5 Dis 2013

PROMOSI KRAF MALAYSIA DI PLAZA ANGSANA MALL JB



Kraftangan Malaysia akan mengadakan Promosi Kraf Malaysia di Plaza Angsana Mall, Johor Bahru yang akan bermula pada 13 hingga 25 Disember 2013 jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda sepanjang promosi ini antaranya ialah jualan produk kraf, pameran kraf, demonstrasi, persembahan kesenian dan lain-lain lagi. Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi promosi ini. Masuk adalah percuma!!!

BANJIR DI NEGERI PAHANG

Keadaan Banjir Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada seluruh penduduk di Negeri Pahang yang telah dilanda banjir termasuk pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang. Bersama-samalah kita berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala. In shaa Allah...

PROGRAM PEMUKIMAN PENYEDIAAN RANCANGAN MALAYSIA KE-11 (RMK-11) BAGI TAHUN 2016 - 2012

Program Pemukiman Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi tahun 2016-2020 telah diadakan pada 22-25 November 2013 bertempat di Meritus Pelangi Beach Resort & Spa, Langkawi. Program ini telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Kraftangan Malaysia. Di antara pengisian program pada kali ini adalah :
  • Taklimat penyediaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).
  • Pembentangan Pencapaian Key Performance Indicator (KPI) 2013 oleh Pengarah-Pengarah Cawangan.
  • Pembentangan Perancangan Kerja Tahunan (PKT) bagi tahun 2014 oleh Pengarah-Pengarah Bahagian.
  • Penyediaan RMKe-11 mengikut program-program iaitu :
  • Program Pemasaran Kraf
  • Program Penyelidikan dan Pembangunan
  • Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI)
  • Program Pembangunan Kemahiran Kraf.
  • Program Jejak Warisan Kraf
  • Program Fizikal
Selain itu juga, peserta-peserta program turut menghadiri Majlis Sidang Media sempena Festival Kraf Langkawi di Kompleks Kraf Langkawi pada 23 November 2013 (Sabtu).
Diharap semua warga kerja Kraftangan Malaysia dapat bersama-sama memberi sepenuh komitmen dan kerjasama dalam mencapai KPI yang telah ditetapkan.
 

15 Nov 2013

TAHNIAH KEPADA GRADUAN IKN 2013


Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan Institut Kraf Negara di Majlis Konvokesyen ke 12 pada 14 November 2013 (Khamis) yang lalu. Seramai 157 orang pelajar telah menerima sijil dan diploma masing-masing. 58 orang adalah penerima sijil dan 99 orang penerima diploma dalam bidang masing-masing. Tahniah dan syabas semua!



UCAPAN PENGHARGAAN YBHG DATUK KSU


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ybhg. Datuk Dr Ong Hong Peng kerana telah menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-12 Institut Kraf Negara pada 14 November 2013 (Khamis) yang lalu. Terima kasih juga kepada Pengerusi Kraftangan Malaysia, Ybhg. Dato' Haji Sohaimi bin Shahadan dan semua yang telah hadir ke majlis ini. Terima kasih daun keladi....

13 Nov 2013

PERKONGSIAN ILMU : KELEBIHAN HARI ASYURA (10 MUHARRAM)




KELEBIHAN HARI ASYURA - 10 MUHARRAM

Insya Allah, 10 Muharram 1435H jatuh pada hari Khamis 14 November 2013 dimana kita disunatkan berpuasa.

Kita juga digalakkan berpuasa pada hari ke-9 Muharram (Rabu, 13 November 2013) yang dipanggil Puasa Tasu’a supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, "Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Sumber: http://www.utusankini.com/2012/11/kelebihan-hari-asyura-10-muharram.html



PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU PADA HARI ASYURA

Tanggal 10 Muharram dinamakan juga hari Asyura kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi pejuang yang gigih menegakkan syiar Islam. Antaranya:

1. Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.

2. Allah jadikan bulan, bintang, matahari dan cakrawala.

3. Allah jadikan Arasy, Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat.

4. Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.

5. Allah menjadikan Siti Hawa.

6. Allah menjadikan Syurga.

7. Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga.

8. Taubat Nabi Adam diterima Allah.

9. Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan.

10. Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud.

11. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

12. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

13. Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah.

14. Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.

15. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.

16. Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.

17. Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.

18. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar.

19. Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.

Sumber : http://familiazam.com/hari_asyura.htm


MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
KELEBIHAN PERTANIAN


Daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahuanhu; beliau berkata telah bersabda Rasulullah SAW : “Tidak ada daripada seorang Muslim yang menanam satu tanaman, kecuali apa sahaja yang dimakan daripadanya itu menjadi sedekah. Apa yang dicuri orang daripadanya juga menjadi sedekah. Dan tidak diambil daripadanya oleh seseorang kecuali semuanya itu menjadi sedekah.” Dalam riwayat yang lain, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak menanam oleh seorang Muslim akan suatu tanaman, lalu tanaman itu dimakan oleh manusia atau binatang atau burung, kecuali semuanya itu menjadi sedekah baginya sehingga hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Pertanian adalah salah satu di antara usaha yang mudah dilaksanakan oleh setiap orang. Berjasa kepada bumi ini memberikan banyak pulangan. Dengan sedikit modal sudah boleh aktiviti dijalankan. Keperluan manusia kepada hasil pertanian tidak pernah putus. Ertinya, hasil pertanian ini akan mudah menembusi pasaran.

Selain daripada itu, menanam suatu pohon itu sudah mendapat pahala walaupun hasilnya masih belum dapat dinikmati oleh pengusahanya. Walaupun hanya dimakan oleh binatang atau dicuri orang, maka itu adalah dikira sebagai satu sedekah yang akan diberikan pahalanya pada hari akhirat kelak. Jadi, orang yang bertanam ini tidak rugi sama sekali.

Oleh sebab itu, janganlah kita malas untuk bercucuk tanam kerana hasil pertanian itu bukan hanya sekadar memberikan pulangan di dunia ini, bahkan juga sebagai amal jariah yang kita akan perolehi pahala selama mana pohon yang kita tanam itu masih menghasilkan buahnya.

(Sumber: 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)


FESTIVAL KRAF LANGKAWI 2013



Kraftangan Malaysia melalui Kompleks Kraf Langkawi akan mengadakan Festival Kraf Langkawi 2013 seperti berikut:


− Kompleks Kraf Langkawi / 22 November – 02 Disember 2013 / 10.00 pagi –5.00 petang 

− Perkarangan Pekan Rabu, Kuah / 22 November – 01 Disember 2013/ 7.00 malam – 12.00 malam 



Majlis Perasmian sempena festival ini akan diadakan pada 23 November 2013 ( Sabtu )jam 11.00 pagi di Dataran Tangga Seribu, Kompleks Kraf Langkawi. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda sepanjang festival ini seperti jualan dan demonstrasi kraf, jualan dan demonstrasi masakan tradisional, pertandingan, persembahan kesenian, persembahan artis terkenal dan lain-lain lagi.  

Pada tarikh majlis perasmian program ini, turut diadakan aktiviti “Berjalan Santai Di Langkawi Bersama Anjung Seri” anjuran Berita Publishing Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang menerbitkan majalah popular Anjung Seri. Aktiviti ini akan melibatkan penyertaan seribu orang peserta dari seluruh Malaysia yang akan berjalan santai sejauh 03 km di sepanjang Pantai Pasir Hitam. 

Semua dijemput hadir untuk memeriahkan lagi festival ini!

6 Nov 2013

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA CALON SPM 2013


Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2013) telah bermula pada hari ini 6 November 2013 hingga 5 Disember 2013. Seramai 470,395 calon peperiksaan SPM di seluruh Malaysia akan menduduki peperiksaan ini.


Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini daripada jumlah itu seramai 415,509 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Sebanyak 8,054 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); 8,325 calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 11,261 calon sekolah swasta berdaftar dengan KPM; 22,857 calon sekolah persendirian; dan 1,389 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua calon peperiksaan SPM 2013 terutamanya kepada anak-anak kakitangan Kraftangan Malaysia dan usahawan-usahawan kraf Kraftangan Malaysia. Semoga anda semua dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang dan mendapat keputusan yang cemerlang. Selamat berjuang semua!

1 Nov 2013

SALAM 1 MUHARRAM 1435H




MUHARRAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al-Baqarah : 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah S.A.W telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi). Sandaran yang dilakukan oleh Baginda S.A.W kepada Allah SWT lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk-makhlukNya.

Daripada al-Hassan Al-Basri Rahimahumullah sesungguhnya Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharaam. Tiada bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharaam 1435H yang akan disambut pada 5 November 2013 (Selasa) kepada seluruh umat Islam. 


PESTA CAHAYA DEEPAVALI 2013

Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. 

Menurut lagenda, Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan. Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua manusia agar mereka merai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.


Sempena perayaan ini yang jatuh pada 2 November 2013 (Sabtu), saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara. 

MAJLIS PERASMIAN INSTITUT KEMAHIRAN TENUN PAHANG DIRAJA TENGKU AMPUAN BESAR MERIAM


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam. Majlis disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 20 Oktober 2013 bertempat di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan Pahang.

Hadir sama ialah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang , Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan Isteri.Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia serta Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.



Pada majlis ini,  Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menyempurnakan Pengurniaan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja kepada 43 orang penerima yang mana terdiri daripada Graduan IKTPD (10 orang), Sijil Watikah Pemakaian Logo Tenun Pahang Diraja (11 orang), Sijil Anugerah UNESCO (2 orang) dan Sijil Penyertaan Bimbingan Teknikal (20 orang).

Sempena majlis ini juga, beberapa aktiviti khas diadakan seperti Pameran Produk Pelajar, Pameran Produk Rekaan Baru Tenun Pahang, Interaktif dan Pendidikan Kraf, Jualan Produk Kraf oleh 11 syarikat tenun Pahang termasuk produk kraf dari Jabatan Penjara, Demonstrasi Kraf, Persembahan Kesenian dan Kuiz Tenun Pahang.

29 Okt 2013

UCAPAN YBHG. DATO' MOHD KAMIL BIN MOHD ALI SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN KRAFTANGAN MALAYSIA BAGI BULAN OKTOBER 2013

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

TERIMA KASIH SAUDARA PENGERUSI MAJLIS,

YANG BERUSAHA
TUAN HAJI RAMLI MOHD NOOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI)

PENGARAH-PENGARAH BAHAGIAN,
PENGARAH INSTITUT KRAF NEGARA,
DAN WARGA KRAFTANGAN SEMUA

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA

TERLEBIH DAHULU, SAYA INGIN MENGUCAPKAN SYUKUR  KE HADRAT ILAHI  KERANA  DENGAN LIMPAH KURNIANYA  DAPAT KITA SEKALI LAGI  BERSAMA-SAMA  DI PANGGUNG SARI INI  BERSEMPENA DENGAN PERHIMPUNAN BULANAN  BAGI BULAN OKTOBER 2013.

DALAM TEMPOH  TIGA (3) BULAN YANG LALU  IAITU DARI BULAN OGOS  HINGGA KINI  (OKTOBER)  BANYAK PERKARA-PERKARA  YANG SAYA PERLU DI KONGSI BERSAMA TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN  WARGA KRAFTANGAN SEKALIAN,  MEMANDANGKAN KITA TELAH MENGHAMPIRI  PENGHUJUNG TAHUN 2013 .  JUSTERU  SAYA BERHARAP AGAR  MAKLUMAT-MAKLUMAT YANG DISAMPAIKAN INI  DAPAT DIMANFAATKAN BERSAMA .

SEPERTI MANA SAYA MAKLUMKAN TADI  PADA OGOS YANG LALU  KITA TELAH BERJAYA MENGANJURKAN  PROMOSI KRAF AIDILFITRI  DAN SETERUSNYA  DISUSULI DENGAN PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN .  SELAIN DARIPADA PROMOSI-PROMOSI BERTEMA INI  TIDAK DILUPAKAN JUGA  PROMOSI KRAF MALAYSIA  YANG DIANJURKAN DI PERINGKAT NEGERI  YANG BANYAK MEMBERI SUMBANGAN KE ARAH  PENDAPATAN USAHAWAN KRAF KESELURUHAN DI MALAYSIA.   

DALAM TEMPOH TIGA BULAN SAHAJA  SEHINGGA OKTOBER 2013  SEBANYAK 14 PROMOSI KRAF MALAYSIA  BERJAYA DIANJURKAN DI PUSAT BELI-BELAH  PERINGKAT NEGERI .   PROMOSI INI DILIHAT AMAT PENTING UNTUK MEMBANTU USAHAWAN-USAHAWAN MEMASARKAN DAN MEMPROMOSI PRODUK KRAF  DAN JUGA DAPAT MENJALIN  HUBUNGAN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA PUSAT BELI-BELAH DI SELURUH MALAYSIA . USAHA-USAHA INI PERLU DITERUSKAN  MEMANDANGKAN PROMOSI INI  DAPAT MEMBERI MANFAAT  KEPADA LEBIH 300 USAHAWAN KRAF .

PROGRAM PROMOSI YANG AKAN MENUTUP TIRAI 2013 IALAH  PROMOSI YANG BAKAL DIADAKAN  DI PERKARANGAN PLAZA ANGSANA, JOHOR BAHARU DAN JUGA  FESTIVAL KRAF LANGKAWI YANG AKAN DIADAKAN  PADA BULAN DISEMBER NANTI.  KEDUA-DUA PROMOSI INI  DIHARAP MENJADI PELENGKAP  KEPADA SUMBANGAN PENCAPAIAN  KPI KRAFTANGAN MALAYSIA  BAGI TAHUN 2013 IAITU SEBANYAK 350 JUTA. OLEH YANG DEMIKIAN  KEPADA YANG TERLIBAT  SAYA MENYERU  AGAR DAPAT MENGGEMBLENG TENAGA  DAN MEMBANTU UNTUK MENJAYAKAN  KEDUA-DUA PROMOSI INI DENGAN JAYANYA.   

BARU-BARU INI  IAITU PADA 20 OKTOBER 2013  TELAH DIADAKAN MAJLIS PERASMIAN  BANGUNAN INSTITUT TENUN PAHANG DIRAJA  YANG DIRASMIKAN OLEH  KEBAWAH DULI YANG TERAMAT MULIA TENGKU MAHKOTA PAHANG .  KINI,  INSTITUT TENUN PAHANG DIRAJA INI  DIKENALI DENGAN INSTITUT TENUN PAHANG DIRAJA  TENGKU AMPUAN BESAR MERIAM . 

TAHNIAH  DAN TERIMA KASIH  KEPADA KRAFTANGAN MALAYSIA  CAWANGAN PAHANG,  INSTITUT KRAF NEGARA  DAN JUGA  SEMUA WARGA KRAF YANG MEMBANTU  MENJAYAKAN MAJLIS PERASMIAN INSTITUT TENUN PAHANG DIRAJA  TENGKU AMPUAN BESAR MERIAM.

BARU-BARU INI JUGA PEKELILING PERTUKARAN DAN KENAIKAN PANGKAT TELAH DIMAKLUMKAN KEPADA SEMUA.  PERTUKARAN INI MELIBATKAN SEBAHAGIAN BESAR PENGURUSAN DI PERINGKAT NEGERI DAN SEBAHAGIANNYA DI PERINGKAT IBU PEJABAT.  SUKA SAYA MEMAKLUMKAN BAHAWA PERTUKARAN INI DILAKUKAN DEMI KEPENTINGAN ORGANISASI TERUTAMANYA BAGI MEMPERTINGKATKAN PERKHIDMATAN KEPADA USAHAWAN-USAHAWAN DI PERINGKAT NEGERI YANG PERLU DIBERI PERHATIAN DALAM MENCAPAI KPI YANG TELAH DITETAPKAN. 

SAYA JUGA  MERAKAMKAN TAHNIAH  KEPADA 11 ANGGOTA KERJA YANG BERJAYA DI DALAM TEMU DUGA KENAIKAN PANGKAT DARI GRED 41 KE GRED 44  SERAMAI 6 ORANG  DAN LIMA LAGI  KENAIKAN GRED 44 KE GRED 48 .  TAHNIAH SEKALI LAGI  DAN SAYA MENYERU  KEPADA YANG MENDAPAT KENAIKAN PANGKAT INI  DAPAT MENCURAH BAKTI  DENGAN TEKUN  DAN MEMIKUL TANGGUNGJAWAB  DENGAN PENUH DEDIKASI SUPAYA KRAFTANGAN MALAYSIA SENTIASA RELEVAN KEPADA USAHAWAN, INDUSTRI KRAF DAN KERAJAAN.

DI KESEMPATAN INI SEBAGAI WARGA KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN SAYA INGIN BERKONGSI MAKLUMAT BERKAITAN  PENINGKATAN JUMLAH PELANCONG KE MALAYSIA IAITU SEBANYAK 15% ATAU 6.4 JUTA ORANG  BAGI SUKU TAHUN PERTAMA  BERBANDING 5.5 JUTA PENGUNJUNG  BAGI TAHUN 2012 . 

ANGKA PENGUNJUNG INI  SETERUSNYA MENYUMBANG  KEPADA PENDAPATAN SEKTOR PELANCONGAN SEBANYAK 16.7% IAITU RM14.9 BILLION .  ANTARA KEJAYAAN  PENINGKATAN JUMLAH INI DISUMBANGKAN OLEH  USAHA-USAHA  MEMPROMOSI MALAYSIA  SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014 . 

ANGKA-ANGKA INI  MERUPAKAN INDIKATOR  KEPADA KITA WARGA KRAFTANGAN MALAYSIA DAN USAHAWAN-USAHAWAN AGAR MEREBUT PELUANG MEMASARKAN  DAN MEMPROMOSI KRAF TEMPATAN, KERANA SAYA MELIHAT KRAF DAN PELANCONGAN  SANGAT BERKAIT RAPAT.  OLEH YANG DEMIKIAN  SAMA-SAMALAH  KITA MEMBANTU KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN  DI DALAM MENJAYAKAN  TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014 .

BELANJAWAN YANG DIBENTANGKAN  DI PARLIMEN OLEH  YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI  PADA 25 OKTOBER BARU-BARU INI JUGA  MENYENTUH BEBERAPA INSENTIF GALAKAN  DIPERKENALKAN UNTUK SEKTOR PELANCONGAN  SERTA TABUNG KHAS INFRASTRUKTUR  BERNILAI RM2 BILLION .  INI MENUNJUKKAN KEPENTINGAN INDUSTRI INI  TERHADAP SUMBANGAN KEPADA PENINGKATAN EKONOMI NEGARA . 

DALAM PEMBENTANGAN BAJET TERSEBUT, DIUMUMKAN JUGA  BONUS SETENGAH BULAN GAJI  DAN MINIMUM SEBANYAK RM500  DIBAYAR KEPADA KAKITANGAN AWAM PADA JANUARI 2014, DAN JUGA SEMAKAN TERHADAP 81 SKIM PERKHIDMATAN AWAM YANG AKAN DILAKSANAKAN OLEH PIHAK JPA. INI ADALAH  SEBAGAI UCAPAN TERIMA KASIH KERAJAAN TERHADAP PERKHIDMATAN YANG DICURAHKAN OLEH WARGA PERKHIDMATAN AWAM.  OLEH YANG DEMIKIAN, SEBAGAI WARGA PERKHIDMATAN AWAM KITA PERLU BERSYUKUR DAN BERTERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN YANG MENITIKBERATKAN KEBAJIKAN WARGA PERKHIDMATAN AWAM .

SEBAGAI MENGAKHIRI  UCAPAN SAYA PADA PAGI  INI , SUKA SAYA MENGINGATKAN  AGAR MELETAKKAN KEPENTINGAN  MENJAGA NAMA BAIK ORGANISASI  PALING UTAMA .  INI BAGI MEMASTIKAN  AGAR IMEJ ORGANISASI KITA  SENTIASA TERJAGA  DAN DIHORMATI .  AKHIR KATA  SAMA-SAMALAH KITA  MENGGANDAKAN USAHA  KE ARAH PENINGKATAN KUALITI KERJA  SERTA BEKERJASAMA  DI DALAM APA JUA AKTIVITI  YANG DILAKSANAKAN  SAMA ADA  DI PERINGKAT IBU PEJABAT  ATAUPUN PERINGKAT NEGERI . 
  
SEKIAN, WABILLAHITAFIK WAL HIDAYAH. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


TERIMA KASIH

14 Okt 2013

SALAM AIDILADHA 1434H


Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.

Kepada semua rakyat Malaysia, Kraftangan Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiiladha. Semoga setiap ibadah kita diterimaNya.

9 Okt 2013

SALAM TAKZIAH


Saya dan seluruh warga Kraftangan Malaysia mengucapkan takziah kepada Tuan Haji Ramli bin Mohd Nor di atas pemergian isteri tersayang Allahyarhamah Puan Hajah Rahimah binti Kadir pada pagi 9 Oktober 2013 bersamaan 4 Zulhijjah di Hospital Seremban. Semoga allahyarhamah di tempatkan dikalangan hambanya yang solehah dan beriman. Pastinya pemergian seorang isteri dan ibu ini amat dirasai seluruh anggota keluarganya. Takziah dan Al-Fatihah.   

3 Okt 2013

PERKONGSIAN ILMU - KERATAN AKHBAR


Untuk makluman semua warga kerja Kraftangan Malaysia khususnya dan semua penjawat awam.

Sumber : Bernama


KERATAN AKHBAR - UTUSAN MALAYSIA


Perkongsian ilmu berkaitan peranan dan tanggungjawab penjawat awam untuk semua. 

Sumber: Utusan Malaysia (2 Oktober 2013-Dalam Negeri, M/S:3)

INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM


Saya ingin mengingatkan kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia khususnya bahawa sektor Awam berperanan untuk menjalankan program dan aktiviti ke arah meningkatkan integriti anggota perkhidmatan awam di peringkat persekutuan dan peringkat negeri dan seterusnya mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan di negara ini. Sistem penyampaian yang sewajarnya memenuhi citi-ciri seperti cekap, cepat dan tepat, keberkesanan kos dan disampaikan dengan berintegriti. Semoga kita sama-sama menghayati dan mengamalkan integriti dalam tugas dan tanggungjawab kita setiap masa...



2 Okt 2013

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA CALON PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) 213


Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Berjuang dan Selamat Maju Jaya kepada semua calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 terutamanya kepada anak-anak anggota kerja Kraftangan Malaysia dan usahawan kraf yang telah bermula pada hari ini 2 Oktober hingga 9 Oktober 2013. Semoga anda semua dapat menjawab soalan dengan tenang dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang. Insya Allah....


1 Okt 2013

MAJLIS PERASMIAN PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN 2013

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kerana telah menyempurnakan Majlis Perasmian Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 pada 30 September 2013 (Isnin) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.




Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar Ab Thambi dan Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan & Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsudin.

Terima kasih kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis perasmian ini. Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman masih berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay sehingga 6 Oktober 2013. Semua dijemput hadir bagi memeriahkan lagi promosi ini.






Petikan akhbar Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)


Mohamed Nazri berkata, industri kraf tempatan khususnya produk hiasan dalaman dan seni taman dilihat berpotensi untuk dijadikan titik tolak kepada hasrat kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkenal di rantau Asia.

"Kita sasarkan Tahun Melawat Malaysia 2014 menerima jumlah kunjungan pelancong asing seramai 28 juta orang dan daripada jumlah itu kita yakin industri kraf dapat menyumbang sebahagian daripada RM65 bilion nilai sasaran pendapatan negara yang disumbangkan dari aktiviti pelancongan.

"Sebagai peneraju industri kraf negara, Kraftangan Malaysia perlu bergandingan dengan agensi kerajaan dan swasta untuk memantapkan sektor pelancongan termasuk usahawan produk kraf yang menjadi sebahagian daya penarik pelancong ke negara ini," katanya.

Bagi memastikan produk kraf sentiasa relevan di pasaran katanya, penggunaan dan eksploitasi sumber semula jadi perlu dilakukan sepenuhnya khususnya sumber daripada hasil tanah dan rimba yang sering dijadikan sebagai produk bagi hiasan dalaman dan seni taman.

Bagi meluaskan pengaruh penggunaan produk kraf dalam seni bangunan pula katanya, rundingan bersama arkitek tempatan serta jurutera binaan perlu dilaksanakan selain pendekatan lebih kreatif juga boleh diambil untuk berbincang dengan pereka hiasan dalaman bagi menggalakkan penggunaan produk kraf sebagai pelengkap.

Sementara itu Sohaimi berkata, Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 yang berlangsung selama 10 hari bermula 27 September hingga 6 Oktober ini melibatkan seramai 200 usahawan dalam pelbagai bidang kraf seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.




26 Sep 2013

UCAPAN YBHG KETUA PENGARAH SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN SEPTEMBER 2013

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN
DI PANGGUNG SARI
BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
  
TARIKH
26 SEPTEMBER 2013 (KHAMIS)
  
JAM
8.00 PAGI
  
BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

TERIMA KASIH SAUDARA PENGERUSI MAJLIS,

YANG BERUSAHA
TUAN HAJI RAMLI MOHD NOOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI)

TUAN HAJI SHAHRUDIN MOHD NOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (PEMBANGUNAN),  

PENGARAH-PENGARAH BAHAGIAN,

PENGARAH INSTITUT KRAF NEGARA

PENGURUS BESAR KARYANEKA SDN. BHD,

DAN WARGA KRAFTANGAN SEMUA


ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA

SYUKUR ALHAMDULILLAH, SAYA MEMANJATKAN KESYUKURAN KE HADRAT ALLAH SUBHANAHUWATA’ALA  YANG MEMPERTEMUKAN KITA PADA PAGI INI UNTUK PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN SEPTEMBER 2013. PERHIMPUNAN KALI INI SEKALI GUS BERSEMPENA DENGAN SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN YANG DISAMBUT PADA 31 OGOS YANG LALU DAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA PADA 16 SEPTEMBER 2013.  TIDAK TERLEWAT UNTUK SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KALI KE 56 DAN SELAMAT HARI MALAYSIA YANG KE 50.

SEPERTI LAZIMNYA SEBAGAI PEMBUKA AMANAT PERHIMPUNAN BULANAN SAYA AKAN MENEKANKAN KEPADA PENCAPAIAN KPI KRAFTANGAN MALAYSIA.  INI MEMBUKTIKAN BAHAWA BETAPA PENTINGNYA KPI INI YANG MERUPAKAN PENGUKURAN PENCAPAIAN SEBENAR  ORGANISASI KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA DAN JUGA INDUSTRI KRAF.  SEHINGGA BULAN OGOS 2013 KPI JUALAN KRAF YANG DICAPAI IALAH SEBANYAK RM293.5 JUTA MELEPASI SASARAN BULANAN YANG DITETAPKAN. OLEH ITU KITA MEMERLUKAN SEJUMLAH RM114.5 JUTA BAGI MENCAPAI SASARAN YANG DITETAPKAN IAITU RM408 JUTA UNTUK TAHUN 2013.

SAMADA SASARAN KPI, PENCAPAIAN KPI ATAU PENETAPAN SASARAN TAHUNAN INI SEMUA AMATLAH PENTING UNTUK SEMUA ANGGOTA KERJA MENGETAHUINYA AGAR APA SAHAJA PROGRAM DAN AKTIVITI BERPAKSI KEPADA TUJUAN UTAMA KRAFTANGAN MALAYSIA IAITU MEMAJUKAN INDUSTRI KRAF. SETERUSNYA, APAKAH YANG PATUT KITA SUMBANGKAN UNTUK KEMAJUAN INDUSTRI INI SEBAGAI MENGHADAPI TAHUN 2014 BAGI MENCAPAI ANGKA  JUALAN RM500 JUTA. 

JIKA DILIHAT HALA TUJU KRAFTANGAN MALAYSIA SEHINGGA TAHUN 2016 IALAH UNTUK MENCAPAI SASARAN JUALAN KRAF SEBANYAK RM1.0 BILLION, NAMUN JAUH DARIPADA ITU KITA PERLU MELIHAT KRAFTANGAN MALAYSIA SEBAGAI AGENSI YANG MASIH RELEVAN MENYUMBANG KEPADA PENINGKATAN EKONOMI NEGARA DAN MEMBANTU PENINGKATAN PENDAPATAN PARA USAHAWAN KRAF. 

PENCAPAIAN KPI INI SUDAH TENTUNYA SEBAHAGIAN BESAR DISUMBANGKAN OLEH AKTIVITI-AKTIVITI PROMOSI JUALAN YANG DILAKSANAKAN SETIAP MASA. UNTUK MAKLUMAN SEMUA PADA 27 SEPTEMBER SEHINGGA 6 OKTOBER AKAN BERMULALAH PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN.  PROMOSI BERTEMA INI KHUSUS DIADAKAN BAGI MEMPROMOSIKAN PRODUK-PRODUK KRAF HASIL RIMBA DAN KRAF LAIN UNTUK DIKETENGAHKAN SEBAGAI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN.  

PROMOSI INI MENYASARKAN JUALAN SEBANYAK RM2.5 JUTA DAN DISERTAI SERAMAI 250 USAHAWAN KRAF.  SUDAH TENTUNYA PERSIAPAN RANCAK DIJALANKAN DAN SAYA MENYERU AGAR SEMUA ANGGOTA KERJA MEMBERI KERJASAMA DAN MENYOKONG PROMOSI INI SETERUSNYA AKAN TERCAPAI SASARAN YANG DITETAPKAN. SUDAH TIBA MASANYA KITA PERLU MENGUBAH PENDEKATAN PENGANJURAN YANG BERBEZA BAGI MENAMPAKKAN KELAINAN DI SAMPING MEMPERBANYAKKAN SASARAN PENGUNJUNG YANG BERBEZA.  

MAJLIS PERASMIAN PROMOSI KALI INI AKAN DIRASMIKAN OLEH YANG BERHORMAT DATO’ SERI NAZRI TAN SRI AZIZ MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN DI KHEMAH LAMAN PLAZA PADA 30 SEPTEMBER 2013. SAMA-SAMALAH KITA BEKERJASAMA MEMBUAT PERSIAPAN RAPI AGAR MAJLIS PERASMIAN INI MENJADI CONTOH SEBAGAI PENGANJURAN YANG BERPRESTIJ.

BARU-BARU INI YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI MENYENTUH PENTINGNYA PERNIAGAAN DAN KEUSAHAWANAN YANG MERUPAKAN AKTIVITI EKONOMI TERPENTING BAGI MENJANA PENDAPATAN DAN KEKAYAAN.  WALAU BAGAIMANAPUN PENGLIBATAN USAHAWAN BUMIPUTERA INI DI LIHAT MASIH RENDAH ATAS SEBAB BEBERAPA KEKANGAN. 

YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI BERUCAP PADA MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA PADA 14 SEPTEMBER 2013 YANG LALU.  PETIKAN UCAPAN YAB INI AMAT  PENTING YANG SECARA KESELURUHANNYA MENYENTUH ASPEK  KEUSAHAWANAN YANG MENJADI TUNGGAK KEPADA PROGRAM KRAFTANGAN MALAYSIA. 

SAYA MELIHAT SECARA TOTAL DAN POSITIF HASRAT KERAJAAN UNTUK MEMPERKASAKAN EKONOMI BUMIPUTERA YANG MEMPUNYAI HUBUNG KAIT SECARA LANGSUNG DENGAN USAHAWAN-USAHAWAN KRAF YANG MAJORITINYA ADALAH BUMIPUTERA.

JUSTERU, PENTINGNYA SEBAGAI ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM BIDANG INI SUPAYA KITA BERSAMA-SAMA MENDEKATKAN DIRI DENGAN USAHAWAN UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT, PERMASALAHAN DAN MENYELESAIKAN POKOK UTAMA ISU USAHAWAN.  OLEH YANG DEMIKIAN PERLULAH USAHA-USAHA PENDEKATAN BARU DIADAKAN TERUTAMANYA PROGRAM PEMANTAPAN USAHAWAN. 

KENAIKAN HARGA MINYAK RON 95 BARU-BARU INI SEBANYAK 20 SEN DARI RM1.90 KEPADA RM2.10 SERBA SEDIKIT MEMBERI KESAN KEPADA PENGGUNA DAN SECARA TIDAK LANGSUNG KEPADA SETIAP AGENSI-AGENSI KERAJAAN TERUTAMANYA PENGGUNAAN KERETA RASMI JABATAN. 

SELARI DENGAN INI SAYA MENYERU KEPADA SEMUA MENGGUNAKAN KENDERAAN PEJABAT SECARA BERHEMAH DAN BERJIMAT CERMAT.  BEGITU JUGA DENGAN PENGGUNAAN KERTAS, ALAT TULIS DAN SEBAGAINYA DIGUNAKAN UNTUK TUJUAN RASMI PEJABAT SAHAJA.  INI MEMANDANGKAN BELANJA MENGURUS SETIAP TAHUN ADALAH AMAT TINGGI.

DALAM MENGHARUNGI CABARAN DALAM TAHUN 2013 YANG HANYA BERBAKI 3 BULAN SAHAJA LAGI, KITA SEMEMANGNYA TIADA PILIHAN LAIN IAITU MEMBERIKAN KUALITI PERKHIDMATAN YANG TERBAIK.  SELAKU AGENSI PENERAJU INDUSTRI KRAF NEGARA, KITA SEHARUSNYA BERTINDAK SEBAGAI PAKAR RUJUK TERUTAMANYA YANG MELIBATKAN REKAAN-REKAAN TERKINI DAN MENEPATI CITA RASA PENGGUNA KINI.

AKHIR KATA, RIBUAN TERIMA KASIH DIUCAPKAN KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT MENJAYAKAN AKTIVITI-AKTIVITI KRAFTANGAN MALAYSIA DENGAN KERJASAMA YANG HARMONI DAN BERSATU PADU.

SEKIAN SAHAJA,
WABILLAHITAFIK WAL HIDAYAH. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


TERIMA KASIH