10 Jun 2015
2 Jun 2015
PERAYAAN HARI GAWAI DAYAK (SARAWAK)
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat menyambut Perayaan Hari Gawai Dayak (Sarawak) kepada semua masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak yang disambut pada 1 dan 2 Jun 2015. Semoga tahun 2015 ini memberi hasil dan rezeki yang lebih kepada semua. Sedikit perkongsian maklumat berkenaan Hari Gawai:
HARI GAWAI
Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.
Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.
Setelah upacara persembahan selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak.
Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.
Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.
Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.
Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my/
1 Jun 2015
PESTA KEAMATAN (SABAH)
Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai ini disambut oleh kaum Kadazan/Dusun sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan "ketua pendita"
Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan'.
Kaum Kadazan percaya kepada makhluk halus dan mereka mempercayai terdapat lima jenis makhluk halus yang dikenali sebagai :- Kinoingan, Ketua makluk halus dan Pencipta, Rusad semangat semua benda hidup kecuali manusia, Koududuvo semangat manusia, Tombivo semangat orang yang telah meninggal, dan Rogon semangat jahat.
Menurut kepercayaan orang Kadazan, semangat padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan - yang juga dikenali sebagai Bambaazon, yang disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada kehidupan. Semangat padi Bambaazon amat dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."
Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai "arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'.
Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/
Langgan:
Catatan (Atom)

