27 Ogo 2013

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YABG KE-56



Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-56 kepada semua yang akan disambut pada 31 Ogos 2013 (Sabtu) bersamaan 24 Syawal 1434H. Semoga kita sama-sama menghayati jasa dan pengorbanan para pejuang negara untuk mendapatkan kemerdekaan yang kita kecapi hingga ke hari ini.

22 Ogo 2013

LAGU NEGARAKU

LAGU KEBANGSAAN

Negaraku
Tanah tumpahnya darah ku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Sejarah Lagu Negaraku
Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Irama “Negaraku” dipetik daripada irama lagu negeri Perak. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu “Terang Bulan” yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles. “Negaraku” menekankan taat setia dan perpaduan rakyat untuk kemajuan negara. Lagu ini berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air.
Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap menyambut hari kemerdekaan. Lagu Kebangsaan perlu diperdengarkan dalam upacara pengisytiharan kemerdekaan yang ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan. Namun empat lagu akhir yang telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta Lagu Kebangsaan Negara Malaysia. Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain.
Skor lagu “Negaraku” telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata Lagu Kebangsaan “Negaraku” telah disediakan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-Sultan Tanah Melayu.
Lagu Kebangsaan “Negaraku” diperdengarkan buat julung kalinya pada 31Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Pada malam tersebut, bendera Union Jack telah diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi dengan Lagu Kebangsaan “Negaraku”. Bermula dari detik inilah, lagu “Negaraku” terus kekal menjadi lagu rasmi negara.

LOGO HARI KEMERDEKAAN KE-56


Rasional Logo Hari Kemerdekaan Ke-56

  • #  Imej grafik bernombor 56 adalah simbolik sempena Hari Kemerdekaan Ke-56

  • # Imej berwarna merah dan putih melambangkan Jalur Gemilang menyaluti simbol 56 menandakan kecintaan dan keharmonian tanahair yang merdeka

  • # Bulan Sabit melambangkan kedaulatan

Secara ringkas, apa yang hendak ditonjolkan pada logo ini adalah ” memupuk semangat kecintaan kepada keamanan dan Malaysia negara berdaulat”

TEMA HARI KEMERDEKAAN YANG KE 56

TEMA HARI KEMERDEKAAN KE 56


Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku adalah tema sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 yang akan disambut pada 31 Ogos 2013. 

Tema yang lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotik dan kesatuan Negara bangsa ini dipilih bagi memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu mempertahankan Negara disamping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan Negara.

Selaras dengan pendekatan tema ini, konsep sambutan pada tahun ini akan lebih menjurus kepada elemen-elemen perpaduan, patriotik, kedaulatan dan keselamatan Negara. Insiden pencerobohan Lahad Datu dan Semporna menjadi iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama dalam bidang ketenteraan.







21 Ogo 2013

ERTI KEMERDEKAAN



Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. 

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara. 

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.
Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh. 

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden. 

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.

56 TAHUN KEMERDEKAAN





Setelah 56 tahun mengecapi kemerdekaan, Malaysia membangun dengan penuh bergaya. Pembangunan yang dicapai begitu pantas dan dinamik. Kekukuhan ekonomi dan perpaduan kaum menjadi kunci kepada keutuhan kemerdakaan yang telah dilalui. Rakyat menikmati agihan kestabilan politik, kemewahan ekonomi dan keadilan sosial yang sama dan seimbang. Pendidikan terus memacu rakyat untuk menjadi bangsa yang moden, beradab dan dihormati. Malaysia harum di pentas dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dan stabil.

Beberapa mercu tanda seperti projek pengeluaran kereta nasional pertama Proton Saga yang merintis industri permotoran negara, pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur yang pernah diiktiraf sebagai di Menara Tertinggi Di Dunia, pembinaan Litar Antarabangsa Sepang yang berjaya menaikkan imej negara khususnya dalam penganjuran sukan lumba kereta Formula One selain mengangkat nama Petronas dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang permotoran dan pelbagai lagi mercu tanda dan kejayaan yang dicapai menjadi produk kebanggaan rakyat Malaysia.

Persediaan menghadapi badai langit terbuka telah dilakukan dengan penubuhan Koridor Raya MultiMedia (Multimedia Super Corridor) agar setanding dengan Lembah Silikon di Amerika Syarikat. Pencapaian rakyat Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila sekumpulan pendaki berjaya menawan puncak Everest pada 15 Mei 1997, berenang merentasi selat Inggeris pada 3 Ogos 2003, ekspedisi penerjunan di kutub utara pada 2003 dan ekspedisi solo menawan benua Anrtartika pada 2004. Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Suara Malaysia didengar di persada antarabangsa apabila suatu ketika, Malaysia mempelopori usaha menentang Dasar Apartheid di Afrika Selatan. Keamanan yang dicapai oleh negara dipohon oleh PBB untuk membawa misi tersebut di negara-negara seperti Congo (1960-1963), Somalia (1993-1994), Bosnia (1993-1998), Kampuchea (1991-1994), Angola (1991) dan Timor Leste (2006). Segala pencapaian cemerlang negara adalah cetusan pemimpin dan aspirasi rakyat yang digembeling bersama untuk menjadi Malaysia benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kini segala usaha yang digarap oleh seluruh lapisan rakyat menjadi hadiah yang amat berharga untuk sambutan 56 Tahun Kemerdekaan Malaysia. Menghadapi alaf baru yang penuh cabaran, rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada. Biarpun suatu ketika dahulu, rakyat digembar-gemburkan dengan penjajahan bentuk baru melalui pengaruh pemikiran, ekonomi, sosial, adat dan budaya, ternyata, kini, penjajahan ke atas negara lemah dan mundur yang suatu ketika dahulu telah lama ditinggalkan oleh manusia bertamadun, kini kembali semula dalam bentuk dan alasan baru.

Kita juga dikepung oleh ledakan teknologi komunikasi maklumat dan era globalisasi yang menuntut lebih pengorbanan dan tanggungjawab daripada rakyat untuk terus mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan kepada seluruh rakyat menuntut kita supaya lebih peka dengan persekitaran yang berlaku. Justeru, konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan akan menjadi wadah untuk rakyat membangunkan negara dengan penuh keimanan kepada tuhan, berilmu, kehidupan yang harmoni, agihan kekayaan yang adil, bertamadun dan beretika.

JALUR GEMILANG


JALUR GEMILANG ~ Nama tersebut di ishtiharkan oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu pada jam 11.58 malam, 31 Ogos 1997, di Dataran Merdeka. Ia terpilih dari 3 nama yang di senarai pendek dari 28 nama yang di cadangkan, namun bentuknya terus di kekalkan.

Jalur menggambarkan 14 jalur merah putih yang melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang di amalkan oleh rakyat untuk menuju kegemilangan bangsa dan negara.
Gemilang pula bermaksud ‘cahaya’, terang benderang dan cemerlang, Jalur Gemilang memberi pengertian kecemerlangan negara Malaysia dan rakyatnya dalam mengharungi apa juga bidang kehidupan di dalam dan di luar negara dengan kesuguhan, kegigihan dan kesangguppan untuk menaikkan imej negara.
Untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan kempen kibar Jalur gemilang Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah pada 16 Ogos 2013 (Jumaat) yang lalu.
Ayuh! Tunjukkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negara. 

6 Ogo 2013

SALAM AIDILFITRI 1434H


SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SEMUA UMAT ISLAM. MAAF ZAHIR & BATIN. BERHATI-HATI DI JALAN RAYA. SEMOGA SELAMAT SAMPAI KE DESTINASI MASING - MASING BERJUMPA KELUARGA TERSAYANG. SELAMAT KEMBALI BERTUGAS SELEPAS BERCUTI PANJANG.

UCAPAN YBHG KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN BULAN OGOS 2013

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN DI PANGGUNG SARI
BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR 

TARIKH
02 OGOS 2013 (JUMAAT)
  
JAM
8.00 PAGI

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

TERIMA KASIH PENGERUSI MAJLIS,

YANG BERUSAHA
TUAN HAJI RAMLI MOHD NOOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI)

TUAN HAJI SHAHRUDIN MOHD NOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (PEMBANGUNAN),  

PENGARAH-PENGARAH BAHAGIAN,

PENGARAH INSTITUT KRAF NEGARA

PENGURUS BESAR KARYANEKA SDN. BHD,

PENGURUS KRAF HOLDING SDN. BHD.

DAN WARGA KRAFTANGAN SEMUA

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA

SYUKUR KITA KE HADRAT ILAHI DENGAN LIMPAH KURNIANYA DAPAT KITA BERKUMPUL DAN BERSUA MUKA PADA HARI INI BAGI MERAPATKAN SILATURAHIM SESAMA KITA WARGA KRAFTANGAN MALAYSIA PERINGKAT IBU PEJABAT, INSTITUT KRAF NEGARA, CAWANGAN SELANGOR, KARYANEKA DAN JUGA KRAF HOLDING.

DI PAGI BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK YANG MULIA INI MARILAH SAMA-SAMA KITA MEMANJATKAN KESYUKURAN KE HADRAT ALLAH SUBHANA WATAALA KERANA DENGAN RAHMAT DAN HIDAYAHNYA MENGIZINKAN KITA UNTUK MENUNAIKAN KEWAJIBAN BERPUASA SELAMA SEBULAN PADA TAHUN INI DAN SEMOGA KITA SEMUA DIPANJANGKAN USIA UNTUK BERTEMU RAMADHAN PADA TAHUN HADAPAN. 

BULAN RAMADHAN MERUPAKAN UJIAN YANG AMAT TINGGI DIANUGERAHKAN KEPADA UMAT ISLAM DAN KEWAJIPAN BERPUASA INI BUKAN HANYA SEKADAR MENAHAN DIRI DARIPADA MAKAN DAN MINUM ATAUPUN PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA MULAI TERBIT FAJAR SHADIQ SEHINGGA TERBENAM MATAHARI MALAH PUASA MENGAJAR KITA SEMUA UNTUK MENGHARGAI NILAI REZEKI DAN MENSYUKURI RAHMAT ALLAH. 

MENYELAMI HAKIKAT BERPUASA DENGAN MENAMBAHKAN AMAL IBADAT JANGANLAH KITA MENJADIKANNYA SEBAGAI ALASAN BERSIKAP LESU, MEMINTA PENGURANGAN JAM KERJA, PRODUKTIVITI YANG MEROSOT, DAN SEBAGAINYA MALAH SEHARUSNYA PUASA INI MENGAJAR KITA MEMENUHI MASA DENGAN MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB YANG DIAMANAHKAN. NILAI-NILAI INI MENJADIKAN KITA SEMUA SEBAGAI WARGA KERJA YANG DINAMIK, KETAHANAN DIRI YANG TINGGI DAN BERFIKIRAN POSITIF. 

NILAI-NILAI INILAH YANG AKAN MEMBENTUK KEJAYAAN KITA DI DALAM SESEBUAH ORGANISASI.  SAYA AMAT BERSYUKUR DI KRAFTANGAN MALAYSIA SIKAP TANGGUNGJAWAB YANG DIAMANAHKAN DILAKSANAKAN DENGAN SEMPURNA SEHINGGA MEMBAWA KEPADA KEJAYAAN DAN PENCAPAIAN YANG MEMBERANGSANGKAN MALAHAN MENJADI CONTOH DI KALANGAN AGENSI-AGENSI DI BAWAH KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN. 

PAGI INI JUGA SAYA INGIN BERKONGSI DENGAN SAUDARA SAUDARI SEKALIAN PENCAPAIAN KEY PERFOMANCE INDICATOR (KPI) KRAFTANGAN MALAYSIA BAGI TAHUN 2013.  SAYA AMAT BERTERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG MENGGANDAKAN USAHA SEHINGGA MEMBAWA KEPADA TERCAPAINYA NILAI JUALAN KRAF SEHINGGA JUN 2013 IALAH SEBANYAK RM225 JUTA MELEBIHI SASARAN YANG DITETAPKAN SEHINGGA JUN IAITU SEBANYAK RM165 JUTA.  INI BERMAKNA DALAM MASA EMPAT BULAN JULAI SEHINGGA DISEMBER KITA PERLU MENCAPAI JUALAN SEBANYAK RM125 JUTA BAGI MENDAPAT SASARAN YANG DITETAPKAN UNTUK TAHUN 2013 IAITU RM350 JUTA.

BARU-BARU INI KITA JUGA TELAH MENGANJURKAN PROMOSI KERJA KAHWIN YANG BERMULA PADA 19 JUN SEHINGGA 1 JULAI 2013 DAN UNTUK TAHUN INI SERAMAI 273 USAHAWAN TERLIBAT DAN MENYUMBANG JUMLAH JUALAN KESELURUHAN SEBANYAK RM12.3 JUTA MENINGKAT SEBANYAK RM1.1 JUTA BERBANDING RM11.2 JUTA UNTUK TAHUN 2012.  TERIMA KASIH DAN SYABAS DIUCAPKAN KEPADA SEMUA YANG MENJAYAKAN PROMOSI KERJA KAHWIN 2013.

SEPERTI LAZIMNYA SETIAP TAHUN KITA JUGA MENGANJURKAN PROMOSI KRAF AIDILFITRI YANG BERMULA PADA 24 JULAI SEHINGGA 4 OGOS 2013.  SAYA INGIN MEMAKLUMKAN BAHAWA PROMOSI INI DILANJUTKAN SEHINGGA 4 OGOS (AHAD) ATAS PERMINTAAN USAHAWAN-USAHAWAN.  AKTIVITI TAHUNAN SEBEGINI MEMPERLIHATKAN USAHA BERTERUSAN KRAFTANGAN MALAYSIA DALAM MEMPROMOSIKAN KRAF MENERUSI PERAYAAN DAN SEBAGAINYA.  USAHA INI MERUPAKAN PENDEKATAN BARU BAHAWA MEMPROMOSI PRODUK KRAF PERLU SEIRING DENGAN PERAYAAN, SAMBUTAN SERTA MERAIKAN ACARA-ACARA TAHUNAN NEGARA.

SEPERTI MANA SAUDARA SAUDARI SEDIA MAKLUM KRAFTANGAN MALAYSIA KINI DILETAKKAN DI BAWAH KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN SETELAH PEMBENTUKAN KABINET MALAYSIA YANG BAHARU DAN MENERAJUI KEMENTERIAN INI IALAH YANG BERHORMAT DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN TAN SRI ABDUL AZIZ.  DI BAWAH NAUNGAN KEMENTERIAN INI DIHARAPKAN INDUSTRI KRAF DAPAT DIPERTINGKATKAN LAGI BERIKUTAN SOKONGAN DARI PIHAK KEMENTERIAN TERUTAMANYA PERLETAKKAN PRODUK KRAF SEBAGAI SALAH SATU PRODUK PELANCONGAN NEGARA.

ALHAMDULILLAH BARU-BARU INI KERAJAAN MENGUMUMKAN PEMBERIAN DUIT RAYA SEBANYAK RM500.00 KEPADA SEMUA KAKITANGAN AWAM GRED 54 KE BAWAH DAN SEHARUSNYA SEMUA ANGGOTA KERJA PERLU BERTERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN DI ATAS KEPRIHATINAN TERSEBUT.  SEKURANG-KURANGNYA PEMBERIAN INI DAPAT MENGURANGKAN BEBAN KAKITANGAN DAN DIMANFAATKAN UNTUK PERBELANJAAN HARI RAYA.  

DI KESEMPATAN INI SEMPENA SYAWAL YANG BAKAL TIBA SAYA INGIN MERAKAMKAN UCAPAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA WARGA KRAFTANGAN MALAYSIA DAN SELURUH UMAT ISLAM DI MALAYSIA.  AIDILFITRI MERUPAKAN HARI KITA MENYAMBUT KEMENANGAN DAN SEBAGAI GANJARAN KEPADA MEREKA YANG SABAR  MENUNAIKAN IBADAH PUASA.

KEMENANGAN INI LEBIH BESAR ERTINYA SEKIRANYA DAPAT DIMANFAATKAN KE ARAH MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB YANG PERLU DIGALAS BERSAMA UNTUK KITA MEMAJUKAN LAGI INDUSTRI KRAF DI NEGARA KITA.  SAMBIL KITA BERGEMBIRA UNTUK MENYAMBUT HARI RAYA JANGAN DILUPAKAN TANGGUNGJAWAB YANG LEBIH BESAR MENANTI TERUTAMANYA UNTUK MELAKSANAKAN AKTIVITI-AKTIVITI TAHUN INI DAN SETERUSNYA MENCAPAI SASARAN KERJA TAHUNAN (SKT) SERTA KPI YANG TELAH DITETAPKAN.

SAYA SUKA BERPESAN KEPADA SEMUA AGAR MENYELESAIKAN SEMUA URUSAN PENTING SEBELUM MENINGGALKAN PEJABAT PULANG KE KAMPUNG MASING-MASING.  CUTI PERLU DIAMBIL SECARA BERGILIR-GILIR DAN ADA KAKITANGAN BERTUGAS SETELAH PEJABAT DIBUKA PADA 12 OGOS 2013.

SEBELUM SAYA MENGAKHIRI UCAPAN PADA PAGI INI MEMANDULAH DENGAN BERHATI-HATI SEMASA PULANG KE KAMPUNG DAN SEMASA BALIK SEMULA KE TEMPAT BERTUGAS.  SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN.


WASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


TERIMA KASIH.