5 Jan 2016

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN JANUARI 2016


 
TARIKH      :        5 JANUARI 2016 (SELASA)

MASA         :        8.15 PAGI

TEMPAT    :        PANGGUNG SARI




SALUTASI


Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis

§   Yang Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud
   Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

§   Yang Berusaha Puan Haslina binti Abdul Hamid
   Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

§   Pengarah-pengarah Kanan

§   Pengarah Kanan Institut Kraf Negara

§   Pengarah-pengarah Bahagian, Unit dan Kompleks

§   Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor

§   Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd, dan

§   Warga Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa




2015 berlabuh pergi
Pelbagai dugaan telah dihadapi
Namun usaha tidak akan berhenti
Semangat jati diri masih utuh berdiri

2016 kini menjelma
Suka duka doa dan usaha kita bersama
Apa pun azam kita semua
Semoga tercapai hendaknya

ALU-ALUAN

1.           Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Januari 2016. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua pegawai dan anggota kerja Kraftangan Malaysia. Semoga tahun ini akan memberikan lebih semangat, kejayaan dan peningkatan dalam kehidupan dan pekerjaan kita semua. InsyaAllah.


PENCAPAIAN KPI KRAFTANGAN MALAYSIA 2015

2.           Seperti mana saudara saudari sedia maklum, sasaran jualan bagi KPI Kraftangan Malaysia pada tahun 2015 ialah sebanyak RM460.0 juta. Syukur Alhamdulillah, sehingga November 2015 sahaja kita telah pun berjaya mencapai RM489.5 juta iaitu 106% lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan.  Bidang tekstil telah mendahului kesemua bidang, diikuti dengan hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.


 PRESTASI DAN PENCAPAIAN PROGRAM PEMBANGUNAN

3.           Walaupun terpaksa menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan bagi pelaksanaan aktiviti pembangunan, Bahagian Pembangunan Industri iaitu melalui program pemasaran kraf tetap komited dan berusaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut. Ini termasuklah melalui penganjuran 132 promosi domestik dan penyertaan 13 promosi di peringkat antarabangsa sepanjang 2015. Sehingga 30 November 2015, pencapaian jualan yang direkodkan ialah RM91,015,646.32.

4.           Satu lagi tumpuan KPI Kraftangan Malaysia yang dapat dibanggakan ialah Program Satu Daerah Satu Industri – Produk Kraf yang mana telah mencatatkan pencapaian yang membanggakan dengan 124% lebih daripada sasaran yang ditetapkan iaitu RM312.0 juta dengan jualan sebanyak RM388.1 juta. Ini melibatkan usaha dari seramai 5,123 usahawan dari pelbagai bidang dengan 11,081 tenaga kerja yang terlibat dalam kategori SDSI, Mikro, Kecil & Sederhana (MKS), Inkubator dan Kraf Warisan Orang Asli.

5.           Melalui Program Penyelidikan dan Pembangunan Kraf. Saya dimaklumkan sebanyak 3,652 unit rekaan telah dihasilkan dan lebih kurang 50% dari rekaan tersebut telah dikomersialkan. Saya berharap bahagian dapat bekerja dengan lebih keras dan inovatif dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan berfungsil. Konsep Native Art yang bakal diketengahkan bagi 2016 ini diharap akan dapat membantu meningkatkan lagi jumlah jualan produk kraf.

6.           Program Pembangunan Kemahiran Kraf merupakan salah satu daripada KPI kepada YB Menteri Pelancongan dan Kebudayaan telah mencapai 86% graduan tamat belajar dan terlibat dalam industri kraf. Untuk itu, latihan kemahiran akan terus diberikan penekanan utama di bawah RMK11 bagi memastikan industri kraf mempunyai modal insan yang memenuhi keperluan industri dan dapat memacu peningkatan produktiviti industri kraf negara.

7.           Biarpun tiada sasaran dalam bentuk nilai jualan bagi program Jejak Warisan Kraf, tetapi keterlibatan peserta untuk aktiviti interaktif kraf di seluruh peringkat negeri diambil kira. Alhamdulilah, sebanyak 21,999 jumlah penyertaan telah diterima bagi aktiviti interaktif kraf iaitu 157% lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan. Saya berharap jumlah ini perlu terus ditingkatkan lagi bagi memastikan seni kraf ini dipotretkan sebagai  ‘a must’  untuk Generasi Y.

Saudara dan saudari sekalian

FESTIVAL KRAF JOHOR

8.           Majlis Perasmian Festival Kraf Johor telah belangsung pada 25 Disember 2015 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk  Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Yang Berhormat Timbalan Menteri dalam ucapannya berharap agar usahawan kraf perlu sentiasa bersiap siaga terhadap perkembangan serta kehendak pasaran kraf masa kini. Ini dapat direalisasikan dengan menghasilkan produk kraf yang kreatif, berinovasi, berkualiti tinggi serta harga yang kompetitif kerana faktor ini akan memberi impak besar bukan sahaja kepada penjanaan pendapatan usahawan kraf malah dapat membantu merancakkan aktiviti sektor lain. Tambah beliau lagi, usaha sebegini perlu dilakukan secara konsisten supaya industri ini terus kukuh dan mampu berdaya saing.

9.           Ingin saya umumkan, Festival Kraf Johor yang dianjurkan berjaya melepasi sasaran jualan yang ditetapkan iaitu sebanyak RM5.2 juta. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga Kraftangan Malaysia yang telah sama-sama bekerja keras untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan. Kita telah melakukannya dengan terbaik.

10.        Tidak lupa juga, terima kasih saya ucapkan kepada Malaysia Tourism Promotion Board di Singapura, kerana bersama-sama membantu Kraftangan Malaysia bagi menjayakan Festival Kraf Johor dengan menyebar luas maklumat kepada wakil-wakil agensi pelancongan di Singapura melalui penganjuran Majlis Sidang Media Festival Kraf Johor yang berlangsung pada 17 Disember 2015 di Tourism Malaysia di Singapura. Kerjasama mereka amatlah dihargai kerana mampu memberi lebih keyakinan dan informasi yang tepat kepada warga Singapura yang merancang bercuti ke Malaysia.


PERUNTUKKAN RMK11

11.        Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa bagi tempoh 2016-2020 (RMK-11) Kraftangan Malaysia telah diuluskan 5%  daripad peruntukan pembangunan yang dipohon iaitu dari RM319.0 juta kepada RM15.7 juta bagi menjalankan program SDSI, Rekaan & Penyelidikan serta pembinaan asrama SISWA IKN. Namun demikian, kita masih lagi berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan program Pemasaran Kraf, Pembangunan Modal Insan dan Jejak Warisan. Sama-samalah kita berdoa agar peruntukan tambahan diberi kepada kita supaya kita dapat meneruskan usaha-usaha kita bagi membawa industri kraf ke persada domestuik dan antarabangsa.


HARI KRAF KEBANGSAAN 2016

12.        Suka saya ingatkan juga, penganjuran Sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2016 bakal diadakan pada 24 Februari hingga 6 Mac 2016 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Sambutan kali ke-14 ini dijangkakan dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Isteri Perdana Menteri Malaysia. Untuk itu, ingin saya ingatkan kepada semua agar membuat persediaan segera supaya sambutan kali ini berjalan dengan lancar.


WAWANCARA DI MEDIA

13.        Saya juga ingin mengingatkan kepada saudara saudari sekalian, agar mengambil perhatian mengenai apa-apa tindakan dengan pihak media. Suka saya ingatkan, semua tindakan berkaitan media sama ada dalam bentuk wawancara ataupun liputan media perlulah menerusi Bahagian Komunikasi Korporat dan mendapat kelulusan Ketua Pengarah. Pelaksanaan ini adalah bagi memastikan sebarang maklumat yang dikongsikan bersama pihak media adalah jelas, tepat dan memberi imej positif terhadap organisasi dan industri dan bukannya, untuk kepentingan peribadi.


PUSPANITA

14.        Saya juga ingin mengambil kesemptan ini, untuk mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa PUSPANITA yang baru yang diterajui oleh Pn. Normali, isteri kepada Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) bagi tempoh 2015 – 2017. Rancangkan aktiviti-aktiviti baru yang dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli PUSPANITA. Kepada jawatankuasa yang terdahulu, saya ucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh puan-puan. Semoga jasa dan pengorbanan puan-puan diberikan balasan yang baik oleh Allah S.W.T.


HRMIS

15.        Saya berharap agar semua pegawai dan anggota kerja telah pun selesai dan melengkapkan tindakan LNPT dan SKT bagi tahun 2015. Tindakan lewat melengkapkan dua perkara ini akan menyebabkan terjejasnya prestasi Kraftangan Malaysia. Pada tahun ini LNPT & SKT akan diambil kira dalam prestasi Kementerian.


PENUTUP

16.        Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya memohon agar kita dapat bekerja dalam satu pasukan yang berjaya. Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia saling bergantung dari segi keupayaan, kepakaran, kemahiran dan pengetahuan serta komitmen terhadap prestasi pasukan dan bersedia melaksanakan tugasan secara bersama. Nilai kerja ini seharusnya kita amalkan bagi memberi manfaat kepada Kraftangan Malaysia. Saya juga yakin dan percaya kita akan mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun baru ini. 

17.        Sekian ucapan saya pagi ini dan saya akhirinya dengan bait ayat untuk direnungkan bersama :

Indahnya hidup bukan kerana banyak orang mengenal kita,
Namun berapa banyak orang yang merasa bahagia kerana mengenal kita.

Hidup adalah kesempatan yang harus di ambil, jalan yang harus dilalui, dan teka-teki yang harus dipecahkan.

 When Life is sweet say thanks, and when life is bitter say thanks and grow. Selamat Tahun Baru


Wabillahitafik Walhidayah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tiada ulasan: