28 Dis 2012

TEKS UCAPAN YANG BERBAHAGIA KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN DISEMBER 2012


TEKS UCAPAN
KETUA PENGARAH
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN – DISEMBER
  
TARIKH
27 DISEMBER 2012
(KHAMIS)
  
JAM
8.15 PAGI


 BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis

Yang Berusaha Encik Ramli Mohd Noor
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

Tuan Haji Shahrudin Mohd Nor
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

Pengarah-pengarah Bahagian

Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd

Pengurus Kraf Holding Sdn. Bhd.

dan Warga Kraftangan Semua


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan  Salam 1Malaysia

Alhamdulillah,  saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurnianya  mengizinkan kita berhimpun di dalam perhimpunan bulanan Kraftangan Malaysia  bagi bulan Disember 2012  pada pagi ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum  kita kini  telah pun berada di penghujung bulan Disember 2012 dan ini bermakna  kita menjangkau satu tahun yang telah berlalu  dan bakal menempuh tahun baru 2013  sementara masih banyak lagi tugas-tugas  dan tanggungjawab  yang menanti kita di hadapan. Justeru  amatlah perlu bagi setiap daripada kita  untuk melipatgandakan usaha  ke arah melaksanakan apa yang sama-sama dirancang  untuk tahun 2013 . 

Lembaran baru 2013 juga  mengajak kita berusaha keras  untuk mencapai Key Performance Index (KPI) yang ditetapkan  untuk Kraftangan Malaysia iaitu memperoleh capaian jualan sebanyak RM400 juta.  Sasaran jualan yang ditetapkan ini berikutan  KPI 2012 sehingga 30 November telah dicapai iaitu sebanyak  RM320,496,433.99 (107%) daripada sasaran sebenar  iaitu RM300 juta.  Tahniah diucapkan  kepada semua anggota kerja  yang memberi sumbangan ke arah   pencapaian cemerlang  yang diperoleh ini .

Saya berasa amat bersyukur  kerana diberi peluang  bersama-sama saudara-saudari sekalian  menerajui dan menggerakkan  Kraftangan Malaysia dan industri kraf tanah air  yang telah mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan.  Mengimbau kembali  sepanjang tahun 2012  yang patut kita jadikan kayu pengukur  untuk terus melonjakkan industri kraf  pada tahap yang lebih tinggi ialah penganjuran  Hari Kraf Kebangsaan  yang memasuki edisi ke 10  yang menampakkan satu anjakan positif dalam trend rekaan produk  yang menepati cita rasa masyarakat . 

Sedemikian juga  untuk penganjuran Promosi Kerja Kahwin , Promosi Kraf Aidilfitri dan  Promosi Inspirasi Alam. Siri jelajah promosi yang dianjurkan di peringkat negeri  juga menampakkan sumbangan yang amat besar  dalam membantu usahawan kraf  membuat jualan terus kepada pengguna. Setiap promosi yang dianjurkan  bukan sahaja mencapai sasaran yang ditetapkan  malah memberi petunjuk penerimaan masyarakat tempatan terhadap industri kraf  terutamanya batik  dan kraf kayu . 

Menutup tirai 2012 ialah Promosi Kraf Johor, di Perkarangan Plaza Angsana  yang berakhir pada 25 Disember yang lalu  dan mencapai jualan sebanyak  RM 5.129 juta melepasi sasaran yang ditetapkan  sebanyak RM4.5 juta iaitu peningkatan sebanyak RM 0.629 juta (14%).

Di samping capaian sasaran jualan , Kraftangan Malaysia turut mencipta nama melalui Institut Kraf Negara  yang memenangi beberapa anugerah  seperti pemenang Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri  bagi kategori Tenaga Pengajar Terbaik  di dalam Pertandingan MYSkill Malaysia  anjuran Jabatan  Pembangunan Kemahiran , Kementerian Sumber Manusia.  Kraftangan Malaysia  sekali lagi menjulang nama  melalui anugerah  Pengemaskinian Kandungan PortalLaman Web Rasmi KPKK  dan JabatanAgensi, Pelaksanaan Sistem Pengurusan Aset  dan Penarafan 5 Bintang Portal/Laman Web  Rasmi KPKK dan JabatanAgensi  sempena Hari ICT  Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan .

Pencapaian ini diharapkan  menjadi pendorong dan galakan kepada kita mempertingkatkan imej Kraftangan Malaysia.  Syabas diucapkan .

Sepanjang tahun 2012, saya begitu yakin  setiap anggota kerja kita telah melaksanakan tanggungjawab  dan tugas masing-masing  mengikut perancangan yang telah ditetapkan, namun saya ingin mengingatkan semula kepada mana-mana bahagian  yang tersasar atau tidak mencapai sasaran yang ditetapkan melihat kembali Perancangan Kerja Tahunan  dan memperbaikinya untuk tahun 2013.  Menilai Perancangan Kerja Tahunan ini  amat penting bagi  memastikan penyusunan semula aktiviti tahun 2013.
Untuk itu  tanggungjawab amat besar diletakkan kepada  tiga tunggak utama penggerak industri kraf  iaitu Pasaran dan Promosi, Rekaan  dan Usahawan  di samping sokongan penting daripada bahagian-bahagian yang lain. Bagi memastikan perancangan ini dibentuk dengan rapi  Pengurusan Kraftangan Malaysia  baru-baru mengadakan dua siri Makmal Penyediaan Perancangan Kerja Tahunan 2013  di Hotel Marriot Putrajaya.  Makmal ini bertujuan mencerakin idea dan membentuk perancangan yang mantap  ke arah mencapai sasaran jualan RM1billion pada tahun 2016 .
Setelah sekian jauh  kita meninggalkan tahun 2012  dan bakal melangkah masuk  tahun 2013, kita sebagai penjawat awam juga perlu sensitif  kepada perubahan persekitaran  supaya kita semua  tidak ketinggalan dalam arus pemodenan negara.  Kita tidak seharusnya  mengambil sikap leka dan berpuas hati  apa yang dicapai hari ini  sebaliknya bersedia memberi perkhidmatan  yang lebih berinovatif dan kreatif .
Saya amat bersyukur di Kraftangan Malaysia budaya kerjasama  dan kerja berpasukan  ditunjukkan dalam melaksanakan setiap aktiviti  namun  kerjasama ini perlu dipertingkatkan  memandangkan pelbagai cabaran yang bakal kita tempuhi  untuk tahun 2013.  Terawalnya  Hari Kraf Kebangsaan (HKK) siri ke-11  akan berlangsung pada   27 Mac hingga 8 April 2013  dan seterusnya aktiviti-aktiviti lain  akan menyusul dalam selang  antara satu hingga dua bulan sahaja.
Bulan Disember juga  merupakan cuti panjang  untuk pelajar-pelajar sekolah  dan tidak ketinggalan sebahagian anggota kerja kita juga  turut bercuti hujung tahun  sama ada bercuti rehat  mahupun meraikan kenduri kahwin  saudara-mara .  Dengan ini  saya merakamkan  ucapan tahniah kepada anggota kerja  yang melangsungkan perkahwinan pada Disember ini  dan tidak lupa juga  kepada anggota kerja yang menerima menantu, anak dan cucu.
Sebagai penutup kalam  tahun 2012 , suka saya menyeru kepada semua anggota kerja sentiasa memberi sokongan padu  dan komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan aktiviti-aktiviti 2013  seterusnya  mencapai matlamat  serta objektif kita .  Peranan yang amat penting  terletak di bahu kita masing-masing  dan kejayaan tidak akan tercapai  tanpa sokongan padu  daripada semua yang terlibat .
Di kesempatan ini  rasanya tidak terlalu awal  untuk saya mengucapkan  selamat menyambut tahun baru 2013   dengan azam yang baru .
Wassalamu`alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
  
Terima kasih.

Tiada ulasan: