19 Feb 2011

HARI KRAF KEBANGSAAN 2011 “KRAF MENJANA EKONOMI”

Selepas lapan tahun penganjuran Hari Kraf Kebangsaan dengan memaparkan pelbagai tema, tahun 2011 Kraftangan Malaysia sekali lagi menganjurkan aktiviti berprestij peringkat kebangsaan iaitu Hari Kraf Kebangsaan 2011 bertemakan "Kraf Menjana Ekonomi". Hari Kraf Kebangsaan diadakan khusus untuk usahawan kraf sebagai satu pengiktirafan kepada penglibatan dan sumbangan golongan ini dalam pembangunan industri kraf negara.

Festival kraf yang akan berlangsung selama 13 hari bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac 2011 berkonsepkan himpunan produk kraf Malaysia daripada pelbagai kaum dan budaya dari seluruh Malaysia dipamerkan dan dijual kepada umum dan sekali gus membuka peluang kepada usahawan kraf berurus niaga terus bersama pelanggan.
Penglibatan usahawan dari tahun ke setahun meningkat dan untuk tahun 2011 seramai 500 usahawan akan mengambil bahagian dalam aktiviti jualan dan pameran. Kraf Menjana Ekonomi sebagai tema utama merupakan tunjang penggerak penghasilan produk secara komersial yang dapat menjana pendapatan dan peningkatan kepada ekonomi negara.

Hari Kraf Kebangsaan 2011 merupakan rangkuman pelbagai aktiviti istimewa promosi dalam promosi selain dari aktiviti utamanya iaitu jualan produk kraf. Selari dengan perkembangan teknologi terkini dalam bidang kraf pameran penggunaan teknologi dan bahan baru akan dipertontonkan kepada umum iaitu mesin pemati warna untuk industri batik. Selain daripada itu Pameran Kelengkapan rumah, Pameran Seni Ukir Dalam Seni Bina dan Pameran Kraf Warisan Teknologi turut dipamerkan. Elemen pendidikan yang diterapkan melalui Hari Kraf Kebangsaan di realisasikan melalui aktiviti Pendidikan Kraf dan Apresiasi Kraf yang merupakan program perkongsian idea dan ilmu dan akan memfokuskan perbincangan kepada Teknik Pembuatan Logam Bahan Campuran Seramik, Tenun Palembang dan Aplikasi Pewarna Glaze. Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan sebagai pencambahan ilmu.

Pengunjung-pengunjung Hari Kraf Kebangsaan berpeluang melihat sendiri pembuatan songket dan tenunan melalui aktiviti demonstrasi kraf tenunan. Hari Kraf Kebangsaan juga memperlihatkan penglibatan di peringkat antarabangsa melalui demonstrasi dari negara Filipina Tenunan Serat Nanas, Indonesia Tenunan Limar, Bangladesh Tenunan Jambadi dan Tenunan dari negara Uzbezkistan dan China. Peluang usahawan-usahawan kraf memasarkan produk ke peringkat antarabangsa juga terbuka luas dengan penganjuran aktiviti perjumpaan pembeli. Sebanyak 30 pedagang dari luar negara akan menyertai aktiviti ini dan berurus niaga bersama pengusaha kraf tempatan.
Persembahan Kesenian dan demonstrasi masakan kuih tradisional menjadi pelengkap kepada Hari Kraf Kebangsaan. Kelangsungannya Promosi Kraf Malaysia akan mengambil tempat di tiga pusat membeli belah utama iaitu AEON Bukit Raja, Kelang, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur dan One Utama Damansara bermula pada 22 Mac hingga 20 April.

Kunjungi Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 23 Februari hingga 7 Mac 2011, jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-21627533 atau layari www.kraftangan.gov.my atau email kepada pro@kraftangan.gov.my