29 Jan 2015

SELAMAT HARI WILAYAH 2015


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wilayah khususnya kepada semua warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang akan disambut pada 1 Februari 2015 (Ahad). Memandangkan tahun ini Hari Wilayah 2015 jatuh pada hari Ahad, maka 2 Fenruari 2015 (Isnin) diisytiharkan cuti. Mereka yang bekerja di Wilayah Persekutuan akan menikmati cuti tambahan hingga 3 Februari 2015 (Selasa) sempena Thaipusam. Saya berharap agar semua warga kerja Kraftangan Malaysia menggunakan sebaik-baiknya cuti panjang ini untuk bersama keluarga tersayang. 



Tema sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2015 ialah "Wilayahku Ceria" berasaskan kepada rasa kekitaan yang juga mengetengahkan elemen perpaduan bagi memupuk semangat toleransi serta menginspirasikan Wilayah Persekutuan sebagai kejiranan komuniti yang ceria, bersih dan indah. 


9 Jan 2015

PERUBAHAN TARIKH SAMBUTAN HARI KRAF KEBANGSAAN 2015




Untuk makluman semua, Hari Kraf Kebangsaan 2015 yang dijadualkan akan berlangsung pada 25 Februari hingga 9 Mac 2015 telah ditunda ke 26 Mac hingga 6 April 2015. Penundaan tarikh ini dibuat setelah mengambilkira situasi usahawan kraf terutama di negeri Pantai Timur yang terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini dan juga pertembungan tarikh Sambutan Tahun Baru Cina. Perkara ini juga telah dipersetujui dan merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2015 Bil. 01/2015 bertarikh 6 Januari 2015.


8 Jan 2015

SALAM MAULIDUR RASUL 1436H/2015





Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam yang telah disambut pada 3 Januari 2015 (Sabtu) yang lalu bersamaan 12 Rabiulawal 1436H. Sambutan Maulidur Rasul ini juga telah diadakan pada hari yang sama di seluruh negeri di Malaysia khususnya. Tema sempena Maulidur Rasul tahun ini adalah:


"PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA"


Maulidur Rasul merupakan hari kebesaran bagi seluruh Islam untuk mengingati hari keputeraan atau kelahiran Nabi Muhammad SAW yang jatuh pada setiap 12 Rabiulawal. Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammas SAW dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. 




TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN JANUARI 2015



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia



§  Yang Berusaha  Puan Hajah Zuraida Mokhtar
  Timbalan Ketua Pengarah  (Operasi)
§ Tuan Haji Shahrudin  Mohd Nor  
  Timbalan Ketua Pengarah  (Pembangunan) 
§  Pengarah-pengarah Bahagian  
§  Pengarah  Institut Kraf Negara
§  Pengurus Besar  Karyaneka Sdn. Bhd  
§  Pengurus  Kraf Holding Sdn. Bhd.
§  Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor, dan
§  Warga Kraftangan Malaysia  semua

Saya memanjat setinggi kesyukuran, alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana di bawah rahmatnya dan inayahNya, kita masih diberi kesempatan untuk hadir bersama di Majlis Perhimpunan Bulanan untuk bulan Januari 2015.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat tahun baru 2015 dan selamat menyambut Maulidur rasul.  Saya juga merakamkan ucapan terima kasih di atas penganjuran perhimpunan bulanan ini yang membolehkan saya menyampaikan amanat dan berinteraksi dengan semua anggota kerja di peringkat Ibu Pejabat, Institut Kraf Negara dan Cawangan Selangor serta anak-anak syarikat.

Di kesempatan ini juga, saya ini memaklumkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Seri Siti Azizah binti Sheikh Abod telah dilantik sebagai Pengerusi baru Kraftangan Malaysia menggantikan Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi Shahadan.  Selamat datang diucapkan dan semoga pengalaman beliau dapat menyumbang idea-idea baru untuk Kraftangan Malaysia.

Pada awal tahun baru ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia yang telah menjayakan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun 2014.  Walaupun, di dalam keadaan serba kekurangan, peruntukan yang terhad serta kekangan masa namun kita berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti utama yang telah direncanakan.  Kejayaan ini dapat diukur dengan tercapaikan sasaran jualan tahun 2014 iaitu sebanyak RM465.0 juta  melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM430.00 juta.

Kejayaan ini menunjukkan kita semua berusaha keras menjayakan aktiviti serta mengamalkan budaya kerja cemerlang yang memberi impak besar kepada pembangunan industri kraf.Saya juga turut berbangga dengan pencapaian sasaran kerja tahunan (SKT) yang ditetapkan pada tahun 2014 yang hampir mencapai 100% pelaksanaan.  Oleh itu bagi tahun ini, diharap semua bahagian utama telah bersedia dengan SKT yang direncanakan.

Meskipun kita berbangga dengan pencapaian ini, tidak semestinya kita semua cepat berpuas hati kerana tahun 2015 ini merupakan tahun yang amat mencabar terutamanya krisis ekonomi yang memberi kesan yang besar kepada industri kraf. Oleh itu, saya mengajak semua anggota kerja melipatgandakan lagi usaha-usaha dengan melaksanakan pemantauan berkala agar segala kepincangan pelaksanaan aktiviti dapat dikesan awal seterusnya tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera.

Selain dari cabaran ekonomi kita juga berdepan dengan cabaran bencana alam banjir yang melanda sebahagian besar Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.  Anggota kerja dan juga usahawan-usahawan kraf juga terlibat di dalam bencana ini terutamanya usahawan-usahawan seramik dan batik.  Bencana banjir ini mengakibatkan bengkel, mesin dan peralatan turut tenggelam yang menjejaskan pengeluaran produk mereka. Atas keprihatinan ini dan mengambil kira kemampuan usahawan membuat persediaan untuk Hari Kraf Kebangsaan maka HKK bagi tahun 2015 ditunda kepada 26 Mac 2015 hingga 6 April 2015 yang sepatutnya diadakan pada 25 Februari hingga 9 Mac 2015.

Penundaan ini juga dilihat bukan sahaja memberi kesan kepada usahawan kraf malah inilah peluang untuk kita semua membuat persiapan rapi dan kelainan penganjuran.  Oleh itu Promosi Kerja Kahwin yang dijadualkan diadakan pada bulan Mei setiap tahun akan disekalikan dengan HKK sebagai aktiviti promosi jualan. Saya mengalu-alukan kepada semua anggota kerja agar dapat menyumbang idea baru serta tema HKK untuk tahun ini.

Saya dan semua warga Kraftangan Malaysia amat bersimpati dengan bencana ini dan berdoa agar keadaan akan pulih secepat mungkin.  Sebagai tanda simpati, Bahagian Khidmat Pengurusan melancarkan kutipan tunai dan barangan bagi membantu mengurangkan beban anggota kerja yang terlibat dengan banjir.  Di samping itu pasukan dari Bahagian Usahawan dan cawangan-cawangan negeri yang terlibat diarahkan turun padang meninjau usahawan-usahawan yang terlibat dengan bencana ini bagi kita menyalurkan bantuan pasca banjir.

Seperti mana saudara-saudari sedia maklum, defisit negara dalam keadaan yang tinggi dan memberi petunjuk bahawa keadaan ekonomi negara berada di dalam yang tidak sihat dan ini akan menjejaskan pengembangan semua sektor industri terutamanya industri kraf yang bukannya merupakan barangan keperluan.  Bagi menangani situasi ini, aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan bagi tahun 2015 perlu mengambil kira nilai kewangan yang dilaburkan(value for money) serta memberi impak yang tinggi kepada usahawan-usahawan kraf. Di samping itu juga, langkah-langkah berjimat cermat perlu lebih giat dilaksanakan dan setiap pembelian perlu dipertimbangkan sehalusnya mengikut keperluan dan keutamaan.

Kegawatan berserta dengan kejadian-kejadian tragedi kemalangan penerbangan awam negara turut menjejaskan industri pelancongan negara.  Namun, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan  mengambil langkah awal dengan memperkenalkan tahun 2015 sebagai “Year of Festival”. Melalui penganjuran peringkat antarabangsa ini, kita seharusnya merebut peluang untuk mempergiatkan lagi promosi kraf tangan tempatan.

Walaupun di dalam keadaan kegawatan ekonomi, kerajaan turut prihatin kepada penjawat-penjawat awam dengan mengumumkan pembayaran bonus sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM500.00 pada pembentangan belanjawan yang lalu.  Bagi Kraftangan Malaysia, bonus ini telah dibayar pada 5 Januari yang lalu.  Oleh yang demikian, kita sepatutnya lebih bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dengan pemberian ini yang dapat mengurangkan beban perbelanjaan  persekolahan anak-anak.

Sebelum mengakhiri ucapan , saya sekali lagi menyeru kepada semua dapat melipatgandakan lagi usaha bagi pencapaian yang lebih cemerlang untuk tahun 2015.  Harapan saya  semoga tahun 2015  memberi kesejahteraan  dan iltizam yang cukup bermakna dalam usaha  kita meningkatkan imej dan peranan Kraftangan Malaysia. Saya percaya komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada saudara saudari warga Kraftangan Malaysia akan mencorakkan kejayaan  pada masa-masa akan datang .

Sekian, Wabillahitafik Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Terima kasih

TAHNIAH DAN SYABAS PENGERUSI KRAFTANGAN MALAYSIA



Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Berbahagia Dato' Seri Siti Azizah binti Sheikh Abod kerana telah dilantik sebagai Pengerusi baru Kraftangan Malaysia berkuatkuasa pada 1 Disember 2014 yang lalu menggantikan Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi bin Shahadan. 

Selamat datang ke keluarga Kraftangan Malaysia diucapkan kepada Yang Berbahagia Dato' Seri Siti Azizah binti Sheikh Abod. Semoga ilmu dan pengalaman beliau dapat menyumbang idea-idea baru yang lebih segar untuk Kraftangan Malaysia dan membantu Kraftangan Malaysia agar dapat terus mengangkat industri kraf buatan Malaysia terus ke persada antarabangsa.