRI DR. ALI B. HAMSA (KETUA SETIAUSAHA NEGARA) - 20 JAN 2014 (ISNIN)

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Dihormati Saudara/Saudari Pengacara Majlis
Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Siregar Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Yang Berbahagia Ketua-ketua Perkhidmatan,
Yang Berbahagia Ketua-ketua Setiausaha Kementerian,
Yang Berhormat Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri,
Yang Berbahagia Ketua-ketua Jabatan,
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan para penggalas amanah Perkhidmatan Awam Malaysia yang dihormati sekalian.
  1. Saya memanjatkan setinggi kesyukuran Alhamdulillah ke hadrat Allah S.W.T. kerana di bawah rahmat dan inayahNya, kita masih diberi kesempatan untuk hadir bersama di Majlis Amanat KSN 2014 bersama penjawat awam pada petang ini. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014 kepada para hadirin sekalian dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam di atas penganjuran majlis ini yang membolehkan saya menyampaikan sepatah dua kata dan berinteraksi dengan para penjawat awam pada awal tahun 2014.
  1. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk  mengucapkan tahniah kepada Encik Azih Muda yang ada bersama-sama dengan kita pada hari ini, yang telah dipilih sebagai Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk sesi 2013-2016. Tidak lupa juga kepada YBhg. Dato’ Omar Osman, dimana saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh beliau sepanjang berkhidmat sebagai Presiden CUEPACS, terutamanya kerjasama yang telah diberikan kepada Kerajaan dan juga kepada saya serta barisan kepimpinan sektor perkhidmatan awam.
AMANAT YAB PERDANA MENTERI 2014: DASAR TRANSFORMASI NEGARA TERUS DIPERKASAKAN
Para hadirin sekalian,
  1. Tahun 2013 baru sahaja melabuhkan tirainya. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak, dalam perhimpunan bulanan pertama dengan warga Jabatan Perdana Menteri pada 6 Januari yang lepas, telah memaklumkan mengenai keadaan ekonomi dunia pada masa ini memberikan kelebihan kepada negara-negara yang melakukan transformasi. Transformasi yang dimaksudkan adalah bersifatstructural, iaitu kepada dasar negara dan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berupaya meningkatkan daya saing negara. Hanya dengan cara inilah, negara kita akan berupaya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang mampan.  Negara kita, dibawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, telah pun menggariskan structural reform tersebut di dalam Dasar Transformasi Negara. Kita sebagai penjawat awam berperanan mendukung dan melaksanakan Dasar Transformasi Negara supaya Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Saudara dan saudari sekalian barangkali bertanya apakah hubungkait transformasi yang dicanangkan dengan penjawat awamSebenarnya, apabila transformasi yang dilakukan berupaya meningkatkan daya saing negara, menjanakan kadar pertumbuhan ekonomi yang positif, Kerajaan akan dapat mempertimbangkan insentif dan kemudahan-kemudahan lain untuk kebajikan penjawat awam.
  1. Usaha transformasi Kerajaan telah menampakkan kejayaan apabila di pentas global, kita telah berjaya mendaki kekedudukan ke-6 daripada 189 buah negara ekonomi dunia di dalam Laporan World Bank Doing Business Report 2014. Ini merupakan sebuah pencapaian yang begitu baik, pencapaian yang harus kita banggakan kerana setelah sekian lama kita berusaha memecah tembok kelompok 10 teratas di dalam penarafan tersebut. Alhamdulillah, impian ini tercapai jua.
  1. Meskipun kita berbangga dengan pencapaian ini, tidaklah bermakna kita sudah boleh melepaskan sauh untuk berlabuh. This success does not mean we have accomplished our mission. More needs to be done. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi melonjakkan Malaysia di dalam liga negara-negara maju. Penarafan dunia pada tahun lalu, seperti Global Innovation Index (GII) di mana kita berada di kedudukan ke-32, Global Competitiveness Report (GCR) oleh World Economic Forum (WEF) di mana kita berada di tempat ke-25, dan World Competitiveness Yearbook (WCY) oleh Institute for Management Development (IMD) yang meletakkan kita di tangga ke-15, adalah antara pengukuran daya saing antarabangsa yang mesti kita tingkatkan pencapaiannya.Menjadi tanggungjawab saya mengingatkan para penjawat awam mengenai perlunya meneruskan usaha melaksanakan segala program-program transformasi yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan.Perjalanan kita menuju Wawasan 2020, bagi membantu negara mencapai  status negara maju yang berpendapatan tinggi, masih panjang dan penuh berliku. Justeru,  para penjawat awam perlu melipat gandakan usaha memastikan kesinambungan inisiatif transformasi yang telah diperkenalkan sehingga ia membawa kepada kejayaan yang disasarkan.

PENJAWAT AWAM PERLU TAAT SETIA KEPADA RAJA, NEGARA DAN KERAJAAN
  1. Sebagai tunjang kepada pelaksanaan dasar negara, penjawat awam perlulah menumpukan segala usaha dan tenaga ke arah memenuhi keperluan stakeholders kita. Dalam erti kata lain, kita perlu menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Raja, Negara dan Kerajaan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah penting demi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar dan kejayaan program serta inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Sekiranya prinsip asas ini tidak dipatuhi dan dihayati, maka ia akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada perkhidmatan awam negara serta mendatangkan implikasi yang lebih meluas dari segi pelaburan asing yang mungkin terjejas akibat dasar yang tidak konsisten atau dilaksanakan sepenuhnya.

MEMPERKASA TADBIR URUS DAN INTEGRITI PERKHIDMATAN AWAM
  1. Dalam kesungguhan kita mengejar prestasi yang tinggi bagi penarafan antarabangsa, kita seharusnya juga memberikan perhatian memperkasakan sistem tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam. Dalam hubungan ini, integriti merupakan asas kepada tadbir urus kerajaan yang baik. Dalam hubungan ini, pencapaian kita di dalam Global Corruption Index (GCI) menunjukkan peningkatan daripada skor 4.9 pada tahun 2012 kepada 5.0 pada tahun 2013. Berdasarkan kepada perkembangan positif tersebut, kita hendaklah memperhebatkan lagi usaha-usaha memerangi rasuah supaya dapat menghapuskan persepsi negatif yang boleh mencalarkan imej negara dan perkhidmatan awam. Membanteras rasuah dan menyuburkan budaya kerja penuh integriti adalah kewajipan kita bersama.
  1. Dalam konteks Perkhidmatan Awam, perkara yang sering mencemar nama baik kita adalah teguran audit dan laporan ketidakpatuhan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Laporan Ketua Audit Negara 2012 masih menunjukkan ketidakpatuhan kepada peraturan dan prosedur kewangan.  Sebanyak 378 teguran telah dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 yang melibatkan 111 (29%) teguran bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan, 38 (10%) teguran bagi Badan Berkanun dan 229 (61%) teguran bagi negeri.
  1. Sebanyak 267 (71%) teguran audit melibatkan penambahbaikan peraturan, prosedur dan proses kerja dan tindakan penambahbaikan ini telah dan sedang diambil oleh agensi terlibat. Manakala 111 (29%) teguran melibatkan 121 kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas.
  1. Kerajaan memandang serius kepada perkara ini dan telah mengarahkan sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Pesuruhjaya SPRM dan lain-lain pegawai kanan untuk mengambil tindakan susulan ke atas pegawai-pegawai yang didapati terlibat. Jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan di peringkat kementerian serta SPRM telah menjalankan siasatan, dan tindakan tatatertib serta pendakwaan akan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan, menyalah guna kuasa dan salah laku. Sehubungan itu, saya menyeru supaya semua Ketua Jabatan agar dapat meneliti semula peraturan-peraturan, prosedur dan proses kerja sedia ada. Tindakan pembetulan adalah perlu supaya ketidakpatuhan tidak berterusan yang boleh membuka ruang kepada penyelewengan.
  1. Selain itu, tindakan pemantauan hendaklah dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual dan kelemahan serta kesilapan dapat dikesan lebih awal. Semua Ketua Jabatan perlu sentiasa turun padang dan mengingatkan pegawai agar melaksanakan projek mengikut peraturan yang digariskan. Dalam hubungan ini, INTAN akan melaksanakan latihan komprehensif melalui kursus Sijil Pengurusan Projek Awam mulai tahun 2014. Langkah ini antaranya bertujuan untuk menangani isu berkaitan pengurusan projek yang dibangkitkan dalam Laporan Audit. 
  1. Saya berharap agar seluruh warga penjawat awam mengambil iktibar daripada perkara ini dan sama-sama memikul tanggungjawab memastikan Perkhidmatan Awam ditadbir dengan penuh integriti serta sentiasa mematuhi peraturan kewangan. Sesungguhnya, nama baik Perkhidmatan Awam terletak di tangan kita.

LANGKAH-LANGKAH PERBELANJAAN BERHEMAT SEKTOR PERKHIDMATAN AWAM
  1. Secara umum, kita mengetahui bahawa defisit negara yang tinggi bukan sahaja merupakan indikator ekonomi yang tidak sihat, malah boleh menjejaskan keupayaan negara mendepani krisis ekonomi jika ia berlaku. Rasionalisasi subsidi yang perlu dilakukan demi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan mengurangkan bajet defisit negara, dilaksanakan secara beransur-ansur kerana Kerajaan prihatin kepada kebajikan rakyat.Perkhidmatan Awam telah memainkan peranan ke arah mengurangkan perbelanjaan awam dengan pengumuman 11 langkah-langkah perbelanjaan berhemat yang digariskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Berdasarkan kepada kedudukan kewangan, tidak ada satu pun daripada 11 langkah-langkah tersebut yang menyentuh mengenai Kumpulan Pelaksana. Saya ingin menyingkap semula  11 langkah-langkah ini iaitu:
  • Pengurangan Imbuhan Tetap Keraian bagi pegawai kanan Kerajaan dikurangkan di antara 5 hingga 10 peratus;
  • Pengurangan kemudahan bayaran tol yang diberi kepada pegawai kanan Kerajaan daripada RM50 sehingga RM100;
  • Pindaan kelayakan kelas tempat duduk penerbangan untuk perjalanan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam;
  • Pengurangan sebanyak 5 peratus kos utiliti elektrik pada tahun 2014;
  • Pembekuan pengubahsuaian ruang pejabat;
  • Pengoptimuman penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis bagi kegunaan sebagai pejabat;
  • Pelantikan perunding (consultant) perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) terlebih dahulu;
  • Pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara (event management) serta pemberian sagu hati dan cenderamata;
  • Pengurangan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran mesyuarat dan majlis rasmi Kerajaan;
  • Pengurangan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran mesyuarat dan majlis rasmi Kerajaan; dan
  • Mengaplikasikan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan mengoptimumkan  penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan juga kemudahan di institusi milik Kerajaan.
  1. Langkah-langkah ini mencerminkan penjawat awam turut berkongsi impak pengurangan perbelanjaan bersama rakyat, selaras dengan konsep ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’. Kalau kita melihat disini, sesetengah langkah-langkah ini menyentuh secara khususnya pegawai di peringkat pengurusan tertinggi. Saya ingin memaklumkan bahawa bagi pegawai-pegawai JUSA C dan ke atas yang akan bersara pada tahun ini, gratuiti yang bakal diterima tidak akan terjejas dengan pengurangan elaun keraian.

PERANAN PENJAWAT AWAM UNTUK MENJELASKAN DASAR KERAJAAN; MENANGKIS DAKYAH-DAKYAH PALSU DAN PERSEPSI NEGATIF PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
  1. Dalam membawa perubahan, sudah pastinya akan melibatkan tindakan yang akan memberikan impak kepada rakyat. Walaupun demikian, segala usaha transformasi Kerajaan, demi kesejahteraan rakyat dalam jangka masa panjang, akan mengambil kira pandangan dan kepentingan rakyat supaya ia tidak akan mendatangkan beban kepada rakyat termasuk kepada penjawat awam.  Rasionalisasi subsidi secara berperingkat, serta langkah-langkah perbelanjaan berhemat yang tidak merangkumi kumpulan pelaksana, mencerminkan komitmen Kerajaan ke arah ini. Sebenarnya, walaupun rasionalisasi subsidi sedikit sebanyak akan meningkatkan kos sara hidup, ia tidaklah sampai kepada peningkatan mendadak harga barangan. Walaupun demikian, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air keruh. Mereka ini mengambil kesempatan daripada rasionalisasi subsidi yang dilakukan untuk mengaut keuntungan daripada rakyat dengan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. Ini ditambah pula dengan tohmahan-tohmahan serta tuduhan palsu yang dilemparkan terhadap Kerajaan yang didakwanya bertanggungjawab ke atas semua ini.
  1. Saya ingin pinta supaya penjawat awam tidak tergolong di kalangan mereka ini yang tidak bertanggungjawab. Malah, penjawat awam perlu memainkan peranan memperjelaskan dasar dan usaha Kerajaan untuk menghuraikan keadaan sebenar. Dalam ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’, rajin-rajinlah turun padang untuk melihat keadaan sebenar dan melaporkan kepada agensi penguatkuasa tindakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasikan keadaan demi keuntungan mereka.

PENGGUNAAN WADAH MEDIA SOSIAL DALAM MENDEKATI RAKYAT
  1. Apabila bercakap mengenai hubungan dan interaksi kita dengan rakyat, kita tidak terlepas daripada pengaruh dan kuasa media sosial. Media sosial sudah mula bertapak  sebagai saluran media arus perdana. Saya juga telah menyarankan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan untuk mewujudkan akaun Facebook dan Twitter masing-masing untuk berinteraksi dengan rakyat. Kepesatan teknologi yang tidak pernah tewas dalam perlumbaan dengan masa, menyaksikan media sosial sering menjadi medium utama bagi suara rakyat. Ada kalanya pandangan itu bernas dan bermanfaat, namun terdapat juga segelintir yang kurang sopan dan tidak berlandaskan kepada fakta dan kebenaran.
  1. Lalu, di sinilah peranan kita sebagai penjawat awam untuk mengurus persepsi menerusi hikmah dan kebijaksanaan apabila berhadapan dengan mereka yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau pandangan yang tidak benar. Jika ini tidak dilakukan, maka segala usaha penjawat awam dalam melaksanakan dasar kerajaan tidak akan peroleh kepercayaan rakyat sekali gus mencalarkan imej Kerajaan.

KEPRIHATINAN KERAJAAN TERHADAP PENJAWAT AWAM
  1. Walau pun Kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dalam mengurus hal-ehwal ekonomi, sosial dan politik, namunKerajaan tidak mengabaikan kebajikan dan nasib penjawat awam.  Saya ingin menyatakan disini bahawa apabila sesuatu dasar ingin dilaksanakan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan sentiasa bertanya apakah impak kewangan kepada penjawat awam. Ini mencerminkan betapa Perdana Menteri kita mengambil berat akan kebajikan penjawat awam. Dalam keadaan beberapa negara menghadapi kemelesetan ekonomi, pengangguran dan ketidakstabilan politik, Kerajaan Malaysia masih mampu menyediakan pelbagai ganjaran dan insentif kepada penjawat awam. Antaranya:
  • kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 7% hingga 13% berkuat kuasa 1 Januari 2012;
  • penambahan gaji maksimum sebanyak 3 KGT (Kenaikan Gaji Tahunan) dalam struktur gaji bagi setiap gred untuk membolehkan pegawai yang berada di gaji maksimum menikmati Pergerakan Gaji Tahunan;
  • penambahan satu (1) Kenaikan Gaji Tahunan bagi semua penjawat awam;
  • kesetaraan pangkat anggota Angkatan Tentera Malaysia dan anggota Polis Diraja Malaysia dengan gred jawatan/gred gaji Perkhidmatan Awam Am berkuat kuasa 1 Januari 2013;
  • kenaikan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820 bagi mereka yang berkhidmat selama 25 tahun atau lebih pada 1 Januari 2012;
  • kenaikan pencen tahunan sebanyak 2% setiap tahun mulai 1 Januari 2013; dan
  • pemberian Imbuhan Tahunan dan Bayaran Khas Prestasi pada tahun 2013 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM500.
  1. Selain ganjaran dan insentif yang saya sebutkan tadi, Kerajaan juga mengambil langkah untuk memantapkan pembangunan kerjaya penjawat awam melalui penambahbaikan 81 skim perkhidmatan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2014 yang merangkumi:
  • kenaikan taraf skim perkhidmatan berikutan penetapan kelayakan masuk minimum kepada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dengan penambahbaikan tersebut, skim-skim perkhidmatan di gred gaji 1 hingga gred gaji 10 di naik taraf kepada gred gaji 11;
  • penggabungan skim perkhidmatan dengan tujuan mengembangkan pelbagai kepakaran/kemahiran, penambahbaikan peluang kemajuan kerjaya dan mobiliti pegawai. Melalui proses ini, 19 skim perkhidmatan telah digabungkan kepada 7 skim perkhidmatan; dan
  • pewujudan skim perkhidmatan bersepadu dengan tujuan penambahbaikan peluang kemajuan kerjaya berasaskan kesinambungan perkhidmatan yang melibatkan penggabungan 9 skim perkhidmatan kepada 5 skim perkhidmatan.

Untuk tahun 2014, seratus (100) lagi skim perkhidmatan akan dikaji semula dan ditambah baik.
  1. Kerajaan turut mengambil berat tentang masalah kemampuan penjawat awam memiliki rumah dengan harga yang berpatutan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah melancarkan Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M). Ini adalah kesungguhan dan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan untuk sentiasa mengutamakan penjawat awam yang merupakan nadi penggerak jentera pentadbiran Kerajaan. Sebagai contoh, di Putrajaya melalui skim PPA1M, sebanyak 10,639 unit akan dibina. Harga seunit adalah diantara RM150,000 ke RM300,000.

MENGADUN BAKAT BESTARI, MENCIPTA KEJAYAAN LESTARI
  1. Sudah pasti, untuk memacu Malaysia sebagai sebahagian daripada kelompok negara maju, Perkhidmatan Awam negara dengan jumlah 1.4 juta orang penjawat awam dilihat sebagai aset modal insan yang berharga. Pun begitu, di era Open Talent atau Bakat Terbuka ini, penekanan diberikan kepada  pegawai yang mempunyai pelbagai kemahiran atau multi-skills. Menyedari peredaran era yang begitu pantas, kita harus melihat pengurusan bakat menerusi perspektif yang berbeza; lensa baharu untuk realiti baharu. Mencatur modal insan perlu dilihat dari segi kemampuan menyumbang kepada keberhasilan yang negara perlukan.  
  1. Demi memastikan cita-cita pemerkasaan bakat terbaik, kita bukan sahaja perlu sentiasa mengasah, bahkan mempelbagaikan bakat dan kebolehan. Seiring dengan transformasi Perkhidmatan Awam, tugasan sesebuah bahagian di sesebuah jabatan tidak lagi tertakluk kepada gaya kerja rutin. Kini, sektor awam menjadi semakin elastik, bersifat fleksibel dan pantas beradaptasi. Justeru, kepelbagaian keupayaan pada seseorang pegawai berupaya memenuhi keperluan ini.
  1. Dalam hal ini, saya suka memaklumkan bahawa pada tahun 2014, Perkhidmatan Awam negara telah diberi penghormatan dan kepercayaan untuk menganjurkan program persidangan dwi-tahunan Commonwealth Association for Public Administration and Management (CAPAM) di Malaysia pada bulan Oktober tahun ini. Ini merupakan satu peluang keemasan untuk kita menunjukkan kebolehan dan keupayaan kepada seluruh dunia dengan penganjuran yang bertaraf dunia tersebut.
  1. Dalam konteks ini, saya ingin mengajak semua agensi sektor awam untuk menyahut cabaran dan mempamerkan kehebatan Malaysia dalam kalangan negara-negara Komanwel dengan menyertai Anugerah Inovasi CAPAM 2014. Buktikan kepada dunia bahawa kita boleh melakukannya.

PECUTAN TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM: STRATEGI INOVATIF, PENDEKATAN KOLABORATIF
  1. Sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam Ucapan Bajet 2014, Transformasi Perkhidmatan Awam menjadi satu kemestian bagi mengukuh dan menyusun semula organisasi supaya relevan dengan perkembangan semasa. Malahan, usaha ini perlu dilaksanakan di semua kementerian. Sehubungan itu, kita telah memastikan dua agensi yang menjadi enjin utama Kerajaan iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbendaharaan Negara memulakan agenda transformasi ini. Sebagai agensi perintis, kedua-dua agensi utama ini menjadi contoh terbaik sama ada dari segi penstrukturan organisasi, sistem dan cara kerja atau pun etos dan budaya jabatan.
  1. Kini, transformasi Jabatan Perkhidmatan Awam dilaksanakan melalui Kerangka Kerja Transformasi JPA (KTJPA) yang bermatlamatkan untuk mewujudkan Perkhidmatan Awam yang berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat. Di bawah kibaran panji transformasi, penstrukturan semula organisasi di JPA berdasarkan pengoptimuman perjawatan berjaya menjimatkan kos emolumen sebanyak RM15.6 juta melalui pengurangan 577 jawatan.
  1. Mengukuhkan lagi kewangan dan ekonomi negara, kita turut berusaha menentukan Program Transformasi Perbendaharaan (TTP) dipergiatkan dengan lebih pantas. Kita telah menetapkan agar kecekapan pengurusan kewangan perlu dipacu berasaskan prinsip Integrity, Collaboration, Solution Focused and High Performance yang melibatkan penubuhan bahagian baharu, penjenamaan semula Bahagian/Unit berdasarkan fungsi utama, serta pemantapan Bahagian sedia ada melalui pendekatan yang lebih strategik dan inovatif.

STRATEGI LAUTAN BIRU KEBANGSAAN: MERANCAK PELAKSANAAN BERIMPAK
  1. Sebagai strategi penjimatan perbelanjaan Kerajaan pula, kolaborasi strategik melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) perlulah di perkasa bukan sekadar merentasi kementerian dan jabatan, malahan ia perlu bermula di peringkat unit, seksyen dan bahagian di sesebuah kementerian atau jabatan. Strategi NBOS akan terus dipergiat berpaksikan empat (4 ) prinsip utama iaitu:
  • Impak positif yang tinggi (faedah ketara kepada Rakyat);
  • Kos yang minima (kos yang lebih rendah daripada kaedah konvensional);
  • Pelaksanaan Pantas (impak dapat dirasai dalam masa yang singkat); dan
  • Perubahan yang Mampan (boleh diaplikasikan untuk projek yang lain & perubahan minda serta budaya).
  1. Manifestasi kejayaan strategi NBOS dapat dilihat dengan jelas menerusi inisiatif Urban Transformation Centre(UTC). UTC telah mendapat sambutan yang begitu hebat apabila seramai 5.3 juta rakyat telah menikmati pelbagai kemudahan berurusan dengan Kerajaan di tujuh (7) UTC seluruh negara. Pencapaian ini adalah begitu memberangsangkan dan pastinya memberi impak yang besar kepada imej Perkhidmatan Awam negara.

PERKHIDMATAN AWAM SEBAGAI PERKHIDMATAN RAKYAT
  1. Penggal terakhir sebelum detik bersejarah tahun 2020 akan memperlihatkan usaha transformasi Perkhidmatan Awam terus di perkasa. Untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia sebagai sebuah perkhidmatan rakyat, konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam telah diperkenalkan  dimana sebuah Perkhidmatan Awam yang unggul adalah berteraskan 6 prinsip utama iaitu:
  • Keterbukaan – bermaksud mengamalkan minda terbuka dan sentiasa mudah untuk didekati oleh pelanggan yang memerlukan khidmat kita;
  • Turun Padang – bermakna sentiasa pasang telinga dan buka mata seluas-luasnya untuk mendengar dan melihat sendiri keperluan dan ekspektasi pelanggan;
  • Musyawarah – bermaksud memperhebatkan lagi penglibatan kita dengan pelanggan menerusi engagement serta memberi penerangan dengan jelas terhadap mereka;
  • Insaniah – bermakna setiap penjawat awam harus menyeimbangkan antara kehidupan rohani dan kesihatan jasmani dalam cara kita bekerja;
  • Kekitaan – bermaksud meraikan perbezaan sumber dan mengukuh persamaan; dan
  • Kerjasama Awam, Swasta dan NGO – bermakna memperkasakan lagi perkongsian sumber dengan mengadakan kolaborasi dengan mereka dan sentiasa berusaha mencapai permuafakatan.

SELEKOH AKHIR WAWASAN, PECUTAN AKHIR KESUNGGUHAN
  1. Perjalanan kita bagi mencapai impian dan aspirasi  menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi semakin singkat menjelang tahun 2020. Kita mesti bersedia dengan strategi baharu agar pecutan di selekoh akhir wawasan tidak tergendala. Kerajaan telah bersetuju supaya Jabatan Perkhidmatan Awam bekerjasama dengan pihak United Nations Development Programme (UNDP) menjalankan satu kajian khusus bagi memastikan Perkhidmatan Awam berupaya melaksanakan program-program transformasi secara sistematik, berpandukan mandat dan objektif yang ditetapkan bagi setiap kementerian.
  1. Dengan itu, saya menyeru semua Ketua Jabatan supaya mula memikir dan merancang strategi dan pengisian RMKe-11 yang akan menjadi prakarsa mega terakhir untuk merealisasikan Wawasan 2020 ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

MELAFAZ IKRAR, MENGGENGGAM JANJI: KOMITMEN PERKHIDMATAN AWAM 2014
  1. Jendela tahun baharu 2014 hadir di kala ekspektasi dan cabaran terhadap Perkhidmatan Awam begitu getir dan mencabar. Kebimbangan mengenai kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup begitu meresahkan rakyat termasuklah kita. Sedar atau tidak, keputusan Kerajaan memberi pelbagai ganjaran dan insentif pada tahun 2013 telah meringankan beban yang ditanggung oleh penjawat awam. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga menyatakan sekiranya kedudukan ekonomi bertambah kukuh, hasil negara makin meningkat, pelbagai insentif dan kemudahan untuk penjawat awam boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa.
  1. Sebelum saya mengakhiri amanat pada petang yang berbahagia ini, adalah diingatkan bahawa berdepan dengan kehendak pelanggan yang semakin meningkat dan mencabar pada hari ini, memerlukan penjawat awam yang boleh “berfikir” atau “the thinking public service”. Justeru, kita tidak punya pilihan melainkan harus bertekad mulai saat ini untuk melaksanakan transformasi Kerajaan. Saya berdoa agar permulaan tahun baharu 2014 akan menjadi titik permulaan kepada kita untuk memecut dengan lebih pantas ke destinasi yang kita iltizam.
  1. Sedarlah sekiranya kita masih dilamun kelekaan, Bangkitlah sekiranya kita masih dibelenggu kealpaan, Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berdiri teguh dengan Kerajaan, memperkasakan Agenda Transformasi Negara, menjadi sebuah negara maju disegani di persada antarabangsa, dan menjadikan Perkhidmatan Awam yang diyakini seluruh rakyat dan generasi akan datang. Bangkit dan bingkaslah bersama saya dan kepimpinan Perkhidmatan Awam yang lain untuk “Meneruskan Momentum Transformasi, Merakyatkan Perkhidmatan Awam” dan bergerak seiringan, mudah-mudahan Wawasan 2020 yang kita sasarkan akan menjadi realiti. Insya Allah.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

SELAMAT MENYAMBUT HARI THAIPUSAM 2014



Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Thaipusam 2014 khususnya kepada semua penganut agama Hindu dan semua warga Kraftangan Malaysia yang telah disambut dengan meriah pada 17 Januari 2014 (Jumaat) yang lalu.

13 Jan 2014

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 1435H


Sambutan Maulidur Rasul tahun 1435H atau tahun 2014M yang jatuh pada 14 Januari 2014 (Selasa) bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1435H ialah :

"WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"

14 Januari 2014 ialah pada hari Selasa dan sempena sambutan ini, hari tersebut diistiharkan sebagai hari cuti umum. Maulidur Rasul merupakan hari kebesaran bagi seluruh islam untuk mengingati hari keputeraan atau kelahiran Nabi Muhammad yang jatuh pada setiap 12 Rabiulawal. Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.


9 Jan 2014

SIARAN MEDIA PELANCARAN GILANG-GEMILANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014







PELANCARAN GILANG-GEMILANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014
Permulaan bagi sambutan "Celebrating 1Malaysia Truly Asia"

KUALA LUMPUR, 4 Januari 2014 - Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin hari ini merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2014, edisi keempat kempen Tahun Melawat Malaysia yang bertemakan "Celebrating 1Malaysia Truly Asia".

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 bukan sahaja dijangka memberi kenangan dan pengalaman indah tetapi juga dapat mengeratkan ikatan persahabatan serta menggalakkan pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain tentang budaya dan warisan masing-masing.

"Kita telah melakarkan pelbagai ‘ramuan’ bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 antaranya dasar rangka kerja yang sesuai dan komitmen kerajaan, kerjasama antara sektor awam dan swasta yang kukuh serta sokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat," kata YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin.

Pelbagai program menarik yang bermula seawal jam 8.00 pagi telah diatur di Dataran Merdeka dan ini termasuk pameran serangga, lukisan karikatur, jualan kraftangan, pameran lukisan batik, anyaman rotan, permainan video, van simulasi 6D dan gerai makanan yang menghidangkan masakan istimewa dari 14 negeri di Malaysia sebagai sebahagian daripada acara sambutan sempena menyambut kedatangan pelancong dunia ke Tahun Melawat Malaysia 2014.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz yang menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk bersatu dan memberikan sokongan mereka dalam memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 sejajar dengan konsep "Kita Adalah Tuan Rumah" (We Are The Host).

"Adalah menjadi tanggungjawab bagi rakyat Malaysia untuk memastikan setiap tetamu kita dilayan dengan penuh hormat dan berbudi bahasa disamping memperkenalkan tarikan-tarikan indah yang banyak terdapat di Malaysia.

Oleh itu, Tahun Melawat Malaysia 2014 bakal menyatukan semua rakyat Malaysia bagi mengalu-alukan kedatangan dunia dan ia menjadi kewajipan seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing sebagai tuan rumah yang mesra," kata YB Dato' Seri Mohamed Nazri.

Sambutan yang berlangsung sepanjang hari itu menyaksikan kehadiran lebih daripada 50,000 orang. Orang ramai turut dijemput untuk menyertai aktiviti-aktiviti termasuk persembahan seniman jalanan, persembahan video kebudayaan dan produk pelancongan, 1Malaysia Mix Music dan persembahan gendang, persembahan "Pemetaan Bangunan" pada Bangunan Sultan Abdul Samad, persembahan ekstravaganza "Celebrating 1Malaysia Truly Asia" dan juga pertunjukkan bunga api.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan memukau dari penyanyi terkenal negara Dato’ Siti Nurhaliza dan Datuk Khadijah Ibrahim. Barisan artis tempatan lain seperti Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Hafiz, Nash, Azlan & the Typewriter, Awie dan Najwa Latif turut berjaya menarik perhatian orang ramai dengan lagu-lagu hit mereka.

Persembahan penuh semangat kelompok belia dari Universiti LimKokWing menambah momentum kepada keseluruhan persembahan dengan nyanyian lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2014.

Tahun Melawat Malaysia 2014 bertujuan merealisasikan sasaran kerajaan menerima kunjungan seramai 36 juta orang pelancong dan RM168 bilion pendapatan pelancongan pada tahun 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP) 2020 yang merupakan sebahagian daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 ini juga, kerajaan Malaysia mensasarkan sejumlah 28 juta ketibaan pelancong dan RM76 bilion pendapatan pelancongan. Untuk mencapai sasaran itu, lebih daripada 200 acara perayaan telah dirancang untuk sepanjang tahun bagi menarik lebih ramai pelancong serta menceriakan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi pelancaran majlis gilang-gemilang Tahun Melawat Malaysia 2014 kali ini kerana nilai tinggalan sejarahnya dan aspek persekitarannya yang berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad, mercu tanda Kuala Lumpur bersesuaian dengan pesta visual penuh warna-warni ini.

Monyet Proboscis telah dipilih sebagai maskot rasmi bagi Tahun Melawat Malaysia 2014. Tiga kempen Tahun Melawat Malaysia telah dianjurkan dengan jayanya pada tahun 1990, 1994 dan 2007.




 Sumber: http://www.motac.gov.my

MAJLIS PELANCARAN VISIT MALAYSIA YEAR 2014


Pada 4 Januari 2014 (Sabtu) yang lalu, telah diadakan Majlis Tahun Melawat Malaysia 2014 yang telah disambut dengan gilang-gemilang dan bertemakan '1Malaysia Truly Asia'. Majlis ini telah diadakan di Dataran Merdeka. Kempen ini bukan sekadar untuk menyimpan kenangan indah dan manis tetapi adalah sebagai jambatan tali persahabatan dan memahami tradisi setiap budaya.


Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin  dan turut hadir memberi ucapan Menteri Kebudayaan dan pelancongan YB Dato' Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz. 

Diharapkan dengan kempen ini , masyrakat Malaysia diharap mementingkan untuk sentiasa menjamin kepercayaan dan keyakinan para pengunjung dengan memberi layanan dan kualiti perkhidmatan yang terbaik. Ini sudah pasti akan meningkatkan imej negara dan mampu menarik para pelancong asing untuk datang semula ke Malaysia. 







PETIKAN SURAT KHABAR - VISIT MALAYSIA YEAR 2014



KUALA LUMPUR: Prime Minister Datuk Seri Najib Razak is looking forward to usher in the new year.

In a Facebook posting today, Najib said the new year would be more meaningful with the celebration of the Visit Malaysia Year 2014 (VMY 2014) campaign.
He also called upon Malaysians to welcome tourists with a smile and well wishes.
“The new year is just around the corner and it will be more meaningful with the Visit Malaysia Year celebration.
“I learned that preparations for the campaign is on going at 37 entry points to welcome tourists.
“Together, let us open our doors and welcome tourists with a smile and Selamat Datang greetings,” he said.
The prime minister also shared several pictures on promotional activities by Tourism Malaysia for the VMY 2014 on his Facebook account.
It was reported that the campaign will see an influx of 28 million visitors, who will generate 76 billion in income for the country's coffers.

Sumber: New Straits Times ( http://www.nst.com.my)

TEKS UCAPAN YBHG DATO' KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN JANUARI 2014

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN
DI PANGGUNG SARI
BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
  
TARIKH
9 JANUARI 2014 (KHAMIS) 

JAM
8.00 PAGI 
Bismillahirrahmaanirrahim

Terima kasih  Saudara Pengerusi Majlis

Yang Berusaha  
Tuan Haji Ramli  Mohd Noor  
Timbalan Ketua Pengarah  (Operasi)

Tuan Haji Shahrudin  Mohd Nor  
Timbalan Ketua Pengarah  (Pembangunan) 

Pengarah-pengarah Bahagian  
Pengarah  Institut Kraf Negara
Pengurus Besar  Karyaneka Sdn. Bhd  
Pengurus  Kraf Holding Sdn. Bhd.
dan Warga Kraf tangan  semua

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Saya memanjatkan kesyukuran  ke hadrat Allah S.W.T  kerana dengan limpah kurniaNya  dapat kita bertemu lagi  pada perhimpunan pertama untuk tahun 2014 .  Saya juga  amat bersyukur  dipanjangkan usia untuk bersama-sama  saudara-saudari sekalian  berkhidmat di Kraftangan Malaysia  dan menjaga industri kraf negara  agar sentiasa berada  di tahap yang cemerlang .

Rasanya belum terlambat  untuk saya mengucapkan  selamat tahun baru 2014  kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia , Karyaneka  dan Kraf Holding  dengan harapan agar  tahun 2014 ini  akan membawa lebih banyak kejayaan  kepada kita semua  dalam melaksanakan amanah  memperkasa industri kraf  yang menjadi tunjang kepada perkhidmatan kita .

Menyorot kembali kejayaan  sejak tiga tahun kebelakangan ini , saya amat berbangga  dengan pencapaian Kraftangan Malaysia  di dalam penganjuran aktiviti  mahupun pencapaian KPI yang ditetapkan. Seperti mana saudara-saudari sedia maklum kayu pengukur utama  pencapaian KPI ini ialah  sasaran jualan kraf . Tahun 2011, sasaran yang ditetapkan ialah  sebanyak RM109 juta dan berkat usaha semua kita berjaya mencapai jualan dengan cemerlang iaitu sebanyak RM143 juta . 

Begitu juga pencapaian,  bagi tahun 2012 , daripada sasaran RM300 juta  kita memperoleh capaian  sebanyak RM341.9 juta.  Kejayaan ini  diulang untuk tahun 2013, sehingga November sahaja  kita telah berjaya mencapai jualan  sebanyak RM384.3 juta melebihi sasaran yang ditetapkan  sebanyak RM350 juta. Jumlah ini menunjukkan  inisiatif dan strategi yang dirangka  bertepatan dengan perancangan yang dibuat .  Oleh yang demikian,  tidak mustahil untuk kita mencapai sasaran jualan  sebanyak RM1billion  pada tahun 2016 .

Namun demikian,  saya mengingatkan kepada semua  bahawa  untuk tahun 2014,  Kraftangan Malaysia  perlu mencapai sasaran jualan kraf sebanyak RM430 juta .  Angka ini merupakan satu angka besar  yang perlu dicapai  dan kita pula berdepan  dengan pelbagai cabaran  terutamanya kenaikan harga barang  yang boleh mempengaruhi kuasa beli masyarakat  terhadap produk kraf .  Selain daripada itu,  peruntukan pembangunan  dan mengurus tahun semasa yang terhad ini membatasi kita untuk melaksanakan  aktiviti-aktiviti yang telah dirancang . Oleh itu,  perlu diingati bahawa kekangan peruntukan ini  bukannya penghalang  untuk kita semua bersama-sama melaksanakan aktiviti-aktiviti  yang telah direncanakan .

Gagasan rancangan 5 tahun  Kraftangan Malaysia  yang bermula tahun 2012 hingga 2016  dilihat sebagai pelan strategik  yang komprehensif  ke arah pencapaian  dan usaha-usaha kita selama ini .  Walaupun rancangan 5 tahun  bukannya perkara baru  namun diperingatkan bahawa kita perlu sentiasa  mengkaji , mengubahsuai  mengikut keadaan  dan bertindak segera  bagi memastikan setiap pelan perancangan  mengikut situasi ekonomi semasa.  Proses ini menjadikan kita  semua sebagai warga kerja  yang dinamik  dan pro-aktif .

Tahun 2014 juga  telah diisytiharkan sebagai  tahun melawat Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan  giat mempromosikan Malaysia  dan terkandungnya di dalamnya  destinasi pelancongan, budaya , seni  dan kraf tangan tempatan .  Oleh itu,  perolehan industri kraf  dijangka akan melonjak  berikutan dengan kegiatan promosi  dan limpahan pelancong-pelancong asing ke negara ini kerana produk kraf sering dikaitkan dengan pelancong.

Setiap tahun, Kraftangan Malaysia menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan  (HKK) satu-satunya program  bertaraf antarabangsa dan dinanti-nantikan oleh  orang ramai dan usahawan kraf .  Tahun ini penganjuran HKK  akan diadakan pada 26 Februari  hingga 10 Mac 2014  dan majlis perasmiannya  akan disempurnakan oleh  Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri  Rosmah Mansor , isteri Perdana Menteri Malaysia  pada 27 Februari 2014 (Khamis).  Penganjuran HKK selama 13 hari ini  dijangka menjana pendapatan sebanyak RM26 juta kepada usahawan kraf . 

Bagi kesempurnaan penganjuran,  HKK yang ke-13 ini  saya  menyarankan agar  semua jawatankuasa yang dibentuk  pada mesyuarat jawatankuasa induk HKK  terus bertindak segera  membuat persiapan  kerana tarikhnya semakin hampir . 

Yang Amat Berhormat , Perdana Menteri Malaysia  pada 30 Disember yang lalu  mengumumkan langkah-langkah penjimatan sektor awam  dan dilaksanakan pada 1 Januari 2014 . Terkandung di dalamnya  11 perkara  yang perlu diambil perhatian  dan tindakan penjimatan  seperti yang disarankan .  Saya melihat usaha ini  sebagai satu langkah yang tepat  bagi kita semua  sebagai penjawat awam memperkemaskan  tadbir urus kewangan  dengan cermat  dan perbelanjaan mengikut keperluan . 

Langkah-langkah ini  bukan sahaja mengelak boros  dalam penggunaan peruntukan  malah mendidik kita semua membuat perancangan rapi  bagi pelaksanaan setiap aktiviti .

Sebelum mengakhiri ucapan , saya ingin merakamkan  penghargaan terima kasih  kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia  yang menyumbang usaha dan  tenaga di dalam menjayakan setiap aktiviti-aktiviti  sehingga meletakkan Kraftangan Malaysia  sebagai sebuah organisasi yang cemerlang .  Harapan saya  semoga tahun 2014  memberi kesejahteraan  dan iltizam yang cukup bermakna  dalam usaha  kita meningkatkan imej  dan peranan Kraftangan Malaysia . 

Saya percaya komitmen  dan usaha yang bersungguh-sungguh  daripada saudara saudari  warga Kraftangan Malaysia  akan mencorakkan kejayaan  pada masa-masa akan datang .

Sekian, Wabillahitafik Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Terima kasih