TARIKH : 30 MAC 2017, KHAMIS
MASA : 9.00 PAGI
TEMPAT : PANGGUNG SARI
SALUTASI
Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih Saudara Pengacara Majlis
§ Yang Berusaha
Encik Yusak bin Haji Mahamud
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
§ Pengarah-pengarah
Kanan
§
Pengarah Kanan Institut Kraf Negara
§
Pengarah-pengarah Bahagian dan Unit
§ Pengurus Besar
Karyaneka Sdn. Bhd, merangkap Pengurus Kraf Holdings
§ Pengarah
Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor; serta
§
Warga Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
dan Salam Negaraku 1Malaysia
PEMBUKA BICARA ( PANTUN )
Cantik bergaya berbatik belang
Manis dipakai dengan selendang
Pemanis kata selamat datang
Awal bismilah pembuka gelanggang
Bulan satu ke bulan tiga
Lama tak jumpa bermacam cerita
Apa khabar anda semua
Ingin kongsikan khabar berita
ALU-ALUAN
1. Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT
kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari
ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Mac 2017.
2. Terdahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Encik
Ibrahim bin Ismail kerana telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua
Pengarah (Operasi) berkuatkuasa 15 Mac 2017 menggantikan Puan Haslina binti
Abdul Hamid, yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik)
Kementerian Belia & Sukan mulai 7 Mac 2017.
3. Kepada kedua-duanya, saya amat berbangga dan berterima
kasih dengan pencapaian dan komitmen yang telah diberikan sepenuh hati di dalam
menjalankan tugas. Kepada Timbalan Ketua
Pengarah (Operasi) yang baru, saya yakin beliau akan mampu memegang amanah ini
dengan baik bagi memajukan organisasi kita ke arah yang lebih cemerlang. Tidak
lupa juga tahniah diucapkan kepada beberapa lagi pegawai yang dinaikkan pangkat
iaitu Encik Noor Effendy bin Abdul Karim, sebagai Pengarah Kanan Bahagian
Pengurusan dan Perkhidmatan mulai 1 April 2017 dan Encik Shamsul Azizi bin
Samsudin atas kenaikan pangkat kepada Pegawai Ehwal Ekonomi E48 di Unit Pembangunan
Pasaran dan Promosi,Bahagian Pembangunan Industri mulai 1 Februari 2017. Beberapa
lagi kenaikan pangkat akan diumumkan tidak lama lagi. Beberapa pertukaran pegawai juga akan
dilaksanakan dalam masa terdekat demi kepentingan organisasi. Tahniah dan syabas buat semua pegawai.
ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC)
4. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada 56 orang pegawai dan
anggota kerja Kraftangan Malaysia yang berjaya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bagi tahun 2016. Majlis penyampaian
anugerah ini akan diadakan pada bulan April 2017
dan akan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri
Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Menjadi harapan saya
agar anugerah yang dicapai ini menjadi pendorong dan pembakar semangat saudara
dan saudari sekalian dalam meningkatkan kualiti kerja masing-masing di samping
dicontohi oleh pegawai-pegawai lain.
Kepada yang lain jangan kecewa.
Teruskan usaha gigih anda semua.
In Sha Allah akan dikurniakan APC juga.
Kepada penilai pertama dan kedua, saya ingin menyarankan supaya nilailah
pegawai dan anggota kerja anda dengan seadil-adilnya.
Saudara dan saudari yang
dikasihi sekalian
KPI SUKU TAHUN PERTAMA
5. Umum sedia maklum, Kraftangan Malaysia menyumbang dua bentuk
Key Performance Indicator atau KPI
untuk Yang Berhormat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu nilai
jualan kraf dan peratusan sumber tenaga dalam industri menerusi graduan-graduan
lepasan Institut Kraf Negara. Pada tahun ini nilai jualan kraf yang ditetapkan
oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) adalah sebanyak RM500 juta
dan membekalkan sumber tenaga terlatih dalam industri kraf dengan peratusan 80%.
Alhamdulillah, sehingga 28 Februari 2017, jualan kraf yang dicapai ialah RM74.6
juta, iaitu melepasi sasaran Januari dan Februari yang ditetapkan iaitu
sebanyak RM70 juta. Saya juga berharap Kraftangan Malaysia juga mampu untuk
mencapai 80% graduan Institut Kraf Negara terlibat dalam industri kraf. Pencapaian KPI ini menunjukkan usaha-usaha
kita dalam memajukan industri kraf
dengan penuh tanggungjawab. Tahniah dan
terima kasih kepada semua anggota kerja dari peringkat bawah sehingga ke
peringkat atasan yang bagi saya semuanya menyumbang ke arah pencapaian KPI ini.
HARI KRAF KEBANGSAAN 2017
6. Pada 22 Februari hingga 6 Mac yang lalu, kita telah
berjaya menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan 2017, edisi ke-15 yang disempurnakan
oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Isteri Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 23 Februari 2017 yang lalu. Kehadiran
beliau buat kali-5 merasmikan HKK merupakan satu tanda sokongan yang padu
kepada industri kraf lebih-lebih lagi dengan tercetusnya Pameran Busana Perdana
yang mempamerkan batik dan songket koleksi peribadi Yang Amat Berbahagia Datin
Paduka Seri sendiri.
7. Saya mengambil kesempatan ini, mengumumkan Hari Kraf
Kebangsaan telah berjaya mencapai nilai jualan kraf sebanyak RM15.7 juta iaitu
dengan kenaikan sebanyak 28% berbanding nilai jualan pada 2016 iaitu sebanyak RM12.3
juta. Saya amat berpuas hati dengan penganjuran kali ini termasuklah persiapan
dan penganjuran aktiviti yang berjalan lancar
sepanjang 13 hari berlangsung. Pencapaian ini juga merupakan indikator bahawa
produk-produk kraf masih diterima ramai walaupun di dalam keadaan ekonomi
negara yang tidak menentu. Saya percaya
kerjasama secara berpasukan yang telah dipamerkan oleh setiap bahagian, unit
dan cawangan telah memungkinkan kejayaan HKK ini berjalan dengan lancar.
PAMERAN PERDAGANGAN AMBIENTE
8. Kraftangan Malaysia juga, baru-baru ini menyertai Pameran
Perdagangan Ambiente 2017 yang diadakan pada 10 – 14 Februari 2017 selama 5
hari bertempat di Messe Frankfurt, Frankfurt, Jerman. Penyertaan kali ke-11 ini
disertai oleh tujuh orang usahawan kraf. Alhamdulillah, usahawan-usahawan kita
berjaya meraih jualan sebanyak RM7.043 juta semasa pameran tersebut. Daripada
jumlah tersebut, sebanyak RM4,963,130.00 juta merupakan hasil jualan
produk-produk seramik, diikuti bidang hasil rimba sebanyak RM1,423,520.40 juta
dan bidang aneka kraf sebanyak RM104,700.00.
9. Selain itu, menerusi penyertaan Kraftangan Malaysia dalam
Pameran Perdagangan Ambiente ini, kita juga mendapat manfaat yang besar dengan
meluaskan networking Kraftangan
Malaysia dengan orang penting seperti Penganjur Ambiente Frankfurt, Penganjur
Mega Show Hong Kong dan German Craft Association yang dapat membantu Kraftangan
Malaysia memperluaskan pasaran menerusi cross
selling promotion serta menyokong penganjuran Kuala Lumpur International
Craft Festival (KLICF) 2017 yang bakal diadakan pada Oktober/ November.
Saudara dan saudari
yang dihormati sekalian,
PROJEK KRAF KAMPUNGKU
10. Tahun lalu, Kraftangan Malaysia telah berjaya melancarkan
projek signature pertamanya Kraf KampungKu dalam bidang seramik di Kampung
Kepala Bendang Mukim Sayong, Kuala Kangsar yang disempurnakan oleh Yang
Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan
dan Kebudayaan. Dengan terlaksananya, projek Kraf KampungKu atau lebih dikenali
dengan KKK, banyak memberi manfaat dan limpahan faedah yang dapat
usahawan-usahawan kita perolehi baik dari segi industri pelancongan, inap desa,
sektor perkhidmatan, hiliran dan juga peluang pekerjaan kepada masyarakat
setempat.
11. Bagi meneruskan usaha membangunkan ekonomi dan potensi
usahawan kraf tempatan, Kraftangan Malaysia sekali lagi akan merasmikan KKK
Anyaman Buluh pada 4 April 2017 iaitu hari Selasa bertempat di Kampung Batu
Lunguyan, Daerah Kecil Sook, Keningau Sabah. Majlis ini akan disempurnakan oleh
Yang Berbahagia Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan).
PROGRAM PROMOSI
12. Seperti mana tuan puan sedia maklum bahawa tahun 2017 ini
merupakan tahun yang mencabar tanpa peruntukan yang selesa bagi melaksanakan
program-program promosi. Pun begitu, Kraftangan Malaysia perlu sentiasa optimis
dan mengambil cabaran ini sebagai satu peranan yang perlu dilaksanakan dengan
kaedah baru dan dalam masa yang sama, mampu memberi impak positif kepada
industri. Aktiviti promosi yang sedang dan akan berlangsung termasuklah
Festival Kraf Malaysia di Dataran Menara Condong, Teluk Intan Perak pada (24
Mac – 2 April), Promosi Di Pusat Beli Belah The Curve di Kuala Lumpur pada (26
April – 1 Mei) dan Promosi Bertema Warna-warni Aidilfitri di Kompleks Kraf
Kuala Lumpur pada (1-12 Jun) .
13. Sehubungan itu, saya berharap perancangan dan persiapan
awal perlu dilakukan bagi memastikan semua aktiviti promosi ini berjalan dengan
baik dan mencapai sasarannya. Kerjasama dari semua bahagian dan unit serta
cawangan yang berkaitan perlu bagi sama-sama membantu menjayakan sasaran nilai
jualan ini seterusnya menyumbang kepada KPI kita.
Saudara dan saudari
yang dihormati sekalian,
KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN
14. Saya juga ingin mengingatkan kepada semua pegawai dan
anggota kerja Kraftangan Malaysia, baik di peringkat Ibu pejabat mahupun di
peringkat Cawangan Negeri agar sentiasa terus memberikan sokongan kepada
mana-mana aktiviti dan acara yang dianjurkan oleh pihak Kraf dan Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan (KPK). Sokongan ini termasuklah kepada aktiviti dan acara
oleh Jabatan dan Agensi KPK yang lain. Melalui sumbangan yang kita berikan akan
memberi timbal balas daripada agensi-agensi tersebut. Inilah saranan utama kepada semua agensi agar
menggunakan pendekatan NBOS yang dapat memberi kebaikkan serta win-win kepada Kraftangan Malaysia dalam
kelangsungan memantapkan industri kraf tempatan. Pendekatan NBOS ini juga salah satu caranya
kita mengoptimumkan peruntukan bagi melaksanakan sesuatu projek.
BANK IDEA
15. Tahun 2017 merupakan Year of delivery yang membawa
maksud program dan aktiviti menjurus kepada engagement
yang memberi kesan langsung kepada rakyat yang disasarkan. Untuk itu sebagai permulaan KPK sebagai pusat
bermaklumat yang holistik berkaitan sektor pelancongan dan kebudayaan berorientasikan
kepada inovasi dan pengurusan, Yang Berhormat Timbalan Menteri KPK telah
menyarankan agar sebuah Bank Idea diwujudkan. Untuk itu, semua Jabatan dan
Agensi di bawah KPK telah disarankan untuk menghantar artikel berkaitan Jabatan
dan Agensi masing-masing kepada KPK secara berkala bagi
merealisasikan hasrat ini. Saya telah mengarahkan Bahagian Komunikasi Korporat
menyelaras perkara ini dan sekiranya terdapat mana-mana pegawai dan anggota
kerja yang berminat untuk menyumbang idea menerusi penulisan artikel kepada
Bank Idea KPK ini boleh berbuat demikian.
TAHNIAH UNIT TEKNOLOGI MAKLUMAT
16. Dunia hari ini mengajak kita bergerak pantas,
berinformasi serta kreatif di dalam penyampaian mesej menggunakan teknologi terkini. Memandangkan peri pentingkan teknologi
maklumat, Unit Teknologi Maklumat Kraftangan Malaysia sentiasa peka kepada
perubahan ini dan di majlis ini saya mengambil kesempatan dengan mengucapkan
tahniah kepada Unit Teknologi Maklumat Kraftangan Malaysia yang berjaya membawa
organisasi kita antara organisasi yang maju di dalam bidang teknologi
maklumat. Hasil-hasil kerja unit ini
mendapat pujian dari semua pihak terutamanya KPK atas kemahiran dan kebolehan
yang dipamerkan oleh anggota kerja dalaman Kraftangan Malaysia membuat montaj
video menarik dan berkualiti yang dibuktikan pada aktiviti-aktiviti Kraftangan
Malaysia seperti Festival Kraf Johor dan Hari Kraf Kebangsaan. Susulan itu, Kraftangan
Malaysia telah terpilih untuk membangunkan satu montaj video NBOS KPK yang
diselaraskan oleh Unit KPI KPK. Selain Kraftangan Malaysia, Balai Seni Visual
Negara (BSVN) juga turut terpilih oleh pihak KPK untuk menyediakan montaj video
tersebut secara berselang-seli. Tahniah sekali lagi dan saya berharap pasukan
Unit Teknologi Maklumat dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada KPK. Ini
merupakan satu pencapaian yang membanggakan kepada Kraftangan Malaysia.
PENGAMBILAN PELAJAR IKN
17. Umum mengetahui, bulan Julai merupakan bulan kemasukan
pelajar-pelajar baru ke Institut Kraf Negara (IKN). Sehubungan itu, saya
berharap agar IKN dapat bersiap sedia dari sekarang bagi tujuan pengambilan dan
penyelarasan pelajar-pelajar baru ini. Hebahan pengambilan pelajar baru ini
perlu dirancang dengan baik agar IKN dapat mencapai kuota yang ditetapkan.
Perhatian perlu diberikan sebaiknya kepada bidang-bidang kraf yang kritikal
seperti Jurusan Seni Kraf Buluh & Rotan. Menjadi tanggungjawab dan peranan
Kraftangan Malaysia memastikan kelancaran bagi pengambilan pelajar dan melahirkan
pelajar berkemahiran kraf ini kerana ia menjadi sebahagian daripada KPI kepada
Yang Berhormat Menteri KPK. Selain
daripada itu IKN juga sedang dalam berusaha menyiapkan dokumen bagi memastikan
IKN mendapat akreditasi sepenuhnya dari Malaysian Qualifications Agency atau
MQA. Memperolehi MQA ini akan memantapkan lagi IKN serta mewujudkan keyakinan
ibu bapa untuk menghantar pelajar untuk meneruskan pengajian di IKN.
PESTA SUKAN TAHUNAN KRAFTANGAN MALAYSIA
18. Saya juga ingin mengumumkan bahawa Kraftangan Malaysia
akan menganjurkan Pesta Sukan Tahunan Kraftangan Malaysia kali ke-22 yang akan
diadakan pada bulan 20 hingga 23 Julai 2017. Negeri bertuah yang akan menjadi
lokasi berhimpunnya warga Kraftangan Malaysia kali ini ialah Negeri Pahang
Darul Makmur. Sehubungan itu, saya menyarankan agar Kelab Sukan & Kebajikan
Kraftangan Malaysia bersama-sama Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang untuk
membuat perancangan awal bagi kejayaan pesta sukan kali ini. Kepada warga
Kraftangan Malaysia, saudara dan saudari semua sudah boleh membuat perancangan simpanan
serta bersiap sedia dari segi stamina untuk kejohanan pesta
sukan pada kali ini. Saya terharu dengan sokongan warga Kraftangan Malaysia
serta kejayaan penganjuran oleh KSKKM pada pesta yang lalu di Negeri Perlis.
Saya berharap, kemeriahan dalam semangat bersukan yang lebih manis akan
tercipta di Negeri Pahang pada Julai nanti. In Sha Allah.
LARANGAN MEMBUAT KENYATAAN DI MEDIA SOSIAL
19. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan
sekali lagi kepada saudara dan saudari sekalian tentang surat edaran Ketua
Setiausaha KPK pada 16 Februari 2017 lalu mengenai Larangan Membuat Kenyataan
di Media Sosial dan Tanggungjawab Memelihara Integriti Perkhidmatan Awam oleh
Warga KPK. Adalah menjadi tanggungjawab semua pegawai dan anggota kerja
Kraftangan Malaysia agar menjaga etika dalam penggunaan media sosial supaya
maklumat yang disebar dan dikongsi mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa
selain mengelakkan diri daripada menjejaskan imej perkhidmatan awam. Saya juga
ingin mengingatkan kepada warga Kraftangan Malaysia baik di peringkat Bahagian
dan Unit serta Cawangan Negeri agar merujuk kepada Bahagian Komunikasi Korporat
terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan di media massa atau diwawancara
oleh pihak media. Perkara ini amat saya titik beratkan bagi memastikan sebarang
maklumat yang dikeluarkan mencerminkan imej sebenar kepada organisasi.
PENUTUP
20. Akhir kata, teruskan kerjasama dan semangat berpasukan
yang mantap bagi memastikan Kraftangan Malaysia mencapai kecemerlangan dan
sentiasa relevan. Semoga segala usaha dan iltizam kita akan terus dirahmati dan
mendapat redha oleh Allah S.W.T.
PENUTUP BICARA ( PANTUN )
Cantik bergaya berbatik pelangi
Cantik lagi madu tiga nama diberi
Selesai sudah perhimpunan pagi
Di lain masa bersua lah lagi
Sekian.
Wabillahitaufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan