31 Mac 2017

Jurnal Kraf - Projek Kraf Kampungku


Teks Ucapan Ketua Pengarah Sempena Perhimpunan Bulanan Bagi Mac 2017


                   TARIKH    :        30 MAC 2017, KHAMIS

                   MASA       :        9.00 PAGI
                   TEMPAT   :        PANGGUNG SARI
                                              

SALUTASI

Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih Saudara Pengacara Majlis

§   Yang Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud
     Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

§   Yang Berusaha Encik Ibrahim bin Ismail
     Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

§   Pengarah-pengarah Kanan

§   Pengarah Kanan Institut Kraf Negara

§   Pengarah-pengarah Bahagian dan Unit

§   Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd, merangkap Pengurus Kraf Holdings

§   Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor; serta

§   Warga Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua


  
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1Malaysia


PEMBUKA BICARA ( PANTUN )


Cantik bergaya berbatik belang
Manis dipakai dengan selendang
Pemanis kata selamat datang
Awal bismilah pembuka gelanggang

Bulan satu ke bulan tiga
Lama tak jumpa bermacam cerita
Apa khabar anda semua
Ingin kongsikan khabar berita



ALU-ALUAN


1.     Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Mac 2017.

2.     Terdahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Ibrahim bin Ismail kerana telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) berkuatkuasa 15 Mac 2017 menggantikan Puan Haslina binti Abdul Hamid, yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia & Sukan mulai 7 Mac 2017.

3.     Kepada kedua-duanya, saya amat berbangga dan berterima kasih dengan pencapaian dan komitmen yang telah diberikan sepenuh hati di dalam menjalankan tugas.  Kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) yang baru, saya yakin beliau akan mampu memegang amanah ini dengan baik bagi memajukan organisasi kita ke arah yang lebih cemerlang. Tidak lupa juga tahniah diucapkan kepada beberapa lagi pegawai yang dinaikkan pangkat iaitu Encik Noor Effendy bin Abdul Karim, sebagai Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan mulai 1 April 2017 dan Encik Shamsul Azizi bin Samsudin atas kenaikan pangkat kepada Pegawai Ehwal Ekonomi E48 di Unit Pembangunan Pasaran dan Promosi,Bahagian Pembangunan Industri mulai 1 Februari 2017. Beberapa lagi kenaikan pangkat akan diumumkan tidak lama lagi.  Beberapa pertukaran pegawai juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat demi kepentingan organisasi.  Tahniah dan syabas buat semua pegawai.


ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC)

4.     Setinggi-tinggi tahniah juga kepada 56 orang pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia yang berjaya menerima  Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bagi tahun 2016. Majlis penyampaian anugerah ini akan diadakan pada bulan April 2017 dan akan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Menjadi harapan saya agar anugerah yang dicapai ini menjadi pendorong dan pembakar semangat saudara dan saudari sekalian dalam meningkatkan kualiti kerja masing-masing di samping dicontohi oleh pegawai-pegawai lain.  Kepada yang lain jangan kecewa.  Teruskan usaha gigih anda semua.  In Sha Allah akan dikurniakan APC juga.  Kepada penilai pertama dan kedua, saya ingin menyarankan supaya nilailah pegawai dan anggota kerja anda dengan seadil-adilnya.


Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian


KPI SUKU TAHUN PERTAMA

5.    Umum sedia maklum, Kraftangan Malaysia menyumbang dua bentuk Key Performance Indicator atau KPI untuk Yang Berhormat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu nilai jualan kraf dan peratusan sumber tenaga dalam industri menerusi graduan-graduan lepasan Institut Kraf Negara. Pada tahun ini nilai jualan kraf yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) adalah sebanyak RM500 juta dan membekalkan sumber tenaga terlatih dalam industri kraf dengan peratusan 80%. Alhamdulillah, sehingga 28 Februari 2017, jualan kraf yang dicapai ialah RM74.6 juta, iaitu melepasi sasaran Januari dan Februari yang ditetapkan iaitu sebanyak RM70 juta. Saya juga berharap Kraftangan Malaysia juga mampu untuk mencapai 80% graduan Institut Kraf Negara terlibat dalam industri kraf.  Pencapaian KPI ini menunjukkan usaha-usaha kita  dalam memajukan industri kraf dengan penuh tanggungjawab.  Tahniah dan terima kasih kepada semua anggota kerja dari peringkat bawah sehingga ke peringkat atasan yang bagi saya semuanya menyumbang ke arah pencapaian KPI ini.


HARI KRAF KEBANGSAAN 2017

6.     Pada 22 Februari hingga 6 Mac yang lalu, kita telah berjaya menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan 2017, edisi ke-15 yang disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Isteri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 23 Februari 2017 yang lalu. Kehadiran beliau buat kali-5 merasmikan HKK merupakan satu tanda sokongan yang padu kepada industri kraf lebih-lebih lagi dengan tercetusnya Pameran Busana Perdana yang mempamerkan batik dan songket koleksi peribadi Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri sendiri.

7.     Saya mengambil kesempatan ini, mengumumkan Hari Kraf Kebangsaan telah berjaya mencapai nilai jualan kraf sebanyak RM15.7 juta iaitu dengan kenaikan sebanyak 28% berbanding nilai jualan pada 2016 iaitu sebanyak RM12.3 juta. Saya amat berpuas hati dengan penganjuran kali ini termasuklah persiapan dan  penganjuran aktiviti yang berjalan lancar sepanjang 13 hari berlangsung. Pencapaian ini juga merupakan indikator bahawa produk-produk kraf masih diterima ramai walaupun di dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.  Saya percaya kerjasama secara berpasukan yang telah dipamerkan oleh setiap bahagian, unit dan cawangan telah memungkinkan kejayaan HKK ini berjalan dengan lancar.   


PAMERAN PERDAGANGAN AMBIENTE

8.     Kraftangan Malaysia juga, baru-baru ini menyertai Pameran Perdagangan Ambiente 2017 yang diadakan pada 10 – 14 Februari 2017 selama 5 hari bertempat di Messe Frankfurt, Frankfurt, Jerman. Penyertaan kali ke-11 ini disertai oleh tujuh orang usahawan kraf. Alhamdulillah, usahawan-usahawan kita berjaya meraih jualan sebanyak RM7.043 juta semasa pameran tersebut. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4,963,130.00 juta merupakan hasil jualan produk-produk seramik, diikuti bidang hasil rimba sebanyak RM1,423,520.40 juta dan bidang aneka kraf sebanyak RM104,700.00.

9.     Selain itu, menerusi penyertaan Kraftangan Malaysia dalam Pameran Perdagangan Ambiente ini, kita juga mendapat manfaat yang besar dengan meluaskan networking Kraftangan Malaysia dengan orang penting seperti Penganjur Ambiente Frankfurt, Penganjur Mega Show Hong Kong dan German Craft Association yang dapat membantu Kraftangan Malaysia memperluaskan pasaran menerusi cross selling promotion serta menyokong penganjuran Kuala Lumpur International Craft Festival (KLICF) 2017 yang bakal diadakan pada Oktober/ November.

  
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,


PROJEK KRAF KAMPUNGKU

10.     Tahun lalu, Kraftangan Malaysia telah berjaya melancarkan projek signature pertamanya Kraf KampungKu dalam bidang seramik di Kampung Kepala Bendang Mukim Sayong, Kuala Kangsar yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Dengan terlaksananya, projek Kraf KampungKu atau lebih dikenali dengan KKK, banyak memberi manfaat dan limpahan faedah yang dapat usahawan-usahawan kita perolehi baik dari segi industri pelancongan, inap desa, sektor perkhidmatan, hiliran dan juga peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

11.     Bagi meneruskan usaha membangunkan ekonomi dan potensi usahawan kraf tempatan, Kraftangan Malaysia sekali lagi akan merasmikan KKK Anyaman Buluh pada 4 April 2017 iaitu hari Selasa bertempat di Kampung Batu Lunguyan, Daerah Kecil Sook, Keningau Sabah. Majlis ini akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan).


PROGRAM PROMOSI

12.     Seperti mana tuan puan sedia maklum bahawa tahun 2017 ini merupakan tahun yang mencabar tanpa peruntukan yang selesa bagi melaksanakan program-program promosi. Pun begitu, Kraftangan Malaysia perlu sentiasa optimis dan mengambil cabaran ini sebagai satu peranan yang perlu dilaksanakan dengan kaedah baru dan dalam masa yang sama, mampu memberi impak positif kepada industri. Aktiviti promosi yang sedang dan akan berlangsung termasuklah Festival Kraf Malaysia di Dataran Menara Condong, Teluk Intan Perak pada (24 Mac – 2 April), Promosi Di Pusat Beli Belah The Curve di Kuala Lumpur pada (26 April – 1 Mei) dan Promosi Bertema Warna-warni Aidilfitri di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada (1-12 Jun) .

13.     Sehubungan itu, saya berharap perancangan dan persiapan awal perlu dilakukan bagi memastikan semua aktiviti promosi ini berjalan dengan baik dan mencapai sasarannya. Kerjasama dari semua bahagian dan unit serta cawangan yang berkaitan perlu bagi sama-sama membantu menjayakan sasaran nilai jualan ini seterusnya menyumbang kepada KPI kita.


Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,


KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN

14.     Saya juga ingin mengingatkan kepada semua pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia, baik di peringkat Ibu pejabat mahupun di peringkat Cawangan Negeri agar sentiasa terus memberikan sokongan kepada mana-mana aktiviti dan acara yang dianjurkan oleh pihak Kraf dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK). Sokongan ini termasuklah kepada aktiviti dan acara oleh Jabatan dan Agensi KPK yang lain. Melalui sumbangan yang kita berikan akan memberi timbal balas daripada agensi-agensi tersebut.  Inilah saranan utama kepada semua agensi agar menggunakan pendekatan NBOS yang dapat memberi kebaikkan serta win-win kepada Kraftangan Malaysia dalam kelangsungan memantapkan industri kraf tempatan.  Pendekatan NBOS ini juga salah satu caranya kita mengoptimumkan peruntukan bagi melaksanakan sesuatu projek.


BANK IDEA

15.     Tahun 2017 merupakan Year of delivery yang membawa maksud program dan aktiviti menjurus kepada engagement yang memberi kesan langsung kepada rakyat yang disasarkan.  Untuk itu sebagai permulaan KPK sebagai pusat bermaklumat yang holistik berkaitan sektor pelancongan dan kebudayaan berorientasikan kepada inovasi dan pengurusan, Yang Berhormat Timbalan Menteri KPK telah menyarankan agar sebuah Bank Idea diwujudkan. Untuk itu, semua Jabatan dan Agensi di bawah KPK telah disarankan untuk menghantar artikel berkaitan Jabatan dan Agensi masing-masing kepada KPK secara berkala bagi merealisasikan hasrat ini. Saya telah mengarahkan Bahagian Komunikasi Korporat menyelaras perkara ini dan sekiranya terdapat mana-mana pegawai dan anggota kerja yang berminat untuk menyumbang idea menerusi penulisan artikel kepada Bank Idea KPK ini boleh berbuat demikian.


TAHNIAH UNIT TEKNOLOGI MAKLUMAT

16.     Dunia hari ini mengajak kita bergerak pantas, berinformasi serta kreatif di dalam penyampaian mesej menggunakan teknologi terkini. Memandangkan peri pentingkan teknologi maklumat, Unit Teknologi Maklumat Kraftangan Malaysia sentiasa peka kepada perubahan ini dan di majlis ini saya mengambil kesempatan dengan mengucapkan tahniah kepada Unit Teknologi Maklumat Kraftangan Malaysia yang berjaya membawa organisasi kita antara organisasi yang maju di dalam bidang teknologi maklumat.  Hasil-hasil kerja unit ini mendapat pujian dari semua pihak terutamanya KPK atas kemahiran dan kebolehan yang dipamerkan oleh anggota kerja dalaman Kraftangan Malaysia membuat montaj video menarik dan berkualiti yang dibuktikan pada aktiviti-aktiviti Kraftangan Malaysia seperti Festival Kraf Johor dan Hari Kraf Kebangsaan. Susulan itu, Kraftangan Malaysia telah terpilih untuk membangunkan satu montaj video NBOS KPK yang diselaraskan oleh Unit KPI KPK. Selain Kraftangan Malaysia, Balai Seni Visual Negara (BSVN) juga turut terpilih oleh pihak KPK untuk menyediakan montaj video tersebut secara berselang-seli. Tahniah sekali lagi dan saya berharap pasukan Unit Teknologi Maklumat dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada KPK. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kepada Kraftangan Malaysia.


PENGAMBILAN PELAJAR IKN

17.     Umum mengetahui, bulan Julai merupakan bulan kemasukan pelajar-pelajar baru ke Institut Kraf Negara (IKN). Sehubungan itu, saya berharap agar IKN dapat bersiap sedia dari sekarang bagi tujuan pengambilan dan penyelarasan pelajar-pelajar baru ini. Hebahan pengambilan pelajar baru ini perlu dirancang dengan baik agar IKN dapat mencapai kuota yang ditetapkan. Perhatian perlu diberikan sebaiknya kepada bidang-bidang kraf yang kritikal seperti Jurusan Seni Kraf Buluh & Rotan. Menjadi tanggungjawab dan peranan Kraftangan Malaysia memastikan kelancaran bagi pengambilan pelajar dan melahirkan pelajar berkemahiran kraf ini kerana ia menjadi sebahagian daripada KPI kepada Yang Berhormat Menteri KPK.  Selain daripada itu IKN juga sedang dalam berusaha menyiapkan dokumen bagi memastikan IKN mendapat akreditasi sepenuhnya dari Malaysian Qualifications Agency atau MQA. Memperolehi MQA ini akan memantapkan lagi IKN serta mewujudkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar pelajar untuk meneruskan pengajian di IKN.


PESTA SUKAN TAHUNAN KRAFTANGAN MALAYSIA

18.     Saya juga ingin mengumumkan bahawa Kraftangan Malaysia akan menganjurkan Pesta Sukan Tahunan Kraftangan Malaysia kali ke-22 yang akan diadakan pada bulan 20 hingga 23 Julai 2017. Negeri bertuah yang akan menjadi lokasi berhimpunnya warga Kraftangan Malaysia kali ini ialah Negeri Pahang Darul Makmur. Sehubungan itu, saya menyarankan agar Kelab Sukan & Kebajikan Kraftangan Malaysia bersama-sama Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang untuk membuat perancangan awal bagi kejayaan pesta sukan kali ini. Kepada warga Kraftangan Malaysia, saudara dan saudari semua sudah boleh membuat perancangan simpanan serta bersiap sedia dari segi stamina untuk kejohanan pesta sukan pada kali ini. Saya terharu dengan sokongan warga Kraftangan Malaysia serta kejayaan penganjuran oleh KSKKM pada pesta yang lalu di Negeri Perlis. Saya berharap, kemeriahan dalam semangat bersukan yang lebih manis akan tercipta di Negeri Pahang pada Julai nanti. In Sha Allah.


LARANGAN MEMBUAT KENYATAAN DI MEDIA SOSIAL

19.     Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan sekali lagi kepada saudara dan saudari sekalian tentang surat edaran Ketua Setiausaha KPK pada 16 Februari 2017 lalu mengenai Larangan Membuat Kenyataan di Media Sosial dan Tanggungjawab Memelihara Integriti Perkhidmatan Awam oleh Warga KPK. Adalah menjadi tanggungjawab semua pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia agar menjaga etika dalam penggunaan media sosial supaya maklumat yang disebar dan dikongsi mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa selain mengelakkan diri daripada menjejaskan imej perkhidmatan awam. Saya juga ingin mengingatkan kepada warga Kraftangan Malaysia baik di peringkat Bahagian dan Unit serta Cawangan Negeri agar merujuk kepada Bahagian Komunikasi Korporat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan di media massa atau diwawancara oleh pihak media. Perkara ini amat saya titik beratkan bagi memastikan sebarang maklumat yang dikeluarkan mencerminkan imej sebenar kepada organisasi.

PENUTUP

20.     Akhir kata, teruskan kerjasama dan semangat berpasukan yang mantap bagi memastikan Kraftangan Malaysia mencapai kecemerlangan dan sentiasa relevan. Semoga segala usaha dan iltizam kita akan terus dirahmati dan mendapat redha oleh Allah S.W.T.



PENUTUP BICARA ( PANTUN )

Cantik bergaya berbatik pelangi
Cantik lagi madu tiga nama diberi
Selesai sudah perhimpunan pagi
Di lain masa bersua lah lagi


Sekian. Wabillahitaufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

9 Mac 2017

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Produk Kraf

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Produk Kraf pada 2 Mac, jam 11.00 pagi di Bilik Mesyuarat Utama Kraftangan Malaysia yang melibatkan 5 kementerian, 7 peneraju negeri dan 4 icu negeri.






7 Mac 2017

Sekitar Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2017

Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2017 telah berlangsung pada 23 Februari lalu di Panggung Sari Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Majlis disempurnakan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah binti Mansor, Isteri Perdana Menteri Malaysia.












Tahniah!


Tahniah diucapkan kepada Yang Berusaha Puan Haslina Bt Abdul Hamid yang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan berkuatkuasa pada 7 Mac 2017. Tahniah juga ducapkan kepada Yang Berusaha Encik Ibrahim Bin Ismail atas lantikan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia yang baru, berkuatkuasa 15 Mac 2017.