28 Dis 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2013



Selamat Tinggal 2012 dan Selamat Datang 2013.


Semoga tahun 2013 ini juga menyaksikan lebih banyak kemajuan dan peningkatan dalam memartabatkan industri kraf tempatan. Sokongan dan kerjasama amat diperlukan dari anggota kerja bagi memantapkan pentadbiran dan pengurusan Kraftangan Malaysia.

Semoga Tahun baru ini kita semua mendapat lebih kerberkatan dan dilimpahi rezeki serta kesihatan yang baik dari Ilahi serta mendapat kejayaan yang cemerlang pada tahun ini. Amin.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua warja Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta semua warga Malaysia dan khususnya anggota kerja Kraftangan Malaysia.

Semoga semua azam tahun 2013 akan tercapai dengan jayanya. Insya Allah...

TEKS UCAPAN YANG BERBAHAGIA KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN DISEMBER 2012


TEKS UCAPAN
KETUA PENGARAH
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN – DISEMBER
  
TARIKH
27 DISEMBER 2012
(KHAMIS)
  
JAM
8.15 PAGI


 BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis

Yang Berusaha Encik Ramli Mohd Noor
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

Tuan Haji Shahrudin Mohd Nor
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

Pengarah-pengarah Bahagian

Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd

Pengurus Kraf Holding Sdn. Bhd.

dan Warga Kraftangan Semua


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan  Salam 1Malaysia

Alhamdulillah,  saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurnianya  mengizinkan kita berhimpun di dalam perhimpunan bulanan Kraftangan Malaysia  bagi bulan Disember 2012  pada pagi ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum  kita kini  telah pun berada di penghujung bulan Disember 2012 dan ini bermakna  kita menjangkau satu tahun yang telah berlalu  dan bakal menempuh tahun baru 2013  sementara masih banyak lagi tugas-tugas  dan tanggungjawab  yang menanti kita di hadapan. Justeru  amatlah perlu bagi setiap daripada kita  untuk melipatgandakan usaha  ke arah melaksanakan apa yang sama-sama dirancang  untuk tahun 2013 . 

Lembaran baru 2013 juga  mengajak kita berusaha keras  untuk mencapai Key Performance Index (KPI) yang ditetapkan  untuk Kraftangan Malaysia iaitu memperoleh capaian jualan sebanyak RM400 juta.  Sasaran jualan yang ditetapkan ini berikutan  KPI 2012 sehingga 30 November telah dicapai iaitu sebanyak  RM320,496,433.99 (107%) daripada sasaran sebenar  iaitu RM300 juta.  Tahniah diucapkan  kepada semua anggota kerja  yang memberi sumbangan ke arah   pencapaian cemerlang  yang diperoleh ini .

Saya berasa amat bersyukur  kerana diberi peluang  bersama-sama saudara-saudari sekalian  menerajui dan menggerakkan  Kraftangan Malaysia dan industri kraf tanah air  yang telah mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan.  Mengimbau kembali  sepanjang tahun 2012  yang patut kita jadikan kayu pengukur  untuk terus melonjakkan industri kraf  pada tahap yang lebih tinggi ialah penganjuran  Hari Kraf Kebangsaan  yang memasuki edisi ke 10  yang menampakkan satu anjakan positif dalam trend rekaan produk  yang menepati cita rasa masyarakat . 

Sedemikian juga  untuk penganjuran Promosi Kerja Kahwin , Promosi Kraf Aidilfitri dan  Promosi Inspirasi Alam. Siri jelajah promosi yang dianjurkan di peringkat negeri  juga menampakkan sumbangan yang amat besar  dalam membantu usahawan kraf  membuat jualan terus kepada pengguna. Setiap promosi yang dianjurkan  bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan  malah memberi petunjuk penerimaan masyarakat tempatan terhadap industri kraf  terutamanya batik  dan kraf kayu . 

Menutup tirai 2012 ialah Promosi Kraf Johor, di Perkarangan Plaza Angsana  yang berakhir pada 25 Disember yang lalu  dan mencapai jualan sebanyak  RM 5.129 juta melepasi sasaran yang ditetapkan  sebanyak RM4.5 juta iaitu peningkatan sebanyak RM 0.629 juta (14%).

Di samping capaian sasaran jualan , Kraftangan Malaysia turut mencipta nama melalui Institut Kraf Negara  yang memenangi beberapa anugerah  seperti pemenang Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri  bagi kategori Tenaga Pengajar Terbaik  di dalam Pertandingan MYSkill Malaysia  anjuran Jabatan  Pembangunan Kemahiran , Kementerian Sumber Manusia.  Kraftangan Malaysia  sekali lagi menjulang nama  melalui anugerah  Pengemaskinian Kandungan PortalLaman Web Rasmi KPKK  dan JabatanAgensi, Pelaksanaan Sistem Pengurusan Aset  dan Penarafan 5 Bintang Portal/Laman Web  Rasmi KPKK dan JabatanAgensi  sempena Hari ICT  Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan .

Pencapaian ini diharapkan  menjadi pendorong dan galakan kepada kita mempertingkatkan imej Kraftangan Malaysia.  Syabas diucapkan .

Sepanjang tahun 2012, saya begitu yakin  setiap anggota kerja kita telah melaksanakan tanggungjawab  dan tugas masing-masing  mengikut perancangan yang telah ditetapkan, namun saya ingin mengingatkan semula kepada mana-mana bahagian  yang tersasar atau tidak mencapai sasaran yang ditetapkan melihat kembali Perancangan Kerja Tahunan  dan memperbaikinya untuk tahun 2013.  Menilai Perancangan Kerja Tahunan ini  amat penting bagi  memastikan penyusunan semula aktiviti tahun 2013.
Untuk itu  tanggungjawab amat besar diletakkan kepada  tiga tunggak utama penggerak industri kraf  iaitu Pasaran dan Promosi, Rekaan  dan Usahawan  di samping sokongan penting daripada bahagian-bahagian yang lain. Bagi memastikan perancangan ini dibentuk dengan rapi  Pengurusan Kraftangan Malaysia  baru-baru mengadakan dua siri Makmal Penyediaan Perancangan Kerja Tahunan 2013  di Hotel Marriot Putrajaya.  Makmal ini bertujuan mencerakin idea dan membentuk perancangan yang mantap  ke arah mencapai sasaran jualan RM1billion pada tahun 2016 .
Setelah sekian jauh  kita meninggalkan tahun 2012  dan bakal melangkah masuk  tahun 2013, kita sebagai penjawat awam juga perlu sensitif  kepada perubahan persekitaran  supaya kita semua  tidak ketinggalan dalam arus pemodenan negara.  Kita tidak seharusnya  mengambil sikap leka dan berpuas hati  apa yang dicapai hari ini  sebaliknya bersedia memberi perkhidmatan  yang lebih berinovatif dan kreatif .
Saya amat bersyukur di Kraftangan Malaysia budaya kerjasama  dan kerja berpasukan  ditunjukkan dalam melaksanakan setiap aktiviti  namun  kerjasama ini perlu dipertingkatkan  memandangkan pelbagai cabaran yang bakal kita tempuhi  untuk tahun 2013.  Terawalnya  Hari Kraf Kebangsaan (HKK) siri ke-11  akan berlangsung pada   27 Mac hingga 8 April 2013  dan seterusnya aktiviti-aktiviti lain  akan menyusul dalam selang  antara satu hingga dua bulan sahaja.
Bulan Disember juga  merupakan cuti panjang  untuk pelajar-pelajar sekolah  dan tidak ketinggalan sebahagian anggota kerja kita juga  turut bercuti hujung tahun  sama ada bercuti rehat  mahupun meraikan kenduri kahwin  saudara-mara .  Dengan ini  saya merakamkan  ucapan tahniah kepada anggota kerja  yang melangsungkan perkahwinan pada Disember ini  dan tidak lupa juga  kepada anggota kerja yang menerima menantu, anak dan cucu.
Sebagai penutup kalam  tahun 2012 , suka saya menyeru kepada semua anggota kerja sentiasa memberi sokongan padu  dan komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan aktiviti-aktiviti 2013  seterusnya  mencapai matlamat  serta objektif kita .  Peranan yang amat penting  terletak di bahu kita masing-masing  dan kejayaan tidak akan tercapai  tanpa sokongan padu  daripada semua yang terlibat .
Di kesempatan ini  rasanya tidak terlalu awal  untuk saya mengucapkan  selamat menyambut tahun baru 2013   dengan azam yang baru .
Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
  
Terima kasih.

27 Dis 2012

KRAFTANGAN MALAYSIA DISARAN UNTUK BUKA LEBIH BANYAK KIOSK DI LAPANGAN TERBANG - YBHG. DATUK SERI KSU

Sempena Malam Media Bersama Miss Tourism International 2012 yang telah diadakan pada 21 Disember 2012 yang lalu, di dalam ucapannya, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Yang Berbahagia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf menyatakan kepelbagaian jenis produk makanan dan kraf dilihat mampu menarik minat pelancong yang akan menjana lebih banyak pendapatan menerusi Industri Kraf.

"Sambutan pelancong terhadap produk kraf tempatan di lapangan terbang amat menggalakkan dan mendorong kementerian untuk menambahkan lagi kiosk itu," katanya kepada BERNAMA.

Beliau juga berkata setakat ini hanya dua kiosk produk kraf tangan dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan satu di Lapangan Terbang Murah (LCCT). Datuk Seri KSU juga berkata peningkatan hasil jualan kepada RM 300 juta tahun ini membuktikan industri kraftangan semakin mendapat tempat di hati peminat tempatan dan antarabangsa.

"Kementerian juga bercadang pada masa depan untuk membuka kiosk produk kraf di kompleks beli-belah memandangkan negara kita diiktiraf sebagai syurga beli-belah keempat dunia," katanya.

SUMBER :  BERNAMA

24 Dis 2012

TERIMA KASIH YANG BERBAHAGIA DATUK SERI KAMARUDDIN SIARAF, KSU KPKK DAN WARGA MEDIA



Pada 21 Disember 2012 (Jumaat) yang lalu, Kraftangan Malaysia telah mengadakan Majlis Malam Media Bersama Miss Tourism International 2012 di Laman Wau Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Majlis ini diadakan bertujuan memberi penghargaan Kraftangan Malaysia kepada semua media yang selama ini banyak membantu dalam mempromosikan Kraftangan Malaysia selain acara Peragaan Fesyen Kraf Tekstil Oleh Jelitawan Miss Tourism International 2012.
Dikesempatan ini, saya mewakili Kraftangan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato' Sri Kamaruddin Siaraf, KSU KPKK kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis ini dan semua warga media yang sudi hadir pada malam tersebut. Dato' Sri KSU dan Kraftangan Malaysia juga sangat mengalu-alukan sambutan dan sokongan yang diberikan oleh warga media dan berharap agar hubungan erat yang terjalin akan terus dikekalkan.

UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH YANG BERBAHAGIA DATO' HAJI SOHAIMI SHAHADAN





Saya bagi pihak Pengurusan dan warga kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia kerana telah menyempurnakan Majlis Perasmian Promosi Kraf Malaysia Plaza Angsana Johor Bahru pada 14 Disember 2012 yang lalu. 

10 Dis 2012

PENGUATKUASAAN PERATURAN BERKAITAN PEMATUHAN WAKTU BEKERJA PENJAWAT AWAM

Saya ingin menyampaikan amanah dari Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha KPKK melalui surat edaran masing-masing berkaitan Penguatkuasaan Peraturan Berkaitan Pematuhan Waktu Bekerja Penjawat Awam. Semua warga kerja Kraftangan Malaysia diingatkan untuk mematuhi peraturan waktu bekerja sebagaimana jadual pelaksanaan Waktu Bekerja Berperingkat  (WBB) yang digunapakai di Kraftangan Malaysia seperti berikut:

Waktu Peringkat (WP)
Hari
Waktu Bekerja
Waktu Rehat
Waktu Bekerja
WP2


Isnin - Khamis

8.00pg –1.00ptg
1.00ptg – 2.00ptg
2.00ptg – 5.00ptg

Jumaat

8.30pg – 12.15tgh
12.15tgh – 2.45ptg
2.45ptg – 5.00ptg
WP3


Isnin - Khamis

8.30pg –1.00ptg
1.00ptg – 2.00ptg
2.00ptg – 5.30ptg

Jumaat

8.30pg – 12.15tgh
12.15tgh – 2.45ptg
2.45ptg – 5.30ptg

Selain itu, semua warga kerja adalah diwajibkan untuk keluar makan/minum pagi sebelum waktu pejabat dan tidak dibenarkan sama sekali untuk berada di kafeteria pada waktu bekerja. Bagi urusan peribadi dalam waktu pejabat, semua anggota kerja perlu mendapatkan kelulusan Pengarah masing-masing dan masa yang diambil tidak melebihi 2 jam. Tindakan pemotongan cuti akan diambil sekiranya urusan tersebut melebihi 2 jam (tindakan pemotongan gaji sekiranya cuti telah habis. Membaca surat khabar juga merupakan sebahagian daripada urusan peribadi dan seharusnya tidak menjejaskan urusan pejabat.

Pihak Pengurusan Kraftangan Malaysia akan sentiasa membuat pemantauan agar semua anggota kerja mematuhi peraturan ini dan akan mengenakan tindakan tatatertib terhadap mana-mana warga kerja yang didapati gagal mematuhi peraturan-peraturan berkenaan.

Semua warga kerja dipohon untuk mengambil perhatian yang serius mengenai perkara ini dan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan sedia ada.

PERINGATAN MENGENAI PENGGUNAAN KEMUDAHAN PERALATAN PEJABAT OLEH PEGAWAI DAN ANGGOTA KERJA KRAFTANGAN MALAYSIA

Saya ingin mengingatkan kepada semua anggota kerja Kraftangan Malaysia untuk mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007 – Panduan Pengurusan Pejabat di mana Pekeliling tersebut menyediakan garis panduan mengenai tatakelakuan penjawat awam termasuk menggunakan kemudahan pejabat hanya bagi tujuan rasmi sahaja dan adalah menjadi satu perlanggaran peraturan jika ianya disalah gunakan untuk urusan peribadi. Senarai kemudahan peralatan pejabat adalah sebagaimana berikut :

                        a) Kenderaan (contoh : kereta, motorsikal)
                        b) Peralatan Audio Visual dan Multimedia 
                            (contoh : kamera, speaker)
                        c) Peralatan ICT (contoh : computer, pencetak, pengimbas)
                        d) Peralatan Pejabat
                            (contoh : mesin faks, fotostat, binding, perincih)
                        e) Peralatan telekomunikasi (contoh : telefon)
                        f)  Peralatan sukan
                        g) Alat tulis

Tindakan tatatertib boleh diambil sekiranya didapati pegawai atau anggota kerja yang menyalahgunakan kemudahan pejabat. Perbuatan ini  adalah bertentangan dengan Peraturan 3, Bahagian II, Jadual Kedua Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 yang menyatakan seperti berikut :

             “4 (2) Seseorang pegawai tidak boleh –
( c ) berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa –
(ii) dia telah menggunakan kedudukan awamnya bagi faedahnya sendiri”

Diharap semua anggota kerja mengambil maklum dan melaksanakan urusan pejabat dengan penuh integriti, cekap dan berkesan.
  

5 Dis 2012

PROMOSI KRAF MALAYSIA PERINGKAT ZON SELATAN DI PLAZA ANGSANA JOHOR BAHRU



Kraftangan Malaysia akan mengadakan Promosi Kraf Malaysia Peringkat Zon Selatan di Plaza Angsana Johor Bahru yang merupakan penganjuran kali ke-2 dan akan berlangsung pada 13 - 25 Disember 2012 dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Bersempena promosi tersebut Majlis Perasmian dijadualkan akan diadakan pada 14 Disember 2012 (Jumaat) jam 3.30 petang. Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Sohaimi Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia. Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang promosi tersebut antaranya ialah Jualan Produk Kraf dan Pameran Produk Kraf Baru, Peragaan Fesyen, Demonstrasi serta Interaktif Kraf. Pameran Inspirasi Alam berkonsepkan laman taman juga diadakan untuk mencetus ilham hiasan taman. Lebih 200 usahawan akan menyertai promosi ini.

Inilah masanya masyarakat Negeri Johor dan persekitarannya mengambil peluang membeli produk kraf yang didatangkan khas dari seluruh negeri di Malaysia. Semua dijemput hadir untuk membeli barangan kraf secara terus daripada usahawan serta memeriahkan lagi promosi ini.