21 Feb 2014

TEKS UCAPAN PERHIMPUNAN BULANAN ANGGOTA KERJA BAGI BULAN FEBRUARI 2014

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN
DI PANGGUNG SARI, BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

TARIKH
20 FEBRUARI 2014 (KHAMIS) 

JAM
8.00 PAGI

Bismillahirrahmaanirrahim

Terima kasih  Saudara Pengerusi Majlis

Tuan Haji Shahrudin  Mohd Nor  
Timbalan Ketua Pengarah  (Pembangunan) 

Pengarah-pengarah Bahagian  
Pengarah  Institut Kraf Negara
Pengurus Besar  Karyaneka Sdn. Bhd  

dan Warga Kraf tangan  semua

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan izin Nya dapat kita sekali lagi berada di Panggung Sari ini sempena perhimpunan bulanan untuk Februari 2014.  Perhimpunan bulanan ini merupakan satu-satunya medan menemukan anggota kerja di peringkat ibu pejabat yang dapat mengeratkan silaturahim serta bertanya khabar sesama kita.

Perhimpunan pagi ini juga amat terasa kekurangannya dengan pemergian seorang anggota kerja yang kita sayangi serta berdedikasi dalam menjalankan tugas. Sesungguhnya pemergian Puan Faezah Aziz dan En Basir Kassim merupakan kehilangan besar kepada kita semua.  Namun demikian kita semua kena redha dengan kehendak Nya. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah Puan Faezah Aziz dan En Basir Kassim. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mereka.

Bagi menggalakkan semua anggota kerja untuk terus meningkatkan tahap kesihatan, saya mencadangkan supaya aktiviti senamrobik sebelum ini digerakkan semula setiap jumaat petang. Selain itu, kita juga boleh mengadakan pertandingan riadah seperti acara ping pong dan badminton serta menggunakan kemudahan gymnasium yang telah disediakan.

Tinggal beberapa hari lagi  kita akan menyambut Hari Kraf Kebangsaan (HKK) pada 26 Februari hingga 10 Mac ini.  Majlis perasmiannya akan diadakan pada 27 Februari 2014 dan akan dirasmikan oleh Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri.  Sebelum saya meneruskan ucapan, sama-samalah kita imbas kembali penganjuran HKK yang mulanya dianjurkan pada tahun 2003 hingga kini. 

Tujuan utamanya ialah untuk memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf dalam membangunkan industri kraf negara serta meningkatkan pendapatan usahawan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Saya amat berbangga penganjuran yang pada awalnya berskala kecil dengan penglibatan hanya 110 orang usahawan kini telah menjangkau kepada 550 penyertaan.  Begitu jugalah dengan pencapaian jualan pada tahun pertama penganjuran hanya RM320 ribu dan tahun 2013 jualan hasil kraf menjangkaui RM24.1 juta. 

Pada tahun ini sasaran jualan yang ditetapkan ialah sebanyak RM25 juta dan ini merupakan cabaran utama kepada kita sebagai penganjur untuk mencapai jumlah tersebut.  Cabaran-cabaran ini merangkumi suasana ekonomi yang tidak menentu dan cita rasa pengguna yang berubah-ubah serta sukar dijangka.

Walaupun demikian persediaan awal telah pun disusun terutamakan produk-produk baru yang akan diketengahkan kali ini yang berkonsepkan futuristik.  Konsep yang diterapkan ini merupakan salah satu pendekatan mendekati golongan muda dan cita rasa pasaran terkini.

Tema HKK Tahun ini ialah “Sumber Alam, Nikmat Keharmonian” yang mempunyai pengertian yang amat mendalam bagaimana sumber alam menyumbang kepada pembangunan industri kraf.  Sumber alam bukan sekadar menyumbang kepada bahan-bahan semula jadi yang digunakan malah reka corak produk kraf juga ilham dari sumber alam.  Kombinasi semuanya ini dengan kreativiti usahawan-usahawan kraf membawa kepada keharmonian seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan hidup. 

Kejayaan penganjuran HKK setiap tahun bukan sahaja bergantung kepada kejayaan usahawan kraf meraih pendapatan malah saya melihat kejayaan ini adalah kerjasama dan pengalaman anggota kerja kita di dalam melaksanakan setiap aktiviti sepanjang HKK.  Saya ingin memberi penghargaan kepada semua anggota kerja yang sentiasa bekerja dengan penuh minat, ikhlas, bertanggungjawab serta mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.  Sifat-sifat dan kualiti sebeginilah yang menghasilkan kejayaan penganjuran HKK setiap tahun.

Amalan-amalan yang diterapkan di organisasi kita dalam melaksanakan aktiviti telah pun mencerminkan 6 prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam yang di saran oleh Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara.  Amalan-amalan tersebut ialah keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama yang dijalinkan antara Kraftangan Malaysia dan usahawan kraf.  Akhirnya kesan positif yang dicapai ialah kejayaan kita dalam menganjurkan HKK dan juga aktiviti-aktiviti lainnya.

Dalam kita mengejar KPI untuk mencapai jualan RM25 juta perlu diingatkan agar melaksanakan aktiviti dengan kesepakatan dan komitmen yang tinggi.  Jawatankuasa yang dilantik diharap telah pun menyiapkan semua kerja pada peringkat akhir di samping memelihara perbelanjaan secara berhemah dan elakkan penyelewengan peruntukan. 

Akhir kata, sama-samalah kita bekerja dengan tekun dengan semangat kekitaan yang tinggi ke arah pembangunan kraf yang lebih cemerlang.
Sekian, Wabillahitafik Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Terima kasih

18 Feb 2014

HARI KRAF KEBANGSAAN 2014


AL-FATIHAH



Kraftangan Malaysia telah kehilangan dua (2) orang anggota kerja iaitu Allahyarham Basir bin Kassim dari Institut Kraf Negara pada 23 Januari 2014 bersamaan 21 Rabiulawal 1435H di Hospital Selayang dan Allahyarhamah Faezah binti Abd Aziz dari Bahagian Pasaran dan Promosi pada 12 Februari 2014 bersamaan 12 Rabiulakhir 1435H. Takziah kepada kedua-dua keluarga allahyarham dan allahyarhamah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan hambaNya yang terpilih..AL-FATIHAH...

Allahyarhamah Faezah binti Abdul Aziz


 Allahyarham Basir bin Kassim


11 Feb 2014

HARI KRAF KEBANGSAAN 2014


Hari Kraf Kebangsaan (HKK 2014) kembali lagi. Tinggal beberapa hari sahaja lagi akan berlangsung HKK 2014. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda. Dijemput semua hadir untuk memeriahkan lagi HKK ini. Masuk adalah percuma.