19 Jan 2010

Bencana di Haiti.. Renungkan bersama..

Assalamualaikum WBT, salam sejahtera dan salam 1Malaysia,

Melangkah ke tahun baru 2010 ini, sudah tentu kita mengharapkan yang terbaik dan berdoa semoga kita sentiasa diberi kesejahteraan dan lebih kesenangan serta kesihatan yang baik dari yang Maha Esa. Namun, dalam pada kita bergembira dan menikmati segala kemudahan dan kemewahan di hadapan kita, janganlah kita lupa kepada mereka yang berada di dalam kesusahan.

Saya ingin mengambil kesempatan disini mengucapkan rasa simpati dan sedih kepada semua mangsa bencana alam di Haiti. Apa yang berlaku merupakan satu bencana sangat dasyat yang pastinya akan menjadi sejarah hitam buat mereka selamanya. Bencana yang berlaku telah memusnahkan hampir keseluruhan tempat tinggal dan kemudahan infrastruktur mereka. Perkara yang lebih menyedihkan apabila mereka kehilangan beratus-ratus ribu nyawa dan ahli keluarga yang terkorban dalam bencana tersebut.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama berdoa semoga mereka diberikan kesejahteraan dan ketabahan menghadapi segala musibah ini. Sehubungan itu, kita perlu sentiasa bersyukur dengan segala rahmat dan limpah kurniaNya kepada kita. Seharusnya kita amat bersyukur sekali lagi kerana Negara yang kita sayangi ini belum lagi diduga dengan dugaan yang sehebat ini.

Oleh yang demikian, janganlah kita cepat melatah dan merasa kecewa dengan sedikit kesusahan yang melanda. Ingatlah bahawa sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya untuk kebaikan kita bersama. Akhir kata, bersama-samalah kita berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh berbekalkan segala kenikmatan dan kesejahteraan yang diberikan demi mencapai segala perancangan yang telah kita rencanakan.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: