31 Dis 2014

SELAMAT TAHUN BARU 2015





Selamat tinggal tahun 2014 dan selamat datang tahun 2015.

Semoga tahun 2015 ini bakal menyaksikan lebih banyak kemajuan dan peningkatan dalam memartabatkan industri kraf tempatan. Sokongan padu dan kerjasama dari semua anggota kerja amat diperlukan bagi mamantapkan lagi pentadbiran dan pengurusan Kraftangan Malaysia.

Semoga dengan kedatangan tahun 2015 ini, kita semua sentiasa mendapat lebih keberkatan dan dilimpahi rezeki serta kesihatan yang baik dari Allah SWT serta mendapat kejayaan yang cemerlang pada tahun ini, Insyaa Allah..Amin...

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Tahun Baru 2015 kepada semua warga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta semua warga Malaysia dan khususnya kepada anggota kerja Kraftangan Malaysia.

Semoga semua azam tahun 2015 kita semua akan tercapai dengan jayanya..Amin...


TAKZIAH KEPADA ANGGOTA KERJA KRAFTANGAN MALAYSIA

Keadaan banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia masih belum pulih sepenuhnya. Saya ingin mengucapkan takziah kepada mangsa banjir dan antara mangsa banjir yang  terlibat adalah beberapa orang anggota kerja Kraftangan Malaysia sendiri. Semoga anda semua tabah mengharungi musibah ini. Kami semua mendoakan keadaan banjir segera surut dan kembali pulih seperti sediakala. Amin...Beberapa keping gambar yang dikongsikan oleh anggota kerja Kraftangan Malaysia yang menjadi mangsa banjir...






Semalam 30 Disember 2014 (Selasa), kita pula dikejutkan dengan perkhabaran Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Encik Rosman bin Manan telah terlibat dengan kemalangan motosikal di Bandar Kajang. Beliau mengalami patah tulang rusuk dan sedikit kecederaan dan luka dan kini masih ditempatkan di Hospital Kajang untuk menerima lawatan lanjut. Semoga beliau dan keluarga tabah dengan kejadian ini dan kami mendoakan agar beliau segera sembuh seperti sediakala. Amin...






AL-FATIHAH DAN SALAM TAKZIAH KEPADA KELUARGA PENUMPANG DAN ANAK KAPAL QZ8051





Saat beberapa negeri di Malaysia masih lagi bersedih dengan musibah banjir yang berlaku, tanggal 28 Disember 2014 yang lalu berita kehilangan pesawat Air Asia QZ8501 yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pula menyentuh perasaan kita dan seluruh dunia. Beberapa mayat telah dijumpai dalam misi mencari dan menyelamat QZ8501 dan operasi mengesan mangsa dan bangkai pesawat masih giat dijalankan. Semoga kesemua mangsa penumpang dan anak kapal QZ8501 dapat ditemui dan merungkai segala kemungkinan yang menyebabkan berlaku nahas tersebut. Salam takziah kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal QZ8501. Semoga anda semua tabah mengharungi dugaan yang amat berat ini. Al-Fartihah....




#prayforpantaitimur
#prayformangsabanjir
#prayforMH370
#mengenangMH17
#prayforQZ8501
#Alfatihah



26 Dis 2014

SALAM TAKZIAH KEPADA MANGSA-MANGSA BANJIR

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada semua mangsa banjir yang sedang berlaku di beberapa negeri di Malaysia. Semoga anda semua tabah mengharungi ujian ini dan sentiasa dilindungi Allah SWT. Yang penting, kesihatan dan keselamatan diri, anak-anak dan keluarga mestilah dijaga dan dipelihara agar dihindari segala musibah. Kepada seluruh rakyat Malaysia diminta sentiasa berhati-hati dan berwaspada bagi mengelakkan kehilangan nyawa semasa banjir melanda. Pastikan dokumen penting diletakkan di tempat yang selamat. Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan semua mangsa banjir dan moga musibah banjir yang melanda di beberapa negeri di negara ini segera surut...Amin..

#prayformangsabanjir
#tabahkanhatimangsabanjir



MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL KRAF JOHOR 2014


Pada 18 Disember 2014 (Khamis) yang lalu telah diadakan Majlis Perasmian Festival Kraf Johor 2014 di Padang A, Plaza Angsana Johor Bharu Mall, Johor. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana telah menyempurnakan majlis ini. Terima kasih juga kepada YB Datuk Mohamed Aziz, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Ybhg. Datuk Dr. Ong Hong Peng, KSU Motac, Ybhg. Datuk Hj. Ab. Ghaffar bin A. Tambi, KSU (Kebudayaan) MOTAC, tetamu kehormat serta rakan media yang sudi meluangkan masa untuk hadir ke majlis ini. Festival Kraf Johor 2014 ini sedang berlangsung yang bermula pada 18 Disember 2014 hingga 31 Disember 2014. Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi festival ini...

..."Perancangan kerja yang teratur serta dilakukan secara berterusan pasti membuahkan kejayaan. Saya berasa bangga dengan kesungguhan dan kejayaan yang dicapai oleh Kraftangan Malaysia dalam membantu meningkatkan industri kraf negara.  Walaupun terdapat pelbagai cabaran seperti lambakan produk dari negara luar seperti kemasukan produk songket dari India dan Pakistan, batik dari China,dan produk-produk lain telah mencetuskan polemik semasa yang sedikit sebanyak menimbulkan rasa kebimbangan terutama di kalangan usahawan dan pengeluar kraf tempatan.  Namun survival yang dilakukan oleh Kraftangan Malaysia bagi memastikan industri kraf tempatan tidak kecundang memberi impak yang positif." - petikan ucapan YB Menteri. 












   






PELANCARAN PORTAL DAN SIDANG MEDIA FESTIVAL KRAF JOHOR 2014




JOHOR BAHRU, 16 DISEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Pelancaran Portal dan Sidang Media sempena Festival Kraf Johor 2014 oleh Puan Rugayah binti Mohd Salleh, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Hadir sama ialah Encik Abdul Manan bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia.

Sidang Media ini diadakan bertujuan untuk memaklumkan kepada pihak media mengenai satu portal khas yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi memberikan informasi kepada masyarakat umum mengenai Festival Kraf Johor 2014.

Festival Kraf Johor 2014 merupakan satu aktiviti mempromosi produk-produk kraf tempatan yang berlangsung mulai 18 hingga 31 Disember 2014 bermula dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall. Penganjuran Festival Kraf Johor 2014 merupakan kali ke-4 diadakan dan dijadikan sebagai acara tahunan setelah mendapat maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung dan pengguna kraf di selatan tanah air sejak mula diperkenal pada tahun 2011.

Objektif utama penganjuran Festival Kraf Johor ialah untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna; memperluaskan pasaran kraf; memberi kesedaran dan maklumat terkini mengenai industri kraf negara serta menanam minat pengguna terhadap kraf tempatan.

Aktiviti Utama yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini ialah Jualan Produk Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Baru, Pameran Landskap & Seni Taman, Demonstrasi Kembang Api, Demonstrasi Masakan & Kuih Tradisional dan Interaktif Kraf. Turut diadakan juga sempena festival ini ialah Aktiviti Galakan Pengunjung seperti Persembahan Kesenian, Permainan & Pertandingan Congkak, Persembahan Karaoke Rakyat, Idola FKJ 2014, Persembahan Artis Akademi Fantasia, Tazkirah Laman Rohani, Mini Pesta Buku, Seni Khat @Craft, Roda Klasik@Craft, Si Comel Meow@Craft, Warna-Warni @Craft dan Bonsai @Craft.

Festival Kraf Johor merupakan penjenamaan semula nama aktiviti yang sebelum ini dikenali dengan Promosi Kraf Malaysia Peringkat Negeri Johor. Penjenamaan semula ini dilihat lebih bertepatan dengan konsep serta tambahan aktiviti baru yang diketengahkan. Penggunaan nama Negeri Johor memenuhi sasaran sebagai ruang promosi yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi hub pemasaran kraf di zon selatan tanah air. Penggunaan nama Negeri Johor itu juga tidak membataskan penyertaan usahawan dari lain-lain negeri. Penyertaan usahawan daripada pelbagai bidang kraf dari seluruh Malaysia merupakan dokongan utama menjayakan festival seumpama ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi :
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN JOHOR
LOT PTB2002, JALAN CENDERASARI
OFF JALAN DATIN HALIMAH
80350 LARKIN, JOHOR  Ɩ  TEL : 07- 235 0431  Ɩ  LAYARI : www.festival.kraftangan.gov.my