16 Jan 2017

Teks Ucapan Ketua Pengarah Sempena Perhimpunan Bulanan Bagi Januari 2017

TARIKH : 9 JANUARI 2017, ISNIN
MASA : 9.00 PAGI
TEMPAT :  PANGGUNG SARI, BANGUNAN SERI UTAMA

SALUTASI

Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis

§   Yang Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

§   Yang Berusaha Puan Haslina binti Abdul Hamid
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

§   Pengarah-pengarah Kanan

§   Pengarah Kanan Institut Kraf Negara

§   Pengarah-pengarah Bahagian, Unit dan Kompleks

§   Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor

§   Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd, dan

§   Warga Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa

PEMBUKA BICARA ( PANTUN )

Pohon cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Anda semua apa khabar
Semoga sentiasa dalam kebahagiaan

Pucuk rebung gigi yu
Tersemat indah songket Terengganu
Saya ucapkan selamat tahun baru
Semoga Kraftangan Malaysia sukses selalu


ALU-ALUAN

1.           Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi mengadakan Perhimpunan Bulan Januari 2017. Selamat menjalankan tugas kepada semua pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia, semoga tahun ini akan memberikan lebih semangat, kejayaan dan peningkatan dalam kehidupan dan pekerjaan kita semua. InsyaAllah.

2.           Saya percaya anda semua telah memanfaatkan cuti rehat hujung tahun dengan baik dan kini sudah sampai masanya kita memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas dan misi untuk memastikan segala aktiviti dan program yang dirancangkan pada tahun 2017 ini berjalan lancar. Jika kita menyingkap kembali pada tahun lepas, boleh saya sebut sebagai tahun yang mencabar dalam masa yang sama juga mempunyai peruntukkan yang sedikit berbanding dengan jumlah keperluan yang diperlukan untuk menggerakkan aktiviti yang dirancangkan. Bagaimanapun, Alhamdulillah kita berjaya dan mampu mencapai kejayaan demi kejayaan yang boleh kita banggakan.  Sehingga November 2016, nilai jualan yang merupakan KPI Kraftangan Malaysia yang telah dicapai adalah sebanyak RM460 juta.  Kejayaan ini ditempa hasil daripada program yang telah dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia.


PENERUS BICARA ( PANTUN )


Kayu gaharu dibuat sumbu
Dibakar bersama pinang berbelah
Tahun baharu semangat pun baharu
Azam yang lama tunaikah sudah?



Dalam sungai banyak batu
Elok berjalan pakai sepatu
Sekarang masuk tahun baru
Ayuh jalankan resolusi baru

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

HALA TUJU KRAFTANGAN MALAYSIA 2017-2020

3.           Tahun 2017 merupakan tahun kedua dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) sebelum Malaysia mencapai matlamat Wawasan 2020 yang menggariskan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dalam semua aspek iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan budaya. Justeru, Kraftangan Malaysia juga tidak terkecuali memperkukuh hala tuju dan strategi bagi mencapai hasrat dan komitmen Kerajaan.

4.           Asas bagi hala tuju dan strategi kita ini bersandarkan kepada beberapa permasalahan yang wujud dalam industri dan menjadi cabaran untuk kita tangani seperti kebolehcapaian produk kraf di pasaran, kebanyakan usahawan kraf (90%) berada dalam kategori mikro, jurang purata pendapatan usahawan, kebergantungan usahawan kepada penghasilan rekaan terkini serta segmen produk masih kecil dan tidak menyeluruh. Matlamat kita bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian KPI untuk pertumbuhan KDNK, tetapi juga pencapaian dan pengagihan pendapatan yang saksama untuk peningkatan tahap kesejahteraan ekonomi usahawan. Bagi tujuan tersebut, Kraftangan Malaysia telah merancang strategi dan pelan tindakan yang dipercayai mampu membangun dan mendayamajukan industri kraf tempatan bagi tahun 2017 hingga 2020.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

5.           Mungkin agak panjang dan baru bagi sesetengah kakitangan. Apa pun, saya harapkan kita perlu melaksanakan usaha secara bersama untuk mencapai aspirasi negara. Saya percaya menerusi kerjasama erat, ketekunan dan kesungguhan serta komitmen yang tinggi yang dicurahkan oleh semua kakitangan secara aktif akan dapat merealisasikan hala tuju yang disasarkan bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) ini.


ANUGERAH HAK ASASI MANUSIA 2016 SEMPENA HARI SUHAKAM

6.           Pagi ini saya juga ingin berkongsi satu khabar gembira iaitu mengenai Kraftangan Malaysia telah menerima Anugerah Hak Asasi Manusia (Kategori Agensi Kerajaan) dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2016 pada 8 Disember lalu. Anugerah Hak Asasi Manusia yang  ditubuhkan pada tahun 2011 ini adalah bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada individu, kumpulan, organisasi dan agensi yang mempunyai rekod cemerlang dalam memajukan hak asasi manusia di Malaysia. Pemilihan Kraftangan Malaysia sebagai pemenang Anugerah Hak Asasi Manusia 2016 ialah atas sumbangan organisasi kita melaksanakan projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat setempat melalui penglibatan aktiviti kraf yang diusahakan secara komersil dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sejak dilaksanakan sejak tahun 2003. Bagi tahun 2016 sahaja, projek SDSI ini telah memberi manfaat kepada 1,749 orang usahawan dengan nilai jualan dijana sebanyak RM170.7 juta, selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada seramai 3,392 orang. Sesungguhnya, saya berasa amat berbangga dengan pengiktirafan ini dan saya rakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga Kraftangan Malaysia semua yang menjadi tulang belakang dan merealisasikannya.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN

7.           Beralih ke berita mengenai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pula, di mana MOTAC ketika ini sedang giat mempromosikan Kempen #Sayang Malaysia sepanjang tahun 2017. Bersempena kempen ini, MOTAC mengadakan pertandingan foto dan video pendek di media sosial dengan memperkenalkan 6 subtema untuk setiap dua bulan iaitu #MyCuisine (Januari & Februari), #MyDestination (Mac & April), #MyCulture (Mei & Jun), #MySport (Julai & Ogos), #MyEvent (September & Oktober), #MyFamilyFun (November & Disember).

8.           Kempen ini merupakan inisiatif lautan biru kebangsaan (NBOS) antara Jabatan/Agensi kerajaan dan pihak swasta seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Latihan Khidmat Negara, iM4U, Badan Bukan Kerajaan dan pihak industri pelancongan dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan serta menggalakkan penyertaan pelancong domestik dan luar negara menggunakan media sosial untuk berkongsi detik indah dan keunikan semasa mereka berada Malaysia. Justeru saya juga menggalakkan anggota kerja Kraftangan Malaysia juga untuk menyokong dan menyertai pertandingan ini.

MENINGKATKAN TAHAP DISPLIN KERJA

9.           Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada semua tentang pentingnya kita perlu mengamalkan displin kerja yang tepat. Disiplin kerja bermula dengan pengurusan waktu kerja yang teratur iaitu setiap kakitangan hadir ke pejabat mengikut masa kedatangan yang tepat. Ini kerana kedatangan kerja akan mempengaruhi fokus kerja harian kita selain mengelakkan kita daripada huru-hara dan hasil kerja menjadi sambil lewa. Akibatnya, kita terus ketinggalan ke belakang. Kita perlu sentiasa peka, bahawa displin ini juga ada berkaitan dengan amanah dan integriti diri kita dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam.
  
MENINGKATKAN TAHAP ETIKA BERPAKAIAN

10.     saya juga ingin melihat perubahan etika berpakaian baik pekerja lelaki atau wanita.  Marilah kita semua berpakaian kemas mengikut pekeliling yang diedarkan demi menjaga imej organisasi.        

UTAMAKAN KESIHATAN DAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

11.    Seperkara lagi ialah mengenai keutamaan menjaga kesihatan diri masing-masing. Suka ingin saya ingatkan kepada semua agar menjaga tahap kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Saya juga ingin memuji kepada kakitangan yang telah mula mengamalkan mengambil makanan sihat dan berkhasiat serta melakukan aktiviti senaman yang dapat meningkatkan kecergasan tubuh badan. Untuk itu, saya sarankan agar Kelab Sukan dan Kebajikan Kraftangan Malaysia (KSKKM) Ibu Pejabat dan Cawangan-cawangan serta Puspanita pergiatkan aktiviti riadah yang boleh disertai oleh semua kakitangan. Saya percaya sambil bersukan menyihatkan badan, kita juga dapat merapatkan silaturahim dan meningkatkan semangat bekerja berpasukan.

BANJIR DI PANTAI TIMUR

12.    Saya percaya semua sedia maklum, bahawa banjir kini sedang melanda di negeri-negeri di kawasan pantai timur dan memaksa banyak sekolah ditutup serta ramai juga yang berpindah ke kawasan selamat. Untuk itu, saya ingin mengingatkan kepada semua warga Kraftangan Malaysia terutama di pantai timur agar bersiap siaga dengan keadaan semasa. Utamakan keselamatan diri, keluarga serta membuat persiapan memelihara harta benda jabatan. Saya juga telah mengarahkan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan & Terengganu untuk menyediakan laporan berkaitan kerosakan dan cadangan bentuk bantuan kepada usahawan kraf yang terjejas akibat banjir kali ini. Saya minta agar Bahagian Pembangunan Industri dan Bahagian Pengurusan & Perkhidmatan membantu dalam hal ini.


13.    Mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa amat penting untuk kita semua memahami segala perancanaan yang kita telah sasarkan supaya dapat mencapai dan meneruskan hasrat Kerajaan untuk menjadi negara maju seperti mana yang diimpikan selain memastikan Kraftangan Malaysia juga terus berjaya sebagai sebuah agensi Kerajaan yang dihormati dan disegani menerusi misi dan visi yang kita perjuangkan selama ini.

“ Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh “

PENUTUP BICARA ( PANTUN )
Dari Kedah ke Pekan Sari
Beli suasa di Kota Tinggi
Selesai sudah Perhimpunan Januari
Di lain masa bersua lagi

Sekian. Wabillahitaufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.