1 Nov 2013

SALAM 1 MUHARRAM 1435H




MUHARRAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al-Baqarah : 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah S.A.W telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi). Sandaran yang dilakukan oleh Baginda S.A.W kepada Allah SWT lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah SWT tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk-makhlukNya.

Daripada al-Hassan Al-Basri Rahimahumullah sesungguhnya Allah SWT telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharaam. Tiada bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah SWT itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya. 

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharaam 1435H yang akan disambut pada 5 November 2013 (Selasa) kepada seluruh umat Islam. 


PESTA CAHAYA DEEPAVALI 2013

Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. 

Menurut lagenda, Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan. Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua manusia agar mereka merai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali.


Sempena perayaan ini yang jatuh pada 2 November 2013 (Sabtu), saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara. 

MAJLIS PERASMIAN INSTITUT KEMAHIRAN TENUN PAHANG DIRAJA TENGKU AMPUAN BESAR MERIAM


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam. Majlis disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang pada 20 Oktober 2013 bertempat di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan Pahang.

Hadir sama ialah Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang , Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan Isteri.Yang Berbahagia Datuk Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Haji Sohaimi bin Shahadan, Pengerusi Kraftangan Malaysia serta Yang Berbahagia Encik Mohd Kamil Mohd Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.



Pada majlis ini,  Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang turut menyempurnakan Pengurniaan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja kepada 43 orang penerima yang mana terdiri daripada Graduan IKTPD (10 orang), Sijil Watikah Pemakaian Logo Tenun Pahang Diraja (11 orang), Sijil Anugerah UNESCO (2 orang) dan Sijil Penyertaan Bimbingan Teknikal (20 orang).

Sempena majlis ini juga, beberapa aktiviti khas diadakan seperti Pameran Produk Pelajar, Pameran Produk Rekaan Baru Tenun Pahang, Interaktif dan Pendidikan Kraf, Jualan Produk Kraf oleh 11 syarikat tenun Pahang termasuk produk kraf dari Jabatan Penjara, Demonstrasi Kraf, Persembahan Kesenian dan Kuiz Tenun Pahang.