29 Jun 2016

Teks Ucapan Ketua Pengarah sempena Perhimpunan Bulanan Bagi Jun 2016 & Ucapan Khas Aidilfitri


                   TARIKH    :        28 JUN 2016, SELASA

                   MASA       :        8.30 PAGI

                   TEMPAT   :        PANGGUNG SARI

SALUTASI

Terima kasih Saudara Pengacara Majlis

§   Yang Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

§   Yang Berusaha Puan Haslina binti Abdul Hamid
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

§   Pengarah-pengarah Kanan

§   Pengarah Kanan Institut Kraf Negara

§   Pengarah-pengarah Bahagian, Unit dan Kompleks

§   Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor

§   Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd, dan

§   Warga Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa

ALU-ALUAN

1.           Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Jun 2016.

2.           Dalam tidak kita sedari, masa begitu pantas berlalu dan hari ini kita sudah menempuh 23 hari berpuasa dalam bulan Ramadan. Marilah kita mengambil peluang pada 10 malam terakhir ini memperbanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T agar mendapat keberkatan dalam bulan yang mulia ini.

3.           Di kesempatan ini, ingin saya titipkan dengan berita pilu mengenai pemergian anggota kerja kita iaitu dari Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan iaitu Allahyarham Ahmad Sawab bin Osman, Pengajar Kraf Kanan yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 24 Jun 2016 di Negeri Sembilan. Sebelum itu pada bulan Mei lalu, kita juga dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Hamdan bin Abdul Rahman Ketua Pengawal yang telah kembali kepada penciptaNya di Hospital HUKM. Sesungguhnya, kedua-dua mereka banyak memberi sumbangan kepada Kraftangan Malaysia dalam bidang masing-masing. Sehubungan itu, marilah kita sedekahkan surah Al-Fatihah kepada mereka semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah

AMANAT KERAJAAN

4.           Pada 10 Jun lalu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.00 untuk 1.6 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban kewangan. Alhamdulillah, kita telahpun menerima bantuan ini yang disalurkan pada 13 Jun lalu.


Tujuh hari lagi kita beraya
Shopping raya last minit rutin semasa
Jalan Tar sibuk tanpa mengira masa
Hanya nak ingatkan shopping tu jangan tak ingat dunia

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

PENCAPAIAN NILAI JUALAN KRAF

5.           Untuk makluman semua, Kraftangan Malaysia mempunyai KPI iaitu Key Performance Indicator bagi nilai jualan yang perlu dicapai setiap tahun. KPI nilai jualan kraf bagi tahun 2016 ialah sebanyak RM500 juta. Sehingga bulan Mei 2016, Kraftangan Malaysia telah mencapai nilai jualan hampir RM200 juta iaitu 40% pencapaian untuk lima bulan pertama. Sungguhpun pencapaian ini adalah satu petunjuk baik yang telah dapat kita capai bagi tempoh setengah tahun ini, namun segala usaha perlu diteruskan bagi memastikan segala perancangan yang dibuat dapat dilaksana sebaiknya agar mencapai KPI yang ditetapkan.

WARNA-WARNI AIDILFITRI

6.           Hari ini sudah masuk hari ke-7 berlangsungnya promosi Warna-warni Aidilfitri kali ke-12 yang mengetengahkan konsep penggunaan produk kraf tempatan dalam persiapan menyambut Aidilfitri, umpamanya untuk hiasan dalaman rumah, pakaian raya, aksesori, peralatan dan kelengkapan juadah raya, biskut raya hinggalah kepada hiasan laman. Sepertimana tuan/ puan sedia maklum, Majlis Sidang Media Warna-warni Aidilfitri 2016 telah diadakan pada 23 Jun lalu yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Warna-warni Aidilfitri telah bermula 22 Jun hingga 3 Julai 2016. Untuk makluman semua anggota kerja juga, promosi yang sama turut berlangsung di Kota Bharu dan Johor Bahru dan di pusat beli-belah One Utama. Saya berharap aktiviti jualan Warna-warni Aidilfitri ini akan mencapai sasaran jualan yang ditetapkan iaitu RM3.0 juta.

7.      Serentak dengan majlis ini juga, penganjuran Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Saya melihat ini satu penghormatan kepada Kraftangan Malaysia kerana diberi peluang menjadi tuan rumah bagi lokasi penganjuran aktiviti di peringkat Kementerian. Terima kasih saya ucapkan kepada yang anggota kerja yang terlibat menjayakan program Kementerian ini.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

KOMPLEKS KRAF JOHOR

8.      Pada bulan September ini, Kraftangan Malaysia akan mengadakan satu majlis rasmi bagi memperkenalkan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor sebagai Kompleks Kraf Johor. Dengan terlaksananya perancangan ini, Kompleks Kraf Johor akan dilabelkan sebagai sebuah pusat peruncitan meliputi kraf, fesyen, restoran, selain menjadi komponen bagi pejabat, muzium dan rekreasi.

PENGANJURAN KLICF

9.      Kraftangan Malaysia akan sekali lagi menganjurkan aktiviti Kuala Lumpur International Craft Festival (KLICF) buat kali ke-2 pada 24 hingga 28 November 2016 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Majlis Perasmian KLICF dijangka diadakan pada 24 November 2016. KLICF kali ini dijangka disertai oleh 450 peserta iaitu (300 penyertaan di peringkat domestik dan 150 penyertaan lagi dari peringkat antarabangsa). Sehubungan itu, saya ingin menyarankan kepada Bahagian-bahagian terlibat untuk membuat penyelarasan awal dengan rapi agar penganjuran kali kedua ini berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

SAMBUTAN HARI RAYA KRAFTANGAN MALAYSIA & SAMBUTAN HARI RAYA KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA

10.    Saya ingin memaklumkan, sambutan Hari Raya Aidilfitri Kraftangan Malaysia akan diadakan pada hari Selasa, 26 Julai 2016 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Sehubungan itu, perancangan majlis sambutan perlu dibuat agar meriah dan penuh bermakna, walaupun tiada peruntukkan yang besar dapat kita sediakan. Paling penting ialah penglibatan setiap individu di Bahagian dan Unit.

11.    Menyusul selepas itu pula ialah, penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dijadualkan pada hari Khamis, 20 Julai 2016, dari jam 11.00 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Matic Kuala Lumpur. Tema bagi Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian ialah ‘Warna-warni Aidilfitri MOTAC’.

SUKAN KRAFTANGAN MALAYSIA

12.    Berita baik kepada anggota kerja iaitu Kraftangan Malaysia akan menganjurkan Sukan Kraftangan Malaysia buat kali ke-21 pada bulan November 2016 bertempat di Negeri Perlis. Justeru, saya mohon Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia (KSKKM) bersama jawatankuasa KSKKM membuat perancangan dan hebahan awal kepada semua anggota kerja tentang penganjuran sukan kali ini. Tujuannya agar lebih ramai anggota kerja dapat membuat persediaan masing-masing terutamanya bagi yang berkeluarga untuk turut serta dalam temasya sukan pada kali ini.

UCAPAN HARI RAYA AIDILFITRI

13.    InsyaAllah, tujuh hari lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut ketibaan Syawal. Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri  kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia, Karyaneka Sdn. Bhd. dan Kraf Holdings. Khusus kepada anggota kerja yang menggunakan jalan raya untuk balik ke kampung;

MALAM-MALAM LIHAT LAMPU JALAN
TENGOK-TENGOK HANTU RAYA
HATI-HATI DI ATAS JALAN
SUPAYA SELAMAT PULANG BERAYA

Pastikan kenderaan anda semua telah diservis dengan sempurna. Sekali lagi saya ucapkan Selamat Berhari Raya Aidilfitri dan saya serta keluarga memohon maaf zahir dan batin. Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun.

SATU SYAWAL MENJELANG TIBA
TAKBIR BERGEMA MENGGEGAR JIWA
SEKIRANYA ADA SALAH DAN DOSA
AMPUN DIPINTA DIHARI MULIA

SEKIAN.

28 Jun 2016

Majlis Sidang Media Warna-Warni Aidilfitri 2016

Majlis Sidang Media Warna-Warni Aidilfitri berlangsung pada 23 Jun 2016 yang lalu di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Majlis disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.


22 Jun 2016

Publisiti bersama media sempena Warna-Warni Aidilfitri 2016




 Terima kasih kepada pihak media yang hadir membuat liputan publisiti Warna-Warni Aidilfitri 2016. WWA2016 sedang berlangsung sehingga 3 Julai 2016 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay. Dapatkan produk kraf tempatan dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.


17 Jun 2016

Warna-Warni Aidilfitri 2016 Kini Kembali!



Dengan berbesar hati saya ingin mengajak dan menjemput semua untuk memeriahkan lagi program tahunan Kraftangan Malaysia. Semua keperluan untuk menyambut syawal ada dijual di bawah satu bumbung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. WWA 2016 akan bermula pada 22 Jun hingga 3 Julai 2016 dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Selain aktiviti jualan, terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik menanti anda. Bazar Ramadhan serta kemudahan tempat untuk berbuka puasa dan menunaikan solat terawih turut disediakan di sini. Jangan ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan lagi WWA 2016 ini. Masuk adalah percuma!!!

2 Jun 2016

PROGRAM LIPUTAN MEDIA TENUN PAHANG DIRAJA BERSAMA

KDYTM TENGKU PUAN PAHANG

1 JUN 2016 - HARI PERTAMA


Lawatan ke Realistic Attraction Sdn. Bhd di Pusat Pengembangan Tenun Pahang Kg. Soi, Kuantan