26 Sep 2013

UCAPAN YBHG KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN SEPTEMBER 2013

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN
DI PANGGUNG SARI
BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
  
TARIKH
26 SEPTEMBER 2013 (KHAMIS)
  
JAM
8.00 PAGI
  
BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

TERIMA KASIH SAUDARA PENGERUSI MAJLIS,

YANG BERUSAHA
TUAN HAJI RAMLI MOHD NOOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI)

TUAN HAJI SHAHRUDIN MOHD NOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (PEMBANGUNAN),  

PENGARAH-PENGARAH BAHAGIAN,

PENGARAH INSTITUT KRAF NEGARA

PENGURUS BESAR KARYANEKA SDN. BHD,

DAN WARGA KRAFTANGAN SEMUA


ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA

SYUKUR ALHAMDULILLAH, SAYA MEMANJATKAN KESYUKURAN KE HADRAT ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA  YANG MEMPERTEMUKAN KITA PADA PAGI INI UNTUK PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN SEPTEMBER 2013. PERHIMPUNAN KALI INI SEKALI GUS BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN YANG DISAMBUT PADA 31 OGOS YANG LALU DAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA PADA 16 SEPTEMBER 2013.  TIDAK TERLEWAT UNTUK SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KALI KE 56 DAN SELAMAT HARI MALAYSIA YANG KE 50.

SEPERTI LAZIMNYA SEBAGAI PEMBUKA AMANAT PERHIMPUNAN BULANAN SAYA AKAN MENEKANKAN KEPADA PENCAPAIAN KPI KRAFTANGAN MALAYSIA.  INI MEMBUKTIKAN BAHAWA BETAPA PENTINGNYA KPI INI YANG MERUPAKAN PENGUKURAN PENCAPAIAN SEBENAR  ORGANISASI KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA DAN JUGA INDUSTRI KRAF.  SEHINGGA BULAN OGOS 2013 KPI JUALAN KRAF YANG DICAPAI IALAH SEBANYAK RM293.5 JUTA MELEPASI SASARAN BULANAN YANG DITETAPKAN. OLEH ITU KITA MEMERLUKAN SEJUMLAH RM114.5 JUTA BAGI MENCAPAI SASARAN YANG DITETAPKAN IAITU RM408 JUTA UNTUK TAHUN 2013.

SAMADA SASARAN KPI, PENCAPAIAN KPI ATAU PENETAPAN SASARAN TAHUNAN INI SEMUA AMATLAH PENTING UNTUK SEMUA ANGGOTA KERJA MENGETAHUINYA AGAR APA SAHAJA PROGRAM DAN AKTIVITI BERPAKSI KEPADA TUJUAN UTAMA KRAFTANGAN MALAYSIA IAITU MEMAJUKAN INDUSTRI KRAF. SETERUSNYA, APAKAH YANG PATUT KITA SUMBANGKAN UNTUK KEMAJUAN INDUSTRI INI SEBAGAI MENGHADAPI TAHUN 2014 BAGI MENCAPAI ANGKA  JUALAN RM500 JUTA. 

JIKA DILIHAT HALA TUJU KRAFTANGAN MALAYSIA SEHINGGA TAHUN 2016 IALAH UNTUK MENCAPAI SASARAN JUALAN KRAF SEBANYAK RM1.0 BILLION, NAMUN JAUH DARIPADA ITU KITA PERLU MELIHAT KRAFTANGAN MALAYSIA SEBAGAI AGENSI YANG MASIH RELEVAN MENYUMBANG KEPADA PENINGKATAN EKONOMI NEGARA DAN MEMBANTU PENINGKATAN PENDAPATAN PARA USAHAWAN KRAF. 

PENCAPAIAN KPI INI SUDAH TENTUNYA SEBAHAGIAN BESAR DISUMBANGKAN OLEH AKTIVITI-AKTIVITI PROMOSI JUALAN YANG DILAKSANAKAN SETIAP MASA. UNTUK MAKLUMAN SEMUA PADA 27 SEPTEMBER SEHINGGA 6 OKTOBER AKAN BERMULALAH PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN.  PROMOSI BERTEMA INI KHUSUS DIADAKAN BAGI MEMPROMOSIKAN PRODUK-PRODUK KRAF HASIL RIMBA DAN KRAF LAIN UNTUK DIKETENGAHKAN SEBAGAI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN.  

PROMOSI INI MENYASARKAN JUALAN SEBANYAK RM2.5 JUTA DAN DISERTAI SERAMAI 250 USAHAWAN KRAF.  SUDAH TENTUNYA PERSIAPAN RANCAK DIJALANKAN DAN SAYA MENYERU AGAR SEMUA ANGGOTA KERJA MEMBERI KERJASAMA DAN MENYOKONG PROMOSI INI SETERUSNYA AKAN TERCAPAI SASARAN YANG DITETAPKAN. SUDAH TIBA MASANYA KITA PERLU MENGUBAH PENDEKATAN PENGANJURAN YANG BERBEZA BAGI MENAMPAKKAN KELAINAN DI SAMPING MEMPERBANYAKKAN SASARAN PENGUNJUNG YANG BERBEZA.  

MAJLIS PERASMIAN PROMOSI KALI INI AKAN DIRASMIKAN OLEH YANG BERHORMAT DATO’ SERI NAZRI TAN SRI AZIZ MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN DI KHEMAH LAMAN PLAZA PADA 30 SEPTEMBER 2013. SAMA-SAMALAH KITA BEKERJASAMA MEMBUAT PERSIAPAN RAPI AGAR MAJLIS PERASMIAN INI MENJADI CONTOH SEBAGAI PENGANJURAN YANG BERPRESTIJ.

BARU-BARU INI YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI MENYENTUH PENTINGNYA PERNIAGAAN DAN KEUSAHAWANAN YANG MERUPAKAN AKTIVITI EKONOMI TERPENTING BAGI MENJANA PENDAPATAN DAN KEKAYAAN.  WALAU BAGAIMANAPUN PENGLIBATAN USAHAWAN BUMIPUTERA INI DI LIHAT MASIH RENDAH ATAS SEBAB BEBERAPA KEKANGAN. 

YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI BERUCAP PADA MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA PADA 14 SEPTEMBER 2013 YANG LALU.  PETIKAN UCAPAN YAB INI AMAT  PENTING YANG SECARA KESELURUHANNYA MENYENTUH ASPEK  KEUSAHAWANAN YANG MENJADI TUNGGAK KEPADA PROGRAM KRAFTANGAN MALAYSIA. 

SAYA MELIHAT SECARA TOTAL DAN POSITIF HASRAT KERAJAAN UNTUK MEMPERKASAKAN EKONOMI BUMIPUTERA YANG MEMPUNYAI HUBUNG KAIT SECARA LANGSUNG DENGAN USAHAWAN-USAHAWAN KRAF YANG MAJORITINYA ADALAH BUMIPUTERA.

JUSTERU, PENTINGNYA SEBAGAI ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM BIDANG INI SUPAYA KITA BERSAMA-SAMA MENDEKATKAN DIRI DENGAN USAHAWAN UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT, PERMASALAHAN DAN MENYELESAIKAN POKOK UTAMA ISU USAHAWAN.  OLEH YANG DEMIKIAN PERLULAH USAHA-USAHA PENDEKATAN BARU DIADAKAN TERUTAMANYA PROGRAM PEMANTAPAN USAHAWAN. 

KENAIKAN HARGA MINYAK RON 95 BARU-BARU INI SEBANYAK 20 SEN DARI RM1.90 KEPADA RM2.10 SERBA SEDIKIT MEMBERI KESAN KEPADA PENGGUNA DAN SECARA TIDAK LANGSUNG KEPADA SETIAP AGENSI-AGENSI KERAJAAN TERUTAMANYA PENGGUNAAN KERETA RASMI JABATAN. 

SELARI DENGAN INI SAYA MENYERU KEPADA SEMUA MENGGUNAKAN KENDERAAN PEJABAT SECARA BERHEMAH DAN BERJIMAT CERMAT.  BEGITU JUGA DENGAN PENGGUNAAN KERTAS, ALAT TULIS DAN SEBAGAINYA DIGUNAKAN UNTUK TUJUAN RASMI PEJABAT SAHAJA.  INI MEMANDANGKAN BELANJA MENGURUS SETIAP TAHUN ADALAH AMAT TINGGI.

DALAM MENGHARUNGI CABARAN DALAM TAHUN 2013 YANG HANYA BERBAKI 3 BULAN SAHAJA LAGI, KITA SEMEMANGNYA TIADA PILIHAN LAIN IAITU MEMBERIKAN KUALITI PERKHIDMATAN YANG TERBAIK.  SELAKU AGENSI PENERAJU INDUSTRI KRAF NEGARA, KITA SEHARUSNYA BERTINDAK SEBAGAI PAKAR RUJUK TERUTAMANYA YANG MELIBATKAN REKAAN-REKAAN TERKINI DAN MENEPATI CITA RASA PENGGUNA KINI.

AKHIR KATA, RIBUAN TERIMA KASIH DIUCAPKAN KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT MENJAYAKAN AKTIVITI-AKTIVITI KRAFTANGAN MALAYSIA DENGAN KERJASAMA YANG HARMONI DAN BERSATU PADU.

SEKIAN SAHAJA,
WABILLAHITAFIK WAL HIDAYAH. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


TERIMA KASIH

19 Sep 2013

PROMOSI HIASAN DALAMAN & SENI TAMAN


Kraftangan Malaysia akan mengadakan Promosi Hiasan Dalaman & Seni Taman yang akan bermula pada 27 September hingga 6 Oktober 2013 dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. 

Promosi Hiasan Dalaman & Seni Taman 2013 ini merupakan gabungan aktiviti dalam mempromosikan produk kraf bagi hiasan dalaman dan seni taman yang berasas serta berilhamkan alam semulajadi. Pelaksanaan PHD&ST 2013 ini berkonsepkan jualan, pameran dan pendidikan yang menampilkan kepelbagaian produk kraf berasaskan alam semula jadi iaitu kraf hasil rimba (seperti kayu, buluh, rotan, mengkuang/pandan, bemban, ribu-ribu dan serdang), kraf hasil tanah (seperti tanah liat, pasir, marmar, kaca dan kristal), kraf logam (bahan galian ; emas, perak, tembaga, besi), kraf aneka yang berasaskan alam semula jadi ini termasuk kraf tekstil (rekaan motif dan produk berasaskan alam semulajadi). Semua dijemput hadir memeriahkan promosi ini.   

18 Sep 2013

MALAYSIA CULTURAL WEEK 2013


Saya dan delegasi menyertai Malaysia Cultural Week 2013 in London yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan akan diadakan pada 19 - 23 September 2013 di South Bank, London. Seramai 10 orang usahawan dan 5 orang jurudemo turut terlibat dalam aktiviti ini iaitu: 

Usahawan (Jualan Kraf)
1. Batik Selat (Batik – Pakaian Siap) 
2. D’ Waqaka Klasik (Batik – Pakaian Siap) 
3. Ruzz Gahara (Batik - Pakaian siap / Kotak hadiah
4. Kedai SDSI & Kraf Holding (Hasil Rimba / Aneka Kraf & Batik
5. La’ Seri Collection  (Logam Aksesori -Pewter
6. Paulini Nusantara (Logam Aksesori -Pewter
7. Sweet Touch Ceramic Sdn Bhd (Seramik -Porcelain
8. Asli Kraf (Etnik Orang Asli)
9. Bastari Jaya (Aneka Kraf - Aksesori Mutiara) 
10. Livan Handicraft (Aneka Kraf - Aksesori Manik)

Demonstrasi dan Interaktif Kraf
1. En. Yus Faizal bin Abdul Rahim - Batik Canting 
2. En. Ramadas a/l Vengadasalam - Pasu Seramik
3. En. Nayar Morunting - Anyaman Ribu-Ribu
4. En. Emang Wan Laing - Hasil Rimba (Sape)
5. En. Samat bin Man - Wau


Bertemakan "Faces for 1Malaysia" , acara itu akan dirasmikan oleh YB Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada 21 September 2013. Pelbagai acara dan aktiviti menarik antaranya ialah persembahan muzik tradisional, jualan dan demonstrasi membuat kraf, pertunjukan fesyen batik dan songket Malaysia dengan rekaan tradisional dan kontemporari dan lain-lain lagi yang menggambarkan Malaysia kaya dengan warisan, budaya serta hasil kerja tangan yang kreatif untuk dipersembahkan di pentas global.

Selain itu, artifak Muzium, manuskrip Melayu yang asal dan butiran warisan turut dipaparkan untuk tatapan umum. Pengunjung juga berpeluang untuk menikmati masakan Malaysia yang lazat dan popular. Acara turut diserikan dengan pameran dan persembahan permainan tradisional masyarakat di Malaysia dan para pengunjung boleh menyertai dan merasai sendiri permainan tersebut. Terdapat juga booth promosi percutian dan pakej pelancongan menarik melawat ke Malaysia  sebagai salah satu langkah menarik minat pengunjung untuk menyertai Tahun Melawat Malaysia 2014.





13 Sep 2013

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA KE 50


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia Ke-50 kepada semua khususnya kepada warga Kraftangan Malaysia yang akan disambut pada 16 September 2013 (Isnin) ini. Semoga kita sama-sama menghayati jasa dan pengorbanan semua para pemimpin kita yang telah bertungkus lumus sehingga tertubuhnya negara Malaysia yang aman dan makmur sehingga kini.

10 Sep 2013

RENTETAN PERISTIWA PENUBUHAN MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963

Bagi memperingati peristiwa sehingga tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963, berikut dikongsikan secara ringkas rentetan peristiwa berkenaan: 

Rentetan Peristiwa 
 
27 Mei 1961
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik

23 Julai 1961
Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.

Ogos 1961
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah

18-20 Disember 1961
Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak

6-7 Januari 1962
Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur

17 Januari 1962
Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha
3-4 Februari 1962
Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

21 Jun 1962
Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu
Julai 1962
Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.

9 Julai 1963
Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

16 September 1963
Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia
sumber : www.arkib.gov.my

PENUBUHAN MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.
Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.
Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen.
Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.
Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.
Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.
Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.
Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan.
Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.
Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.
Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).
Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.
Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.
Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.
sumber : www.arkib.gov.my

HARI MALAYSIA



Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.  Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA CALON PEPERIKSAAN UPSR 2013



Saya mengambil kesempatan ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 terutamanya kepada anak-anak anggota kerja Kraftangan Malaysia dan usahawan kraf  yang telah bermula pada hari ini 10 September hingga 12 September 2013. Semoga anda semua dapat menjawab soalan dengan tenang dan seterusnya mendapat keputusan cemerlang. Insya Allah....