TARIKH : 20 JUN 2017 (SELASA)
MASA : 9.00 PAGI
TEMPAT : LAMAN WAU
SALUTASI
Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih Saudari Pengacara Majlis
- Yang Berusaha
Encik Yusak bin Haji Mahamud - Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)
- Yang Berusaha Encik Ibrahim bin Ismail - Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
- Pengarah Kanan
Institut Kraf Negara
- Pengarah-pengarah
Kanan
- Pengarah-pengarah
Bahagian dan Unit
- Pengurus Besar
Karyaneka Sdn. Bhd.
- Pengarah
Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor; serta
- Warga Kerja Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku Malaysia
PEMBUKA
BICARA ( PANTUN )
Anggun Si Dara Memakai Sutera
Kebaya Labuh Kacing Suasa
Ucapan Aluan Pembuka Bicara
Di Panggung Sari Kita Bersua
Wajah Ceria Mendengar Amanat
Amanat Di Sampai Terus Ke Hati
Bersama Kita Memohon Rahmat
Semoga Majlis Ini Sentiasa Diberkati
ALU-ALUAN
1.
Alhamdulillah
dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan
izinNya, dapat kita bersama-sama pada pagi ini berkumpul bagi Perhimpunan Khas
sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi. Perhimpunan kali ini amat bermakna kerana kita
dipertemukan di dalam kerahmatan bulan Ramadhan yang mulia.
BUDAYA HORMAT
MENGHORMATI
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian
2.
Sepanjang bulan Ramadhan
yang mulia ini marilah kita semua merebut peluang dalam mengejar keberkatan bulan
yang penuh rahmat dan dilipatgandakan amal kebaikan. Oleh itu, sepanjang Ramadhan ini diharapkan warga
kerja Kraftangan Malaysia dapat mengamalkan amalan-amalan mulia antaranya sikap
hormat menghormati sesama kita sama ada di kalangan ahli keluarga, sanak
saudara mahu pun rakan sekerja.
3.
Budaya hormat menghormati di
kalangan kita semua amat perlu demi menjaga kepentingan dan nama baik organisasi. Dengan wujudnya budaya ini ia dapat memberi
kebaikan dan manfaat dalam melaksanakan kerja-kerja serta menjurus kepada
semangat kerja berpasukan.
INTEGRITI – CUTI SAKIT
4.
Sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan
mengenai isu yang melibatkan integriti terutamanya di kalangan penjawat awam.
Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun
dilakukan oleh segelintir individu penjawat awam namun tempiasnya tetap terkena
kepada keseluruhan penjawat awam.
5.
Penting untuk warga kerja Kraftangan
Malaysia agar tidak terlibat dalam sebarang isu-isu yang melibatkan integriti
seperti mengamalkan budaya menipu majikan contohnya budaya membeli sijil
cuti sakit yang merupakan salah satu kesalahan dalam integriti. Di
dalam memperolehi sijil cuti sakit tanpa benar-benar sakit, boleh dianggap
penipuan dan amatlah tidak beretika dan tidak berintegriti.
6.
Jabatan amat memandang serius terhadap perkara ini dan sekiranya didapati maklumat penjualan sijil
cuti sakit palsu yang melibatkan klinik atau hospital swasta kepada warga kerja
Kraftangan Malaysia, Jabatan sendiri akan menyalurkan aduan dan maklumat kepada
Kementerian Kesihatan selaras dengan peruntukan undang-undang yang telah
ditetapkan.
GARIS PANDUAN PENGENDALIAN
LAMAN MEDIA SOSIAL
7. Dalam usaha
memastikan anggota kerja Kraftangan Malaysia sentiasa diberi peluang untuk
meningkat kemajuan dalam kerjaya serta
multi-tasking, Kraftangan Malaysia telah membuat beberapa pertukaran di
kalangan anggota kerja di peringkat Ibu Pejabat dan Cawangan Negeri. Pergerakan ini secara tidak langsung menyebabkan timbul ketidakpuasan
hati di kalangan segelintir anggota kerja terbabit. Saya secara peribadinya
amat sedih dan kesal apabila luahan ketidakpuasan hati ini tular di laman
sosial. Anggota kerja seharusnya sentiasa
positif akan sebarang pertukaran jawatan dan penempatan baru kerana sebarang
pertukaran anggota kerja telah dibincangkan bersama di peringkat Pengurusan dan
untuk kebaikan organisasi dan individu.
8.
Amatlah tidak sesuai ianya dijadikan isu dan dihebahkan
secara umum di laman sosial. Susulan daripada ini, bagi memastikan warga kerja lebih
beretika dalam menggendali laman sosial (akaun sendiri atau akaun rasmi),
Kraftangan Malaysia di peringkat akhir menyediakan Garis Panduan Pengendalian
Laman Sosial Kraftangan Malaysia untuk rujukan Bahagian/Unit dan Cawangan
Negeri. Garis Panduan ini disediakan
bagi memastikan anggota kerja dapat mengendali laman sosial dengan lebih positif
dan memberi manfaat dalam menyampaikan maklumat. Garis Panduan ini akan diedarkan sebaik
sahaja ianya lengkap sepenuhnya.
SESI DIALOG
PENGGUNAAN TEKSTIL SUTERA
Warga kerja yang dikasihi
9.
Sebagai peneraju industri
kraf negara, Kraftangan Malaysia juga bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk
hukum yang termaktub dalam pegangan dan amalan agama dalam penghasilan produk
dan kraf. Atas usaha ini, Kraftangan Malaysia sentiasa menjalankan
penyelidikan dan kajian dari segi bahan mentah bersama agensi-agensi berwajib. Salah satu isu yang timbul ialah pemakaian tekstil
sutera yang telah kembali tular di laman sosial baru-baru ini.
10. Kraftangan Malaysia mengambil pendekatan dengan
mengadakan Sesi Dialog Penggunaan Batik
Sutera pada 6 Jun 2017 sempena
Warna-Warni Aidilfitri 2017 bertempat di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala
Lumpur.
11. Melalui sesi dialog ini, Garis Panduan Penggunaan Tekstil
Berasaskan Sutera Menurut Perundangan Islam telah dibentangkan oleh Prof. Madya
Dr. Arief Salleh Bin Rosman, Dekan Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi
Malaysia, Skudai Johor, Felo Hukum
JAKIM. Garis panduan ini disediakan
untuk makluman dan rujukan kepada masyarakat Islam di Malaysia tentang hukum
menggunakan produk berasaskan sutera, agar pakaian dan perhiasan yang digunakan
oleh umat Islam adalah selaras dengan tuntutan agama.
12. Garis Panduan ini akan diedarkan oleh Unit Pembangunan
Usahawan Kraf, Bahagian Pembangunan Industri untuk rujukan bersama. Menerusi sesi ini, telah disahkan sutera asli
100% atau sutera asli campuran yang benang sutera aslinya melebihi 51% adalah
haram digunakan oleh golongan lelaki beragama Islam. Oleh itu saya meminta agar anggota kerja
lelaki yang beragama Islam di Kraftangan Malaysia turut prihatin akan pakaian
berasaskan fabrik sutera yang akan dipakai
terutama ketika majlis rasmi atau hari-hari tertentu. Saya turut menyarankan
agar warga kerja Kraftangan Malaysia turut sama menjadi wadah penyampaian
maklumat ini kepada umum.
INSTITUT
KRAF NEGARA
13. Baru-baru
ini Negara dikejutkan dengan penularan budaya ragging dan buli di kalangan pelajar sekolah mahu pun pelajar di
institusi pengajian tinggi. Gejala tidak sihat
ini bukanlah perkara baru dalam masyarakat dan telah menjadi sebahagian
daripada sifat azali manusia yang mahukan pengaruh, membuktikan kekuasaan dan
menjatuhkan moraliti sesama manusia. Ia juga merupakan anasir pencemaran disiplin dan
pembentukan akhlak buruk yang mesti dipandang serius oleh semua pihak. Oleh itu, saya amat
berharap agar budaya ini tidak menular masuk ke Institut Kraf Negara kerana IKN
bakal menerima pelajar-pelajar baru tidak berapa lama lagi.
14. Saya dimaklumkan seramai 168 calon telah memohon kemasukan ke Institut Kraf Negara dan daripada
jumlah tersebut, seramai 138 calon layak serta menerima tawaran untuk
melanjutkan pengajian pada 4 Julai 2017 nanti. Saya amat berharap agar
pengurusan IKN dapat menyediakan dan menyelaras minggu orientasi pelajar baru ini
sebaiknya dan memastikan tiada unsur-unsur budaya ragging dan buli berlaku. Kesemua pelajar sama ada pelajar lama
(senior) dan pelajar baru (junior) hendaklah menjalankan minggu orientasi
secara berakhlak, berhemah dan menjadikan minggu tersebut sebagai Minggu Ilmu.
15. Di sini saya juga ingin memaklumkan Institut
Kraf Negara (IKN) dalam proses penarafan MQA dan akan memberi kesan yang amat
tinggi kepada industri kraf di dalam membekalkan guna tenaga. Kini, permohonan
Akreditasi Penuh MQA berada di peringkat akhir dan status permohonan ini akan
dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Akreditasi MQA pada 20 Jun 2017 bagi
mendapatkan keputusan pengiktirafan akreditasi.
Bersama-sama kita doakan agar permohonan ini dipermudahkan dan menjadi
satu sejarah kepada IKN khususnya dan Kraftangan Malaysia amnya.
WARNA-WARNI
AIDILFITRI
Saudara dan saudari sekalian,
16.
Dalam
menjalani ibadah puasa, kita telah berjaya melaksanakan penganjuran Warna-Warni
Aidilfitri 2017 yang telah pun berlangsung pada 1 hingga 12 Jun 2017 yang lalu.
Penganjuran yang berkonsepkan ‘Nostalgia Kampung’ ini berjaya menarik perhatian
pelbagai golongan masyarakat untuk berkunjung dan membeli-belah sepanjang 12 hari
promosi.
17.
Majlis
Sidang Media Warna-Warni Aidilfitri ini telah disempurnakan oleh Yang
Berhormat, Datuk Mas Emieryati Haji Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan
Kebudayaan pada 1 Jun 2017. Yang Berhormat Timbalan Menteri amat berpuas hati
dan kagum akan segala aktiviti dan persiapan yang disediakan.
18.
Selain
hebahan menerusi iklan, usaha-usaha publisiti Warna-warni Aidilfitri turut
dilakukan dengan giat dan menyeluruh. Seramai 90 orang wakil media telah hadir
sepanjang promosi berlangsung dan sebanyak 28 siaran mengenai Warna-Warni
Aidilfitri telah disiarkan di media cetak dan media elektronik secara percuma.
19.
Sepanjang
promosi berlangsung, seramai 13,683 orang berkunjung ke promosi Warna-Warni
Aidilfitri dan sebahagian besarnya melalui Lawatan Berpandu Berkumpulan iaitu
seramai 2,099 dengan 108 kumpulan. Penyertaan sebenar usahawan ialah seramai 156 usahawan dan menjana pendapatan
sebanyak RM2.1 Juta (RM 2,137,199.51) iaitu 7% melepasi sasaran yang ditetapkan
iaitu sebanyak RM2.0 juta.
20.
InsyaAllah,
dengan sambutan yang amat menggalakan daripada pengunjung dan usahawan kraf,
promosi Warna-Warni Aidilfitri akan diteruskan dan ditambahbaik untuk
penganjuran pada masa-masa akan datang.
WORLD
EXPO ASTANA, KAZAKHSTAN
21. Kraftangan Malaysia turut terlibat dalam penyertaan
promosi kraf di peringkat luar negara. Kini, World Expo Astana di Kazakhstan sedang
berlangsung bermula dari 10 Jun hingga 10 September 2017. Penglibatan Kraftangan Malaysia di World Expo
Astana ini adalah di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi dan Air
(KeTTHA).
22. Pavilion Malaysia telah mendapat sambutan dan dikunjungi
oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia.
Laporan Radio dan Televisyen Malaysia pada 14 Jun yang lalu menyatakan
Pavilion Malaysia telah dikunjungi seramai 200,000 pengunjung. Diharapkan
penyertaan Kraftangan Malaysia dapat mempromosikan keunikan produk kraf
tempatan serta memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mementingkan
penjagaan dan pembangunan alam sekitar selari dengan tema yang di bawa oleh
Malaysia iaitu ‘Powering Green Growth’
.
ASEAN
HANDICRAFT PROMOTION AND DEVELOPMENT ASSOCIATION (AHPADA)
23. Kraftangan Malaysia turut menempa nama di peringkat
antarabangsa menerusi penglibatan dalam ASEAN Handicraft Promotion and Development
Association (AHPADA). AHPADA telah
ditubuhkan pada tahun 1981 dan antara peranan utama adalah membangun dan
memasarkan produk kraf di dalam dan luar rantau ASEAN serta mengekalkan
kemahiran kraf tradisional dalam konteks pemuliharaan warisan budaya.
24. Malaysia merupakan salah satu negara yang menganggotai
persatuan ini dan diwakili oleh Kraftangan Malaysia. Bagi
penggal 2018 hingga 2020 Malaysia telah dilantik untuk menggalas jawatan
sebagai Presiden AHPADA sekaligus sekretariatnya akan dikendalikan oleh
Bahagian Strategi Korporat dan dipertanggungjawabkan menyelaras program-program
berkaitan industri kraf di bawah ASEAN.
25. Saya amat berbangga di atas perlantikan ini dan kita
perlulah bersedia untuk memikul tanggungjawab ini. Oleh yang demikian saya
menyeru kepada semua agar dapat menyumbang dan membantu Bahagian Strategi
Korporat mengendalikan tanggungjawab besar ini demi menjaga imej negara
Malaysia.
WORLD
CRAFT COUNCIL - ‘AWARD OF EXCELLENCE FOR
HANDICRAFT’
26. Kraftangan Malaysia sekali lagi dipilih untuk menjadi
tuan rumah bagi penjurian ‘Awards of Excellence for Handicrafts’ bagi tahun
2018. Anugerah ini merupakan
pengiktirafan kepada penghasilan produk kraf terbaik di peringkat negara Asia
Pasifik. Bagi tahun 2018, dua wakil dari Malaysia akan turut serta menjadi juri
bersama 3 orang wakil dari Singapura, Thailand dan Indonesia. Pogram penjurian
ini akan diadakan di Kuala Lumpur mulai bulan Oktober 2017.
WORLD
CRAFT COUNCIL - ‘WORLD CRAFT CITIES’
27. Kraftangan Malaysia juga dalam proses untuk mengangkat
empat(4) bandar iaitu Kuching (Sarawak), Kota Bahru (Kelantan), Kuala Terengganu
(Terengganu) dan Kuala Kangsar (Perak) untuk diiktiraf sebagai ‘WCC – World
Craft Cities’. Pengiktirafan ini adalah bagi mempromosikan bandar-bandar ini ke
peringkat antarabangsa serta merancakkan sektor kraf dan pelancongan negara
sekaligus meningkatkan pendapatan negara.
Penjurian akan dibuat pada bulan Oktober 2018 juga.
PROGRAM
‘ASEAN – ROK (Republic of Korea) Youth
Craft Camp on Ceramic’
28. Kraftangan Malaysia juga telah mengemukakan kertas
cadangan penganjuran program ASEAN –Youth Craft Camp On Ceramic’ dengan
penglibatan negara-negara ASEAN dan Republic of Korea untuk tahun 2018. Menerusi
program ini, golongan artisan muda yang terlibat di dalam penghasilan kraf
seramik bakal diketengahkan dalam membantu mempromosikan produk kraf dari negara
ASEAN & kraf seramik dari Republic of Korea (ROK). Dijangka program ini akan diadakan di
Institut Kraf Negara pada bulan November 2018.
29. Dijangka seramai 30 peserta dari Malaysia dan 30 peserta dari
negara ASEAN dan 10 peserta Republic of Korea akan terlibat di dalam program
ini yang terdiri daripada golongan belia, pelajar sekolah dan institusi pengajian
tinggi serta artisan / adiguru kraf. Program
peringkat antarabangsa ini bukan sahaja mempromosi produk-produk kraf tempatan
malah merupakan satu pengiktirafan tertinggi kepada Kraftangan Malaysia sebagai
agensi yang menerajui industri kraf negara.
PENGHARGAAN
TERIMA KASIH
Saudara dan saudara yang dikasihi sekelian,
30. Bermula Januari hingga kini, Kraftangan Malaysia telah
berjaya melaksanakan program-program yang dirancang. Walau pun peruntukan untuk
sesuatu program dan aktiviti amat terhad namun kita masih dapat menjalankan
aktiviti-aktiviti dengan jayanya. Kejayaan ini merupakan kejayaan semua dan
kejayaan ini merupakan berkat kerja keras anggota kerja semua. Salah satu
rahsia kejayaan kita ialah budaya kerja yang diamalkan iaitu budaya kerja
berpasukan di kalangan warga kerja.
31. Saya dengan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada
semua bermula dari peringkat bawahan hingga ke peringkat atasan sama ada di
peringkat negeri mahupun Ibu Pejabat. Tanpa penglibatan dan kerjasama semua pihak
tidak mungkin aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan dengan penuh kejayaan.
32. Kejayaan kita juga
hasil penerapan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang turut memberi impak yang berkesan dan
menyeluruh. Pelaksanaan secara kreatif ini perlulah dipergiatkan dan dipertingkatkan
lagi agar setiap aktiviti yang dilaksanakan mendapat impak tinggi dan outcome yang maksimum.
33. Sepertimana yang kita sedia maklum juga, sasaran KPI
Kraftangan Malaysia bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM500 juta. Sehingga 31 Mei 2017, sebanyak RM195.4 juta (39%)
pendapatan nilai jualan industri kraf telah berjaya diperolehi. Manakala sejumlah RM304.5 juta (61%) lagi
adalah diperlukan untuk mencapai sasaran tersebut. Jumlah ini secara tidak langsung memberi
cabaran kepada Kraftangan Malaysia untuk terus melaksana program-program yang
dirancang. Oleh itu semua warga kerja hendaklah terus berusaha, bersatu hati
dalam melaksanakan program-program yang telah dirancang dari awal tahun 2017
dengan cemerlang.
34. Bermula Julai sehingga Disember 2017 sebanyak enam (6)
program bakal dilaksana iaitu :
- Majlis Perasmian KKK Kraf Senjata, Lawas, Sarawak
(10/8/2017)
- Majlis Perasmian KKK Tenun Pahang
Diraja, Pekan, Pahang (17/8/2017)
- Majlis
Perasmian Kraf Komuniti Baru, Bagan Datoh, Perak (7/9/2017)
- Kuala
Lumpur International Craft Festival, Dataran Putrajaya (23-26/11/2017)
- Majlis
Konvokesyen Institut Kraf Negara, Rawang (9/11/2017)
SHOWCASE
PREKA – PELANCARAN PRODUK BARU
35. Kraftangan Malaysia melalui Bahagian Rekaan dan
Penyelidikan akan mengenengahkan produk-produk baru rekaan dari pereka dalaman
Kraftangan Malaysia dan dihasilkan bersama usahawan kraf tempatan. Program
berbentuk Showcase PREKA/ Pelancaran Produk Baru ini akan menghimpunkan
pelbagai aktiviti berkaitan industri reka bentuk yang merangkumi pameran &
jualan produk baru PREKA, sesi diskusi rekaan, pendedahan kepada ikon-ikon
rekaan dan lain-lain aktiviti yang berkaitan reka bentuk.
36. Aktiviti ini akan diadakan pada 24 hingga 27 Ogos
2017, bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Pelaksanaan aktiviti ini merupakan
inspirasi kepada program Transformasi Kerajaan 2050 (TN50) bagi meneruskan
hasrat generasi muda terhadap industri kraf.
Aktiviti julung kali diadakan ini merupakan medan untuk membuka peluang dan potensi penjanaan pendapatan
yang lumayan dan sekaligus menjadikan kemahiran kreativiti sebagai antara
penyumbang kepada ekonomi negara.
SDSI CRAFT TRAIL
37. Kraftangan Malaysia juga akan mengadakan SDSI Craft Trail
yang merupakan satu program bagi mempromosikan projek Kraf KampungKu kepada
kumpulan sasar yang terdiri daripada kategori media massa, persatuan pelancongan,
agen-agen pelancongan, trade tourism
partners dan lain-lain yang dilihat sebagai agen pemasaran dan hebahan
dalam merealisasikan inisiatif projek Kraf KampungKu. Program ini diadakan bagi memupuk,
memperkenal dan menarik perhatian dunia keunikan dan pembuatan produk Kraf
KampungKu. cadangan Projek
Pertama SDSI Craft Trail 2017 akan diadakan dengan kerjasama Malaysian Inbound Tourism
Association (MITA) pada minggu ke-3 bulan Julai 2017 meliputi kawasan Padang
Rengas, Kuala Kangsar dan KKK Sayong.
HARAPAN
38. Sehingga kini, Kraftangan Malaysia telah berjaya menyusun
dan melaksana beberapa program dengan mengambil kira kaedah terbaik dalam
mengoptimumkan perbelanjaan Kerajaan. Kita hendaklah terus berfikiran secara
kreatif serta inovatif dalam melaksanakan tugas supaya hasilnya lebih berkesan
dan mendapat impak yang positif. Kita perlulah
yakin bahawa kita telah mencapai objektif dan berjaya meletakkan industri kraf
pada platform dan momentum untuk terus kekal relevan dan kompetitif.
39. Sebarang kelemahan hendaklah segera diperbaiki bagi
memastikan Kraftangan Malaysia terus berjaya memajukan industri kraf negara. Kraftangan Malaysia akan terus melaksanakan
program-program dalam memastikan pembangunan usahawan kraf serta produk kraf
terus berdaya saing. Warga kerja Kraftangan Malaysia perlulah sentiasa
konsisten dan mengekalkan kecemerlangan serta bijak merancang masa dalam
memastikan kesemua program-program Kraftangan Malaysia dapat dilaksana dengan
sebaiknya.
UCAPAN
SELAMAT BERPUASA DAN SALAM AIDILFITRI
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
40. Sedar tak sedar kita telah memasuki hari ke 25 ramadhan
dan bakal menyambut bulan syawal serta merayakan Hari Raya Aidilfitri. Warga
kerja yang akan mula balik ke kampung, sama ada yang memandu atau menaiki
pengangkutan awam, sentiasalah berhati-hati walau di mana jua. Pastikan diri dan keluarga selamat balik ke
kampung dan kembali ke kota. Tidak lupa
juga keselamatan rumah yang ditinggalkan dan sebaiknya memaklumkan kepada jiran
atau Balai Polis yang berhampiran.
41. Sudah tentunya hari raya nanti saudara saudari bakal
dihidangkan dengan juadah istimewa, namun di dalam keghairahan menikmati juadah
ini marilah kita bersama-sama mengamalkan cara pemakanan yang betul agar tidak
mengundang sebarang penyakit.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,.
42. Sedangkan lidah lagi tergigit, bumi yang mana tidak
ditimpa hujan. Sebagai insan biasa sudah
tentunya kita tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan tutur. Oleh
itu, di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari
Raya Aidilfitri kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia, maaf zahir dan
batin dari saya dan keluarga. Saya juga mewakili warga Pejabat Ketua Pengarah iaitu
Noraini, Siti Khadijah, Akmal, Ruslan dan Hazura mengucapkan salam Aidilfiti
Wamaizin, Maaf Zahir Batin. Dengan ini
saya sudahi ucapan dengan dua rangkap pantun
Gemersik Takbir Mengundang Hiba
Salam Diutus Tanda Ingatan
Syawal Dinanti Menjelang Tiba
Saling Bermaafan Mengeratkan Ikatan
Nostalgia Kampung Mengamit Kenangan
Menyambut Raya Setahun Sekali
Amanat Dan Nasihat Di Lupa Jangan
InsyaAllah Bulan Hadapan Bertemu Kembali
Sekian. Wabillahitaufik Wal Hidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan