19 Mei 2016

Perjumpaan YBhg. Ketua Pengarah Bersama Anggota Kerja PKKM Kedah, Perlis, Langkawi & Pulau Pinang Serta Lawatan Pemantauan Usahawan Kraf

PKKM Kedah - Majlis Penutup Makmal Pengeluaran Produk
Baru Batik Teknik Shibori dan Aksesori Wanita (13 Mei 2016)



Lawatan Pemantauan Usahawan SDSI Pulau Tuba
& Lawatan Ke Kompleks Kraf Langkawi 
(14 Mei 2016)

Lawatan ke PKKM Perlis (16 Mei 2016)
 
Lawatan Ke PKKM Pulau Pinang (16 Mei  2016)

5 Mei 2016

TEKS UCAPAN KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN APRIL 2016


TARIKH      :        14 APRIL  2016 (KHAMIS)

MASA         :        9.00 PAGI

TEMPAT    :        PANGGUNG SARI
                                     KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

SALUTASI


Terima kasih Saudara & Saudari Pengerusi Majlis

§   Yang Berusaha Puan Haslina binti Abdul Hamid
   Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)

§   Yang Berusaha Encik Yusak bin Haji Mahamud
   Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)

§   Pengarah-pengarah Kanan

§   Pengarah Kanan Institut Kraf Negara

§   Pengarah-pengarah Bahagian, Unit dan Kompleks

§   Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor

§   Pengurus Besar Karyaneka Sdn. Bhd., dan

§   Warga Kraftangan Malaysia yang dikasihi semua



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa



ALU-ALUAN

1.           Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan izinNya, dapat kita bersama-sama pada hari ini berkumpul bagi Perhimpunan Bulan April 2016.

2.           Di kesempatan ini, ingin saya titipkan dengan berita pilu mengenai pemergian anggota kerja kita iaitu dari Institut Kraf Negara dan bekas anggota kerja Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah. Pada tanggal 9 April lalu, kita dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Mohd Sharizan Tarmizi yang telah kembali kepada penciptaNya. Seorang lagi anggota kerja Kraftangan Malaysia telah kembali ke Rahmatullah pada 11 April lalu. Mungkin ada di kalangan kita di sini/ tidak mengenali pemilik nama Yusoff bin Hassan. Beliau merupakan pesara Kraftangan Malaysia yang telah bersara wajib pada tahun 1998. Penempatan terakhir beliau sebelum bersara ialah di Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah dengan menjawat jawatan sebagai Pengarah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Kota Sarang Semut, Kedah pada usia 73 tahun kerana sakit tua. Marilah bersama-sama kita sedekahkan Al fatihah kepada Allahyarham semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. AL FATIHAH.

Saudara dan saudari sekalian,

3.           Syukur Alhamdulillah, negara kita masih berada dalam keadaan yang stabil dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Kerajaan juga membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat. Malah Perdana Menteri juga memberi jaminan akan melaksanakan satu kenaikan gaji tahunan kepada 1.6 juta penjawat awam pada 1 Julai tahun ini sepertimana yang diumumkan sebelum. Justeru, saya sarankan agar kita semua mengurus belanja dengan lebih bijak dan realistik seiring dengan cabaran semasa.

4.           Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri Februari lalu, menggariskan dua perkara yang perlu ditumpukan oleh penjawat awam bagi memastikan kelangsungan pentadbiran Kerajaan yang lebih berkesan dan kesejahteraan rakyat terpelihara. Perkara itu ialah, mengoptimumkan perbelanjaan Kerajaan dan berfikir secara kreatif serta inovatif dalam melaksanakan tugas. Tindakan mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud memotong perbelanjaan, tetapi melihat bagaimana setiap ringgit atau peruntukkan dibelanjakan yang boleh mendatangkan hasil dan kesan yang positif. Selain itu, tumpuan juga harus diberikan berkaitan bagaimana menggunakan daya fikir yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan produktiviti.

5.           Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia turut memberi perhatian dalam menjalankan sesuatu program ianya mestilah rendah kosnya tetapi tinggi impaknya. Justeru, saya menyeru kepada semua agar terus meningkatkan mutu perkhidmatan dengan bekerja lebih kreatif dan inovatif. Dengan itu kita tidak boleh lagi berfikir diluar kotak, tetapi perlu berfikir seolah-olah tiada kotak. Justeru kita perlu impi, percaya dan capai visi kita.

LANGKAH-LANGKAH MENGOPTIMUMKAN PERBELANJAAN MENGURUS KRAFTANGAN MALAYSIA

6.           Bagi menampung perbelanjaan mengurus Kraftangan Malaysia yang terhad, Kraftangan Malaysia telah menggariskan satu Panduan Langkah-langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Mengurus Kraftangan Malaysia. Terdapat 11 langkah diperkenalkan iaitu:

a.     PENJIMATAN UTILITI – iaitu penggunaan elektrik seperti lampu dan sistem penghawa dingin perlu mengikut waktu pejabat, mengelakkan sebarang pembaziran air dan meringkaskan perbualan telefon dengan menggalakkan penggunaan emel.

b.  PENJIMATAN ALAT-ALAT & BAHAN TULIS – melibatkan penggunaan kertas pencetak agar menggunakan kedua-dua belah muka kertas, kecuali urusan rasmi kepada pihak Kementerian. Bagi penjimatan bahan tulis, setiap bahagian dan cawangan perlu membuat inventori mengikut keperluan.

c. PENJIMATAN PEROLEHAN BARANGAN DAN PERKHIDMATAN –memerlukan pegawai terlibat membuat perbandingan harga bagi khidmat atau bekalan tidak melebihi RM10,000.00 berupaya mencari khidmat tenaga kerja dengan kadar yang seragam serta mengelakkan menyimpan stok bekalan pejabat dalam kuantiti yang tidak munasabah.

d.    PENJIMATAN PENGGUNAAN KENDERAAAN PEJABAT – perjimatan ini melibatkan penggunaan petrol dan kad touch & go dikawal dengan berpandukan bil terperinci dengan log kenderaan. Selain itu, pilihan bahan petrol RON 95 diutamakan untuk kenderaan menggunakan petrol. Penyelenggaran enjin kenderaan juga perlu diberikan perhatian.

e. PENJIMATAN PENGANJURAN MESYUARAT – Digalakkan untuk mengadakan mesyuarat di pejabat, menggabungkan beberapa mesyuarat dalam satu masa, menyediakan jamuan ringkas seperti kuih kecuali mesyuarat yang berjadual dan melibatkan agensi luar.

f.     PENJIMATAN PENGANJURAN MAJLIS RASMI – Penjimatan ini melibatkan menganjurkan majlis di premis Kraftangan Malaysia atau lokasi luar dengan kadar sewa berpatutan dan menyediakan jamuan secara sederhana. Gimik yang ringkas, persembahan video mengguna kepakaran dalaman/ serta hiasan majlis dengan sumber sedia ada.

g.     PENJIMATAN ELAUN LEBIH MASA – Penjimatan ini melibatkan tuntutan bayaran elaun lebih masa penuh hanya dibayar kepada anggota pelaksana dari gred 1 hingga gred 18. Kedua, tuntutan bayaran elaun lebih masa melebihi RM1,000.00 sebulan daripada gaji pokok bagi anggota gred 22 hingga gred 26 dan baki lebih elauan lebih masa akan ditukarkan kepada cuti gantian. Ketiga, tuntutan bayaran elaun lebih masa hanya dibayar 1/3 gaji pokok bagi pegawai pelaksana dari gred 27 hingga gred 36 dan baki lebih elaun lebih masa  akan ditukarkan kepada cuti gantian.

h.     Penjimatan Program Latihan – Penjimatan ini terbahagi kepada dua iaitu, bagi Program Bercorak Latihan di bawah Belanja Pembangunan, semua program bercorak latihan yang melibatkan usahawan dengan anggota kerja Kraftangan Malaysia melalui aktiviti Makmal Rekaan, Orientasi Pengeluaran, Kursus Pemasaran, ’Training of Trainers’, Kursus Kemahiran Teknikal dan Kursus Pembangunan Keusahawanan akan dibiayai di bawah Belanja Pembangunan (termasuk tuntutan perjalanan anggota kerja). Manakala, bagi program latihan di bawah belanja mengurus, memerlukan semua program latihan berbentuk fungsional dan generik yang melibatkan anggota kerja Kraftangan Malaysia akan dibiayai di bawah belanja mengurus. Anggota kerja Kraftangan Malaysia di peringkat ibu pejabat, cawangan, Kompleks Kraf dan Institut Kraf Negara digalakkan untuk menyertai kursus-kursus anjuran INTAN yang terdapat Wilayah Zon Utara, Selatan, Timur, Tengah, Sabah dan Sarawak.

i.       PENJIMATAN PERBELANJAAN DALAM NEGERI - Penganjuran kursus/seminar secara dalaman adalah digalakkan dibuat di premis kepunyaan Kraftangan Malaysia. Kursus / Makmal yang dipertimbangkan untuk dilaksanakan di luar premis Kraftangan Malaysia adalah seperti Makmal Rekaan / Orientasi Pengeluaran, Team Building dan Pelan Strategik Jabatan (Retreat). Selain itu, bagi perjalanan udara perlu mengambil tiket tambang kapal terbang yang termurah dan anggota kerja kumpulan pelaksana (dari gred 22 ke bawah) dibenarkan menggunakan perjalanan udara bagi menjalankan tugas rasmi di cawangan-cawangan yang perjalanannya melebihi 300km sehala yang mana tempoh jangkamasa bertugas tidak melebihi satu hari.

j.  PENJIMATAN SEWAAN PEJABAT /PERALATAN SEWAAN - Semua cadangan untuk sewaan pengubahsuaian pejabat baharu tambahan tidak dibenarkan kecuali melibatkan kos yang lebih rendah daripada sewaan sedia ada setelah mengambilkira kos perpindahan dan pengubahsuaian keci//l. Hanya perlanjutan penyewaan peralatan pejabat sahaja dibenarkan tanpa melibatkan tambahan bilangan peralatan.

k. KEMPEN, PROMOSI, PENAJAAN DAN PENGIKLANAN - Pelancaran kempen promosi hendaklah bersesuaian dengan kumpulan sasar yang dikenal pasti. Pegawai pengawal digalakkan menghentikan kempen-kempen yang kurang berkesan. Kempen / promosi yang bersifat komersial dan kesedaran kepada orang ramai hendaklah memberikan pulangan atau impak kepada Jabatan Kerajaan. Kedua digalakkan membuat kempen / promosi secara dalam talian bagi mengurangkan perbelanjaan berbanding mengadakan persembahan / pertunjukan (road show) secara beramai-ramai, penggunaan media cetak dan media elektronik. Program penajaan dan pengiklanan seperti sisipan akhbar, iklan dalam media cetak dan elektronik dan billbord hendaklah dikurangkan dan dikaji semula selepas tamat kontrak penajaan/ pengiklanan tersebut.

l.       PENGINAPAN LUAR NEGARA – Bagi penjimatan ini, pegawai hendaklah membuat tempahan bilik penginapan pada harga yang menjimatkan. Pegawai dibenarkan untuk membuat tempahan sendiri secara atas talian. Selain itu, perbandingan harga yang ditawarkan di atas talian boleh digunakan sebagai asas tempahan.

UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA ANGGOTA KERJA- HARI KRAF KEBANGSAAN 2016

7.           Masih belum terlewat untuk saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua anggota kerja yang telah bekerja keras bagi menjayakan sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK 2016) yang telah diadakan pada 24 Februari - 6 Mac 2016 lalu. HKK2016 telah berjaya memperoleh sebanyak RM12.6 juta. Tahniah dan syabas kepada semua di atas kejayaan pencapaian jualan ini.




ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG (APC) 2015

8.           Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada 58 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dari Kraftangan Malaysia pada tahun ini. Majlis meraikan para penerima telah diadakan pada Isnin lalu, 11 April 2016 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bertempat di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Putrajaya. Semoga dengan pengiktirafan ini dapat membangkitkan lag/ semangat serta menjadi inspirasi untuk semua warga Kraftangan Malaysia agar berkhidmat dengan lebih baik dan cemerlang di masa hadapan.

Buah pelaga bentuknya bujur,
Sebagai perencah masakan kari,
Kerja ikhlas, tekun dan jujur,
Nescaya cemerlang di kemudian hari

Saudara dan saudari sekalian,

PERLAKSANAAN PROGRAM NBOS

9.           NBOS merujuk kepada National Blue Ocean Strategy atau Strategi Laut Biru Kebangsaan yang diilhamkan oleh Profesor W Chan Kim dan Profesor Renee Mauborgne, membekalkan satu cara kreatif dan sistematik dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos yang rendah. Pendekatan baru ini telah diambil oleh Perdana Menteri kita untuk diadaptasi dan dilaksanakan oleh Kerajaan.

10.        Selaras dengan dasar ini, Kraftangan Malaysia menyambut baik perlaksanaan NBOS dengan bekerjasama dan merangka pelbagai strategi bersama pihak luar terutama pusat beli belah dengan tujuan meningkatkan keupayaan dan potensi industri kraf seperti produktiviti dan jualan kraf. Bagi tahun 2016, sebanyak lapan (08) promosi bakal diadakan dari bulan April hingga Jun 2016 yang melibatkan kolaborasi dari segi perkongsian sewaan. Antara promosi tersebut;

BIL.
PROMOSI
TARIKH
BILANGAN USAHAWAN
1.
Great Eastern Mall, KL
13 – 24 April
20 usahawan
2.
Hong Kong Gifts & Premium Fair 2016

27 – 30 April
11 usahawan
3.
Mesra Mall, Terengganu

28 April – 7 Mei
35 usahawan
4. 
Bintang Megamall, Miri

20 – 29 Mei
68 usahawan
5. 
Dataran Menara Condong, Teluk Intan

26 – 31 Mei
40 usahawan
6. 
Floria Putrajaya

27 Mei – 4 Jun
60 usahawan
7.
Setapak Sentral

15 – 26 Jun
14 usahawan
8.
Festival Ramadan, Putrajaya
6 Jun – 5 Julai
50 usahawan


MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL PEMATUHAN STANDARD TEKSTIL TENUNAN (SONGKET) MALAYSIA MS 1747 : BAHAGIAN 1 : 2007

11.        Kraftangan Malaysia akan mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Pematuhan Standard Tekstil Tenunan (Songket) Malaysia MS 1747 : Bahagian 1 : 2007 pada18 April 2016 (Isnin) di Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu. Saya sendiri akan menyempurnakan majlis tersebut. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada 26 penerima dari kalangan usahawan kraf songket Negeri Terengganu.

APLIKASI BARU - TEKNOLOGI MAKLUMAT

12.      Untuk makluman semua anggota kerja, Kraftangan Malaysia telah mewujudkan tiga aplikasi baru iaitu Sistem Latihan (Versi 1), Sistem Persys dan Sistem MyBayar untuk kegunaan anggota kerja. Sistem Latihan (Versi 1) merupakan aplikasi yang telah ditambah baik dari segi kemudahan untuk setiap anggota kerja memohon latihan dan memberi maklum balas mengenai keberkesanan kursus yang mereka hadiri. Sistem Persys, merupakan aplikasi yang menggantikan Sistem E-Industri. Ianya lebih mesra pengguna serta mempunyai beberapa ciri-ciri tambahan seperti analisis, dashboard, status usahawan dan laporan KPI. Manakala Sistem MyBayar membolehkan pelanggan Kraftangan Malaysia membuat bayaran secara terus atas talian Bagi tujuan tersebut, Unit Teknologi Maklumat sedang melaksanakan ketiga-tiga latihan ini kepada anggota kerja secara berperingkat dari 11 April hingga hujung bulan Mei di peringkat Ibu Pejabat/ dan cawangan-cawangan.

PERPINDAHAN KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

13.        Saya juga ingin memaklumkan bahawa, sebahagian daripada Kraftangan Malaysia iaitu Kompleks Kraf Kuala Lumpur akan terlibat dengan perpindahan ke lokasi baru iaitu di Bangunan Sultan Abu Samad (BSAS). Justeru saya menyarankan kepada pihak yang terlibat agar bersiap siaga untuk urusan perpindahan ini terutama dari segi kerja-kerja yang melibatkan inventori. Penyusunan dokumen, kawalan dan pergerakan harta inventori perlulah diberi perhatian yang serius oleh pemegang dokumen agar tidak mengganggu atau melewatkan urusan perpindahan kelak.

KONSEP DEPLOYMENT/ MULTI TASKING

14.        Saya juga ingin menegaskan kepada semua anggota kerja agar belajar bagaimana untuk sentiasa bersedia dan bijak menyusun kerja harian. Ini kerana membuat rancangan yang strategik ataupun deployment menjadi elemen kunci dalam sistem penilaian di semua peringkat. Selain bijak membuat penyusunan kerja, setiap anggota kerja juga perlu menambahbaik potensi diri dengan berkebolehan untuk multi tasking dalam segala hal. Perkara ini perlu dilihat secara positif kerana ia akan dapat menambah pengetahuan dan pengalaman baru kepada setiap anggota kerja. Bagaimanapun, kerja-kerja yang perlu dilaksanakan perlu disiapkan mengikut jadual dan peraturan.

KEPENTINGAN MENGHADIRI KURSUS

15.        Di sini, ingin saya mengingatkan kepada setiap anggota kerja perlu wajib hadir bagi kursus yang diterima. Surat tunjuk sebab perlu dibuat dan melalui pengarah masing-masing untuk memaklumkan kepada Unit Sumber Manusia bagi ketidakhadiran kursus. Menghadiri kursus adalah penting kepada kemajuan yang memberikan input baru kepada anggota kerja. Justeru, elakkan untuk tidak menghadiri kursus tanpa asas yang munasabah.

INTEGRITI

16.  Baru-baru ini saya telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan Ucaptama bagi Seminar `Pengukuhan Integriti Dalam Tadbir Urus Organisasi: Cabaran dan Sinergi’ sempena Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 12 dan 13 bagi tahun 2016. Bagi memperkukuh integriti dalam tadbir urus organisasi, beberapa prinsip utama perlu diberikan penekanan seperti jujur, ikhlas, bijaksana, adil, telus dan syukur. Menerusi prinsip in/ ia berupaya melestarikan segala elemen baik berteraskan amalan murni yang digariskan di dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diperkenalkan pada tahun 2004. Semoga usaha murni ini akan dapat membantu memantapkan lagi keutuhan pengurusan serta menjadikan pentadbiran kerajaan cekap, berdisiplin, berpegang teguh kepada etika dan nilai-nilai murni. Ada juga beberapa perkara berkaitan intergriti yang perlu diberikan perhatian iaitu tidak menyalahguna kuasa, mengelakkan dari dibebani dengan hutang yang serius dan seharusnya bijak untuk seimbangkan perbelanjaan dengan pendapatan yang diperoleh.

DISIPLIN DATANG LEWAT KE PEJABAT

17.     Kehadiran tepat pada waktunya merupakan disiplin yang paling utama di tempat kerja. seperti kata-kata Jim Rohn;

‘’Discipline is the bridge between goals and accomplishment’’

Oleh itu diharapkan semua dapat mematuhi disiplin dalam bekerja. Melalui semakan yang dilaksanakan oleh Unit Integriti didapati ramai anggota kerja yang mempunyai rekod kedatangan lewat melebihi 3 kali berturut-turut tanpa sebarang dokumen sokongan atau alasan yang boleh diterima. Kepada semua Pengarah dan Pegawai Penyelia, perlulah memainkan peranan dalam membantu mengatasi masalah ini. Teguran dan nasihat perlu dibuat dan seterusnya mengeluarkan surat tunjuk sebab diikuti surat amaran supaya anggota kerja sentiasa mematuhi waktu bekerja. Jika anggota kerja masih mengulangi kesalahan yang sama maka tindakan melaporkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan seterusnya boleh dibuat. Perkara ini boleh dirujuk kepada Tatacara Sistem Kad Perakam Waktu (Surat Pekeliling Perkhidmatan Kraftangan Malaysia Bil 2 Tahun 2007).

Mati lampu nyalakan lilin
Undur-undur mendekatinya
Hidup haruslah berdisiplin
Agar teratur segala-galanya

18.        Saya berharap, masalah disiplin datang lewat ke pejabat ini bukan menjadi satu perkara yang serius dan diharap dapat diatasi segera oleh Bahagian, Unit atau Cawangan yang terlibat. Anggota kerja yang terlibat juga perlu mempunyai kesedaran akan tanggungjawab dan amanah yang didukung oleh masing-masing dalam kerjaya.

Cantik nian cahaya bulan
Berseri indah menyinari taman
Jujur dan amanah jadi amalan
Itulah peribadi orang beriman

12.     Dari segi berpakaian, saya berharap semua dapat mematuhi pekeliling yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Pakaian perlulah bersesuaian dengan kod etika berpakaian pejabat. Tindakan boleh diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sedikit nasihat yang boleh diambil iktibar untuk semua:

Tulis surat di dalam gelap            
   Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap            
   Jikalau silap awak yang bencana

Buah cempedak bentuknya bujur
    Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
    Hidup kita dipandang mulia


PENUTUP

13.  Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kita semua, kekalkanlah perpaduan, bersikap jujur, berkata benar dalam pertuturan dan amanah dalam pekerjaan. Semoga dengan sikap yang baik ini akan sentiasa membawa kita hidup aman damai, makmur, selamat dan berjaya dalam kehidupan dan pekerjaan kita. InsyaAllah. Sekian ucapan saya pagi ini dan saya akhirinya dengan serangkap pantun;

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.



Wabillahitafik Walhidayah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh