20 Okt 2017

Majlis Ukiran Budi Sulaman Memori

Majlis Ukiran Budi Sulaman Memori
Meraikan Yang Berbahagia Datuk Wira Hj. Ab. Ghaffar bin A. Tambi
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
19 Oktober 2017
Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur














10 Okt 2017

Kraftangan Malaysia Terima Pengiktirafan Sebagai Pelaksana DDMS

Kraftangan Malaysia Terima Pengiktirafan Sebagai Pelaksana DDMS


Kraftangan Malaysia telah menerima Pengiktirafan Agensi Pelaksana Digital Document Management System (DDMS2.0) oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Penyampaian Pengiktirafan disempurnakan oleh Ketua Pengarah MAMPU, YBhg. Dato' Dr. Mazlan Yusoff kepada Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Yang Berbahagia Encik Ibrahim Ismail dalam Majlis Perasmian Public Sector CIO Convex 2017 yang diadakan pada 5 Oktober yang lalu di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya.





24 Ogo 2017

PASAREKA 2017




Sekitar Majlis Perasmian KKK Tenun Pahang Diraja

Majlis Perasmian Kraf KampungKu Tenun Pahang Diraja
20 Ogos 2017 (Ahad)
Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan, Pahang
Disempurnakan oleh : Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang








9 Ogo 2017

Sekitar Majlis Pelancaran SDSI Jelajah Kraf

Majlis Pelancaran SDSI Jelajah Kraf
5 Ogos 2017
Dataran Badang, Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak










22 Jun 2017

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN KHAS HARI RAYA AIDILFITRI 2017

    
                            TARIKH    :        20 JUN 2017 (SELASA)
                            MASA       :        9.00 PAGI
                            TEMPAT   :        LAMAN WAU   

SALUTASI

Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih Saudari Pengacara Majlis

  • Yang Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud - Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)
  • Yang Berusaha Encik Ibrahim bin Ismail - Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
  • Pengarah Kanan Institut Kraf Negara
  • Pengarah-pengarah Kanan
  • Pengarah-pengarah Bahagian dan Unit
  • Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd.
  • Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor; serta
  • Warga Kerja Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia

PEMBUKA BICARA ( PANTUN )



Anggun Si Dara Memakai Sutera
Kebaya Labuh Kacing Suasa
Ucapan Aluan Pembuka Bicara
Di Panggung Sari Kita Bersua

Wajah Ceria Mendengar Amanat
Amanat Di Sampai Terus Ke Hati
Bersama Kita Memohon Rahmat
Semoga Majlis Ini Sentiasa Diberkati


ALU-ALUAN

1.           Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada pagi ini berkumpul bagi Perhimpunan Khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.  Perhimpunan kali ini amat bermakna kerana kita dipertemukan di dalam kerahmatan bulan Ramadhan yang mulia.

BUDAYA HORMAT MENGHORMATI

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian

2.           Sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini marilah kita semua merebut peluang dalam mengejar keberkatan bulan yang penuh rahmat dan dilipatgandakan amal kebaikan. Oleh itu, sepanjang Ramadhan ini diharapkan warga kerja Kraftangan Malaysia dapat mengamalkan amalan-amalan mulia antaranya sikap hormat menghormati sesama kita sama ada di kalangan ahli keluarga, sanak saudara  mahu pun rakan sekerja.

3.           Budaya hormat menghormati di kalangan kita semua amat perlu demi menjaga kepentingan dan  nama baik organisasi. Dengan wujudnya budaya ini ia dapat memberi kebaikan dan manfaat dalam melaksanakan kerja-kerja serta menjurus kepada semangat kerja berpasukan.

INTEGRITI – CUTI SAKIT

4.           Sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan mengenai isu yang melibatkan integriti terutamanya di kalangan penjawat awam. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun dilakukan oleh segelintir individu penjawat awam namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam.

5.           Penting untuk warga kerja Kraftangan Malaysia agar tidak terlibat dalam sebarang isu-isu yang melibatkan integriti seperti mengamalkan budaya menipu majikan contohnya budaya membeli sijil cuti sakit yang merupakan salah satu kesalahan dalam integriti. Di dalam memperolehi sijil cuti sakit tanpa benar-benar sakit, boleh dianggap penipuan dan amatlah tidak beretika dan tidak berintegriti. 

6.           Jabatan amat memandang serius terhadap perkara ini dan sekiranya didapati maklumat penjualan sijil cuti sakit palsu yang melibatkan klinik atau hospital swasta kepada warga kerja Kraftangan Malaysia, Jabatan sendiri akan menyalurkan aduan dan maklumat kepada Kementerian Kesihatan selaras dengan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.


GARIS PANDUAN PENGENDALIAN LAMAN MEDIA SOSIAL

7.           Dalam usaha memastikan anggota kerja Kraftangan Malaysia sentiasa diberi peluang untuk meningkat kemajuan dalam kerjaya serta multi-tasking, Kraftangan Malaysia telah membuat beberapa pertukaran di kalangan anggota kerja di peringkat Ibu Pejabat dan Cawangan Negeri.  Pergerakan ini secara  tidak langsung menyebabkan timbul ketidakpuasan hati di kalangan segelintir anggota kerja terbabit. Saya secara peribadinya amat sedih dan kesal apabila luahan ketidakpuasan hati ini tular di laman sosial.  Anggota kerja seharusnya sentiasa positif akan sebarang pertukaran jawatan dan penempatan baru kerana sebarang pertukaran anggota kerja telah dibincangkan bersama di peringkat Pengurusan dan untuk kebaikan organisasi dan individu. 

8.           Amatlah tidak sesuai ianya dijadikan isu dan dihebahkan secara umum di laman sosial. Susulan daripada ini, bagi memastikan warga kerja lebih beretika dalam menggendali laman sosial (akaun sendiri atau akaun rasmi), Kraftangan Malaysia di peringkat akhir menyediakan Garis Panduan Pengendalian Laman Sosial Kraftangan Malaysia untuk rujukan Bahagian/Unit dan Cawangan Negeri. Garis Panduan ini disediakan bagi memastikan anggota kerja dapat  mengendali laman sosial dengan lebih positif dan memberi manfaat dalam menyampaikan maklumat.  Garis Panduan ini akan diedarkan sebaik sahaja ianya lengkap sepenuhnya.


SESI DIALOG PENGGUNAAN TEKSTIL SUTERA

Warga kerja yang dikasihi

9.           Sebagai peneraju industri kraf negara, Kraftangan Malaysia juga bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk hukum yang termaktub dalam pegangan dan amalan agama dalam penghasilan produk dan kraf.  Atas usaha ini,  Kraftangan Malaysia sentiasa menjalankan penyelidikan dan kajian dari segi bahan mentah bersama agensi-agensi berwajib.  Salah satu isu yang timbul ialah pemakaian tekstil sutera yang telah kembali tular di laman sosial baru-baru ini. 

10.       Kraftangan Malaysia mengambil pendekatan dengan mengadakan Sesi Dialog Penggunaan Batik Sutera pada 6 Jun 2017 sempena Warna-Warni Aidilfitri 2017 bertempat di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

11.       Melalui sesi dialog ini, Garis Panduan Penggunaan Tekstil Berasaskan Sutera Menurut Perundangan Islam telah dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Arief Salleh Bin Rosman, Dekan Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, Felo Hukum JAKIM.  Garis panduan ini disediakan untuk makluman dan rujukan kepada masyarakat Islam di Malaysia tentang hukum menggunakan produk berasaskan sutera, agar pakaian dan perhiasan yang digunakan oleh umat Islam adalah selaras dengan tuntutan agama. 

12.       Garis Panduan ini akan diedarkan oleh Unit Pembangunan Usahawan Kraf, Bahagian Pembangunan Industri untuk rujukan bersama.  Menerusi sesi ini, telah disahkan sutera asli 100% atau sutera asli campuran yang benang sutera aslinya melebihi 51% adalah haram digunakan oleh golongan lelaki beragama Islam.  Oleh itu saya meminta agar anggota kerja lelaki yang beragama Islam di Kraftangan Malaysia turut prihatin akan pakaian berasaskan fabrik sutera yang akan dipakai terutama ketika majlis rasmi atau hari-hari tertentu. Saya turut menyarankan agar warga kerja Kraftangan Malaysia turut sama menjadi wadah penyampaian maklumat ini kepada umum.

INSTITUT KRAF NEGARA

13.       Baru-baru ini Negara dikejutkan dengan penularan budaya ragging dan buli di kalangan pelajar sekolah mahu pun pelajar di institusi pengajian tinggi. Gejala tidak sihat ini bukanlah perkara baru dalam masyarakat dan telah menjadi sebahagian daripada sifat azali manusia yang mahukan pengaruh, membuktikan kekuasaan dan menjatuhkan moraliti sesama manusia.  Ia juga  merupakan anasir pencemaran disiplin dan pembentukan akhlak buruk yang mesti dipandang serius oleh semua pihak. Oleh itu, saya amat berharap agar budaya ini tidak menular masuk ke Institut Kraf Negara kerana IKN bakal menerima pelajar-pelajar baru tidak berapa lama lagi. 

14.       Saya dimaklumkan seramai 168 calon telah memohon kemasukan ke Institut Kraf Negara dan daripada jumlah tersebut, seramai 138 calon layak serta menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian pada 4 Julai 2017 nanti. Saya amat berharap agar pengurusan IKN dapat menyediakan dan menyelaras minggu orientasi pelajar baru ini sebaiknya dan memastikan tiada unsur-unsur budaya ragging dan buli berlaku. Kesemua pelajar sama ada pelajar lama (senior) dan pelajar baru (junior) hendaklah menjalankan minggu orientasi secara berakhlak, berhemah dan menjadikan minggu tersebut sebagai Minggu Ilmu.

15.       Di sini saya juga ingin memaklumkan Institut Kraf Negara (IKN) dalam proses penarafan MQA dan akan memberi kesan yang amat tinggi kepada industri kraf di dalam membekalkan guna tenaga. Kini, permohonan Akreditasi Penuh MQA berada di peringkat akhir dan status permohonan ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Akreditasi MQA pada 20 Jun 2017 bagi mendapatkan keputusan pengiktirafan akreditasi.  Bersama-sama kita doakan agar permohonan ini dipermudahkan dan menjadi satu sejarah kepada IKN khususnya dan Kraftangan Malaysia amnya. 

WARNA-WARNI AIDILFITRI

Saudara dan saudari sekalian,

16.       Dalam menjalani ibadah puasa, kita telah berjaya melaksanakan penganjuran Warna-Warni Aidilfitri 2017 yang telah pun berlangsung pada 1 hingga 12 Jun 2017 yang lalu. Penganjuran yang berkonsepkan ‘Nostalgia Kampung’ ini berjaya menarik perhatian pelbagai golongan masyarakat untuk berkunjung dan membeli-belah sepanjang 12 hari promosi. 

17.       Majlis Sidang Media Warna-Warni Aidilfitri ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat, Datuk Mas Emieryati Haji Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pada 1 Jun 2017. Yang Berhormat Timbalan Menteri amat berpuas hati dan kagum akan segala aktiviti dan persiapan yang disediakan.

18.       Selain hebahan menerusi iklan, usaha-usaha publisiti Warna-warni Aidilfitri turut dilakukan dengan giat  dan menyeluruh.  Seramai 90 orang wakil media telah hadir sepanjang promosi berlangsung dan sebanyak 28 siaran mengenai Warna-Warni Aidilfitri telah disiarkan di media cetak dan media elektronik secara percuma. 

19.       Sepanjang promosi berlangsung, seramai 13,683 orang berkunjung ke promosi Warna-Warni Aidilfitri dan sebahagian besarnya melalui Lawatan Berpandu Berkumpulan iaitu seramai 2,099 dengan 108 kumpulan. Penyertaan sebenar usahawan ialah  seramai 156 usahawan dan menjana pendapatan sebanyak RM2.1 Juta (RM 2,137,199.51) iaitu 7% melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM2.0 juta.

20.       InsyaAllah, dengan sambutan yang amat menggalakan daripada pengunjung dan usahawan kraf, promosi Warna-Warni Aidilfitri akan diteruskan dan ditambahbaik untuk penganjuran pada masa-masa akan datang.

WORLD EXPO ASTANA, KAZAKHSTAN

21.       Kraftangan Malaysia turut terlibat dalam penyertaan promosi kraf di peringkat luar negara. Kini, World Expo Astana di Kazakhstan sedang berlangsung bermula dari 10 Jun hingga 10 September 2017.  Penglibatan Kraftangan Malaysia di World Expo Astana ini adalah di bawah   Kementerian Tenaga, Teknologi dan Air (KeTTHA). 

22.       Pavilion Malaysia telah mendapat sambutan dan dikunjungi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia.  Laporan Radio dan Televisyen Malaysia pada 14 Jun yang lalu menyatakan Pavilion Malaysia telah dikunjungi seramai 200,000 pengunjung. Diharapkan penyertaan Kraftangan Malaysia dapat mempromosikan keunikan produk kraf tempatan serta memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mementingkan penjagaan dan pembangunan alam sekitar selari dengan tema yang di bawa oleh Malaysia iaitu ‘Powering Green Growth’ .

ASEAN HANDICRAFT PROMOTION AND DEVELOPMENT ASSOCIATION (AHPADA)

23.       Kraftangan Malaysia turut menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi penglibatan dalam  ASEAN Handicraft Promotion and Development Association (AHPADA).  AHPADA telah ditubuhkan pada tahun 1981 dan antara peranan utama adalah membangun dan memasarkan produk kraf di dalam dan luar rantau ASEAN serta mengekalkan kemahiran kraf tradisional dalam konteks pemuliharaan warisan budaya. 

24.       Malaysia merupakan salah satu negara yang menganggotai persatuan ini dan diwakili oleh Kraftangan Malaysia.  Bagi penggal 2018 hingga 2020 Malaysia telah dilantik untuk menggalas jawatan sebagai Presiden AHPADA sekaligus sekretariatnya akan dikendalikan oleh Bahagian Strategi Korporat dan dipertanggungjawabkan menyelaras program-program berkaitan industri kraf di bawah ASEAN. 

25.       Saya amat berbangga di atas perlantikan ini dan kita perlulah bersedia untuk memikul tanggungjawab ini. Oleh yang demikian saya menyeru kepada semua agar dapat menyumbang dan membantu Bahagian Strategi Korporat mengendalikan tanggungjawab besar ini demi menjaga imej negara Malaysia. 

WORLD CRAFT COUNCIL - ‘AWARD OF EXCELLENCE FOR HANDICRAFT’

26.       Kraftangan Malaysia sekali lagi dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi penjurian ‘Awards of Excellence for Handicrafts’ bagi tahun 2018.  Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada penghasilan produk kraf terbaik di peringkat negara Asia Pasifik. Bagi tahun 2018, dua wakil dari Malaysia akan turut serta menjadi juri bersama 3 orang wakil dari Singapura, Thailand dan Indonesia. Pogram penjurian ini akan diadakan di Kuala Lumpur mulai bulan Oktober 2017.

WORLD CRAFT COUNCIL - ‘WORLD CRAFT CITIES’

27.       Kraftangan Malaysia juga dalam proses untuk mengangkat empat(4) bandar iaitu Kuching (Sarawak), Kota Bahru (Kelantan), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kuala Kangsar (Perak) untuk diiktiraf sebagai ‘WCC – World Craft Cities’. Pengiktirafan ini adalah bagi mempromosikan bandar-bandar ini ke peringkat antarabangsa serta merancakkan sektor kraf dan pelancongan negara sekaligus meningkatkan pendapatan negara.  Penjurian akan dibuat pada bulan Oktober 2018 juga.


PROGRAM ‘ASEAN – ROK (Republic of Korea) Youth Craft Camp on Ceramic’

28.       Kraftangan Malaysia juga telah mengemukakan kertas cadangan penganjuran program ASEAN –Youth Craft Camp On Ceramic’ dengan penglibatan negara-negara ASEAN dan Republic of Korea untuk tahun 2018. Menerusi program ini, golongan artisan muda yang terlibat di dalam penghasilan kraf seramik bakal diketengahkan dalam membantu mempromosikan produk kraf dari negara ASEAN & kraf seramik dari Republic of Korea (ROK).  Dijangka program ini akan diadakan di Institut Kraf Negara pada bulan November 2018.

29.       Dijangka seramai 30 peserta dari Malaysia dan 30 peserta dari negara ASEAN dan 10 peserta Republic of Korea akan terlibat di dalam program ini yang terdiri daripada golongan belia, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta artisan / adiguru kraf.  Program peringkat antarabangsa ini bukan sahaja mempromosi produk-produk kraf tempatan malah merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada Kraftangan Malaysia sebagai agensi yang menerajui industri kraf negara.

PENGHARGAAN TERIMA KASIH

Saudara dan saudara yang dikasihi sekelian,

30.       Bermula Januari hingga kini, Kraftangan Malaysia telah berjaya melaksanakan program-program yang dirancang. Walau pun peruntukan untuk sesuatu program dan aktiviti amat terhad namun kita masih dapat menjalankan aktiviti-aktiviti dengan jayanya. Kejayaan ini merupakan kejayaan semua dan kejayaan ini merupakan berkat kerja keras anggota kerja semua. Salah satu rahsia kejayaan kita ialah budaya kerja yang diamalkan iaitu budaya kerja berpasukan di kalangan warga kerja.

31.       Saya dengan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada semua bermula dari peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan sama ada di peringkat negeri mahupun Ibu Pejabat. Tanpa penglibatan dan kerjasama semua pihak tidak mungkin aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan dengan penuh kejayaan.

32.        Kejayaan kita juga hasil penerapan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang  turut memberi impak yang berkesan dan menyeluruh. Pelaksanaan secara kreatif ini perlulah dipergiatkan dan dipertingkatkan lagi agar setiap aktiviti yang dilaksanakan mendapat impak tinggi dan outcome yang maksimum.

33.       Sepertimana yang kita sedia maklum juga, sasaran KPI Kraftangan Malaysia bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM500 juta.  Sehingga 31 Mei 2017, sebanyak RM195.4 juta (39%) pendapatan nilai jualan industri kraf telah berjaya diperolehi.  Manakala sejumlah RM304.5 juta (61%) lagi adalah diperlukan untuk mencapai sasaran tersebut.  Jumlah ini secara tidak langsung memberi cabaran kepada Kraftangan Malaysia untuk terus melaksana program-program yang dirancang. Oleh itu semua warga kerja hendaklah terus berusaha, bersatu hati dalam melaksanakan program-program yang telah dirancang dari awal tahun 2017 dengan cemerlang.   

34.       Bermula Julai sehingga Disember 2017 sebanyak enam (6) program bakal dilaksana iaitu :

  • Majlis Perasmian KKK Kraf Senjata, Lawas, Sarawak (10/8/2017)
  • Majlis Perasmian KKK Tenun Pahang Diraja, Pekan, Pahang (17/8/2017)
  • Majlis Perasmian Kraf Komuniti Baru, Bagan Datoh, Perak (7/9/2017)
  • Kuala Lumpur International Craft Festival, Dataran Putrajaya (23-26/11/2017)
  • Majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara, Rawang (9/11/2017)

 SHOWCASE PREKA – PELANCARAN PRODUK BARU

35.    Kraftangan Malaysia melalui Bahagian Rekaan dan Penyelidikan akan mengenengahkan produk-produk baru rekaan dari pereka dalaman Kraftangan Malaysia dan dihasilkan bersama usahawan kraf tempatan. Program berbentuk Showcase PREKA/ Pelancaran Produk Baru ini akan menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan industri reka bentuk yang merangkumi pameran & jualan produk baru PREKA, sesi diskusi rekaan, pendedahan kepada ikon-ikon rekaan dan lain-lain aktiviti yang berkaitan reka bentuk.

36.           Aktiviti ini akan diadakan pada 24 hingga 27 Ogos 2017, bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Pelaksanaan aktiviti ini merupakan inspirasi kepada program Transformasi Kerajaan 2050 (TN50) bagi meneruskan hasrat generasi muda terhadap industri kraf.  Aktiviti julung kali diadakan ini merupakan medan  untuk membuka peluang dan potensi penjanaan pendapatan yang lumayan dan sekaligus menjadikan kemahiran kreativiti sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara. 

SDSI CRAFT TRAIL

37.       Kraftangan Malaysia juga akan mengadakan SDSI Craft Trail yang merupakan satu program bagi mempromosikan projek Kraf KampungKu kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada kategori media massa, persatuan pelancongan, agen-agen pelancongan, trade tourism partners dan lain-lain yang dilihat sebagai agen pemasaran dan hebahan dalam merealisasikan inisiatif projek Kraf KampungKu.  Program ini diadakan bagi memupuk, memperkenal dan menarik perhatian dunia keunikan dan pembuatan produk Kraf KampungKu. cadangan Projek Pertama SDSI Craft Trail 2017 akan diadakan  dengan kerjasama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) pada minggu ke-3 bulan Julai 2017 meliputi kawasan Padang Rengas, Kuala Kangsar dan KKK Sayong.

HARAPAN

38.       Sehingga kini, Kraftangan Malaysia telah berjaya menyusun dan melaksana beberapa program dengan mengambil kira kaedah terbaik dalam mengoptimumkan perbelanjaan Kerajaan. Kita hendaklah terus berfikiran secara kreatif serta inovatif dalam melaksanakan tugas supaya hasilnya lebih berkesan dan mendapat impak yang positif.  Kita perlulah yakin bahawa kita telah mencapai objektif dan berjaya meletakkan industri kraf pada platform dan momentum untuk terus kekal relevan dan kompetitif. 

39.       Sebarang kelemahan hendaklah segera diperbaiki bagi memastikan Kraftangan Malaysia terus berjaya memajukan industri kraf negara.  Kraftangan Malaysia akan terus melaksanakan program-program dalam memastikan pembangunan usahawan kraf serta produk kraf terus berdaya saing. Warga kerja Kraftangan Malaysia perlulah sentiasa konsisten dan mengekalkan kecemerlangan serta bijak merancang masa dalam memastikan kesemua program-program Kraftangan Malaysia dapat dilaksana dengan sebaiknya. 

UCAPAN SELAMAT BERPUASA DAN SALAM AIDILFITRI

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

40.       Sedar tak sedar kita telah memasuki hari ke 25 ramadhan dan bakal menyambut bulan syawal serta merayakan Hari Raya Aidilfitri. Warga kerja yang akan mula balik ke kampung, sama ada yang memandu atau menaiki pengangkutan awam, sentiasalah berhati-hati walau di mana jua.  Pastikan diri dan keluarga selamat balik ke kampung dan kembali ke kota.  Tidak lupa juga keselamatan rumah yang ditinggalkan dan sebaiknya memaklumkan kepada jiran atau Balai Polis yang berhampiran. 

41.       Sudah tentunya hari raya nanti saudara saudari bakal dihidangkan dengan juadah istimewa, namun di dalam keghairahan menikmati juadah ini marilah kita bersama-sama mengamalkan cara pemakanan yang betul agar tidak mengundang sebarang penyakit.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,.


42.       Sedangkan lidah lagi tergigit, bumi yang mana tidak ditimpa hujan.  Sebagai insan biasa sudah tentunya kita tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan tutur. Oleh itu, di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia, maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. Saya juga mewakili warga Pejabat Ketua Pengarah iaitu Noraini, Siti Khadijah, Akmal, Ruslan dan Hazura mengucapkan salam Aidilfiti Wamaizin, Maaf Zahir Batin.  Dengan ini saya sudahi ucapan dengan dua rangkap pantun

Gemersik Takbir Mengundang Hiba
Salam Diutus Tanda Ingatan
Syawal Dinanti Menjelang Tiba
Saling Bermaafan Mengeratkan Ikatan

Nostalgia Kampung Mengamit Kenangan
Menyambut Raya Setahun Sekali
Amanat Dan Nasihat Di Lupa Jangan
InsyaAllah Bulan Hadapan Bertemu Kembali

Sekian.  Wabillahitaufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.