30 Sep 2014

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN SEPTEMBER 2014


Terima kasih kepada Saudara Pengerusi Majlis  

Tuan Haji Shahrudin   Mohd Nor   
Timbalan Ketua Pengarah   (Pembangunan)   

Pengarah-pengarah Bahagian   

Pengurus   Kraf Holding Sdn. Bhd.  

dan Warga Kraftangan semua  


Assalamu’alaikum Warahmatullahi   Wabarakatuh  , Salam Sejahtera   dan Salam 1Malaysia  

Syukur ke hadrat Ilahi  kerana dengan izin,  limpah  dan kurniaNya,  dapat kita berkumpul pada pagi ini  sempena perhimpunan bulanan  Krftangan Malaysia bagi bulan September 2014. Saya merakamkan ucapan  ribuan terima kasih kepada semua warga Kraftangan Malaysia   kerana dapat hadir  untuk menjayakan perhimpunan  pada kali ini.  

Hari ini 30 September  merupakan hari terakhir kita  berada di suku ketiga  bagi tahun 2014.  Ini bermakna  hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi  untuk kita melaksanakan  segala aktiviti untuk tahun 2014.  Sukacita perhimpunan  pagi ini , saya menyeru kepada semua  untuk melihat semula  perancangan kerja tahunan  yang telah direncanakan sejak awal tahun,  sama ada  program dan aktiviti mengikut apa yang dirancang.  Sekiranya,  terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak  terlaksana  dapatlah diperbetulkan  dan dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini.

Dalam masa tiga bulan terakhir  ini juga,  kita menghadapi cabaran  yang amat besar iaitu  untuk mencapai KPI jualan kraf  yang ditetapkan bagi tahun 2014.  Merujuk kepada sasaran yang ditetapkan Kraftangan Malaysia  perlu mencapai jualan kraf sebanyak RM430.0  juta bagi tahun 2014  dan sehingga Ogos jualan kraf yang dicatatkan ialah sejumlah RM393.0 juta. Jika dibandingkan Ogos 2014  dan Ogos 2013  ia menunjukkan peningkatan  sebanyak RM100.0  juta  iaitu 33.9%.  Oleh itu, kita hanya memerlukan sejumlah  RM37.0 juta untuk menepati sasaran ini.

Faktor-faktor yang menyumbang  kepada peningkatan ini ialah  usaha-usaha giat  promosi jualan yang diadakan  di pusat-pusat beli-belah, peningkatan jumlah usahawan  di dalam menyumbang KPI  dan rekaan-rekaan baru  yang dikeluarkan.  Tahniah dan syabas  saya ucapkan kepada semua  yang telah menyumbang kepada  peningkatan KPI ini.

Saya, saban hari menekankan   kepada pencapaian KPI  kerana inilah satu-satunya yang dapat menggambarkan  kegemilangan organisasi dan kejayaan Kraftangan  Malaysia  sebagai peneraju industri kraf.  Saya berharap  agar semua anggota kerja dapat memahami  serta mengambil berat  perkara ini agar setiap anggota kerja  daripada atas sehinggalah ke bawah  bergerak seiring dan fokus  di dalam menjalankan tugasan seharian.
  
Walaubagaimanapun,  kita jangan mudah berpuas hati dengan apa yang telah kita capai  kerana masih ada berbaki aktiviti-aktiviti untuk tahun ini   yang perlu dilaksanakan  seperti Promosi Hiasan Laman  dan Taman  yang akan berlangsung pada  23 Oktober hingga 3 November  dan  Promosi Kraf Angsana Mall Johor Bahru  pada  18 hingga 28 Disember  yang amat memberi sumbangan besar  ke arah pencapaian KPI ini.  

Baru-baru ini,  saya berpeluang mengikuti rombongan  Yang Berhormat  Menteri turun padang ke Negeri Kelantan  dan tiga aktiviti utama telah dilaksanakan iaitu :

§  Perjumpaan Yang Berhormat Menteri  Bersama Usahawan Kraf Batik dan lain – lain di Negeri Kelantan
§  Perasmian Bantuan Insentif Bengkel  Kepada Ayu Fashion, dan
§  Lawatan Yang Berhormat Menteri  ke Bengkel Usahawan Kraf ZH Ukiran kayu, Pengkalan Kubor

Menerusi perjumpaan  dan lawatan  ini  saya amat bersyukur kerana Yang Berhormat  Menteri  dan Yang Berbahagia Datuk KSU  amat berpuas hati di atas prestasi  Kraftangan Malaysia.  Oleh yang demikian,  saya amat berharap prestasi sebegini  dapat dikekalkan bagi menjamin organisasi kita  sentiasa berada di hadapan  dan dilihat  secara positif dapat menyumbang  kepada pembangunan ekonomi negara.

Di dalam kita mengejar KPI,  tidak seharusnya kita mengetepikan integriti  dan etika kerja.  Perhimpunan kali ini, saya ingin menyarankan perkara-perkara penting yang menyumbang kepada kecekapan sesebuah organisasi iaitu:

§  Peka kepada kehendak  dan keperluan pelanggan iaitu usahawan kraf
§  Berpegang teguh  kepada nilai-nilai murni
§  Berkualiti  dan berilmu
§  Kerja berpasukan, dan
§  Kesepakatan  

Nilai-nilai yang digariskan ini  akan membentuk budaya kerja harmoni, pencapaian yang maksimum  dan integriti anggota yang dihormati  seterusnya membawa kepada kecemerlangan organisasi kita.

Akhir kata,  sempena  bulan haji ini  saya mengucapkan tahniah  kepada anggota kerja  yang sedang menunaikan ibadah haji,  semoga sejahtera  dan memperoleh haji yang mabrur.  Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha  pada 5 Oktober ini.  Marilah kita bersama-sama mengeratkan kerjasama, persefahaman dan menggembleng tenaga , mengeluarkan idea-idea inovatif dan kreatif  untuk kemajuan dan kejayaan  Kraftangan Malaysia.


Sekian,   Wabillahitafik   Walhidayah  . Assalamualaikum   Warahmatullahi Wabarakatuh.  



Terima kasih

Tiada ulasan: