13 Jan 2014

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 1435H


Sambutan Maulidur Rasul tahun 1435H atau tahun 2014M yang jatuh pada 14 Januari 2014 (Selasa) bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1435H ialah :

"WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"

14 Januari 2014 ialah pada hari Selasa dan sempena sambutan ini, hari tersebut diistiharkan sebagai hari cuti umum. Maulidur Rasul merupakan hari kebesaran bagi seluruh islam untuk mengingati hari keputeraan atau kelahiran Nabi Muhammad yang jatuh pada setiap 12 Rabiulawal. Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.


9 Jan 2014

SIARAN MEDIA PELANCARAN GILANG-GEMILANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014







PELANCARAN GILANG-GEMILANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014
Permulaan bagi sambutan "Celebrating 1Malaysia Truly Asia"

KUALA LUMPUR, 4 Januari 2014 - Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin hari ini merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2014, edisi keempat kempen Tahun Melawat Malaysia yang bertemakan "Celebrating 1Malaysia Truly Asia".

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 bukan sahaja dijangka memberi kenangan dan pengalaman indah tetapi juga dapat mengeratkan ikatan persahabatan serta menggalakkan pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain tentang budaya dan warisan masing-masing.

"Kita telah melakarkan pelbagai ‘ramuan’ bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 antaranya dasar rangka kerja yang sesuai dan komitmen kerajaan, kerjasama antara sektor awam dan swasta yang kukuh serta sokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat," kata YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin.

Pelbagai program menarik yang bermula seawal jam 8.00 pagi telah diatur di Dataran Merdeka dan ini termasuk pameran serangga, lukisan karikatur, jualan kraftangan, pameran lukisan batik, anyaman rotan, permainan video, van simulasi 6D dan gerai makanan yang menghidangkan masakan istimewa dari 14 negeri di Malaysia sebagai sebahagian daripada acara sambutan sempena menyambut kedatangan pelancong dunia ke Tahun Melawat Malaysia 2014.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz yang menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk bersatu dan memberikan sokongan mereka dalam memastikan kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 sejajar dengan konsep "Kita Adalah Tuan Rumah" (We Are The Host).

"Adalah menjadi tanggungjawab bagi rakyat Malaysia untuk memastikan setiap tetamu kita dilayan dengan penuh hormat dan berbudi bahasa disamping memperkenalkan tarikan-tarikan indah yang banyak terdapat di Malaysia.

Oleh itu, Tahun Melawat Malaysia 2014 bakal menyatukan semua rakyat Malaysia bagi mengalu-alukan kedatangan dunia dan ia menjadi kewajipan seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing sebagai tuan rumah yang mesra," kata YB Dato' Seri Mohamed Nazri.

Sambutan yang berlangsung sepanjang hari itu menyaksikan kehadiran lebih daripada 50,000 orang. Orang ramai turut dijemput untuk menyertai aktiviti-aktiviti termasuk persembahan seniman jalanan, persembahan video kebudayaan dan produk pelancongan, 1Malaysia Mix Music dan persembahan gendang, persembahan "Pemetaan Bangunan" pada Bangunan Sultan Abdul Samad, persembahan ekstravaganza "Celebrating 1Malaysia Truly Asia" dan juga pertunjukkan bunga api.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan memukau dari penyanyi terkenal negara Dato’ Siti Nurhaliza dan Datuk Khadijah Ibrahim. Barisan artis tempatan lain seperti Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Hafiz, Nash, Azlan & the Typewriter, Awie dan Najwa Latif turut berjaya menarik perhatian orang ramai dengan lagu-lagu hit mereka.

Persembahan penuh semangat kelompok belia dari Universiti LimKokWing menambah momentum kepada keseluruhan persembahan dengan nyanyian lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2014.

Tahun Melawat Malaysia 2014 bertujuan merealisasikan sasaran kerajaan menerima kunjungan seramai 36 juta orang pelancong dan RM168 bilion pendapatan pelancongan pada tahun 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP) 2020 yang merupakan sebahagian daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 ini juga, kerajaan Malaysia mensasarkan sejumlah 28 juta ketibaan pelancong dan RM76 bilion pendapatan pelancongan. Untuk mencapai sasaran itu, lebih daripada 200 acara perayaan telah dirancang untuk sepanjang tahun bagi menarik lebih ramai pelancong serta menceriakan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi pelancaran majlis gilang-gemilang Tahun Melawat Malaysia 2014 kali ini kerana nilai tinggalan sejarahnya dan aspek persekitarannya yang berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad, mercu tanda Kuala Lumpur bersesuaian dengan pesta visual penuh warna-warni ini.

Monyet Proboscis telah dipilih sebagai maskot rasmi bagi Tahun Melawat Malaysia 2014. Tiga kempen Tahun Melawat Malaysia telah dianjurkan dengan jayanya pada tahun 1990, 1994 dan 2007.




 Sumber: http://www.motac.gov.my

MAJLIS PELANCARAN VISIT MALAYSIA YEAR 2014


Pada 4 Januari 2014 (Sabtu) yang lalu, telah diadakan Majlis Tahun Melawat Malaysia 2014 yang telah disambut dengan gilang-gemilang dan bertemakan '1Malaysia Truly Asia'. Majlis ini telah diadakan di Dataran Merdeka. Kempen ini bukan sekadar untuk menyimpan kenangan indah dan manis tetapi adalah sebagai jambatan tali persahabatan dan memahami tradisi setiap budaya.


Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin  dan turut hadir memberi ucapan Menteri Kebudayaan dan pelancongan YB Dato' Seri Mohamed Nazri Bin Tan Sri Abdul Aziz. 

Diharapkan dengan kempen ini , masyrakat Malaysia diharap mementingkan untuk sentiasa menjamin kepercayaan dan keyakinan para pengunjung dengan memberi layanan dan kualiti perkhidmatan yang terbaik. Ini sudah pasti akan meningkatkan imej negara dan mampu menarik para pelancong asing untuk datang semula ke Malaysia.