8 Dis 2016

Teks Ucapan Ketua Pengarah Sempena Perhimpunan Bulanan Bagi Disember 2016 & Dan Majlis Jasamu Dikenang

Perhimpunan Bulanan Bagi Disember 2016 &Dan Majlis Jasamu Dikenang


TARIKH    :        8 DISEMBER 2016, KHAMIS
MASA       :        9.00 PAGI
TEMPAT   :        LAMAN WAU

SALUTASI

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya mulakan pembuka bicara.

Terima kasih Saudara & Saudari Pengerusi Majlis

§   Yang Berusaha Puan Haslina binti Abdul Hamid
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
§   Pengarah-pengarah Kanan

§   Pengarah Kanan Institut Kraf Negara

§   Pengarah-pengarah Bahagian, Unit dan Kompleks

§   Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Negeri Sembilan

§   Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd merangkap Pengurus Kraf Holdings
§   Pesara-pesara Kraftangan Malaysia yang diraikan

§   Waris gemulah, dan

§   Warga Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua

Assalamualaikum W.B.T, salam pagi dan salam sejahtera untuk semua

Semalam ke Pekan membeli tenun,
Indahnya memakai Tenun Diraja;
Bertemu lagi di hujung tahun,
Melihat pencapaian KPI dan prestasi kerja.

ALU-ALUAN

1.           Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Disember 2016 bersekali dengan Majlis Jasamu Dikenang Kraftangan Malaysia untuk meraikan 8 orang pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia yang telah bersara wajib dan pilihan pada tahun ini.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian

PENCAPAIAN PRESTASI KRAF

2.           Perhimpunan bulanan pada hari ini merupakan yang terakhir dan penutup tirai bagi tahun 2016. Sudah tentu pada ketika ini amat wajar kita melihat kembali apa yang telah kita capai melalui prestasi KPI kita dan juga penambahbaikan yang mungkin boleh kita lakukan bagi tahun 2017 agar lebih sempurna dan terus mencapai sasaran yang telah kita tetapkan pada tahun hadapan.

3.           Secara umumnya, kita boleh merasa bangga melalui kejayaan-kejayaan positif yang telah berjaya dicapai, antaranya ialah kejayaan kita mencapai sasaran KPI bagi tahun 2016. Saya ingin memaklumkan di sini bahawa pencapaian prestasi nilai jualan kraf sehingga bulan November 2016, Kraftangan Malaysia telah mencapai nilai jualan sebanyak RM 460, 490, 624.90 juta iaitu 92 % pencapaian untuk suku tahun keempat. Pencapaian prestasi yang memberangsangkan ini adalah hasil daripada kerjasama dan komitmen yang dilakukan oleh semua bahagian dan cawangan di atas beberapa aktiviti yang telah berjaya dilaksanakan menerusi program.


 RND

4.           Baru-baru ini, Kraftangan Malaysia telah menyertai Festival Wanita Kreatif bermula dari 11 hingga 13 November 2016 bertempat di Dewan Tun Razak, PWTC Kuala Lumpur. Sempena festival tersebut, Kraftangan Malaysia telah diberi penghormatan untuk membuat peragaan fesyen koleksi batik untuk lelaki dan wanita. Sebanyak 12 rekaan telah diperagakan dan rekaan tersebut merupakan hasil daripada ilham pereka dalaman Kraftangan Malaysia.

5.           Selain itu, dalam masa yang sama juga Kraftangan Malaysia terlibat dengan peragaan fesyen sempena A Journey Through Time mulai pada 4 hingga 13 November 2016 di Starhill Gallery. Peragaan fesyen ini mengetengahkan songket rekaan Dame Zandra Rhodes. Turut diketengahkan sempena fesyen ini ialah pameran koleksi songket serta demonstrasi pembuatan songket.
   

KPI SDSI

6.           Untuk makluman, Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) – Produk Kraf yang dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia bertujuan untuk membangunkan sosio ekonomi masyarakat setempat melalui penglibatan aktiviti kraf  yang diusahakan secara komersil. Program ini memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memberi limpahan faedah kepada industri lain yang berkaitan. Sehingga November 2016 program ini telah memberi manafaat kepada 1,749 orang usahawan dengan nilai jualan yang telah dijana ialah sebanyak RM170.7 juta. Ia juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada seramai 3,392 orang.


SDSI – KRAF KAMPUNGKU

7.           Saya juga ingin ucapkan syabas atas Pelancaran Program ‘Kraf Kampungku’ di Kuala Kangsar, Perak pada 25 November 2016. Program julung kali diadakan ini merupakan salah satu inisiatif Kraftangan Malaysia bagi membangunkan ekonomi setempat dan meningkatkan taraf hidup usahawan kraf. Penghasilan produk kraf seramik di Sayong, Kuala Kangsar telah dijadikan sebagai Projek Perintis (Pilot Project) bagi Program Kraf KampungKu. Program ini dijalankan secara National Blue Ocean Strategy (NBOS) dengan kerjasama 34 agensi Kerajaan dan swasta yang dilantik sebagai rakan strategik.


SHOWCASE SDSI

8.           Kraftangan Malaysia juga telah menyertai Showcase SDSI 2016 pada 24 November hingga 27 November 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh. Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini mula diperkenalkan pada tahun 2006 dan merupakan pameran tahunan terbesar yang menghimpunkan produk dan perkhidmatan SDSI yang berkualiti dari seluruh Malaysia. Seramai 74 orang usahawan kraf telah terlibat pada tahun ini dengan hasil jualan sebanyak RM456,380.01.

9.           Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada usahawan Manang Songket Sdn Bhd kerana terpilih sebagai Penerima Anugerah Usahawan Cemerlang bagi Kluster Produk Kraf tahun 2016 sempena Showcase SDSI Kluster Produk Kraf. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,500 berserta sijil dan plak. Anugerah ini merupakan pengiktirafan dari ICU, JPM.

10.       Tahniah juga kepada 3 usahawan kraf yang menyertai Pertandingan Produk sempena Showcase SDSI Kluster Produk Kraf. Johan bagi pertandingan ini ialah syarikat Debellani Biz dari Negeri Kedah (Bidang Aneka) membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000, Naib Johan ialah Marcella Hassan dari Negeri Sabah (Bidang Hasil Rimba - Buluh) menerima RM2,500 dan tempat ke-3 ialah Kesuma Enterprise dari Negeri Selangor (Bidang Tekstil - Batik) membawa pulang wang tunai RM1,500. Tahniah buat semua. Semoga kemenangan tersebut akan menjadi semangat dan pendorong kepada warga industri kraf untuk terus lebih berdaya saing dan maju.


TABUNG KEBAJIKAN PENGGIAT SENI

11.       Suka untuk saya kongsikan juga, Tabung Kebajikan Penggiat Seni (TKPS) yang telah ditubuhkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) bertujuan untuk memastikan kebajikan penggiat seni sentiasa terbela dan diberi perhatian. Bantuan ini terbuka kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (BBK) dan individu dalam bidang seni, budaya dan warisan seperti kraf, seni visual, muzik & teater, tarian dan warisan budaya. Sehingga kini, seramai 15 orang usahawan kraf telah menerima insentif dari tabung ini dengan nilai bantuan sebanyak RM57,000.00. Semoga insentif ini akan dapat membantu meringankan beban bagi golongan usahawan yang memerlukan.


Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,
  

KUALA LUMPUR INTERNATIONAL CRAFT FESTIVAL (KLICF)

12.       Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Pemasaran Kraf iaitu melalui Kuala Lumpur International Craft Festival (KLICF) yang telah berlangsung dari 24 hingga 27 November 2016 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Program yang mengetengahkan seramai 450 peserta peringkat domestik dan antarabangsa dari 27 buah negara ini merupakan platform memperkenalkan produk kraf tempatan ke peringkat antarabangsa selain dapat menjadi medan pertukaran maklumat mengenai kraf dan budaya satu sama lain bukan sahaja untuk usahawan kraf tempatan bahkan juga kepada masyarakat tempatan menerusi aktiviti seperti pameran, demonstrasi dan interaktif kraf. Syukur Alhamdulliah, Majlis Perasmian KLICF 2016 juga telah berjalan dengan lancar dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada 24 November 2016. Saya juga ingin memaklumkan bahawa nilai jualan yang telah diperoleh sempena KLICF kali kedua ini ialah sebanyak RM6 juta. Jumlah ini adalah satu jumlah yang membanggakan dan Yang Berhormat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia juga telah menyatakan hasrat agar program ini terus dianjurkan pada tahun 2017.

NKEA

13.       Saya berasa amat bangga kerana percambahan idea melalui Cultural Lab 2.0 yang telah dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada awal tahun 2016 telah mencetuskan perubahan yang besar kepada senario industri kraf di Johor khususnya dan di Malaysia amnya. Ini kerana pewujudan Kompleks Kraf Johor yang telah dirasmikan pada 4 Oktober lalu oleh Datuk Mas Ermieyati Binti Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia merupakan salah satu inisiatif bagi projek pengkomersilan kraf. Ia disenaraikan sebagai salah satu Entry Point Project di bawah National Key Economic Area (NKEA) yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Maka, dengan adanya Kompleks ini kebolehcapaian pasaran (market accessibility) bagi produk kraf di kalangan masyarakat dapat dipertingkatkan.

14.       Lantaran itu, di bawah inisiatif NKEA ini terdapat 3 inisiatif yang dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia iaitu :

a. Kompleks Kraf Johor menjadi hub pemasaran kawasan selatan dengan kerjasama 24 agensi.
b.  Pembukaan outlet pemasaran di Tangs, Melaka; dan
c.  Pembukaan outlet pemasaran di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur


KUNJUNGAN KE KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

15.       Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang telah giat menjalankan pelbagai bentuk kerjasama dan program NBOS terutama dengan pihak hotel dan travel agen untuk terus mempopularkan nama Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Dari usaha tersebut serta penganjuran aktiviti promosi bertema yang dijalankan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, seramai 145,248 orang telah dicatatkan mengunjungi lokasi ini pada tahun ini. Saya berharap, jumlah ini akan dapat ditingkatkan lagi menerusi pendekatan baru dalam lawatan berpandu kepada kumpulan sasar kategori VVIP.


PIALA SERI ENDON

16.       Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada tenaga pengajar Institut Kraf Negara yang mana baru-baru ini telah berjaya mengharumkan nama Kraftangan Malaysia dan IKN dalam pertandingan Piala Seri Endon. Kumpulan ZaharisMey yang dianggotai oleh Encik Muhamad Azhar Ismail dan Encik Muhamed Kamil Zaharuddin dari Jurusan Seni Kraf Seramik telah berjaya mendapat tempat kedua bagi Kategori Produk Kraf dengan memenangi hadiah berjumlah RM10,000.00, trofi berserta sijil. Hadiah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Kuala Lumpur Convention Centre pada 4 Disember 2016.

17.       Tidak ketinggalan, saya juga berasa berbangga dengan pencapaian lepasan pelajar Institut Kraf Negara seperti Mohd Kamil Sufian, sekarang ini merupakan usahawan inkubator Selangor yang berjaya memenangi tempat pertama dan saguhati bagi Kategori Kemasan Lembut. Selain itu, tahniah juga kepada Amir Harif atau lebih dikenali dengan Bujin Batik telah menang tiga hadiah iaitu Kategori Produk Kraf (pertama), Kategori Kemasan Lembut (tempat ke-2) dan Kategori Fesyen (tempat ke-3).

18.       Ucapan tahniah juga kepada 3 kumpulan pelajar IKN yang berjaya hingga ke peringkat akhir seperti :

Kumpulan Damai ( Kategori Fesyen )
§  Mohd Nazil Asran
§  Muhammad Ridzuan Ibrahim
§  Siti Nabilah Zahari

Kumpulan NIC ( Kategori Produk Kraf)
§  Nur anira Afifah Yusra
§  Nur Imanina Shahida Mat Sheikh
§  Carrein Asyikin Mohd Mokhlas

Kumpulan Anak Watan (Kategori Kemasan Lembut)
§  Muhamad Syafiq Shamsudin
§  Frciana Jius
§  Junisa Mangka
§  Muhamad Shuib


MALAYSIAN QUALIFICATION AGENCY (MQA)
19.       Ucapan syabas juga atas usaha Institut Kraf Negara yang baru sahaja selesai dinilai oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia atau ‘Malaysian Qualification Agency’ (MQA) pada 24 & 25 Oktober 2016. Tujuan penilaian oleh MQA ini ialah untuk IKN mendapatkan akreditasi penilaian penuh bagi 12 program yang ditawarkan oleh IKN. Ketika ini Kraftangan Malaysia dan IKN sedang menunggu laporan penilaian daripada pihak MQA dan kita harap IKN akan segera mendapat sijil penilaian tersebut.


PROGRAM ADIGURU

20.       Tahun 2016 boleh saya sifatkan sebagai tahun yang mempunyai  peruntukkan yang sangat kecil  bagi menggerakkan Program Kraf Warisan & Orang Asli. Namun demikian, Kraftangan Malaysia masih lagi meneruskan program ini bagi memartabatkan warisan negara. Salah satu pencapaianya adalah penampilan hebat peralatan muzik buatan kraf di Kompleks Kraf Johor.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian


PROGRAM AKAN DATANG

21.       Pada bulan Disember ini, terdapat juga beberapa majlis dan aktiviti yang akan berlangsung iaitu:

a) Sesi Ramah Mesra Bersama Duta Kecil Kompleks Kraf Johor yang akan diadakan pada hari Khamis, 15 Disember 2016 jam 10.00 pagi  bertempat di Kompleks Kraf Johor. Majlis ini akan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Ab. Ghaffar A. Tambi, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
b) Majlis Perasmian Festival Kraf Johor yang akan diadakan pada hari Khamis, 15 Disember 2016 jam 3.00 petang di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall. Majlis ini turut disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Ab. Ghaffar A. Tambi, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

22.     Sehubungan itu, saya ingin menyarankan kepada Bahagian-bahagian dan Cawangan yang terlibat untuk membuat penyelarasan awal dengan rapi agar penganjuran bagi kesemua majlis berjalan lancar dan mencapai sasaran yang ditetapkan. Elakkan kerja di saat-saat terakhir.


BERITA BAHAGIAN/ CAWANGAN NEGERI

23.       Tahniah dan syabas kepada Bahagian dan Cawangan yang mana telah menganjurkan beberapa program penting pada bulan November iaitu:

WORKSHOP ON ASEAN TEXTILE : FASHION DESIGN
AND EXHIBITION

24.       Pertama ialah penganjuran Workshop on ASEAN Textile: Fashion Design and Exhibition telah diadakan pada 24 hingga 27 November 2016 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Bengkel ini dihadiri oleh 18 orang peserta dari 9 buah negara ASEAN iaitu Brunei, Cambodia, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Objektif dan matlamat penganjuran program ini adalah untuk menghasilkan satu rekaan motif tekstil dan satu rekaan fesyen ASEAN yang mencerminkan identiti negara anggota ASEAN untuk digunakan oleh anggota ASEAN.

25.       Untuk makluman, Kraftangan Malaysia amat berbangga dengan pencapaian beberapa orang pegawai dan anggota kerja yang terlibat secara langsung dalam program ASEAN ini kerana, pertama ialah motif daun sireh rekaan Puan Noraini Saad dari Kraftangan Malaysia Cawangan Perak telah terpilih menjadi inspirasi untuk rekaan ASEAN. Motif yang dihasilkan adalah ilham dari hiasan permukaan seramik labu sayong yang kemudiannya diolah semula oleh Encik Juhari Azmi, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan & Encik Azran Arip Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak untuk motif tekstil ASEAN. Perkara kedua ialah mengenai pencapaian dari sudut rekaan fesyen di mana rekaan pakaian oleh Cik Dayang Mordiana & Encik Juhari Azmi telah terpilih bagi Rekaan Pakaian Formal. Rekaan pakaian tersebut merupakan gabungan inspirasi pakaian tradisional dari negara Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia menjadi satu rekaan baru untuk rekaan formal dan kasual. Sekalung tahniah sekali lagi kepada yang terlibat.


MALAYSIAN CULTURAL WEEK, HANOI VIETNAM

26.       Program Cultural Exhibition, Experience Of Vitetnam-Malaysia-Indonesia & ASEAN 2016 during Malaysian Cultural Week in Thi Nguyen, Hanoi Vietnam. Program ini berlangsung dari 7 – 11 Disember 2016. Kraftangan Malaysia akan diwakili oleh Cik Dayang Mordiana binti Abg Ahmad untuk penyelarasan pameran dan peragaan fesyen yang bertempat di Lan Huong’s Fashion House, Hanoi Capital. Program ini diselaraskan oleh Hub Media Kreatif & Teknologi (CMTHub), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, anjuran The Museum of Culture of Vietnam’s Ethnic Group (MCVA).

FESTIVAL KRAF SARAWAK

27.       Festival Kraf Sarawak yang diadakan pada 11 - 20 November 2016 di Kuching Waterfront baru-baru ini telah memperoleh nilai jualan hampir RM 1juta menerusi 92 orang usahawan. Tahniah diucapkan. Satu nilai jualan yang memberangsangkan.

PROGRAM JEJAK LANGKASUKA

28.       Program Jejak Langkasuka akan berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 16 – 18 Disember 2016. Program ini bertujuan mempekenalkan waris-waris dan seni ketukangan zaman Langkasuka kepada pengunjung Kompleks Kraf. Program ini akan diadakan di Laman Plaza berkonsepkan Kampung Tradisi Melayu Lama, pemakaian, pengangkutan dan gaya hidup. Program ini adalah anjuran Ace Mode Resources dengan kerjasama Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang bertujuan memperkenalkan KKKL dan seni ketukangan tangan.

CERAMAH INTERGRITI

29.       Ceramah Intergriti sempena Sambutan Hari Integriti Kraftangan Malaysia telah diadakan pada 29 November 2016 yang dihadiri oleh 130 orang anggota kerja dari Ibu pejabat, Institut Kraf Negara, Cawangan Selangor dan Karyaneka Sdn. Bhd. Ceramah siri ke-3 tahun ini dijayakan dengan kerjasama Institut Intergiti Malaysia (INTEGRITI) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia merupakan salah satu akiviti di bawah fungsi pengukuhan integriti yang bertujuan memberi kesedaran dan dorongan kepada anggota kerja untuk sentiasa mengutamakan aspek intergriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

MAJLIS BERSAMA JABATAN

30.       Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada barisan baru Majlis Bersama Jabatan (MBJ) bagi sesi 2016/ 2018 di mana seramai 28 orang yang telah dilantik berkuatkuasa 15 November 2016. Tahniah kepada Jawatankuasa Pemilihan MBJ yang telah menguruskan undian MBJ kali ini secara atas talian. Terima kasih diucapkan kepada barisan lama MBJ di atas semua usaha yang dilaksanakan.

31.       Tidak lupa juga, ucapan tahniah kepada Pasukan Puspanita Bowling Kraftangan Malaysia yang dianggotai oleh Puan Hamidah Hassan, Puan Erniezaa Anuar, Puan Ku Norasriza Ku Ahmad & Puan Hadiana Haludin yang memenangi hadiah tempat pertama kategori kumpulan & jatuhan pin tertinggi perseorangan kategori berkumpulan oleh Puan Hamidah sempena Pertandingan Boling Puspanita Piala KSU MOTAC yang telah diadakan pada  3 Disember 2016 di Wangsa Walk.
Saudara dan saudari yang dihormati sekalian

MAJLIS JASAMU DI KENANG

32.       Dikesempatan ini saya merakamkan ucapan selamat bersara kepada pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia yang bersara wajib dan pilihan pada tahun ini iaitu :
         i)       Encik Zahir Bin Ahmad
                   Pengarah (Gred B52)
                   Unit Pembangunan Usahawan Kraf
                   Bahagian Pembangunan Industri
                   Bersara Wajib Pada 8 Mei 2016

         ii)       Encik Rosli Bin Abd Hamid
                   Pengarah (Gred E48)
                   Bahagian Komunikasi Korporat
                   Bersara Pilihan Pada 15 Oktober 2016

         iii)      Puan Salmi Binti Mohd Isa
                   Pereka Gred B44
                   Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak
                   Bersara Pilihan Pada 2 Januari 2017


         iv)     Puan Sobbariah Binti Padzlan
                   Pembantu Tadbir (P/O) Gred N22
                   Unit Khidmat Pengurusan (Pentadbiran)
                   Bahagian Pengurusan Dan Perkhidmatan
                   Bersara Wajib Pada 9 September 2016

         v)      Puan Wan Mahani Binti Wan Abdullah
                   Pengajar Kraf Gred E22
                   Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu
                   Bersara Wajib Pada 4 Mac 2016

         vi)     Puan Ginyam Anak Chagik
                   Pembantu Pegawai Latihan Gred E22
                   Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak
                   Bersara Wajib Pada 22 November 2016


         vii)     Puan Anginan Binti Mohamed
                   Pengajar Kraf Gred E18
                   Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu
                   Bersara Wajib Pada 6 Mei 2016, dan


         viii)    Encik Kamaruddin Bin Adanan
                   Pembantu Awam Gred H11
                   Institut Kraf Negara
                   Bersara Wajib Pada 24 Oktober 2016

33.       Di sini juga ingin saya merakamkan ucapan terima kasih kepada dua orang pegawai yang telah banyak berjasa kepada Kraftangan Malaysia selama ini,yang telah meninggalkan kita buat selamanya, mereka ialah:

         i)       Allahyarham Mohd Sharizan Bin Tarmizi
                   Pereka Gred B32
                   Institut Kraf Negara
                   Meninggal Dunia Pada 9 April 2016

         ii)       Allahyarham Ahmad Sawab Bin Osman
                   Pengajar Kraf Gred E22
                   Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan
                   Meninggal Dunia Pada 24 Jun 2016

34.       Kepada para persara dan waris gemulah yang diraikan pada hari ini, saya ingin mengambil kesempatan ini menyampaikan ucapan ribuan terima kasih di atas sumbangan idea, tenaga serta usaha yang telah dicurahkan selama ini, demi meningkatkan prestasi dan KPI Kraftangan Malaysia. Sesungguhnya budi dan jasa tuan-tuan dan puan-puan, hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalasnya. Kami di sini mendoakan agar tuan-tuan dan puan-puan sentiasa sihat sejahtera dan berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburi selepas ini.

Tanam Lenggun Tumbuh Kelapa
Terbit Bunga Pucuk Mati
Budi Tuan Saya Tak Lupa
Sudah Terpaku Di Dalam Hati

PENUTUP

35.       Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah di atas segala usaha gigih semua pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia bagi memastikan kejayaan organisasi dan industri. Tanpa saudara dan saudari sekalian, tidak mungkin kita akan berjaya meneruskan misi memajukan industri kraf negara. Dengan itu, saya mengakhiri ucapan perhimpunan pagi ini dengan serangkap pantun.
  
Merah menyala si bunga raya,
Biarkan ia mekar di sana,
Sekian sahaja ucapan saya,
Agar manfaat diperoleh bersama.

Sekian. Wabillahitaufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Lawatan Ybhg. Ketua Pengarah Ke MAHA 2016

Lawatan Ybhg. Ketua Pengarah Ke MAHA 2016 pada 6 Disember 2016