30 Apr 2015

TEMA SAMBUTAN HARI PEKERJA 2015



Sambutan Hari Pekerja bagi tahun 2015 ini adalah Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat”. Maksud yang ingin disampaikan melalui tema ini ialah pekerja yang sihat dan sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan yang baik secara langsung akan meningkatkan produktiviti serta kualiti kerja yang tinggi seterusnya membawa kepada kemajuan negara. Perkara ini menunjukkan bahawa aspek penjagaan kesihatan pada masa kini amat penting dan perlu diberi perhatian utama dalam menangani gaya hidup masa kini yang banyak berubah.

SELAMAT HARI PEKERJA 2015




Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja 2015 kepada semua insan yang bekerja. Sambutan hari pekerja ini disambut di seluruh dunia setiap 1 Mei setiap tahun. Pada tahun ini sambutan hari pekerja akan disambut pada 1 Mei 2015 (Jumaat). Apabila jatuhnya tarikh 1 Mei setiap tahun, kita bukan sekadar bercuti, malahan yang lebih utama, setiap negara meraikan golongan yang paling penting dan mustahak dalam pembangunan negara tidak kira sama ada mereka dari golongan pentadbir, pendidik, doktor, jururawat, perajurit, anggota keselamatan mahupun golongan kumpulan pelaksana sekalipun, masing-masing telah memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan pembangunan negara. Semoga semua pekerja terutamanya warga kerja Kraftangan Malaysia terus bersemangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada Kraftangan Malaysia khususnya dan seterusnya kepada negara keseluruhannya.   


   

27 Apr 2015

PETIKAN UCAPAN KSN SEMPENA MAJLIS APC JABATAN PERDANA MENTERI PADA 23/4/2015


BUDAYA KECEMERLANGAN
Saya yakin Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diberikan pada hari ini merupakan pembakar semangat dan pendorong untuk semua warga JPM berkhidmat dengan lebih baik ke arah peningkatan mutu kerja dan produktiviti. Saya juga percaya penganugerahan ini merupakan penghargaan di atas keupayaan warga cemerlang JPM untuk sentiasa berusaha maju ke hadapan bukan sahaja sebagai peneraju perubahan, tetapi juga sebagaipenggerak utama ke arah kecemerlangan perkhidmatan awam.

Kepada semua penerima anugerah pada hari ini, saya ingin mengingatkan bahawa ini hanyalah langkah permulaan bagi anda semua untuk terus berusaha menjadi penjawat awam yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Jadikanlah anugerah kecemerlangan yang kita terima ini sebagai satu amanah dan cabaran untuk kita terus memberi komitmen yang terbaik dalam tugasan kita seharian.

Penyampaian perkhidmatan dan kecekapan tadbir urus yang baik (good governance) serta mengutamakan budaya kerja cemerlang merupakan ekspektasi yang perlu diberi perhatian selaras dengan dasar Kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Kecemerlangan individu sahaja tidak cukup bagi menjamin kejayaan sebuah organisasi. Kecemerlangan itu seharusnya diterapkan dalam budaya kerjasama sepasukan (teamwork) dan selari dengan nilai-nilai ‘Cepat, Tepat dan Integriti’ (CTI) dan prinsip ‘Produktiviti, Kreatif dan Inovasi’ (PCI) yang telah diperkenalkan pada tahun 2012. Hasilnya, tahun 2014 telah menyaksikan pelbagai pengiktirafan dan anugerah yang berjaya diperolehi oleh JPM.

Jurulatih lagenda American football, Vince Lombardi pernah menyatakan, “Pencapaian sebuah organisasi adalah hasil usahasama setiap individu di dalam organisasi tersebut.” Berdasarkan ungkapan ini, kejayaan JPM pada tahun 2014 ini merupakan kejayaan anda semua. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua di atas kejayaan ini dan saya amat berharap agar kecemerlangan ini akan dapat terus dikekalkan untuk masa yang akan datang.

MENANGANI CABARAN MASA KINI DENGAN BIJAK
 Tahun 2014 merupakan tahun yang amat mencabar bagi Malaysia. Bermula dengan kehilangan MH370, disusuli dengan tragedi MH17 dan diakhiri dengan banjir terbesar dalam sejarah Negara pada bulan Disember lepas, kesemua ini telah memberi impak yang besar kepada Kerajaan. Iktibar dari peristiwa-peristiwa tersebut mengkehendaki kita memantapkan dan menambahbaik Standard Operating Procedure (SOP) yang berkesansupaya wujud proses tindakan dan sistem komunikasi, pelaporan, penguatkuasaan kawalan yang lebih cekap, sistematik serta bersepadu.

Peristiwa-peristiwa ini memberikan peringatan yang baik kepada kita tentang pentingnya kolaborasi dan kerjasama yang erat di antara Kementerian dan Jabatan dan mengikiskan budaya kerja secara berasingan atau silo. Justeru itu, saya menyarankan agar semua Jabatan dan Agensi JPM menambahbaik SOP masing-masing terutamanya yang melibatkan pengurusan krisis dan pelaksanaan projek-projek Kerajaan.

Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada hari ini telah mewujudkan fenomena globalisasi Dunia Tanpa Sempadan termasuk kemasukan maklumat-maklumat tanpa tapisan melalui laman media sosial yang disebar luas dan dikongsi di Facebook, Youtube, Twitter, Instagram dan sebagainya. Sebagai penjawat awam, kita seharusnya dapat menilai dengan bijak setiap maklumat-maklumat yang diperolehi agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat negatif dan menyeleweng seperti penyebaran ideologi “Islamic State of Iraq and al-Syam” (ISIS).

Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam  sekiranya didapati terlibat dengan gerakan ideologi tersebut dan juga kegiatan-kegiatan ekstremis yang lain. Kita seharusnya sedar bahawa sebagai penjawat awam, kita juga boleh berjihad dengan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan masyarakat. Ini merupakan sumbangan yang amat besar dan insyaAllah usaha-usaha murni dan ikhlas ini akan diberkati oleh Allah SWT.

INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Kerajaan sentiasa mengutamakan perkhidmatan yang bersih dan berintegriti sepertimana yang telah ditekankan dalam nilai-nilai ‘Cepat, Tepat dan Integriti’ (CTI) perkhidmatan awam. Sehubungan itu, tahap disiplin penjawat awam yang tinggi dalam melaksanakan tugas amatlah diharapkan demi menjayakan setiap gagasan yang dibawa. Harapan saya agar setiap warga JPM dapat memikul amanah ini dengan baik dan sentiasa mengamalkan integriti yang tertinggi dalam melaksanakan tanggungjawab kita seharian. Berikanlah perkhidmatan yang terbaik agar Perkhidmatan Awam Malaysia disanjung tinggi dan dipercayai oleh rakyat.

Baru-baru ini dalam satu sesi bersama media mengenai tindakan susulan terhadap Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1, saya telah menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa memandang serius terhadap segala teguran dari laporan Ketua Audit Negara. Seterusnya, saya telah menegaskan bahawa tindakan susulan perlu diambil dengan sewajarnya, selain melakukan penambahbaikan secara berterusan untuk mengelak teguran yang sama di masa hadapan.

GST DAN KENAIKAN KOS KEHIDUPAN
Seperti yang telah kita semua sedia maklum, berkuatkuasa 1 April 2015, Kerajaan telah memperkenalkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan atau “Goods and Services Tax” (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (Sales and Service Tax, SST). Kita seharusnya sedar bahawa GST diperkenalkan bagimemperbaiki dan menyusun semula sistem percukaian Negara pada masa kini supaya lebih berkesan, saksama, efisien dan telus.

Terdapat banyak kekeliruan dan maklumat yang salah tentang GST yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu yang tersebar luas di media sosial. Justeru itu, sebagai penjawat awam kita seharusnya memberi penerangan dankefahaman yang betul kepada rakyat tentang faedah dan kebaikan GST.

Dengan pelaksanaan GST ini, terdapat golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga barangan runcit dengan sewenang-wenangnya. Ini seterusnya memberi kesan kepada kos kehidupan seharian. Penjawat awam juga tidak terlepas daripada kesan kenaikan kos ini.

KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM DIUTAMAKAN

Baru-baru ini CUEPACS telah menuntut agar gaji penjawat awam dinaikkan sebanyak 35 peratus. Ini berdasarkan andaian mereka bahawa terdapat sebilangan besar penjawat awam yang bergaji di bawah RM 850 sebulan.

Terlebih dahulu, saya ingin menyatakan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan penjawat awam. Kenaikan kos barangan dan keperluan kehidupan lain memberikan impak terhadap kehidupan seharian kita. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga perlu menangani defisit fiskal Negara yang terkesan dengan pergolakan ekonomi dunia. Dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, tentunya kebajikan penjawat awamsentiasa diambil kira oleh Kerajaan. Bagi golongan yang bergaji di bawah RM 850 sebulan, Kerajaan telah merancang kenaikan gaji pokok golongan ini pada tahun 2015.   


14 Apr 2015

TETAMU DIRAJA DAN VVIP SEMPENA HKK 2015


Hari Kraf Kebangsaan 2015 telah melabuhkan tirainya pada 7 April 2015 yang lalu. Terima kasih kepada semua yang telah hadir dan memeriahkan lagi HKK 2015. Terima kasih juga kepada Tetamu Diraja dan tetamu VVIP yang telah memeriahkan lagi HKK 2015 ini. Terima kasih semua!!!!.....








13 Apr 2015

AL-FATIHAH DAN SALAM TAKZIAH




Al-Fatihah dan salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah Kamariah Abdullah, Pereka Gred B27 di Institut Kraf Negara telah kembali ke Rahmatullah pada 12 April 2015 (Ahad) bersamaan 22 Jamadilakhir 1436H jam 4.00 petang di Kota Bharu, Kelantan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hamba-Nya yang terpilih...AMIN...



Allahyarhamah Kamariah binti Abdullah

UCAPAN PENGHARGAAN SEMPENA HKK 2015



Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih terutamanya kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia dan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Hari Kraf Kebangsaan 2015 ini. Kerjasama dan komitmen yang diberikan amat bermakna dalam menjadikan Hari Kraf Kebangsaan dan semua aktiviti dapat dijalankan dengan lancar sepertima yang dirancang. Terima kasih sekali lagi dan semoga kerjasama sebegini akan berterusan untuk masa-masa akan datang.

8 Apr 2015

MALAM ANUGERAH CITRA DEWANGGA



KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor malam ini menerima Anugerah Citra Dewangga daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Anugerah yang julung kali diadakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Kraftangan Malaysia, disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ong Hong Peng, yang mewakili menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Mohd Kamil Mohd Ali berkata pengiktirafan ini bertujuan memberi penghormatan kepada individu yang menyumbang jasa bagi menggalakkan perkembangan industri kraf tempatan, khususnya kraf tekstil di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Anugerah ini dicipta khusus untuk seseorang individu yang telah memartabatkan seni kraf tempatan khususnya kraf tekstil yang menjadi seni karya kebangsaan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Citra Dewangga sempena Hari Kraf Kebangsaan 2015 di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Kamil berkata nilai pendapatan industri kraf mencatat RM1.36 bilion dari tahun 2011 hingga 2014.

"Nilai ini membuktikan bahawa industri kraf mampu menjana pendapatan keluarga dan negara.

"Bermula dengan industri kecil-kecilan yang diusahakan di luar bandar, hari ini industri kraf gah berdiri setanding dengan industri pembuatan lainnya," katanya.

Dalam majlis itu juga, Anugerah Tukang Ulung juga turut disampaikan kepada 12 pemenang yang mencapai kecemerlangan dalam bidang pembuatan kraf.

Setiap penerima diberi plak penghargaan berserta wang tunai bernilai RM10,000.

Hari Kraf Kebangsaan kali ke-13 yang bermula pada 26 Mac hingga 7 April, disertai 638 usahawan kraf dalam penjualan produk kraf tempatan dan perkhidmatan perkahwinan.

SUMBER : BERNAMA

HEBAHAN UNIT INTEGRITI BIL.3 TAHUN 2015


TEKS UCAPAN YBHG KETUA PENGARAH SEMPENA MALAM CITRA DEWANGGA HKK 2015

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM SEJAHTERA.

Yang Berusaha Saudara Pengacara Majlis

Datuk-datuk,  Datin-datin, Usahawan Kraf,  Rakan-rakan Media,  Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

UCAPAN TERIMA KASIH

2. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran  ke hadrat Allah subhanahuwataala,  kerana dengan izin  dan limpah kurniaNya,  kita dapat bersama-sama di Majlis Anugerah Citra Dewangga, sempena Hari Kraf Kebangsaan 2015.  Saya bagi pihak Kraftangan Malaysia,  ingin merakamkan  setinggi-tinggi penghargaan  dan ucapan terima kasih,  di atas kesudian  Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor,  isteri  Perdana Menteri Malaysia   dan Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, KSU Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mewakili Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz,  kerana sudi melapangkan masa  untuk hadir ke majlis ini. 

3.   Sesungguhnya  kehadiran Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri,   pada malam ini  menambahkan lagi seri majlis,  serta memberi semangat,  khususnya kepada para usahawan kraf,  untuk terus berkarya,  menghasilkan produk kraf yang berkualiti,  dan mempunyai  nilai estetika yang tinggi.  


HARI KRAF KEBANGSAAN 2015

4.   Untuk makluman  Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri,  Kraftangan Malaysia  sekali lagi berjaya  menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan  bagi kali ke-13,  yang bermula pada  26 Mac sehingga 7 April 2015.  Tahun ini,  merupakan penganjuran  Hari Kraf Kebangsaan  yang dibuat pada skala  yang lebih besar,  dengan penyertaan seramai  638 usahawan  dari seluruh negara,   berbanding penganjuran  tahun-tahun sebelumnya.

5.   Lebih banyak aktiviti menarik disediakan,  kepada pengunjung  selain daripada jualan  produk kraf tempatan  yang unik,  cantik dan berkualiti  serta produk perkhidmatan perkahwinan.  Saya ingin memaklumkan,  bahawa,  pada tahun ini  Kraftangan Malaysia berusaha keras,  bagi memastikan pengunjung dan usahawan berpuas hati,  dengan perkhidmatan  serta kemudahan fisiliti,   yang disediakan sepanjang  tempoh 13 hari promosi berlangsung.   Inisiatif ini adalah  di antara usaha berterusan  dari Kraftangan Malaysia,  dalam memperluaskan  pasaran produk kraf tempatan.


ANUGERAH TUKANG ULUNG 

6.  Industri kraf di negara  terus menunjukkan kecemerlangannya. Dalam tempoh 2011 hingga 2014,  nilai pendapatan industri kraf  adalah sebanyak  RM1.36 bilion.  Nilai ini membuktikan bahawa,  industri kraf  mampu menjana pendapatan  keluarga dan negara. Bermula dengan industri kecil-kecilan  yang diusahakan di luar bandar,  hari ini industri kraf gah berdiri,  setanding dengan industri pembuatan lainnya. Kejayaan ini didokong bersama  oleh tukang-tukang kraf,  yang sentiasa kreatif  dan inovatif  dalam menghasilkan kerja seni ini. Tukang-tukang kraf ini disegani,  dan dihormati,  serta mempunyai kedudukannya yang tersendiri  dalam masyarakat.  

7.   Kraftangan Malaysia  mengambil inisiatif,  mengadakan Anugerah Tukang Ulung,  yang bertujuan untuk  memberi pengiktirafan,  kepada tukang-tukang kraf  yang banyak menyumbang jasa,  dalam membantu membangun dan meneruskan legasi  industri kraf negara.  Mereka merupakan  individu yang mempunyai pengetahuan  dan kemahiran tinggi,  dalam bidang kraf kepakarannya.  Pada malam ini,  seramai 12 orang tukang kraf  akan menerima  Anugerah Tukang Ulung. 


ANUGERAH CITRA DEWANGGA

8.  Buat julung kalinya,   pada tahun ini  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan  melalui Kraftangan Malaysia,  mengadakan Anugerah Citra Dewangga.   Pengiktirafan ini bertujuan,  memberi penghormatan  dan penghargaan  kepada individu,  yang banyak menyumbang jasa,  dalam membantu  menggalakkan perkembangan  dan kebangkitan  industri kraf tempatan,  khususnya kraf tekstil,  sama ada di peringkat domestik  mahupun antarabangsa.

9.    Sekali lagi  saya ingin mengambil kesempatan ini,  untuk  merakamkan  setinggi-tinggi ucapan terima kasih,  dan penghargaan kepada  Yang Amat Berbahagia Datin Seri Paduka Rosmah Mansor  dan  Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng yang dapat meluangkan masa  hadir pada majlis malam ini.   Saya juga ingin merakamkan  ucapan terima kasih  kepada semua pihak  kerana telah memberi  komitmen yang tinggi  dalam membantu Kraftangan Malaysia  menjayakan Hari Kraf Kebangsaan  pada tahun ini.   Saya akhiri ucapan ini  dengan  dua rangkap pantun:- 

Sutera songket panjang sembilan,
Berbunga lebat hiasan berperada;
Yang Amat Berbahagia Datin Seri Paduka,  umpama permata intan;
Kami menumpang akan cahayanya.

Bunga  selasih di tepi huma 
Jatuh berderai ditimpa hujan  
Terima kasih kepada semua
Yang tidak jemu menghargai seni dan  warisan


Sekian,  wabillahi taufik walhidayah,  wassalamualaikum  warahmatullahhi wabarakatuh.