23 Nov 2011

Terima Kasih Warga Media

Pada 22 November 2011 yang lalu, Kraftangan Malaysia mengadakan Majlis Malam Mesra Media. Majlis ini diadakan bertujuan memberi penghargaan Kraftangan Malaysia kepada semua media yang selama ini banyak membantu dalam mempromosikan Kraftangan Malaysia.

Dikesempatan ini, saya mewakili Kraftangan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga media yang sudi hadir pada malam tersebut. Kraftangan Malaysia juga sangat mengalu-alukan sambutan dan sokongan yang diberikan dan berharap agar hubungan erat yang terjalin akan terus dikekalkan.

1 Nov 2011

SALAM AIDIL ADHA 1432H


Saya ingin mengucapkan Salam Aidil Adha 1432H dengan penuh kesyukuran kepada semua rakyat Malaysia terutamanya anggota kerja Kraftangan Malaysia di seluruh negara. Semoga kita lebih faham erti hari raya korban ini. Marilah kita bersama-sama mendoakan supaya semua umat Islam di tanah suci Mekah sihat, selamat, diberkati Allah sepanjang menunaikan ibadah haji dan beroleh haji mabrur.
Amin...

CERIA BERSAMA KRAF SEMPENA HARI KANAK-KANAK SEDUNIA

Ceria Bersama Kraf telah diadakan pada 29 Oktober 2011 (Sabtu) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Acara telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil Bin Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia. Acara ini diadakan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada setiap tahun.

Seramai lebih kurang 700 orang kanak-kanak sekitar Kuala Lumpur yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang telah disusun seperti interaktif kraf, mewarnakan batik, pertandingan membuat seni tampalan, origami dan sebagainya. Acara lebih meriah dengan kehadiran maskot Upin & Ipin yang menceriakan lagi dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kanak-kanak yang hadir.




Acara ini dianjurkan bertujuan untuk meraikan warga kanak-kanak sudah pastinya. Sementara itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan dan yang pentingnya sebagai peneraju industri kraf, Kraftangan Malaysia menyimpan hasrat jauh daripada itu.  Matlamat yang diharapkan daripada penganjuran Ceria Bersama Kraf ialah agar dapat menanam minat di kalangan kanak-kanak terhadap produk kraf tempatan dan hasilan seni kreatif agar kanak-kanak ini belajar menghargai kraf seterusnya dapat memupuk minat yang mendalam terhadap seni ini apabila menjelang dewasa. Melalui aktiviti yang telah diatur, diharap ia dapat menyemai kecintaan awal kanak-kanak terhadap seni kraf tempatan.