29 Mei 2014

TEKS UCAPAN YBHG DATO' KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN MEI 2014

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN
DI PANGGUNG SARI, BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
TARIKH
29 MEI 2014 (KHAMIS)
JAM 8.00 PAGI

Terima kasih   Saudara Pengerusi Majlis  

Yang Berusaha Tuan Haji Shahrudin   Mohd Nor   
Timbalan Ketua Pengarah   (Pembangunan)   

Pengarah-pengarah Bahagian   
Pengarah   Institut Kraf Negara  
Pengurus Besar Syarikat Karyaneka Sdn. Bhd   
Pengurus Kraf Holding Sdn. Bhd.  
dan Warga Kraftangan   semua  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi   Wabarakatuh  , Salam Sejahtera   dan Salam 1Malaysia  

Alhamdulillah,   segala puji dan syukur   saya panjatkan kepada Allah SWT kerana pada hari ini, kita dapat bersama-sama berhimpun untuk menjayakan perhimpunan bulanan pagi Mei 2014 iaitu perhimpunan kali ketiga bagi tahun 2014.  Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan tahniah kepada anggota kerja yang menerima  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang telah diadakan pada 21 Mei yang lalu di Dewan Serba Guna Kementerian Pelancongan  dan Kebudayaan  

Sesungguhnya APC   merupakan pengiktirafan kerajaan   ke atas jasa   dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus dengan ikhlas di dalam  melaksanakan tanggungjawab kepada pembangunan negara .  Penghargaan tahunan ini amat bermakna untuk warga kerja Kraftangan Malaysia  di dalam menyumbang kepada pembangunan industri kraf   di dalam bidang masing-masing.  Saya berharap kepada penerima-penerima terus tingkatkan usaha dan kepada yang tidak menerima   jadikanlah rakan-rakan sekeliling   yang menerima APC sebagai pembakar semangat   dan motivasi untuk bekerja  dengan lebih kuat.

Pada kesempatan ini juga   saya merakamkan selamat datang   dan tahniah   kepada anggota kerja baru   yang mula bertugas   pada 1 April 2014  yang lalu.  Harapan saya agar tuan-tuan dan puan-puan   akan dapat segera menyesuaikan diri dengan keadaan dan   persekitaran yang baru. Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan dan memberikan komitmen yang tinggi  .

Sebagaimana yang kita semua   sedia maklum  bulan Mei merupakan bulan kita semua  sebagai penjawat awam menyambut hari pekerja. Sambutan ini bukan hanya dilihat sebagai sambutan semata-mata  malah perlu didalami dan dipelajari apa yang terkandung di sebalik sambutan ini.  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam amanatnya sempena sambutan Hari Pekerja menyarankan lima (5)  kriteria bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pada  zaman ini  yang menuntut kepada   kepantasan dan keberkesanan kerja. 

Kriteria-kriteria tersebut ialah berilmu, kebolehpercayaan, budaya amalan kerja terbaik, semangat patriotik dan yang terakhir ialah keberhasilan yang berteraskan outcomes based.  Oleh itu   besarlah harapan saya   agar kriteria-kriteria ini diterapkan di kalangan anggota kerja Kraftangan Malaysia.  Walaupun sebahagian besar kriteria-kriteria ini   telah ada di dalam diri masing-masing namun perlulah kita melihat kembali atau check and balance  bagi memastikan kita sebagai penjawat awam berada  di landasan yang betul  

Kriteria yang ke-lima dilihat amat penting bagi meningkatkan kualiti kerja  yang bersandarkan kepada petunjuk prestasi utama (KPI) dalam menghasilkan prestasi kerja  yang unggul dan cemerlang.  Saya amat berbangga dan amat berterima kasihkepada semua anggota kerja Kraftangan Malaysia kerana mendahului dan mengamalkan budaya outcome based.  Hasilnya terbukti  , melalui KPI Kraftangan Malaysia yang telah dilaksanakan sejak empat tahun lepas yang dijadikan   akreditasi di dalam scorecard  Menteri Pelancongan  dan Kebudayaan. 

Pencapaian KPI  Kraftangan Malaysia digarapkan di dalam Laporan Tahunan Government Transformation Programme (GTP) 2013. Industri  kraf tangan  berada di belakang industri homestay dan sudah tentunya industri pelancongan menjadi penyumbang utama. Ini bermakna agensi-agensi yang berada di bawah sektor kebudayaan, Kraftangan Malaysia  satu-satunya agensi yang menyumbang kepada scorecard Menteri. 

Saya suka sekali lagi  mengulangi pencapaian Minister Key Performance Indec (MKPI) untuk Kraftangan Malaysia  yang ditetapkan pada tahun 2013  ialah sejumlah RM350 juta  dan pencapaiannya ialah sebanyak RM409 juta. Seterusnya  tahun 2014 MKPI yang ditetapkan ialah RM430 juta.  Justeru, saya menyarankan dan bersungguh-sungguh berharap agar kita semua bekerja dengan lebih kuat dan tekun   bagi mengulangi pencapaian 2013 untuk tahun 2014  .

Dalam suasana bekerja di era baru yang mementingkan pencapaian   dan berkehendakkan kita semua melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP)  dan  Program Transformasi Ekonomi (ETP) sudah tentunya menuntut kita semua mengamalkan keseimbangan kualiti hidup.  Oleh yang demikian,  tidak dilupakan aktiviti riadah  yang menyumbang kepada kualiti hidup dan seterusnya memberi kesan positif   kepada kualiti kerja.  Baru-baru ini   diadakan sukan mini di peringkat Ibu Pejabat  dan Karyaneka.

Tujuannya ialah sudah tentukan penjagaan kesihatan di  samping memelihara kecergasan serta mengeratkan silaturahim ke arah membina pasukan kerja   yang dinamik.  Saya menyeru agar aktiviti-aktiviti sebegini diteruskan walaupun dalam keadaan sederhana   namun mempunyai impak yang tinggi  untuk organisasi  dan warga kerja semua.  Berikutan daripada ini juga Pengurusan Kraftangan Malaysia bersama Kelab Sukan Kraftangan Malaysia meluluskan   penganjuran Pesta Sukan Tahunan Kraftangan Malaysia  yang akan bermula pada 20 hingga 22 Jun  di Tanjung Bidara Beach Resort,  Melaka. 

Oleh itu, besarlah harapan saya agar sukan tahunan ini dapat dijayakan   dengan sempurna dan melibatkan semua anggota kerja di peringkat ibu pejabat dan cawangan negeri.  Sukan tahunan ini sahajalah menjadi medan untuk kita berkumpul, bersukan dan mengeratkan lagi hubungan sesama kita. 

Walau apa pun cara kita   mentafsirkannya   namun penting bagi kita  semua  , sebagai kakitangan awam   menjadikan peristiwa ini    untuk mendorong kita bekerja   dengan ikhlas dan menjadikannya sebagai satu ibadah wajib  , sebagaimana kita menunaikan solat   agar sentiasa diberkati   dalam apa jua pekerjaan   yang dilakukan  

Saya sekali lagi mengucapkan   syabas dan tahniah   kepada semua yang bekerja keras melaksanakan aktiviti-aktiviti  terutamanya HKK  dan Promosi Kerja Kahwin yang baru lalu.  Untuk itu   sama-samalah kita   mempertingkatkan daya usaha bagi menjayakan aktiviti-aktiviti mendatang   seperti Promosi Kraf Aidilfitri  yang akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai nanti dan menyusul Promosi Laman dan Taman pada bulan September serta promosi-promosi yang akan diadakan di Pusat Beli-belah dan Promosi Kraf Malaysia di peringkat negeri.

Mengakhiri ucapan saya pagi ini, saya amat berharap semua perancangan aktiviti  dapat dilaksanakan dengan sempurna, diperbaiki   dan ditambah nilai   supaya pencapaian pada tahun 2014 akan lebih cemerlang dan kita semua memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pembangunan industri kraf tanah air.

Sekian,   Wabillahitafik   Walhidayah  . Assalamualaikum   Warahmatullahi   Wabarakatuh.  


Terima kasih

AL-FATIHAH SEMBAH TAKZIAH



Dengan rasa sedih dan hibanya dimaklumkan Al- Marhum DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah, Sultan Perak yang ke 34 telah mangkat pada  hari Rabu 28 Mei 2014 bersamaan 28 Rejab 1435H kira-kira jam 1.30 petang. Semoga Allah merahmati Roh Baginda. Al-Marhum Baginda telah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara. Ekoran kemangkatan itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang selama 100 hari di negeri itu manakala bendera Malaysia pula selama seminggu.

Berita kemangkatan Baginda telah di umum kan oleh Menteri Besar Perak  Dato Seri Zambry Bin  Abdul Kadir Di RTM pada jam 3.30 petang, 28 Mei 2014. Al- Marhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah, 86, akan dimakamkan pada 29 Mei 2014 bersamaan 29 Rejab 1435H selepas solat Asar di Makam Diraja Kuala Kangsar.


Sepanjang Al-Marhum  baginda  menduduki tahta kerajaan Negeri Perak, Al-Marhum merupakan saorang Sultan yang amat tegas didalam melaksanakan undang undang dan sentiasa bersikap adil terhadap setiap permasalahan rakyat dan diambil setiap keputusan setelah semua bukti diterima.

Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga roh Al- Marhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para syuhadah dan solihin. Al-Fatihah...

21 Mei 2014

PENGUMUMAN KEMANGKATAN YANG TERAMAT MULIA TUNKU BENDAHARA KEDAH

Bismillah Hirrahmanirrohim
Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, telah mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada pukul 12.20 pagi,  hari Rabu, 21 haribulan Mei 2014 Masihi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.
Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi maksud penghormatan terakhir pada sebelah pagi oleh para pembesar dan orang kenamaan, manakala oleh orang ramai mulai pukul 1 petang hingga 3 petang.
Jenazah Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan dimakamkan di Makam Di Raja Langgar selepas solat Asar pada hari ini, Rabu, 21 Mei 2014 Masehi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.
Bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan pada separuh tiang selama tiga hari mulai 21 Mei 2014.  Tempoh perkabungan adalah selama tiga hari mulai 21 Mei 2014 sehingga   23 Mei 2014. Sepanjang tempoh tersebut, semua bentuk hiburan,  keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.
Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Yang Teramat Mulia   Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, hari ini, Rabu, 21 Mei 2014,  diisytiharkan sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh Negeri Kedah Darul Aman.
Marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga roh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para syuhadah dan solihin.

DATO' SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
Tarikh : 21 Mei 2014

19 Mei 2014

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2013 KPK


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) akan mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 pada 21 Mei 2014 (Rabu) jam 1.30 petang bertempat di Dewan Serbaguna, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua anggota kerja yang menerima APC. Semoga anda terus berusaha dengan lebih gigih dan terus memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada organisasi. Tahniah & syabas!!!

16 Mei 2014

SELAMAT HARI GURU 2014


Nakalnya kami memang sangat dikenali
Lari-lari panjat almari
Semua budak pun kami buli
Kerja sekolah semua kami tak peduli

     Tapi bila hadirnya cikgu
     Duduk diam tak bersuara, tak berlagu
     Tak jemu-jemu kongsikan ilmu
     Itulah memori yang sangat kami rindu


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar guru dan cikgu. Jasa dan pengorbanan semua guru tidak dapat kami lupakan. Terima kasih cikgu..terima kasih guru... SELAMAT HARI GURU....

   " GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI "

PROMOSI KRAF MALAYSIA DI MUZIUM TENTERA DARAT PORT DICKSON


Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan akan mengadakan Promosi Kraf Malaysia di Muzium Tentera Darat Port Dickson pada 30 Mei hingga 5 Jun 2014 dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Pelbagai aktiviti telah direncana untuk para pengunjung antaranya:

  1.  JUALAN KRAF

      ·         Jualan produk kraf melibatkan antara 20 hingga 25 pengusaha kraf merangkumi batik, 
             tenunan, songket, rotan, buluh, kayu, aksesori dan perhiasan diri.


 2.  MASAKAN TRADISIONAL

      ·         Demonstrasi dan jualan produk masakan tradisional seperti lemang, rendang, dodol,    
             bahulu dan lain-lain.


 3. INTERAKTIF KRAF

     ·         Mengenengahkan persembahan kumpulan muzik kesenian tradisional dan      
           kontemporari seperti persembahan Caklempong, Irama Melayu Asli dan Balle-Balle.


Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi promosi ini!!!!

PERTANDINGAN MENULIS ESEI SENI KRAF MALAYSIA 2014



Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia akan menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia sempena Kempen Nilai-Nilai Murni 2014.

Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kecintaan masyarakat terhadap industri kraf negara.  Penyertaan pertandingan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas dan tarikh tutup pertandingan adalah pada 30 Jun 2014.Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia mengalu-alukan kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai Pertandingan Menulis Esei Seni Kraf Malaysia 2014. 

Maklumat lanjut boleh didapati melalui portal rasmi Kraftangan Malaysia di www.kraftangan.gov.my atau menghubungi talian 03-2162 7459 / 2162 7553 sambungan 372 / 272 / 326 atau emel kepada eseikraf2014@kraftangan.gov.my. Hadiah menarik menanti kepada semua pemenang.


15 Mei 2014

TAKZIAH



Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga usahawan kraf Encik Pion Anak Bumbong (Pak Pion) yang telah meninggal dunia pada 10 Mei 2014 (Sabtu) di Kampung Sungai Bumbun,Pulau Carey, Selangor. Beliau merupakan merupakan Adiguru Kraf (Orang Asli Mah Meri) dari Pulau Carey dan amat terkenal dengan ukiran patungnya.



8 Mei 2014

TAKZIAH DAN AL-FATIHAH


Takziah kepada keluarga Allahyarham Noor Fitry Bin Abdul Razak, Usahawan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan yang telah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 2014 (Rabu) di Kampung Dioh,Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Allahyarham merupakan usahawan muda kraf buluh yang kreatif dan berbakat.Bersama-samalah kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan amal soleh. AL-FATIHAH....

Allahyarham Noor Fitry Bin Abdul Razak


SEKITAR MAJLIS SIDANG MEDIA PROMOSI KERJA KAHWIN 2014














Terima kasih kepada YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan & Kebudayaan kerana telah menyempurnakan Majlis Sidang Media Promosi Kerja Kahwin 2014 yang telah diadakan pada 25 April 2014 (Jumaat) yang lalu. Terima kasih juga kepada semua tetamu dan media yang turut hadir untuk memeriahkan majlis ini.