TARIKH : 14 APRIL 2016 (KHAMIS)
MASA : 9.00 PAGI
TEMPAT : PANGGUNG SARI
KOMPLEKS
KRAF KUALA LUMPUR
SALUTASI
Terima
kasih Saudara & Saudari Pengerusi Majlis
§
Yang Berusaha
Puan Haslina binti Abdul Hamid
Timbalan
Ketua Pengarah (Operasi)
§
Yang
Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud
Timbalan
Ketua Pengarah (Pembangunan)
§
Pengarah-pengarah
Kanan
§
Pengarah
Kanan Institut Kraf Negara
§
Pengarah-pengarah
Bahagian, Unit dan Kompleks
§
Pengarah
Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor
§
Pengurus
Besar Karyaneka Sdn. Bhd., dan
§
Warga
Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam
Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa
ALU-ALUAN
1.
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari
ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan April 2016.
2.
Di kesempatan ini, ingin saya titipkan dengan berita pilu mengenai pemergian anggota kerja kita iaitu dari Institut Kraf Negara dan bekas
anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah. Pada tanggal 9 April lalu,
kita dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Mohd Sharizan Tarmizi yang
telah kembali kepada penciptaNya.
Seorang
lagi anggota kerja Kraftangan Malaysia telah kembali ke Rahmatullah pada 11
April lalu. Mungkin ada di kalangan kita di sini/ tidak mengenali pemilik
nama Yusoff bin Hassan. Beliau merupakan pesara Kraftangan Malaysia yang
telah bersara wajib pada tahun 1998. Penempatan terakhir beliau sebelum
bersara ialah di Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah dengan menjawat jawatan sebagai
Pengarah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Kota
Sarang Semut, Kedah pada usia 73 tahun kerana sakit tua. Marilah bersama-sama kita
sedekahkan Al fatihah kepada Allahyarham semoga rohnya dicucuri rahmat dan
ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. AL FATIHAH.
Saudara dan saudari
sekalian,
3.
Syukur Alhamdulillah, negara kita masih berada dalam
keadaan yang stabil dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Kerajaan juga
membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat. Malah Perdana Menteri juga memberi jaminan akan melaksanakan satu kenaikan gaji tahunan kepada 1.6 juta
penjawat awam pada 1 Julai tahun ini sepertimana yang diumumkan sebelum.
Justeru, saya sarankan agar kita semua mengurus belanja dengan lebih bijak dan
realistik seiring dengan cabaran semasa.
4.
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya
semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri Februari lalu, menggariskan
dua perkara yang perlu ditumpukan oleh penjawat awam bagi memastikan
kelangsungan pentadbiran Kerajaan yang lebih berkesan dan kesejahteraan rakyat
terpelihara. Perkara itu ialah, mengoptimumkan perbelanjaan Kerajaan dan
berfikir secara kreatif serta inovatif dalam melaksanakan tugas. Tindakan mengoptimumkan
perbelanjaan tidak bermaksud memotong perbelanjaan, tetapi melihat bagaimana
setiap ringgit atau peruntukkan dibelanjakan yang boleh mendatangkan hasil dan
kesan yang positif. Selain itu, tumpuan juga harus diberikan berkaitan
bagaimana menggunakan daya fikir yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan
produktiviti.
5.
Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia turut memberi
perhatian dalam menjalankan sesuatu program ianya mestilah rendah kosnya tetapi tinggi impaknya.
Justeru, saya menyeru kepada semua agar terus meningkatkan mutu perkhidmatan
dengan bekerja lebih kreatif dan inovatif. Dengan itu kita tidak boleh lagi
berfikir diluar kotak, tetapi perlu berfikir seolah-olah tiada kotak. Justeru
kita perlu impi, percaya dan capai visi kita.
LANGKAH-LANGKAH MENGOPTIMUMKAN PERBELANJAAN MENGURUS
KRAFTANGAN MALAYSIA
6.
Bagi menampung perbelanjaan mengurus Kraftangan Malaysia
yang terhad, Kraftangan Malaysia telah menggariskan satu Panduan
Langkah-langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Mengurus Kraftangan Malaysia.
Terdapat 11 langkah diperkenalkan iaitu:
a.
PENJIMATAN UTILITI – iaitu penggunaan elektrik seperti
lampu dan sistem penghawa dingin perlu mengikut waktu pejabat, mengelakkan
sebarang pembaziran air dan meringkaskan perbualan telefon dengan menggalakkan
penggunaan emel.
b. PENJIMATAN ALAT-ALAT & BAHAN TULIS – melibatkan
penggunaan kertas pencetak agar menggunakan kedua-dua belah muka kertas,
kecuali urusan rasmi kepada pihak Kementerian. Bagi penjimatan bahan tulis,
setiap bahagian dan cawangan perlu membuat inventori mengikut keperluan.
c. PENJIMATAN PEROLEHAN BARANGAN DAN PERKHIDMATAN –memerlukan
pegawai terlibat membuat perbandingan harga bagi khidmat atau bekalan tidak
melebihi RM10,000.00 berupaya mencari khidmat tenaga kerja dengan kadar yang
seragam serta mengelakkan menyimpan stok bekalan pejabat dalam kuantiti yang
tidak munasabah.
d. PENJIMATAN PENGGUNAAN KENDERAAAN PEJABAT – perjimatan ini
melibatkan penggunaan petrol dan kad touch & go dikawal dengan berpandukan
bil terperinci dengan log kenderaan. Selain itu, pilihan bahan petrol RON 95
diutamakan untuk kenderaan menggunakan petrol. Penyelenggaran enjin kenderaan
juga perlu diberikan perhatian.
e. PENJIMATAN PENGANJURAN MESYUARAT – Digalakkan untuk
mengadakan mesyuarat di pejabat, menggabungkan beberapa mesyuarat dalam satu
masa, menyediakan jamuan ringkas seperti kuih kecuali mesyuarat yang berjadual
dan melibatkan agensi luar.
f. PENJIMATAN PENGANJURAN MAJLIS RASMI – Penjimatan ini
melibatkan menganjurkan majlis di premis Kraftangan Malaysia atau lokasi luar
dengan kadar sewa berpatutan dan menyediakan jamuan secara sederhana. Gimik
yang ringkas, persembahan video mengguna kepakaran dalaman/ serta hiasan
majlis dengan sumber sedia ada.
g.
PENJIMATAN ELAUN LEBIH MASA – Penjimatan ini melibatkan
tuntutan bayaran elaun lebih masa penuh hanya dibayar kepada anggota pelaksana dari gred 1 hingga gred 18. Kedua, tuntutan
bayaran elaun lebih masa melebihi RM1,000.00 sebulan daripada gaji pokok bagi
anggota gred 22 hingga gred 26 dan baki lebih elauan lebih masa akan ditukarkan
kepada cuti gantian. Ketiga, tuntutan
bayaran elaun lebih masa hanya dibayar 1/3 gaji pokok bagi pegawai pelaksana
dari gred 27 hingga gred 36 dan baki lebih elaun lebih masa akan ditukarkan kepada cuti gantian.
h.
Penjimatan Program Latihan – Penjimatan ini terbahagi
kepada dua iaitu, bagi Program
Bercorak Latihan di bawah Belanja Pembangunan, semua program bercorak latihan yang melibatkan usahawan dengan anggota
kerja Kraftangan Malaysia melalui aktiviti Makmal Rekaan, Orientasi
Pengeluaran, Kursus Pemasaran, ’Training of Trainers’, Kursus
Kemahiran Teknikal dan Kursus Pembangunan Keusahawanan akan dibiayai di bawah
Belanja Pembangunan (termasuk tuntutan perjalanan anggota kerja). Manakala,
bagi program latihan di bawah belanja mengurus, memerlukan semua program latihan berbentuk fungsional dan
generik yang melibatkan anggota kerja Kraftangan Malaysia akan dibiayai di
bawah belanja mengurus. Anggota
kerja Kraftangan Malaysia di peringkat ibu pejabat, cawangan, Kompleks Kraf
dan Institut Kraf Negara digalakkan untuk menyertai kursus-kursus anjuran INTAN
yang terdapat Wilayah Zon Utara, Selatan, Timur, Tengah, Sabah dan Sarawak.
i.
PENJIMATAN PERBELANJAAN DALAM NEGERI - Penganjuran kursus/seminar secara dalaman
adalah digalakkan dibuat di premis kepunyaan Kraftangan Malaysia. Kursus / Makmal yang dipertimbangkan untuk dilaksanakan di luar premis Kraftangan Malaysia
adalah seperti Makmal Rekaan / Orientasi Pengeluaran, Team Building dan Pelan Strategik
Jabatan (Retreat). Selain itu, bagi perjalanan udara perlu mengambil tiket
tambang kapal terbang yang termurah dan anggota kerja kumpulan pelaksana (dari
gred 22 ke bawah) dibenarkan menggunakan perjalanan udara bagi menjalankan
tugas rasmi di cawangan-cawangan yang perjalanannya melebihi 300km sehala yang
mana tempoh jangkamasa bertugas tidak melebihi satu hari.
j. PENJIMATAN SEWAAN PEJABAT /PERALATAN SEWAAN - Semua cadangan untuk sewaan pengubahsuaian
pejabat baharu tambahan tidak dibenarkan kecuali melibatkan kos yang lebih
rendah daripada sewaan sedia ada setelah mengambilkira kos perpindahan dan
pengubahsuaian keci//l. Hanya perlanjutan penyewaan peralatan pejabat sahaja
dibenarkan tanpa melibatkan tambahan bilangan peralatan.
k. KEMPEN, PROMOSI, PENAJAAN DAN PENGIKLANAN - Pelancaran kempen promosi hendaklah
bersesuaian dengan kumpulan sasar yang dikenal pasti. Pegawai pengawal
digalakkan menghentikan kempen-kempen yang kurang berkesan. Kempen / promosi yang bersifat komersial dan kesedaran
kepada orang ramai hendaklah memberikan pulangan atau impak kepada Jabatan Kerajaan. Kedua digalakkan
membuat kempen / promosi secara dalam talian bagi mengurangkan perbelanjaan
berbanding mengadakan persembahan / pertunjukan (road show) secara beramai-ramai,
penggunaan media cetak dan media elektronik. Program penajaan dan pengiklanan seperti sisipan akhbar, iklan dalam
media cetak dan elektronik dan billbord hendaklah dikurangkan dan dikaji
semula selepas tamat kontrak penajaan/ pengiklanan tersebut.
l.
PENGINAPAN LUAR NEGARA – Bagi penjimatan ini, pegawai hendaklah membuat tempahan bilik
penginapan pada harga yang menjimatkan. Pegawai dibenarkan untuk membuat
tempahan sendiri secara atas talian. Selain itu, perbandingan harga yang ditawarkan
di atas talian boleh digunakan sebagai asas tempahan.
UCAPAN
PENGHARGAAN KEPADA ANGGOTA KERJA- HARI KRAF KEBANGSAAN 2016
7.
Masih belum terlewat untuk saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua anggota kerja yang
telah bekerja keras bagi menjayakan sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK 2016) yang telah diadakan pada 24 Februari - 6 Mac 2016 lalu. HKK2016 telah berjaya
memperoleh sebanyak RM12.6 juta. Tahniah dan syabas kepada semua di atas kejayaan
pencapaian jualan ini.
ANUGERAH
PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) 2015
8.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada 58 orang penerima
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dari Kraftangan Malaysia pada tahun ini.
Majlis meraikan para penerima telah diadakan pada Isnin lalu, 11 April 2016
yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri
Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bertempat di
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Putrajaya. Semoga dengan
pengiktirafan ini dapat membangkitkan lag/ semangat serta menjadi inspirasi
untuk semua warga Kraftangan Malaysia agar berkhidmat dengan lebih baik dan
cemerlang di masa hadapan.
Buah pelaga bentuknya bujur,
Sebagai perencah masakan kari,
Kerja ikhlas, tekun dan jujur,
Nescaya cemerlang di kemudian hari
Saudara dan saudari
sekalian,
PERLAKSANAAN
PROGRAM NBOS
9.
NBOS merujuk kepada National
Blue Ocean Strategy atau Strategi Laut Biru Kebangsaan yang diilhamkan oleh
Profesor W Chan Kim dan Profesor Renee Mauborgne, membekalkan satu cara
kreatif dan sistematik dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos yang rendah.
Pendekatan baru ini telah diambil oleh Perdana Menteri kita untuk diadaptasi
dan dilaksanakan oleh Kerajaan.
10.
Selaras dengan dasar ini, Kraftangan Malaysia menyambut
baik perlaksanaan NBOS dengan bekerjasama dan merangka pelbagai strategi
bersama pihak luar terutama pusat beli belah dengan tujuan meningkatkan
keupayaan dan potensi industri kraf seperti produktiviti dan jualan kraf. Bagi
tahun 2016, sebanyak lapan (08) promosi bakal diadakan dari bulan April
hingga Jun 2016 yang melibatkan kolaborasi dari segi perkongsian sewaan. Antara
promosi tersebut;
BIL.
|
PROMOSI
|
TARIKH
|
BILANGAN USAHAWAN
|
1.
|
Great Eastern Mall, KL
|
13 – 24 April
|
20 usahawan
|
2.
|
Hong Kong Gifts & Premium Fair 2016
|
27 – 30 April
|
11 usahawan
|
3.
|
Mesra Mall, Terengganu
|
28 April – 7 Mei
|
35 usahawan
|
4.
|
Bintang Megamall, Miri
|
20 – 29 Mei
|
68 usahawan
|
5.
|
Dataran Menara Condong, Teluk Intan
|
26 – 31 Mei
|
40 usahawan
|
6.
|
Floria Putrajaya
|
27 Mei – 4 Jun
|
60 usahawan
|
7.
|
Setapak Sentral
|
15 – 26 Jun
|
14 usahawan
|
8.
|
Festival Ramadan, Putrajaya
|
6 Jun – 5 Julai
|
50 usahawan
|
MAJLIS
PENYAMPAIAN SIJIL PEMATUHAN STANDARD TEKSTIL TENUNAN (SONGKET) MALAYSIA MS 1747
: BAHAGIAN 1 : 2007
11.
Kraftangan Malaysia akan mengadakan Majlis Penyampaian
Sijil Pematuhan Standard Tekstil Tenunan (Songket) Malaysia MS 1747 : Bahagian
1 : 2007 pada18 April 2016 (Isnin) di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu.
Saya sendiri akan menyempurnakan majlis tersebut. Ini merupakan satu
pengiktirafan kepada 26 penerima dari kalangan usahawan kraf songket Negeri
Terengganu.
APLIKASI
BARU - TEKNOLOGI MAKLUMAT
12. Untuk makluman semua anggota kerja, Kraftangan Malaysia
telah mewujudkan tiga aplikasi baru iaitu Sistem Latihan (Versi 1), Sistem
Persys dan Sistem MyBayar untuk kegunaan anggota kerja. Sistem Latihan (Versi
1) merupakan aplikasi yang telah ditambah baik dari segi kemudahan untuk
setiap anggota kerja memohon latihan dan memberi maklum balas mengenai
keberkesanan kursus yang mereka hadiri. Sistem Persys, merupakan aplikasi
yang menggantikan Sistem E-Industri. Ianya lebih mesra pengguna serta
mempunyai beberapa ciri-ciri tambahan seperti analisis, dashboard, status
usahawan dan laporan KPI. Manakala Sistem MyBayar membolehkan pelanggan Kraftangan
Malaysia membuat bayaran secara terus atas talian Bagi tujuan tersebut,
Unit Teknologi Maklumat sedang melaksanakan ketiga-tiga latihan ini kepada anggota
kerja secara berperingkat dari 11 April hingga hujung bulan Mei di peringkat
Ibu Pejabat/ dan cawangan-cawangan.
PERPINDAHAN
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
13.
Saya juga ingin memaklumkan bahawa, sebahagian daripada
Kraftangan Malaysia iaitu Kompleks Kraf Kuala Lumpur akan terlibat dengan
perpindahan ke lokasi baru iaitu di Bangunan Sultan Abu Samad (BSAS). Justeru saya menyarankan kepada pihak yang terlibat agar bersiap siaga untuk urusan
perpindahan ini terutama dari segi kerja-kerja yang melibatkan inventori.
Penyusunan dokumen, kawalan dan pergerakan harta inventori perlulah diberi
perhatian yang serius oleh pemegang dokumen agar tidak mengganggu atau
melewatkan urusan perpindahan kelak.
KONSEP DEPLOYMENT/ MULTI TASKING
14.
Saya juga ingin menegaskan kepada semua anggota kerja agar belajar bagaimana untuk sentiasa bersedia dan bijak menyusun kerja harian.
Ini kerana membuat rancangan yang strategik ataupun deployment menjadi elemen kunci dalam sistem penilaian di semua peringkat.
Selain bijak membuat penyusunan kerja, setiap anggota kerja juga perlu
menambahbaik potensi diri dengan berkebolehan untuk multi tasking dalam segala hal. Perkara ini perlu dilihat secara
positif kerana ia akan dapat menambah pengetahuan dan pengalaman baru kepada
setiap anggota kerja. Bagaimanapun, kerja-kerja yang perlu dilaksanakan
perlu disiapkan mengikut jadual dan peraturan.
KEPENTINGAN
MENGHADIRI KURSUS
15.
Di sini, ingin saya mengingatkan kepada setiap anggota
kerja perlu wajib hadir bagi kursus yang diterima. Surat tunjuk sebab perlu
dibuat dan melalui pengarah masing-masing untuk memaklumkan kepada Unit Sumber
Manusia bagi ketidakhadiran kursus. Menghadiri kursus adalah penting kepada
kemajuan yang memberikan input baru kepada anggota kerja. Justeru, elakkan
untuk tidak menghadiri kursus tanpa asas yang munasabah.
INTEGRITI
16. Baru-baru ini saya telah diberikan penghormatan untuk
menyampaikan Ucaptama bagi Seminar `Pengukuhan Integriti Dalam Tadbir Urus
Organisasi: Cabaran dan Sinergi’ sempena Majlis Penutup Program Pegawai
Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 12 dan 13 bagi tahun 2016. Bagi memperkukuh
integriti dalam tadbir urus organisasi, beberapa prinsip utama perlu diberikan
penekanan seperti jujur, ikhlas, bijaksana, adil, telus dan syukur. Menerusi prinsip
in/ ia berupaya melestarikan segala elemen baik berteraskan
amalan murni yang digariskan di dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) yang
diperkenalkan pada tahun 2004. Semoga usaha murni ini akan dapat membantu
memantapkan lagi keutuhan pengurusan serta menjadikan pentadbiran kerajaan
cekap, berdisiplin, berpegang teguh kepada etika dan nilai-nilai murni. Ada
juga beberapa perkara berkaitan intergriti yang perlu diberikan perhatian iaitu
tidak menyalahguna kuasa, mengelakkan dari dibebani dengan hutang yang serius dan seharusnya bijak untuk seimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan yang
diperoleh.
DISIPLIN
DATANG LEWAT KE PEJABAT
17. Kehadiran tepat pada waktunya merupakan disiplin yang
paling utama di tempat kerja. seperti kata-kata Jim Rohn;
‘’Discipline is the bridge between goals
and accomplishment’’
Oleh itu diharapkan semua dapat mematuhi disiplin dalam bekerja. Melalui semakan yang
dilaksanakan oleh Unit Integriti didapati ramai anggota kerja yang mempunyai
rekod kedatangan lewat melebihi 3 kali berturut-turut tanpa sebarang dokumen
sokongan atau alasan yang boleh diterima. Kepada semua Pengarah dan Pegawai
Penyelia, perlulah memainkan peranan dalam membantu mengatasi masalah ini.
Teguran dan nasihat perlu dibuat dan seterusnya mengeluarkan surat tunjuk sebab
diikuti surat amaran supaya anggota kerja sentiasa mematuhi waktu bekerja. Jika
anggota kerja masih mengulangi kesalahan yang sama maka tindakan melaporkan
kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan seterusnya boleh dibuat.
Perkara ini boleh dirujuk kepada Tatacara Sistem Kad Perakam Waktu (Surat
Pekeliling Perkhidmatan Kraftangan Malaysia Bil 2 Tahun 2007).
Mati lampu nyalakan lilin
Undur-undur mendekatinya
Hidup haruslah berdisiplin
Agar teratur segala-galanya
18.
Saya berharap, masalah disiplin datang lewat ke pejabat
ini bukan menjadi satu perkara yang serius dan diharap dapat diatasi segera oleh
Bahagian, Unit atau Cawangan yang terlibat. Anggota kerja yang terlibat juga perlu mempunyai kesedaran akan tanggungjawab dan amanah yang didukung oleh
masing-masing dalam kerjaya.
Cantik nian cahaya bulan
Berseri indah menyinari taman
Jujur dan amanah jadi amalan
Itulah peribadi orang beriman
12. Dari segi berpakaian, saya berharap semua
dapat mematuhi pekeliling yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pakaian perlulah bersesuaian dengan kod etika berpakaian pejabat. Tindakan
boleh diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sedikit nasihat yang boleh diambil iktibar untuk semua:
Tulis surat di dalam gelap
Ayatnya banyak
yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap
Jikalau silap
awak yang bencana
Buah cempedak bentuknya bujur
Sangat disukai
oleh semua
Jika kita bersikap jujur
Hidup kita
dipandang mulia
PENUTUP
13. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kita semua, kekalkanlah
perpaduan, bersikap jujur, berkata benar dalam pertuturan dan amanah dalam
pekerjaan. Semoga dengan sikap yang baik ini akan sentiasa membawa kita hidup
aman damai, makmur, selamat dan berjaya dalam kehidupan dan pekerjaan kita.
InsyaAllah. Sekian ucapan saya pagi ini dan saya akhirinya dengan
serangkap pantun;
Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.
Wabillahitafik Walhidayah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan