29 Jul 2015

Al-Fatihah dan Salam Takziah




Saya dan seluruh warga kerja Kraftangan Malaysia mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Abdullah bin Daud, salah seorang Adiguru Kraf Pandai Besi Kraftangan Malaysia telah meninggal dunia pada 28 Julai 2015 (Selasa) jam 3.00 petang lalu kerana sakit tua dan uzur. Semoga roh beliau tenang di sana dan sentiasa dicucuri rahmat...Al-Fatihah...




Allahyarham Abdullah bin Daud

Abdullah Bin Daud
Adiguru Pandai Besi (1993)
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 18 Jul 1943

KEPIMPINAN DAN INTELEKTUAL Abdullah bin Daud antara tukang besi yang segani di seluruh negara. Belajar bertukang besi daripada ayahnya yang juga merupakan seorang tukang.Pernah mendapat pendidikan formal sehingga darjah dua. Beliau menghabiskan masa di bengkel ayahnya dengan membuat barangan kecil seperti pisau, hulu parang dan pisau kemudian dijual kepada rakan-rakan sekolah pada harga antara 20 sen hingga 60 puluh sen. Sebagai remaja beliau pernah mencuba beberapa pekerjaan dan merantau ke Thailand dan Singapura. Akhirnya anak muda ini mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halaman dan bertekad mengusahakan pertukangan besi sepenuh masa dan pada usia 24 tahun beliau telah mahir menempa senjata. Beliau mahir menghasilkan pelbagai jenis senjata seperti keris, pedang, parang, tukul, beliung, golok, kapak dan kerambit. Senjata istimewanya ‘Kerambit Lawi Ayam’. Keistimewaan En Abdullah yang lebih senang dengan panggilan Pak Lah ialah kemahiran beliau melakukan proses menghasilkan senjata dari memilih besi sehingga mengukir hulu dan sarung senjata. Ini adalah merupakan bakat semulajadi beliau. Apabila perusahaannya bertambah maju beliau membuka bengkel sendiri dengan dibantu oleh ayah saudara beliau. Beliau sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perusahaan beliau. Barangan yang dihasilkan dilakukan dengan cara pengeluaran dengan kuantiti yang banyak dan dipasarkan di Pasar Kota Bharu dan Machang. Ternyata hasil kerja beliau sememangnya mendapat perhatian penduduk- penduduk setempat, pelancong serta orang kenamaan. 

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI Encik Abdullah lebih suka memasarkan barangan buatan beliau secara terus kepada pelanggan. Ini kerana pelanggannya dapat melihat hasil kerja tangannya yang halus serta dapat terus berurusan dengan beliau.Secara tidak langsung mereka akan mengenali beliau dengan lebih dekat lagi. Terdapat juga pelanggan yang menempah terus dari beliau dan ada juga dijual melalui pasar. Pak Lah bukan sahaja mahir dalam membuat senjata malah beliau mampu menghasilkan hulu keris, parang dan senjata lain dengan unik sekali. Lama – kelamaan kemahiran beliau dalam petukangan besi ini telah mendapat tempat di kalangan orang ramai dan beliau mula menerima tempahan dari orang luar dan orang – orang kenamaan. Antara senjata yang dihasilkan oleh beliau adalah keris untuk Istana Besar Perlis serta peralatan lembing dari Kerajaan Negeri Terengganu.

SUMBANGAN TOKOH KEPADA INDUSTRI KRAF DAN MASYARAKAT Kejayaan demi kejayaan mula beliau kecapi. Antaranya beliau pernah dijemput beberapa kali membuat persembahan dan demonstrasi bagi pihak Lembaga Pengalakkan Pelancongan Malaysia. Tempahan barangan senjata dari agensi – agensi kerajaan lain juga turut diterima antaranya ialah Muzium Kelantan, Muzium Johor, Muzium Terengganu dan Muzium Pekan, Pahang. Beberapa majalah, suratkhabar, dan media lainnya mula memberi publisiti kepada beliau dalam ruangan seni dan budaya. Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Pandai Besi pada tahun 1993 oleh Kraftangan Malaysia. Beliau dipilih berdasarkan beliau merupakan satu – satu pembuat senjata Melayu yang mahir membuat senjata dan mengukir hulu senjata serta komitmen beliau terhadap penduduk setempat. Di Kampung Manan, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan beliau terkenal sebagai guru silat dan guru mengajar mengaji Al-Quran. Tidak hairanlah beliau sering menjadi pakar rujuk dan juga orang yang dihormati di tempat beliau.

Sumber: http://www.kraftangan.gov.my/
                                                                                                                        

14 Jul 2015

SALAM AIDILFITRI SYAWAL 1436H


Kata-kata Imam Al-Ghazali : yang jauh itu WAKTU,yang dekat itu MATI,yang besar itu NAFSU,yang berat itu AMANAH,yang mudah itu BERBUAT DOSA,yang panjang itu AMAL,SOLEH yang indah itu SALING MEMAAFKAN


”Salam Aidilfitri,  Maaf Zahir dan Batin”.

UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN KHAS SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH
SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN
KRAFTANGAN MALAYSIA 2015

TARIKH:  
14 JULAI 2015 (SELASA)  27 RAMADAN 1436 H

MASA:
8.15 PAGI

TEMPAT:
PANGGUNG SARI, BANGUNAN SERI UTAMA
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR



Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis

·   Yang Berusaha Puan Hajah Zuraida binti Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah  (Operasi)
·     Pengarah-pengarah Bahagian  
·     Pengarah  Institut Kraf Negara
·     Pengurus Besar  Karyaneka Sdn. Bhd  
·     Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan
·     Warga Kraftangan  semua


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

1.          Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala  kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya, kita dapat bersama-sama sekali lagi berada di bulan Ramadan yang penuh berakah dan kemuliaan. Saya juga ingin memanjat kesyukuran kerana dapat kita bertemu lagi  pada perhimpunan bulanan Kraftangan Malaysia  kali ke-3, bagi tahun 2015.

2.           Tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua  dan semoga puasa kali ini  memberi ruang untuk kita bermuhasabah diri  dan memperbaiki ibadah kita.


3.          Saya juga turut merakamkan ucapan tahniah  kepada anggota baru yang menyertai Kraftangan Malaysia.  Selamat datang  dan bekerjalah dengan penuh semangat dan berhemah.


WARNA-WARNI AIDILFITRI 2015

4.      Warna-warni Aidilfitri 2015 baru sahaja melabuhkan tirai penganjuran kali ke-11 semalam, yang diadakan selama 12 hari sejak 2 Julai 2015 hinggalah 13 Julai 2015. Seperti mana semua sedia maklum, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz,  Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah  meluangkan masa merasmikan acara ini pada 2 Julai yang lalu  diikuti dengan Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan jayanya.  Yang Berhormat Menteri meluahkan rasa bangga  dan gembira tentang pencapaian dan signifikan acara yang dianjurkan ini, sejak tahun 2003, ketika itu  Yang Berhormat Menteri merupakan Menteri yang memegang portfolio Kementerian Pembangunan Usahawan.   Kraftangan Malaysia merupakan salah sebuah agensi di bawah Kementerian tersebut.

5.      Saya ingin merakamkan  penghargaan terima kasih  kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia  yang menyumbang usaha dan  tenaga di dalam menjayakan acara ini sehingga meletakkan Kraftangan Malaysia  sebagai sebuah organisasi yang cemerlang. Tanpa sokongan dan kerjasama dari semua,  Warna-warni Aidilfitri 2015 pastinya tidak akan dapat dijayakan.   Seperti tahun-tahun sebelumnya  sasaran jualan terus ditetapkan, dan tahun 2015 sebanyak RM3.2 juta menjadi sasaran. Insya Allah  dengan sokongan penganjuran promosi jualan di Pusat beli-belah  sasaran ini mungkin dapat dicapai.

6.       Suka saya mengingatkan,  walaupun Warna-warni Aidilfitri 2015 sudah berakhir,  tetapi masih ramai lagi usahawan kraf dan perkhidmatan Aidilfitri giat mempromosi produk mereka menerusi acara yang sama  di beberapa lokasi pusat beli-belah sekitar Lembah Klang  dan seluruh Malaysia sehingga Syawal kelak.  Harapan saya,  agar Bahagian Pemasaran dapat menyusun jadual petugas yang sistematik  agar dapat memantau aktiviti promosi yang dianjurkan ini dengan baik.


BANTUAN KHAS KEWANGAN

7.           Pada 17 Jun lalu,  Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500  kepada penjawat awam gred 54 ke bawah sebagai persiapan menyambut Ramadan  dan Hari Raya Aidilfitri.  Selain penjawat awam,  bantuan khas tersebut juga turut dinikmati oleh 700,000 pesara Kerajaan yang menerima pencen dengan bayaran sebanyak RM250.

8.      Alhamdulillah,  kita semua telah mendapat bantuan khas ini pada 25 Jun lalu.  Bersyukur kerana Kerajaan amat prihatin dan sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk kumpulan penjawat awam.  Difahamkan  Kerajaan memperuntukkan implikasi kewangan hampir RM1billion  bagi memberi bantuan kewangan untuk penjawat awam dan pesara pada tahun ini.  Bagi melahirkan rasa syukur itu,   maka wang berkenaan harus dibelanjakan dengan sebaik-baiknya.


MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA

9.           Saya juga ingin memaklumkan,  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM)  Hari Raya Aidilfitri  pada hari Ahad, 2 Ogos 2015  bertempat di Rembau, Negeri Sembilan.  Majlis ini akan dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Isteri.

10.       Menyusul selepas itu pula ialah,  penganjuran Majlis Hari Raya Aidilfitri  peringkat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan  yang dijadualkan pada hari Selasa,  11 Ogos 2015 bertempat di MATIC Kuala Lumpur.

11.       Penglibatan Kraftangan Malaysia bagi kedua-dua acara ini ialah  hidangan juadah makanan,  hadiah pertandingan  serta hiasan dan keceriaan.


KEMPEN MALAYSIA YEAR OF FESTIVALS 2015

12.       Kempen Malaysia Year of Festivals 2015  yang bertemakan 'Endless Celebrations'  sedang giat dilaksanakan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sehingga bulan Disember ini.  Pelbagai acara peringkat antarabangsa  dan nasional telah dirancang oleh Kementerian dan agensi berkaitan. Ini termasuklah seperti penganjuran World Tourism Day,  Citrawarna,  Malaysia Open ATP  bagi menarik lebih ramai pelancong luar negara berkunjung ke Malaysia.  Untuk itu, usahawan-usahawan kraf perlu merebut peluang ini  untuk menempatkan produk kraf tempatan menjadi sebahagian pakej lengkap pelancongan  kepada para pelancong.  Oleh yang demikian  saya menyeru kepada Cawangan-cawangan negeri agar terus menyampaikan maklumat ini kepada usahawan-usahawan negeri masing-masing.


KESELAMATAN PEJABAT DAN DIRI

13.       Hari ini kita berada pada hari ke 27 Ramadan   dan Insya Allah  pada Jumaat ini  kita semua akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Sebahagian besar warga Kraftangan Malaysia akan meninggalkan pejabat dan balik ke kampung halaman masing-masing. Saya berpesan kepada semua  agar mengambil langkah membuat semakan terakhir ke atas pejabat dan ruang kerja masing-masing.   Pastikan segala alat-alat elektronik dan komputer dimatikan. Dokumen-dokumen penting juga  disimpan di tempat yang selamat.

14.    Di samping itu juga  keselamatan diri perlu dititik beratkan  dengan menjaga kesihatan,  memandu pulang ke kampung dengan cermat  dan berhati-hati.  Begitu jugalah sepanjang menyambut Aidilfitri  dan perjalanan pulang ke tempat kerja.


UCAPAN HARI RAYA AIDILFITRI

15.     Sebelum mengakhiri ucapan ini,  saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.   Sepuluh jari disusun memohon maaf   di atas segala kesilapan  sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah  di Kraftangan Malaysia.

16.      Sekali lagi saya ucapkan  Selamat Hari Raya Aidilfitri  dan saya dan keluarga memohon maaf  zahir dan batin.


SEKIAN.
Wabillahitafik Walhidayah.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


TAHNIAH DAN PENGHARGAAN TERIMA KASIH



Warna-warni Aidilfitri 2015 telah melabuhkan tirai semalam. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih atas kerjasama yang padu terutamanya kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia yang telah menjayakan program ini dengan jayanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Ribuan terima kasih juga kepada semua pengunjung yang telah datang dan memberi kerjasama yang baik serta menjayakan  program ini

3 Jul 2015

SALAM NUZUL AL-QURAN


Pada tahun ini kita semua akan menyambut Nuzul Al-Quran pada 4 Julai 2015 (Sabtu) bersamaan 17 Ramadhan 1436H. Semoga kita sebagai umat Islam sentiasa mengambil iktibar peristiwa Nuzul Al-Quran dan sentiasa manjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup kita agar kita semua sentiasa di jalan yang benar. InsyaAllah...

Sejarah
Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraanMalaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Nuzul_Quran