13 Nov 2013

PERKONGSIAN ILMU : KELEBIHAN HARI ASYURA (10 MUHARRAM)




KELEBIHAN HARI ASYURA - 10 MUHARRAM

Insya Allah, 10 Muharram 1435H jatuh pada hari Khamis 14 November 2013 dimana kita disunatkan berpuasa.

Kita juga digalakkan berpuasa pada hari ke-9 Muharram (Rabu, 13 November 2013) yang dipanggil Puasa Tasu’a supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, "Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Sumber: http://www.utusankini.com/2012/11/kelebihan-hari-asyura-10-muharram.html



PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU PADA HARI ASYURA

Tanggal 10 Muharram dinamakan juga hari Asyura kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi pejuang yang gigih menegakkan syiar Islam. Antaranya:

1. Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.

2. Allah jadikan bulan, bintang, matahari dan cakrawala.

3. Allah jadikan Arasy, Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat.

4. Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.

5. Allah menjadikan Siti Hawa.

6. Allah menjadikan Syurga.

7. Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga.

8. Taubat Nabi Adam diterima Allah.

9. Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan.

10. Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud.

11. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

12. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

13. Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah.

14. Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

15. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.

16. Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.

17. Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.

18. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar.

19. Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.

Sumber : http://familiazam.com/hari_asyura.htm


MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
KELEBIHAN PERTANIAN


Daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahuanhu; beliau berkata telah bersabda Rasulullah SAW : “Tidak ada daripada seorang Muslim yang menanam satu tanaman, kecuali apa sahaja yang dimakan daripadanya itu menjadi sedekah. Apa yang dicuri orang daripadanya juga menjadi sedekah. Dan tidak diambil daripadanya oleh seseorang kecuali semuanya itu menjadi sedekah.” Dalam riwayat yang lain, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak menanam oleh seorang Muslim akan suatu tanaman, lalu tanaman itu dimakan oleh manusia atau binatang atau burung, kecuali semuanya itu menjadi sedekah baginya sehingga hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Pertanian adalah salah satu di antara usaha yang mudah dilaksanakan oleh setiap orang. Berjasa kepada bumi ini memberikan banyak pulangan. Dengan sedikit modal sudah boleh aktiviti dijalankan. Keperluan manusia kepada hasil pertanian tidak pernah putus. Ertinya, hasil pertanian ini akan mudah menembusi pasaran.

Selain daripada itu, menanam suatu pohon itu sudah mendapat pahala walaupun hasilnya masih belum dapat dinikmati oleh pengusahanya. Walaupun hanya dimakan oleh binatang atau dicuri orang, maka itu adalah dikira sebagai satu sedekah yang akan diberikan pahalanya pada hari akhirat kelak. Jadi, orang yang bertanam ini tidak rugi sama sekali.

Oleh sebab itu, janganlah kita malas untuk bercucuk tanam kerana hasil pertanian itu bukan hanya sekadar memberikan pulangan di dunia ini, bahkan juga sebagai amal jariah yang kita akan perolehi pahala selama mana pohon yang kita tanam itu masih menghasilkan buahnya.

(Sumber: 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)


Tiada ulasan: