24 Okt 2012

Sukacita dimaklumkan Kraftangan Malaysia akan mengadakan Promosi Kraf Inspirasi Alam 2012 yang akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 11 November 2012 jam 10.00 pagi - 10 malam. Oleh yang demikian, saya mengalu-alukan kehadiran usahawan-usahawan dan dijemput orang ramai untuk datang ke promosi ini. Masuk adalah percuma...


Saya ingin mengucapkan Salam Aidil Adha 1433H dengan penuh kesyukuran kepada semua rakyat Malaysia terutamanya anggota kerja Kraftangan Malaysia di seluruh negara. Semoga kita lebih faham erti hari raya korban ini. Marilah kita bersama-sama mendoakan supaya semua umat Islam di tanah suci Mekah sihat, selamat, diberkati Allah sepanjang menunaikan ibadah haji dan beroleh haji mabrur.
Amin...

10 Okt 2012

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA CALON-CALON PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) 2012

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon-calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2012 yang telah bermula semalam iaitu pada 9 Oktober 2012. Semoga anda semua tenang dan dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan tersebut. Insya Allah....

SELAMAT MAJU JAYA SEMUA!! 

5 Okt 2012

Sekalung Ucapan Tahniah atas Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti tahun 2012 peringkat Persekutuan


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti tahun 2012 peringkat Persekutuan terutamanya kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia sendiri kerana turut menerima anugerah ini. Majlis penyampaian telah diadakan pada 3 Oktober 2012 yang lalu di Agensi Remote Sensing Malaysia bagi memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada kementerian/jabatan/agensi Kerajaan Persekutuan yang memperoleh prestasi cemerlang 4 bintang iaitu pencapaian tertinggi dalam penarafan Indeks Akauntabiliti pengurusan kewangan Kerajaan. 

Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti yang diperkenalkan bagi tahun kewangan 2007 bertujuan untuk membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan serta menambah baik prestasi pengurusan kewangan kementerian/jabatan/agensi di peringkat persekutuan dan negeri.

"Pengurusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan sektor awam dapat dipertingkatkan ke tahap yang tinggi selain pembudayaan kerja yang berasaskan amalan terbaik. Implikasi penarafan Indeks Akauntabiliti ini juga dapat meningkatkan persepsi dan keyakinan awam terhadap tatacara pengurusan dan penggunaan wang awam yang dilaksanakan oleh kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan. Sesungguhnya, pengurusan kewangan yang mantap dapat membantu menjayakan agenda transformasi negara yang sedang giat digerakkan bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020"...... petikan ucapan Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara.

Saya berharap, Kraftangan Malaysia terus melipatgandakan usaha untuk terus mengekalkan pengurusan kewangan yang cekap dan mantap agar budaya kerja yang cemerlang ini akan menjayakan lagi tranformasi negara secara tidak langsung.

Syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada Kraftangan Malaysia!


2 Okt 2012

MINGGU MALAYSIA LONDON 2012


Saya dan delegasi akan menyertai Minggu Malaysia 2012 London yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan akan diadakan pada 6 - 10 Oktober 2012 di South Bank, London. Seramai 10 orang usahawan turut terlibat dalam aktiviti ini iaitu: 

1. IBM Fashion (Batik – Pakaian Siap) 
2. Barakaff Holdings Sdn Bhd (Batik – Pakaian Siap) 
3. Paulini Nusantara Sdn. Bhd. (Logam Aksesori - Pewter) 
4. East Art Ent (Logam Aksesori - Pewter) 
5. Sweet Touch Ceramics Sdn. Bhd (Seramik - Porcelain) 
6. HKY Collection (Anyaman Mengkuang) 
7. Livan Handicraft (Aneka - Aksesori Manik) 
8. Bastari Jaya (Aneka - Aksesori Mutiara) 
9. Syarikat Pemasaran Karyaneka (Cenderamata Malaysia) 
10. Kedai SDSI dan Kraf Holding (Aneka - Rotan & Batik)