12 Mei 2017

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN BAGI MEI 2017 DAN ANUGERAH 25 TAHUN PERKHIDMATAN DAN MAJLIS JASAMU DIKENANG


                            TARIKH    :        11 MEI, KHAMIS
                            MASA       :        9.00 PAGI
                            TEMPAT   :        LAMAN WAU
                                              
SALUTASI

Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis

§    Yang Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

§    Yang Berusaha Encik Ibrahim bin Ismail
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

§  Yang diraikan anggota kerja yang menyambut 25 tahun perkhidmatan bersama Kraftangan Malaysia

§   Turut diraikan anggota kerja yang telah bersara dan yang akan bersara bagi tahun 2017

§   Pengarah-pengarah Kanan

§   Pengarah Kanan Institut Kraf Negara

§   Pengarah-pengarah Bahagian dan Unit

§   Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd.

§   Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor; serta

§   Warga Kerja Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1Malaysia


PEMBUKA BICARA ( PANTUN )

Berkain batik berkebaya Nyonya
Pakaian baharu dan juga lama
Selamat datang sejahtera  hendaknya
Perhimpunan pagi acara utama

Dari Panggung Sari ke Seri Anjung 
Seri Budaya tempat mendengar bicara
Amanat diberi jasa disanjung
Serinya majlis bersama persara

        
ALU-ALUAN

1.           Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Mei 2017 iaitu perhimpunan kali ke ketiga (3) bagi tahun 2017. Perhimpunan kali ini merupakan perhimpunan bulanan yang istimewa kerana turut meraikan anggota kerja Kraftangan Malaysia yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan diserikan lagi dengan meraikan anggota kerja yang telah bersara dan akan bersara pada tahun ini dalam Majlis Jasamu Dikenang.
  
2.           Tidak terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua. Sepertimana semua sedia maklum tema sambutan hari pekerja tahun ini ialah ‘Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi’. Tema ini amat bersesuaian dan bertepatan sekali dengan kakitangan perkhidmatan awam yang perlu berfikiran kreatif di dalam melaksanakan tugasan harian.  Hari ini kita perlu berfikir, bergerak dan bertindak secara kreatif sekiranya kita semua ingin bersaing dan maju ke hadapan. Justeru, saya menyarankan agar anggota kerja Kraftangan Malaysia memartabatkan elemen kreativiti dan inovasi agar tidak ketinggalan di dunia yang semakin kompetitif.
  
MENGHARGAI MASA

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian

3.           Video yang kita saksikan sebentar tadi, semuanya berkisar kepada pentingnya masa untuk dimanfaatkan setiap saat dan minit. Pengurusan masa adalah amat penting kerana masa adalah aset yang bernilai dalam hidup manusia. Ada pepatah mengatakan bahawa 'masa itu emas‘. Oleh itu warga kerja Kraftangan Malaysia disaran tidak mengamalkan budaya ‘Esok Masih Ada’ yang membawa erti kerja bertangguh. Ini kerana kesan daripada penangguhan kerja bukan sahaja menyusahkan orang lain ataupun rakan sekerja malah merugikan organisasi. 

4.           Pastikan kita semua mengambil berat akan waktu-waktu larangan yang telah digariskan agar kerja kita dapat dilaksanakan dengan lebih cemerlang dan efisien di samping menjaga imej dan disiplin diri masing-masing. Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha pernah berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

5.           Hari ini dua orang anggota kerja kita genap berkhidmat selama 25 tahun di Kraftangan Malaysia. Saya yakin, pasti banyak pengalaman yang diperoleh selama berkhidmat.  Dua puluh lima tahun ini juga, dapat dilihat sejauh mana masa dimanfaatkan untuk tugas-tugas harian yang membawa berkat kepada diri sendiri dan sejauh mana kita dapat memberi sumbangan kepada organisasi. Tidak kira sekecil manapun sumbangan yang diberikan tetapi ia amat bermakna kepada organisasi.  Begitu juga kepada rakan-rakan kita yang telah bersara dan akan bersara pada tahun ini, pastinya masa amat bernilai dan dimanfaatkan sebaiknya untuk diri sendiri, organisasi dan masyarakat.

 BUDAYA ILMU

6.           Warga kerja Kraftangan disaran agar melibatkan diri dengan kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk kebaikan organisasi. Sikap ambil tahu pada semua aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia di peringkat ibu pejabat mahupun di peringkat negeri perlu diberi perhatian. Janganlah kita menjadi seperti ‘katak bawah tempurung’ kerana sebagai warga kerja yang proaktif, kita perlulah mempunyai minda yang sentiasa terbuka, sedia bersosialisasi dan sentiasa berusaha mendapatkan maklumat untuk diri sendiri agar tidak ketinggalan. 

7.           Budaya ambil tahu perlu diamalkan kerana nilai ini juga turut diterapkan di dalam Nilai-nilai Aspirasi 1Malaysia yang dipraktikan dan digesa oleh pucuk pimpinan tertinggi negara. Ilmu-ilmu yang diperoleh terutamanya berkaitan dengan aktiviti Kraftangan Malaysia amat penting bagi mempersiapkan diri sama ada untuk persiapan temuduga mahupun penyampaian kita kepada usahawan dan orang ramai. Mempunyai ilmu bukannya perkara yang merugikan malah kita akan dihormati dan menjadi contoh kepada rakan-rakan sekerja. 

INTEGRITI

8.           Saya sekali lagi ingin memperingatkan kepada semua pegawai-pegawai atasan agar sentiasa menjalankan kawalan dan pengawasan ke atas pegawai di bawah selian masing-masing.  Ini bagi memastikan anggota kerja sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan mengelakkan dari sebarang tindakan tatatertib dikenakan. Sebarang kecuaian dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada organisasi dan pegawai atasan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib. Integriti bukan hanya membawa maksud menghindar diri dari rasuah semata-mata malah ia merangkumi kesemua nilai-nilai murni yang perlu diamalkan seperti sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas. Integriti disifatkan sebagai tulus beramanah terhadap diri sendiri, persekitaran dan organisasi. Mempunyai sifat yang tulus ataupun berintegriti tinggi akan membentuk diri kita sebagai seorang yang sentiasa berfikiran positif, membina suasana kerja yang harmoni serta menjauhkan kita dari sikap tidak bertanggungjawab.

KENAIKAN PANGKAT DAN PERTUKARAN

9.           Seperti yang kita sedia maklum melalui Pekeliling Kenaikan Pangkat Bilangan 4 Tahun 2017 yang telah dikeluarkan, bulan April dan Mei 2017 merupakan bermulanya tugasan baru bagi sebahagian anggota kerja yang telah dinaikkan pangkat serta terdapat sedikit pertukaran. Sekali lagi, saya mewakili seluruh warga kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai Kraftangan Malaysia yang telah dinaikan pangkat dan terlibat dalam pertukaran ini. Semoga kenaikan dan pertukaran ini memberi semangat baru dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan. Diharapkan juga agar kenaikan pangkat ini dapat memberi inspirasi kepada pegawai-pegawai yang lain untuk terus berusaha gigih dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi. Kenaikan pangkat dan pertukaran yang dilakukan ini telah diperhalusi dan diteliti sebaiknya demi kepentingan organisasi.

PROJEK KRAF KAMPUNGKU

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

10.       Sepanjang bulan April pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan jayanya di peringkat Ibu Pejabat mahupun di peringkat negeri. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan penghargaan terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan Projek Kraf KampungKu di Majlis perasmian Kraf KampungKu (Anyaman Buluh) Kampung Batu Lunguyan, Mukim Kecil Sook Keningau, Sabah pada 4 April 2017 yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Mas Ermieyati Haji Samsudin Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Majlis yang dianjurkan secara sederhana ini berjalan dengan lancar dan berjaya membantu mempromosikan produk kraf anyaman buluh yang diangkat sebagai produk unik Kampung Batu Lunguyan. Pelaksanaan projek Kraf KampungKu diiktiraf di peringkat Negara sebagai projek yang berimpak tinggi di bawah Program Satu Daerah Satu Industri yang turut memberi limpahan kepada sektor-sektor lain. Namun demikian, usaha kita semua bukannya terhenti di sini sahaja malah perlu dipergiatkan lagi. Semua warga kerja digesa untuk saling membantu, berganding bahu dalam menyumbangkan idea dan tenaga di dalam memastikan kejayaan projek ini. Semoga projek Kraf KampungKu ini dapat membantu dalam pertumbuhan pembangunan usahawan kraf mahupun masyarakat setempat. Projek ini bukan saja menunjukkan komitmen kita di Kraftangan Malaysia untuk membantu usahawan kraf malah ia dilihat sebagai khidmat bakti kita untuk kemajuan masyarakat setempat.

FESTIVAL KRAF PERAK 2017

11.       Saya juga mengucapkan tahniah kepada Kraftangan Malaysia Cawangan Perak yang telah berjaya melaksanakan aktiviti promosi Festival Kraf Perak 2017 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan Perak pada 24 Mac hingga 2 April 2017 yang lalu. Seramai 43 usahawan kraf seluruh Malaysia berkampung selama 10 hari dan sebanyak RM851,532.50 berjaya diperoleh sepanjang promosi berlangsung. Jumlah ini telah meningkat sebanyak 69.50% berbanding jualan tahun 2016 iaitu RM502,390.30. Kejayaan ini boleh dijadikan penanda aras yang memberi makna produk kraf masih mendapat permintaan di kalangan pengguna tempatan. Adalah diharapkan agar usaha mempromosikan produk kraf ini diteruskan walaupun tahun 2017 ini merupakan tahun yang amat mencabar di dalam suasana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan peruntukan yang amat terhad. Saya turut menyeru agar cawangan-cawangan negeri yang lain turut berusaha mencontohi Cawangan Perak dan mencari pendekatan yang lebih kreatif dalam melaksanakan aktiviti promosi di peringkat negeri masing-masing.

PENGAMBILAN PELAJAR BARU INSTITUT KRAF NEGARA

12.       Institut Kraf Negara (IKN) maju setapak lagi ke arah penarafan MQA yang akan memberi kesan yang amat tinggi kepada industri kraf di dalam membekalkan guna tenaga. Usaha-usaha peringkat akhir sedang dilaksanakan dan InsyaAllah di dalam masa terdekat IKN akan memperoleh penarafan MQA. Memperoleh MQA bermakna IKN perlu meneliti setiap inci program yang dilaksanakan kepada pelajar-pelajar yang memenuhi kualiti pendidikan Negara. Kuota pengambilan sesi baru pada tahun ini ialah seramai 170 pelajar yang merangkumi semua bidang pengajian. Kini usaha-usaha giat sedang dilaksanakan untuk mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengikuti program pengajian yang ditawarkan bagi sesi yang akan dibuka pada Julai nanti. Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 Mei 2017. Walaupun banyak cabaran dan persaingan di kalangan Institusi pengajian tinggi lain namun saya percaya dengan kerjasama semua pihak di peringkat Ibu Pejabat dan Cawangan Negeri kuota ini dapat dipenuhi. Melalui sumber dan kekuatan yang ada di IKN saya amat yakin usaha-usaha kita dapat direalisasikan. Saya menyeru kepada semua cawangan negeri agar dapat membantu menguar-uarkan pengambilan pelajar baru ini dengan menyebarkan maklumat menerusi media sosial negeri masing-masing.

WARNA-WARNI AIDILFITRI

Saudara dan saudari sekalian,

13.       Bulan Ramadhan yang mulia bakal menjelang tidak lama lagi dan 16 hari lagi kita semua akan menunaikan ibadah puasa. Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua. Untuk makluman semua Promosi Warna-warni Aidilfitri akan diadakan pada 1 hingga 12 Jun 2017 dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Promosi selama 12 hari ini akan disertai seramai 200 usahawan (150 usahawan kraf & 50 usahawan perkhidmatan Aidilfitri) dengan berkonsepkan Nostalgia Kampung. Pelbagai aktiviti akan diadakan bersempena dengan promosi ini dan kepada semua yang terlibat saya menyeru agar persiapan awal dapat dibuat dan digiatkan agar promosi yang bakal kita anjurkan ini mencapai objektif dan sasaran jualan. Majlis Sidang Media Warna-warni Aidilfitri ini akan disempurnakan oleh Yang Berhormat, Datuk Mas Ermieyati Haji Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pada 1 Jun 2017.

14.       Promosi Warna-warni Aidilfitri kali ini diadakan di dalam keadaan sederhana dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan berharap dapat mencapai objektif di samping dapat memenuhi sasaran jualan yang ditetapkan iaitu sebanyak RM3.0 juta. Kerjasama secara berpasukan di antara ibu pejabat dan cawangan-cawangan negeri amat penting termasuk dalam menjayakan Promosi Warna-warni Adilfitri ini dengan lebih sempurna. Usaha-usaha perlu digiatkan lagi terutamanya di peringkat Negeri untuk mendapatkan lebih ramai penyertaan usahawan kraf.    

WORLD EXPO ASTANA, KAZAKHSTAN

15.       Ekspo terbesar dunia bakal berlangsung di Astana, Kazakhstan selama 3 bulan bermula 10 Jun hingga 10 September 2017 dengan bertemakan Energy for Future. Kali terakhir Kraftangan Malaysia menyertai ekspo ini ialah pada tahun 2012 di Yeosu, Korea selain penyertaan pada tahun 2008 di Zaragoza, Spain dan 2010 di Shanghai, China. Alhamdullilah bagi tahun 2017 Kementerian Tenaga, Teknologi dan Air (KeTTHA) telah mempelawa Kraftangan Malaysia untuk menyertai ekspo ini. Penglibatan Kraftangan Malaysia ialah menerusi aktiviti demonstrasi produk kraf anyaman ribu-ribu, sulaman manik – empang marik dan batik canting. Bagi tujuan tersebut, seorang anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah iaitu Encik Sh Armanshah bin Sh Yasin akan terlibat sebagai jurudemo manakala dua orang lagi jurudemo ialah Puan Diana Muring Padang (Sarawak) dan Encik M.Kamil M.Nata (Selangor). Peluang yang diberikan ini perlulah kita manfaatkan untuk mempromosi dan memperkenalkan keunikan produk kraf kepada pengunjung World Expo kerana World Expo ini bakal dikunjungi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Pasukan yang terlibat menguruskan penganjuran ekspo ini perlu membuat persiapan rapi dan teliti dari sekarang bagi memudahkan semasa berada di Astana, Kazakhstan demi menjaga nama baik Kraftangan Malaysia dan negara.

PERSARAAN DAN ANUGERAH PERKHIDMATAN 25 TAHUN

Bumbung Laman Wau kita dirikan
Papan sekeping dibuat para
Dua Puluh Lima tahun kita diraikan
Dalam kenangan buat persara

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian dan yang diraikan,

16.       Pada pagi yang berbahagia ini, kita diberi peluang untuk meraikan anggota kerja yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan pesara-pesara.  Kraftangan Malaysia sentiasa menghargai jasa anggota kerja yang setia berkhidmat selama 25 tahun mahupun yang akan bersara.  Oleh yang demikian majlis ini diadakan bertujuan memberi penghargaan dan meraikan mereka semua yang telah lama berkhidmat dan yang bakal menamatkan perkhidmatan di Kraftangan Malaysia,  sekaligus sebagai anggota perkhidmatan awam. Sesunguhnya perkhidmatan tuan puan merupakan satu lipatan sejarah yang menjadi kenangan kepada rakan-rakan sekerja dan Kraftangan Malaysia.  Sebahagian besar usia Tuan-tuan dan Puan-puan dihabiskan bekerja dan sudah tentunya suka duka serta pengalaman yang diperoleh mematangkan anda semua di dalam mengharungi kehidupan pada msa-masa mendatang.

17.       Sepanjang perkhidmatan Tuan Puan sudah tentunya Tuan Puan banyak mencurahkan bakti dan usaha di dalam memajukan industri  kraf sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Justeru, semestinya jasa dan bakti yang dicurahkan tidak terbalas dan berhak menerima ganjaran. Bagi saya jangan diukur kecil atau besarnya ganjaran tersebut namun ukurlah ganjaran itu dari segi nilai dan ingatan dari kami semua. Saya amat bersyukur menjadi ahli keluarga Kraftangan Malaysia kerana ahli keluarga yang telah dibentuk oleh generasi terdahulu dan diamalkan sehingga kini menjadi satu budaya kerja cemerlang melalui penerapan kerja berpasukan, hormat menghormati, bermuafakat dan menjaga ikatan persaudaraan. Oleh itu, saya menggesa kepada generasi muda yang bakal menerajui Kraftangan Malaysia suatu hari kelak agar dapat mengekalkan budaya ini, kerana budaya unik yang kita amalkan ini.  Inilah kekuatan yang kita ada, menjadikan Kraftangan Malaysia sentiasa unggul berada di hadapan dan kita patut berbangga di atas kejayaan yang telah dibentuk.

18.       Kita juga patut bersyukur kerana dipanjangkan usia sehingga bersempatan bekerja selama 25 tahun dan sehingga ke hujung penamat kerjaya. Namun perlu diingat bahawa menamatkan perkhidmatan tidak bererti kehidupan kita terhenti di sini malah ia perlu diteruskan.  Saya mendokan kesejahteraan Tuan Puan walau apapun bidang kerjaya dan masa hadapan yang bakal ditempuh.

19.       Hari-hari yang dilalui bersama semestinya ada salah dan silap, sedangkan lidah lagi tergigit namun salah dan silap ini mengajar kita memohon maaf dan sentiasa bersalaman. Justeru, saya memohon maaf di atas segala kesilapan yang dilakukan sama ada secara sedar ataupun tidak. Saya mewakili warga kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga di atas jasa bakti yang dicurahkan dan semoga diberkati Allah SWT selalu. 
  
PENUTUP

20.       Akhir kata, hayatilah dua rangkap pantun ini.
Yang elok itu  penyeri pagi
Yang indah itu budi pekerti
Yang pergi biarlah pergi
Yang tinggal teruskan berbakti

Indah Kompleks Kraf tempat bertamu
Laman Wau menyimpan seribu rahsia
Amanat disampai janganlah jemu
Simpanlah ia sepanjang usia 

Sekian.


Wabillahitaufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.