TARIKH : 11 MEI, KHAMIS
MASA : 9.00 PAGI
TEMPAT : LAMAN WAU
SALUTASI
Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis
§ Yang Berusaha
Encik Yusak bin Haji Mahamud
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
§ Yang diraikan anggota kerja yang menyambut 25 tahun
perkhidmatan bersama Kraftangan Malaysia
§
Turut diraikan anggota kerja yang telah bersara dan
yang akan bersara bagi tahun 2017
§ Pengarah-pengarah
Kanan
§
Pengarah Kanan Institut Kraf Negara
§
Pengarah-pengarah Bahagian dan Unit
§ Pengurus Besar
Karyaneka Sdn. Bhd.
§ Pengarah
Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor; serta
§
Warga Kerja Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1Malaysia
PEMBUKA
BICARA ( PANTUN )
Berkain batik berkebaya Nyonya
Pakaian baharu dan juga lama
Selamat datang sejahtera hendaknya
Perhimpunan pagi acara utama
Dari Panggung Sari ke Seri Anjung
Seri Budaya tempat mendengar bicara
Amanat diberi jasa disanjung
Serinya majlis bersama persara
ALU-ALUAN
1.
Alhamdulillah
dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan
izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan
Mei 2017 iaitu perhimpunan kali ke ketiga (3) bagi
tahun 2017. Perhimpunan kali ini
merupakan perhimpunan bulanan yang istimewa kerana turut meraikan anggota kerja
Kraftangan Malaysia yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan diserikan lagi
dengan meraikan anggota kerja yang telah bersara dan akan bersara pada tahun
ini dalam Majlis Jasamu Dikenang.
2.
Tidak terlambat bagi
saya untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua. Sepertimana semua
sedia maklum tema sambutan hari pekerja tahun ini ialah ‘Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi’. Tema ini amat bersesuaian dan bertepatan
sekali dengan kakitangan perkhidmatan awam yang perlu berfikiran kreatif di
dalam melaksanakan tugasan harian. Hari
ini kita perlu berfikir, bergerak dan bertindak secara kreatif sekiranya kita
semua ingin bersaing dan maju ke hadapan. Justeru, saya menyarankan agar
anggota kerja Kraftangan Malaysia memartabatkan elemen kreativiti dan inovasi
agar tidak ketinggalan di dunia yang semakin kompetitif.
MENGHARGAI
MASA
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian
3.
Video yang kita saksikan
sebentar tadi, semuanya berkisar kepada pentingnya masa untuk dimanfaatkan
setiap saat dan minit. Pengurusan masa
adalah amat penting kerana masa adalah aset yang bernilai dalam hidup manusia. Ada
pepatah mengatakan bahawa 'masa itu emas‘. Oleh
itu warga kerja Kraftangan Malaysia disaran tidak mengamalkan budaya ‘Esok
Masih Ada’ yang membawa erti kerja bertangguh. Ini kerana kesan daripada
penangguhan kerja bukan sahaja menyusahkan orang lain ataupun rakan sekerja malah
merugikan organisasi.
4.
Pastikan kita semua mengambil
berat akan waktu-waktu larangan yang telah digariskan agar kerja kita dapat
dilaksanakan dengan lebih cemerlang dan efisien di samping menjaga imej dan
disiplin diri masing-masing. Seorang penyair
Arab al-Syarif al-Murtadha pernah berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang
berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”
5.
Hari ini dua orang
anggota kerja kita genap berkhidmat selama 25 tahun di Kraftangan Malaysia.
Saya yakin, pasti banyak pengalaman yang diperoleh selama berkhidmat. Dua puluh lima tahun ini juga, dapat dilihat
sejauh mana masa dimanfaatkan untuk tugas-tugas harian yang membawa berkat
kepada diri sendiri dan sejauh mana kita dapat memberi sumbangan kepada
organisasi. Tidak kira sekecil manapun sumbangan yang diberikan tetapi ia amat
bermakna kepada organisasi. Begitu juga
kepada rakan-rakan kita yang telah bersara dan akan bersara pada tahun ini,
pastinya masa amat bernilai dan dimanfaatkan sebaiknya untuk diri sendiri, organisasi
dan masyarakat.
BUDAYA
ILMU
6.
Warga kerja Kraftangan
disaran agar melibatkan diri dengan kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan
sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk kebaikan organisasi. Sikap ambil tahu
pada semua aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia di
peringkat ibu pejabat mahupun di peringkat negeri perlu diberi perhatian.
Janganlah kita menjadi seperti ‘katak bawah tempurung’ kerana sebagai
warga kerja yang proaktif, kita perlulah mempunyai minda yang sentiasa terbuka,
sedia bersosialisasi dan sentiasa berusaha mendapatkan maklumat untuk diri
sendiri agar tidak ketinggalan.
7.
Budaya ambil tahu perlu
diamalkan kerana nilai ini juga turut diterapkan di dalam Nilai-nilai Aspirasi
1Malaysia yang dipraktikan dan digesa oleh pucuk pimpinan tertinggi negara. Ilmu-ilmu
yang diperoleh terutamanya berkaitan dengan aktiviti Kraftangan Malaysia amat
penting bagi mempersiapkan diri sama ada untuk persiapan temuduga mahupun
penyampaian kita kepada usahawan dan orang ramai. Mempunyai ilmu bukannya perkara yang
merugikan malah kita akan dihormati dan menjadi contoh kepada rakan-rakan
sekerja.
INTEGRITI
8.
Saya sekali lagi ingin memperingatkan
kepada semua pegawai-pegawai atasan agar sentiasa menjalankan kawalan dan
pengawasan ke atas pegawai di bawah selian masing-masing. Ini bagi memastikan anggota kerja sentiasa
mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan mengelakkan dari sebarang
tindakan tatatertib dikenakan. Sebarang
kecuaian dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab akan memberi kesan
kepada organisasi dan pegawai atasan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib. Integriti
bukan hanya membawa maksud menghindar diri dari rasuah semata-mata malah ia merangkumi
kesemua nilai-nilai murni yang perlu diamalkan seperti sifat-sifat amanah, bersih dan cekap dalam melakukan sebarang tugas. Integriti disifatkan sebagai tulus beramanah
terhadap diri sendiri, persekitaran dan organisasi. Mempunyai sifat yang tulus ataupun
berintegriti tinggi akan membentuk diri kita sebagai seorang yang sentiasa
berfikiran positif, membina suasana kerja yang harmoni serta menjauhkan kita
dari sikap tidak bertanggungjawab.
KENAIKAN
PANGKAT DAN PERTUKARAN
9.
Seperti yang kita sedia maklum
melalui Pekeliling Kenaikan Pangkat Bilangan 4 Tahun 2017 yang telah dikeluarkan,
bulan April dan Mei 2017 merupakan bermulanya tugasan baru bagi sebahagian
anggota kerja yang telah dinaikkan pangkat serta terdapat sedikit pertukaran. Sekali lagi, saya mewakili seluruh warga
kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai Kraftangan
Malaysia yang telah dinaikan pangkat dan terlibat dalam pertukaran ini. Semoga
kenaikan dan pertukaran ini memberi semangat baru dalam melaksanakan
tugas-tugas yang diamanahkan. Diharapkan juga
agar kenaikan pangkat ini dapat memberi inspirasi kepada pegawai-pegawai yang
lain untuk terus berusaha gigih dalam melaksanakan tugas dan amanah yang
diberi. Kenaikan pangkat dan pertukaran yang dilakukan
ini telah diperhalusi dan diteliti sebaiknya demi kepentingan organisasi.
PROJEK
KRAF KAMPUNGKU
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
10. Sepanjang bulan April pelbagai aktiviti telah dilaksanakan
dengan jayanya di peringkat Ibu Pejabat mahupun di peringkat negeri. Saya
mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan penghargaan terima kasih
kepada semua yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan Projek Kraf KampungKu di Majlis
perasmian Kraf KampungKu (Anyaman Buluh) Kampung Batu Lunguyan, Mukim Kecil Sook
Keningau, Sabah pada 4 April 2017 yang telah disempurnakan oleh Yang
Berhormat Datuk Mas Ermieyati Haji Samsudin Timbalan Menteri Pelancongan dan
Kebudayaan. Majlis yang dianjurkan secara sederhana ini
berjalan dengan lancar dan berjaya membantu mempromosikan produk kraf anyaman
buluh yang diangkat sebagai produk unik Kampung Batu Lunguyan. Pelaksanaan projek Kraf
KampungKu diiktiraf di peringkat Negara sebagai projek yang berimpak tinggi di
bawah Program Satu Daerah Satu Industri yang turut memberi limpahan kepada sektor-sektor
lain. Namun demikian, usaha kita semua bukannya terhenti di sini sahaja malah
perlu dipergiatkan lagi. Semua warga kerja digesa untuk saling membantu,
berganding bahu dalam menyumbangkan idea dan tenaga di dalam memastikan
kejayaan projek ini. Semoga projek Kraf KampungKu ini dapat membantu dalam
pertumbuhan pembangunan usahawan kraf mahupun masyarakat setempat. Projek ini
bukan saja menunjukkan komitmen kita di Kraftangan Malaysia untuk membantu
usahawan kraf malah ia dilihat sebagai khidmat bakti kita untuk kemajuan masyarakat
setempat.
FESTIVAL
KRAF PERAK 2017
11. Saya
juga mengucapkan tahniah kepada Kraftangan Malaysia Cawangan Perak yang telah
berjaya melaksanakan aktiviti promosi
Festival Kraf Perak 2017 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan Perak pada 24
Mac hingga 2 April 2017 yang lalu. Seramai 43 usahawan
kraf seluruh Malaysia berkampung selama 10 hari dan sebanyak RM851,532.50
berjaya diperoleh sepanjang promosi berlangsung. Jumlah ini telah meningkat
sebanyak 69.50% berbanding jualan tahun 2016 iaitu
RM502,390.30. Kejayaan ini boleh dijadikan penanda aras yang memberi makna
produk kraf masih mendapat permintaan di kalangan pengguna tempatan. Adalah diharapkan agar usaha
mempromosikan produk kraf ini diteruskan walaupun tahun 2017 ini merupakan
tahun yang amat mencabar di dalam suasana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan
peruntukan yang amat terhad. Saya turut menyeru agar cawangan-cawangan negeri
yang lain turut berusaha mencontohi Cawangan Perak dan mencari pendekatan yang lebih
kreatif dalam melaksanakan aktiviti promosi di peringkat negeri masing-masing.
PENGAMBILAN
PELAJAR BARU INSTITUT KRAF NEGARA
12. Institut
Kraf Negara (IKN) maju setapak lagi ke arah penarafan MQA yang akan memberi
kesan yang amat tinggi kepada industri kraf di dalam membekalkan guna tenaga. Usaha-usaha
peringkat akhir sedang dilaksanakan dan InsyaAllah di dalam masa terdekat IKN
akan memperoleh penarafan MQA. Memperoleh MQA bermakna IKN perlu meneliti setiap
inci program yang dilaksanakan kepada pelajar-pelajar yang memenuhi kualiti pendidikan
Negara. Kuota pengambilan sesi baru pada tahun ini ialah seramai 170 pelajar yang
merangkumi semua bidang pengajian. Kini usaha-usaha giat sedang dilaksanakan
untuk mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengikuti program
pengajian yang ditawarkan bagi sesi yang akan dibuka pada Julai nanti. Tarikh
tutup permohonan ialah pada 15 Mei 2017. Walaupun banyak cabaran dan persaingan di kalangan Institusi pengajian
tinggi lain namun saya percaya dengan kerjasama semua pihak di peringkat Ibu
Pejabat dan Cawangan Negeri kuota ini dapat dipenuhi. Melalui sumber dan
kekuatan yang ada di IKN saya amat yakin usaha-usaha kita dapat direalisasikan.
Saya menyeru kepada semua cawangan negeri agar dapat membantu menguar-uarkan
pengambilan pelajar baru ini dengan menyebarkan maklumat menerusi media sosial
negeri masing-masing.
WARNA-WARNI
AIDILFITRI
Saudara dan saudari sekalian,
13.
Bulan Ramadhan yang mulia bakal menjelang tidak lama lagi dan 16 hari
lagi kita semua akan menunaikan ibadah puasa. Saya mengambil kesempatan ini
ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menunaikan
ibadah puasa kepada semua. Untuk makluman semua Promosi Warna-warni Aidilfitri
akan diadakan pada 1 hingga 12 Jun 2017 dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam
bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Promosi selama 12 hari ini akan
disertai seramai 200 usahawan (150 usahawan kraf & 50 usahawan perkhidmatan
Aidilfitri) dengan berkonsepkan Nostalgia Kampung. Pelbagai aktiviti akan
diadakan bersempena dengan promosi ini dan kepada semua yang terlibat saya
menyeru agar persiapan awal dapat dibuat dan digiatkan agar promosi yang bakal
kita anjurkan ini mencapai objektif dan sasaran jualan. Majlis Sidang Media Warna-warni Aidilfitri ini akan
disempurnakan oleh Yang Berhormat, Datuk Mas Ermieyati Haji Samsudin, Timbalan
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pada 1 Jun 2017.
14.
Promosi Warna-warni Aidilfitri kali ini diadakan di dalam keadaan sederhana
dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan berharap dapat mencapai objektif di
samping dapat memenuhi sasaran jualan yang ditetapkan iaitu sebanyak RM3.0
juta. Kerjasama secara berpasukan di antara ibu pejabat dan cawangan-cawangan
negeri amat penting termasuk dalam menjayakan Promosi Warna-warni Adilfitri ini
dengan lebih sempurna. Usaha-usaha perlu digiatkan lagi terutamanya di
peringkat Negeri untuk mendapatkan lebih ramai penyertaan usahawan kraf.
WORLD
EXPO ASTANA, KAZAKHSTAN
15. Ekspo terbesar dunia bakal berlangsung di Astana,
Kazakhstan selama 3 bulan bermula 10 Jun hingga 10 September 2017 dengan
bertemakan Energy for Future. Kali terakhir
Kraftangan Malaysia menyertai ekspo ini ialah pada tahun 2012 di Yeosu, Korea
selain penyertaan pada tahun 2008 di Zaragoza, Spain dan 2010 di Shanghai,
China. Alhamdullilah bagi tahun 2017 Kementerian Tenaga, Teknologi dan Air
(KeTTHA) telah mempelawa Kraftangan Malaysia untuk menyertai ekspo ini. Penglibatan
Kraftangan Malaysia ialah menerusi aktiviti demonstrasi produk kraf anyaman
ribu-ribu, sulaman manik – empang marik dan batik canting. Bagi tujuan
tersebut, seorang anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah iaitu Encik
Sh Armanshah bin Sh Yasin akan terlibat sebagai jurudemo manakala dua orang
lagi jurudemo ialah Puan Diana Muring Padang (Sarawak) dan Encik M.Kamil M.Nata
(Selangor). Peluang yang diberikan ini perlulah kita manfaatkan untuk mempromosi
dan memperkenalkan keunikan produk kraf kepada pengunjung World Expo kerana
World Expo ini bakal dikunjungi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Pasukan
yang terlibat menguruskan penganjuran ekspo ini perlu membuat persiapan rapi
dan teliti dari sekarang bagi memudahkan semasa berada di Astana, Kazakhstan
demi menjaga nama baik Kraftangan Malaysia dan negara.
PERSARAAN
DAN ANUGERAH PERKHIDMATAN 25 TAHUN
Bumbung Laman Wau kita dirikan
Papan sekeping dibuat para
Dua Puluh Lima tahun kita diraikan
Dalam kenangan buat persara
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian dan yang
diraikan,
16. Pada pagi yang berbahagia ini, kita diberi
peluang untuk meraikan anggota kerja yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan
pesara-pesara. Kraftangan Malaysia
sentiasa menghargai jasa anggota kerja yang setia berkhidmat selama 25 tahun mahupun
yang akan bersara. Oleh yang demikian
majlis ini diadakan bertujuan memberi penghargaan dan meraikan mereka semua
yang telah lama berkhidmat dan yang bakal menamatkan perkhidmatan di Kraftangan
Malaysia, sekaligus sebagai anggota
perkhidmatan awam. Sesunguhnya perkhidmatan tuan puan merupakan satu lipatan
sejarah yang menjadi kenangan kepada rakan-rakan sekerja dan Kraftangan Malaysia. Sebahagian besar usia Tuan-tuan dan Puan-puan
dihabiskan bekerja dan sudah tentunya suka duka serta pengalaman yang diperoleh
mematangkan anda semua di dalam mengharungi kehidupan pada msa-masa mendatang.
17. Sepanjang perkhidmatan Tuan Puan sudah
tentunya Tuan Puan banyak mencurahkan bakti dan usaha di dalam memajukan
industri kraf sama ada secara langsung
ataupun tidak langsung. Justeru, semestinya jasa dan bakti yang dicurahkan tidak
terbalas dan berhak menerima ganjaran. Bagi saya jangan diukur kecil atau
besarnya ganjaran tersebut namun ukurlah ganjaran itu dari segi nilai dan
ingatan dari kami semua. Saya amat bersyukur menjadi ahli keluarga Kraftangan
Malaysia kerana ahli keluarga yang telah dibentuk oleh generasi terdahulu dan
diamalkan sehingga kini menjadi satu budaya kerja cemerlang melalui penerapan
kerja berpasukan, hormat menghormati, bermuafakat dan menjaga ikatan
persaudaraan. Oleh itu, saya menggesa kepada generasi muda yang bakal menerajui
Kraftangan Malaysia suatu hari kelak agar dapat mengekalkan budaya ini, kerana
budaya unik yang kita amalkan ini.
Inilah kekuatan yang kita ada, menjadikan Kraftangan Malaysia sentiasa
unggul berada di hadapan dan kita patut berbangga di atas kejayaan yang telah dibentuk.
18. Kita juga patut bersyukur kerana dipanjangkan
usia sehingga bersempatan bekerja selama 25 tahun dan sehingga ke hujung
penamat kerjaya. Namun perlu diingat bahawa menamatkan perkhidmatan tidak
bererti kehidupan kita terhenti di sini malah ia perlu diteruskan. Saya mendokan kesejahteraan Tuan Puan walau
apapun bidang kerjaya dan masa hadapan yang bakal ditempuh.
19. Hari-hari yang dilalui bersama semestinya ada
salah dan silap, sedangkan lidah lagi tergigit namun salah dan silap ini
mengajar kita memohon maaf dan sentiasa bersalaman. Justeru, saya memohon maaf
di atas segala kesilapan yang dilakukan sama ada secara sedar ataupun tidak. Saya
mewakili warga kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih dan
penghargaan yang tidak terhingga di atas jasa bakti yang dicurahkan dan semoga
diberkati Allah SWT selalu.
PENUTUP
20. Akhir kata, hayatilah dua rangkap pantun ini.
Yang elok itu penyeri pagi
Yang indah itu budi pekerti
Yang pergi biarlah pergi
Yang tinggal teruskan
berbakti
Indah Kompleks Kraf tempat
bertamu
Laman Wau menyimpan seribu
rahsia
Amanat disampai janganlah
jemu
Simpanlah ia sepanjang usia
Sekian.
Wabillahitaufik
Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan