3 Ogo 2015

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS HARI RAYA AIDILFITRI 2015

 
  


TEKS UCAPAN
KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS
HARI RAYA AIDILFITRI
KRAFTANGAN MALAYSIA 2015

  TARIKH :
31 JULAI 2015 (JUMAAT) 15 SYAWAL 1436 H

MASA :
3.00 PETANG

TEMPAT :
PANGGUNG SARI, BANGUNAN SERI UTAMA
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR




Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis


§     Yang Berusaha Puan Hajah Zuraida binti Mokhtar,Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

§  Yang Berusaha Encik Yusak bin Mahamud, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

§        Pengarah-pengarah Kanan

§        Pengarah  Institut Kraf Negara

§       Pengarah-pengarah Bahagian  

§       Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor

§      Pengurus Besar  Karyaneka Sdn. Bhd; dan

§     Warga Kraftangan semua



Assalamualaikum
Warahmatullahi  Wabarakatuh

Salam Sejahtera  dan Salam 1Malaysia


1.       Alhamdulillah  dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT  kerana dengan limpah perkenan dan izinNya,  dapat kita bersama-sama pada hari ini  berkumpul dan meraikan sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri  Kraftangan Malaysia 2015.

2.    Terlebih dahulu  saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,  maaf zahir dan batin  kepada semua yang hadir terutamanya warga Kraftangan Malaysia, Institut Kraf Negara, Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd, Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor,  Kraf Holdings,  warga Perkampungan Kraf dan Pelukis  serta penyewa-penyewa Craft Delight.  Saya amat gembira melihat saudara saudari semua di sini  dalam keadaan sihat dan ceria  selepas kembali daripada cuti menyambut Aidilfitri yang lalu. Saya berharap  cuti rehat sempena Hari Raya lalu  telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh saudara saudari.

3.   Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah  dan selamat menggalas amanah dan tanggungjawab baru  kepada Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)  Kraftangan Malaysia yang baru dilantik  iaitu Encik Yusak Mahamud  yang memulakan tugas sebagai TKP(P)  berkuatkuasa 15 Julai 2015 yang lalu.

4.  Rombakan Kabinet 2015 yang berkuatkuasa pada 29 Julai lalu, turut memberi tempias kepada Kementerian Pelancongan  dan Kebudayaan. Rombakan tersebut menampilkan wajah baru dalam Kementerian Pelancongan  dan Kebudayaan Malaysia iaitu;  Yang Berhormat  Datuk Mas Ermieyati Samsudin   sebagai Timbalan Menteri  Pelancongan dan Kebudayaan. Tahniah juga  diucapkan kepada Yang Berhormat  Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz,  kerana terus diberikan mandat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri  untuk mengetuai kepimpinan sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

5.  Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai kemenangan bagi mereka mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.  Kemenangan ini bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari  di bulan Ramadan,  tetapi kemenangan menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang.

6.     Besarlah harapan saya  agar majlis hari ini secara tidak langsung terus memekarkan  semangat kerja berpasukan di organisasi kita ini. Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan  kerana ia saling bergantung dari segi keupayaan, kepakaran, kemahiran  dan pengetahuan serta komitmen terhadap prestasi pasukan  dan bersedia melaksanakan tugasan secara bersama. Nilai kerja ini  seharusnya kita kekalkan bagi memberi manfaat kepada Kraftangan Malaysia  serta menjadi budaya kerja kita.

7.        Di Aidilfitri inilah  kesempatan terbaik sekali untuk saling melupakan semua perselisihan dan persengketaan seterusnya mengukuhkan kerjasama di antara individu dan bahagian. Ambillah peluang ini  untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin.

8.     Sebelum mengakhiri ucapan,  saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri,  maaf zahir dan batin  kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia.

9.           Sekian  dari saya dengan serangkap pantun ;

Lemah gemalai tuan puteri
Berkain cindai cantik sekali
Pohon kemaafan di Aidilfitri
Moga ukhuwah kekal abadi
  


Wabillahitafik Walhidayah  Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh 

Tiada ulasan: