15 Mac 2011

TEKS UCAPAN - MAJLIS PERASMIAN HARI KRAF KEBANGSAAN OLEH YABHG. PUAN SRI DATIN HAJAH NOORAINEE ABD RAHMAN ISTERI TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Hari Kraf Kebangsaan 2011. Terima kasih juga diucapkan kepada YABhg Puan Sri Datin Hajah Noorainee Abd Rahman, Isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia kerana sudi hadir di majlis perasmian seterusnya merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2011.

Berikut adalah teks ucapan YABhg Puan Sri Datin Hajah Noorainee Abd Rahman, Isteri Timbalan Perdana Menteri Malaysia.




TEKS UCAPAN
YABHG. PUAN SRI DATIN HAJAH NOORAINEE ABD RAHMAN
ISTERI TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN HARI KRAF KEBANGSAAN 2011

PADA 24 FEBRUARI 2011 (KHAMIS), JAM 10.30 PAGI
DI KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Yang Berusaha Saudara Pengacara Majlis

1. Yang Berhormat Dato’ seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ; dan Yang Berbahagia Datin seri Utama Masnah Rais;

2. Yang Berhormat Dato’ Joseph Salang ;
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan I

3. Yang Berhormat Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz ;
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan II

4. Yang Berbahagia Dato’ Sri Kamaruddin Siaraf ;
Ketua Setiausaha
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

5. Yang Berbahagia Datuk Zakiah Ahmad
Pengerusi Kraftangan Malaysia

6. Yang Berusaha encik Mohd. Kamil Mohd Ali
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia

7. Dif-dif Kehormat, Tuan- Tuan Yang Terutama, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian.





1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat limpah dan kurnia Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di hari yang penuh bermakna ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kerana sudi mengundang saya untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Kraf kebangsaan 2011 pada hari ini dan seterusnya menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara. Saya amat gembira menyaksikan usahawan kraf berkumpul di dalam satu premis untuk sama-sama menjayakan program kraf utama yang dilaksanakan secara besar-besaran setiap tahun.

2. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian dan khasnya Kraftangan Malaysia kerana berjaya menganjurkan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan buat kali yang kesembilan semenjak penganjuran yang pertama pada tahun 2003.
Hadirin yang dihormati,
3. Seni kraf bukan sahaja warisan bangsa yang perlu dipelihara kerana nilai estetiknya tetapi sumbangannya yang besar kepada industri itu. Penganjuran Hari Kraf Kebangsaan saya kira amat bertepatan sekali kerana ia membantu meningkatkan pendapatan usahawan kraf.

4. Saya dimaklumkan bahawa jualan kraf pada tahun 2010 melalui penganjuran program ini amat memberangsangkan sekali iaitu berjumlah RM20.8 juta. Ini satu pencapaian yang amat baik dan merupakan satu petanda produk kraf tempatan telah mula diterima oleh masyarakat tempatan. Saya percaya penganjuran program ini tidak hanya memberi faedah kepada perkhidmatan lain seperti pengangkutan dan penyediaan logistik. Ini membuktikan bahawa produk kraf tempatan mempunyai pasaran dan potensi yang baik untuk dimajukan.


5. Pada pandangan saya, sektor kraf dilihat mampu menjana pendapatan tambahan yang lumayan kepada isi rumah dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat sama ada secara sepenuh masa mahupun sambilan. Saya percaya, ramai kaum wanita yang melibatkan diri dalam menghasilkan kraf seperti tenunan, tekatan, anyaman dan lain-lain telah dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga mereka.

6. Saya difahamkan oleh pihak Kraftangan Malaysia, sebahagian besar usahawan kraf adalah golongan wanita iaitu seramai 4,997 orang atau 70% daripada bilangan keseluruhan usahawan kraf . Majoriti usahawan wanita iaitu 60% bergiat dalam bidang tekstil dan hasil rimba. Bidang-bidang ini menjadi pilihan kaum wanita kerana ia tidak melibatkan kerja-kerja berat dan boleh dibuat di rumah. Sambil membuat kerja rumah, boleh membuat kraf juga. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Mereka ini mempunyai kemahiran dan mampu menghasilkan kraf yang berkualiti. Saya ingin menyarankan kepada Kraftangan Malaysia untuk membimbing mereka yang berminat dan berkemahiran ini supaya mereka juga boleh menjadi usahawan dan dapat menjana pendapatan sendiri.


7. Saya dimaklumkan bahawa saiz pasaran kraf yang dicapai oleh usahawan kraf wanita pada tahun 2009 adalah sebanyak RM83 juta atau 31% daripada saiz pasaran produk kraf. Saya berharap Kraftangan Malaysia dapat membantu golongan ini secara menyeluruh dari aspek pengeluaran dan pemasaran supaya perusahaan mereka lebih maju. Justeru, saya menyeru kepada usahawan kraf wanita agar sentiasa peka terhadap setiap perubahan dalam industri, memanfaatkan setiap peluang yang disediakan dan turut serta dalam semua program yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

8. Umumnya, masyarakat di kampunglah yang banyak melibatkan diri dalam industri kraf. Oleh itu, saya ingin menggesa Kraftangan Malaysia untuk melibatkan sama golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar supaya berkecimpung dalam industri kraf. Contohnya, kaum lelaki boleh digalakkan dalam menghasilkan produk kraf kayu dan kaum wanita pula dalam seni sulaman atau jahitan. Justeru, saya ingin mengesyorkan supaya kraf warisan seperti kemahiran menjahit baju kurung dan seni jahitan tulang belut digerakkan semula. Ia tidak memerlukan seni teknologi moden dan canggih. Jahitan tulang belut hanya memerlukan jarum, benang serta ketelitian dan ia boleh dilakukan secara berkumpulan. Contohnya, satu kumpulan menumpukan kepada jahitan kurung dan satu kumpulan yang lain menumpukan kepada jahitan tulang belut pula ia boleh diusahakan di rumah masing-masing dan lebih sesuai diterokai oleh suri rumah.


9. Selain dari seni jahitan baju kurung, seni sulaman kerawang dan manik amat sinonim dengan Baba Nyonya wajar diperluaskan. Kebanyakan pakaian yang dihias indah ini dibeli dari negara jiran. Saya percaya kaum wanita negara ini mempunyai kemahiran dan ketelitian untuk menghasilkan produk kraf setanding dengan produk import. Sekiranya dirancang serta dibimbing dengan baik, seni kraf sulaman kerawang dan manik boleh menjadi pekerjaan sambilan suri rumah dan membantu menjana pendapatan keluarga. Kraftangan Malaysia boleh membantu memasarkan produk hasilan kraf ini. Selain itu, kaum wanita juga boleh memasarkannya sendiri melalui internet secara online.

10. Saya juga ingin mencadangkan supaya Persatuan Kraf Wanita Malaysia ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan pembangunan kaum wanita yang melibatkan diri dalam industri kraf. Persatuan ini akan menumpukan kepada aspek penerokaan peluang baru dalam penghasilan kraf, strategi pemasaran produk serta latihan dan bimbingan kepada ahli untuk meningkatkan ilmu kemahiran yang dimiliki oleh para ahlinya. Kaum belia dan beliawanis yang baru tamat persekolahan juga boleh digalakkan berkecimpung dalam bidang kraf.

11. Bagi merancakkan lagi industri kraf, kita sebagai rakyat yang cintakan tanah air sendiri sewajarnya menggunakan kraf dalam kehidupan seharian umpamanya pakaian, gaya hiasan dalaman rumah atau pejabat dan lain-lain. Saya berpandangan produk kraf sesuai untuk semua lapisan masyarakat dari harga yang berpatutan hinggalah sehinggalah kepada produk eksklusif.

Hadirin sekalian,

12. Produk kraf buatan tempatan yang dihasilkan mempunyai kecantikan dan keunikan yang tersendiri. Kita seharusnya berbangga dengan keupayaan usahawan kraf kita yang mampu menghasilkan pelbagai produk kraf yang mempunyai nilai estetik, berkualiti dan praktikal. Setiap sektor perlu bekerjasama dalam memastikan industri ini terus kukuh seiring dengan pembangunan negara, supaya tak lapuk dek hujan. Tidak lekang dek panas dan tidak hilang ditelan zaman. Negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Myanmar dan lain-lain amat bangga menggunakan produk kraf keluaran mereka sendiri dan kita juga sepatutnya mencontohi mereka dan berbangga dengan produk kraf keluaran negara kita.

13. Saya percaya produk kraf tempatan boleh dijadikan hadiah eksklusif sebagai cenderahati kepada mereka yang bertugas di luar negara terutamanya pegawai-pegawai kerajaan. Sekali gus mereka ini menjadi duta bagi mempromosikan kraf tempatan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, saya menyeru supaya usahawan kraf bekerja keras untuk menghasilkan produk yang kompetitif dan mampu berdaya saing dengan produk cenderahati yang lain.


14. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakan syabas dan tahniah kepada Anugerah Tokoh Kraf Negara pada tahun ini. Saya berharap kejayaan ini akan memberi semangat untuk beliau terus menyumbang ke arah membangunkan industri kraf negara. Semoga ini juga menjadi pendorong kepada usahawan kraf dan pihak-pihak lain berusaha dengan lebih gigih dalam mempertahan dan memantapkan industri warisan bangsa, pusaka peninggalan nenek moyang kita.

15. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan atas jemputan untuk merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2011. Semoga dengan program serupa ini yang dianjurkan setiap tahun dapat menyemarakkan lagi industri kraf negara.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2011.

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

19 Feb 2011

HARI KRAF KEBANGSAAN 2011 “KRAF MENJANA EKONOMI”

Selepas lapan tahun penganjuran Hari Kraf Kebangsaan dengan memaparkan pelbagai tema, tahun 2011 Kraftangan Malaysia sekali lagi menganjurkan aktiviti berprestij peringkat kebangsaan iaitu Hari Kraf Kebangsaan 2011 bertemakan "Kraf Menjana Ekonomi". Hari Kraf Kebangsaan diadakan khusus untuk usahawan kraf sebagai satu pengiktirafan kepada penglibatan dan sumbangan golongan ini dalam pembangunan industri kraf negara.

Festival kraf yang akan berlangsung selama 13 hari bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac 2011 berkonsepkan himpunan produk kraf Malaysia daripada pelbagai kaum dan budaya dari seluruh Malaysia dipamerkan dan dijual kepada umum dan sekali gus membuka peluang kepada usahawan kraf berurus niaga terus bersama pelanggan.
Penglibatan usahawan dari tahun ke setahun meningkat dan untuk tahun 2011 seramai 500 usahawan akan mengambil bahagian dalam aktiviti jualan dan pameran. Kraf Menjana Ekonomi sebagai tema utama merupakan tunjang penggerak penghasilan produk secara komersial yang dapat menjana pendapatan dan peningkatan kepada ekonomi negara.

Hari Kraf Kebangsaan 2011 merupakan rangkuman pelbagai aktiviti istimewa promosi dalam promosi selain dari aktiviti utamanya iaitu jualan produk kraf. Selari dengan perkembangan teknologi terkini dalam bidang kraf pameran penggunaan teknologi dan bahan baru akan dipertontonkan kepada umum iaitu mesin pemati warna untuk industri batik. Selain daripada itu Pameran Kelengkapan rumah, Pameran Seni Ukir Dalam Seni Bina dan Pameran Kraf Warisan Teknologi turut dipamerkan. Elemen pendidikan yang diterapkan melalui Hari Kraf Kebangsaan di realisasikan melalui aktiviti Pendidikan Kraf dan Apresiasi Kraf yang merupakan program perkongsian idea dan ilmu dan akan memfokuskan perbincangan kepada Teknik Pembuatan Logam Bahan Campuran Seramik, Tenun Palembang dan Aplikasi Pewarna Glaze. Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan sebagai pencambahan ilmu.

Pengunjung-pengunjung Hari Kraf Kebangsaan berpeluang melihat sendiri pembuatan songket dan tenunan melalui aktiviti demonstrasi kraf tenunan. Hari Kraf Kebangsaan juga memperlihatkan penglibatan di peringkat antarabangsa melalui demonstrasi dari negara Filipina Tenunan Serat Nanas, Indonesia Tenunan Limar, Bangladesh Tenunan Jambadi dan Tenunan dari negara Uzbezkistan dan China. Peluang usahawan-usahawan kraf memasarkan produk ke peringkat antarabangsa juga terbuka luas dengan penganjuran aktiviti perjumpaan pembeli. Sebanyak 30 pedagang dari luar negara akan menyertai aktiviti ini dan berurus niaga bersama pengusaha kraf tempatan.
Persembahan Kesenian dan demonstrasi masakan kuih tradisional menjadi pelengkap kepada Hari Kraf Kebangsaan. Kelangsungannya Promosi Kraf Malaysia akan mengambil tempat di tiga pusat membeli belah utama iaitu AEON Bukit Raja, Kelang, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur dan One Utama Damansara bermula pada 22 Mac hingga 20 April.

Kunjungi Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 23 Februari hingga 7 Mac 2011, jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-21627533 atau layari www.kraftangan.gov.my atau email kepada pro@kraftangan.gov.my

31 Jan 2011

TEKS UCAPAN KP - PERHIMPUNAN BULAN JANUARI

KETUA PENGARAH
DI PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN JANUARI 2011 AMPHITHEATRE BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

TARIKH
27 JANUARI 2011
(KHAMIS)

JAM
8.15 PAGI



BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

SAUDARA DAN SAUDARI PENGERUSI MAJLIS,

ENCIK RAMLI BIN MOHD NOR
TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI)

TUAN HAJI SHAHRUDIN MOHD NOR,
TIMBALAN KETUA PENGARAH (PEMBANGUNAN),

PENGARAH-PENGARAH BAHAGIAN,
PENGARAH INSTITUT KRAF NEGARA

PENGARAH URUSAN KARYANEKA SDN. BHD.
PENGURUS BESAR KARYANEKA SDN. BHD,
PENGURUS KRAF HOLDING SDN. BHD.
DAN ANGGOTA KERJA KRAFTANGAN SEMUA

ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA

MARILAH KITA MEMANJAT KESYUKURAN KE HADRAT ALLAH SWT ATAS LIMPAH KURNIA DAN KEBERKATANNYA JUA KITA DAPAT BERHIMPUN PADA PAGI INI SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN JANUARI 2011.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN

SEBAGAIMANA SEDIA MAKLUM, MAJLIS PERHIMPUNAN PAGI INI MERUPAKAN PERHIMPUNAN PERTAMA BAGI TAHUN 2011. DI AWAL TAHUN INI MARILAH KITA SAMA-SAMA MERENUNG KEMBALI APA-APA KEKURANGAN, KEPINCANGAN PELAKSAAN SETIAP AKTIVITI YANG TELAH DILAKSANAKAN SEPANJANG TAHUN LEPAS SEBAGAI PEDOMAN UNTUK SAMA-SAMA KITA MEMPERBAIKI DAN MENGUBAHNYA SUPAYA AKTIVITI–AKTIVITI UNTUK TAHUN 2011


DILAKSANAKAN DENGAN LEBIH BERKESAN DAN CEMERLANG.

TAHUN 2011 MERUPAKAN TAHUN YANG AMAT MENCABAR BAGI KITA SEMUA DENGAN PELBAGAI AKTIVITI YANG AKAN DILAKSANAKAN DENGAN KEKANGAN PERUNTUKAN YANG AMAT TERHAD. WALAU BAGAIMANAPUN IA BUKANNYA SATU HALANGAN UNTUK KITA MELAKSANAKAN AKTIVITI BAGI TAHUN 2011.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN

CABARAN UTAMA KRAFTANGAN MALAYSIA ADALAH UNTUK MENCAPAI KPI BAGI TAHUN 2011 IAITU MEMPEROLEH PENDAPATAN SEJUMLAH RM130 JUTA. KPI YANG DITETAPKAN INI ADALAH HASIL KEJAYAAN KITA SEMUA YANG BERJAYA MENJANGKAUI KPI YANG DITETAPKAN PADA TAHUN 2010 IAITU SEBANYAK RM100 JUTA, NAMUN DEMIKIAN KRAFTANGAN MALAYSIA BERJAYA MEMPEROLEH CATATAN JUALAN SEJUMLAH RM125.8 JUTA. PENINGKATAN KPI UNTUK 2010 DAN 2011 ADALAH SEJUMLAH RM30 JUTA IAITU

SEBANYAK 30%. INI MENUNJUKKAN BAHAWA KITA SEMUA SEBAGAI WARGA KRAFTANGAN MALAYSIA PERLU MENGGANDAKAN DAYA USAHA DAN TENAGA DEMI MENCAPAI AMANAH YANG DITETAPKAN KE ATAS BAHU KITA SEMUA.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN

BERMULA PADA 23 FEBRUARI HINGGA 7 MAC IAITU LEBIH KURANG TIGA MINGGU LAGI KITA BAKAL MENEMPUH HARI BESAR KRAFTANGAN MALAYSIA IAITU SAMBUTAN HARI


KRAF KEBANGSAAN (HKK) 2011. HKK 2011 DENGAN TEMA “KRAF MENJANA EKONOMI” DIHARAP MENJADI SATU PLATFORM KEPADA USAHAWAN KRAF UNTUK MENCARI PELUANG PERNIAGAAN YANG LEBIH LUAS.

SERAMAI 500 USAHAWAN BAKAL MENYERTAI HKK BAGI TAHUN INI DENGAN SASARAN JUALAN SEJUMLAH RM30 JUTA IAITU MENINGKAT SEBANYAK 46.3% BERBANDING DENGAN PENCAPAIAN SEBANYAK RM20.5 JUTA PADA TAHUN 2010. KRAFTANGAN MALAYSIA BERJAYA MELEPASI SASARAN

YANG DITETAPKAN IAITU SEBANYAK RM12.7 JUTA UNTUK TAHUN 2010. SAYA BERHARAP DENGAN BERKAT KERJASAMA, KOMITMEN SERTA KETEKUNAN SEMUA ANGGOTA KERJA SASARAN BAGI TAHUN INI AKAN DAPAT DI CAPAI.

SAYA PERCAYA DAN MENGGESA SEMUA ANGGOTA KERJA DAN JAWATANKUASA YANG DIBENTUK TELAH MEMBUAT PERSIAPAN RAPI MULAI SEKARANG SUPAYA HKK 2011 BERJALAN DENGAN LANCAR DAN BERKESAN. SAYA MENYERU KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT DI DALAM

KERJA-KERJA PEROLEHAN SUPAYA DAPAT BERUNDING AWAL BERSAMA PEMBEKAL. ELAKKAN MEMBUAT PEROLEHAN DI SAAT AKHIR SERTA PATUHI PERATURAN PEROLEHAN DAN PEMBELIAN SEPERTI YANG DITETAPKAN DI DALAM SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN BIL 5 TAHUN 2009.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN

SEPANJANG TAHUN 2010 YAB PERDANA MENTERI TELAH MEMPERKENALKAN BEBERAPA STRATEGI DAN AGENDA DALAM USAHA MENTRANSFORMASIKAN PERKHIDMATAN AWAM DAN KERAJAAN. INI TERMASUK PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN, MODEL BARU EKONOMI, PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI DAN RANCANGAN MALAYSIA KE-10 YANG SEMUANYA DIGUBAL DI BAWAH NAUNGAN GAGASAN 1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMANKAN.SEDAR TIDAK SEDAR, SECARA TIDAK LANGSUNG KITA SEBAGAI JENTERA KERAJAAN MESTILAH TURUT SAMA SEDAYA UPAYA MENGGEMBLENG TENAGA DALAM MENJAYAKAN STRATEGI DAN AGENDA KERAJAAN INI.

SUMBANGAN IDEA SERTA CADANGAN PENAMBAHBAIKAN AMAT DIALU-ALUKAN DARIPADA SEMUA TERUTAMANYA IDEA YANG POSITIF YANG DAPAT MEMBINA DAN DIMANFAATKAN SEBAIKNYA UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI KRAF NEGARA.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN

SEBAGAI KAKITANGAN AWAM TERDAPAT NILAI-NILAI MURNI YANG TELAH DIGARISKAN UNTUK MENJADI PEKERJA CEMERLANG ANTARANYA AMANAH, TANGGUNGJAWAB, IKHLAS, DEDIKASI, SEDERHANA DAN TEKUN. UNTUK MENCAPAI SEBAGAI SEORANG PEKERJA YANG PROFESIONAL NILAI-NILAI INI PERLU ADA DAN DITANAM DALAM SETIAP JIWA WARGA KERJA KRAFTANGAN MALAYSIA. SELAIN DARIPADA ITU BERUSAHALAH MENAIKKAN IMEJ ORGANISASI TEMPAT KITA BEKERJA. INI KERANA ORGANISASI YANG MEMPUNYAI IMEJ YANG BAIK DAN POSITIF AKAN MENJADIKAN PEKERJANYA TURUT DIPANDANG SEDEMIKIAN RUPA.

SAUDARA SAUDARI SEKALIAN

SAYA MENYERU KEPADA SEMUA, MARILAH KITA BERSAMA UNTUK BEKERJA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH DAN JADIKAN TUGAS SEBAGAI IBADAH DENGAN MENGGABUNGKAN TUGAS BERSAMA ETIKA KERJA SERTA CIRI KEPERIBADIAN YANG BAIK, BAGI MENYUMBANG KEPADA KERJA-KERJA BERKUALITI. SEMANGAT KERJA BERPASUKAN TIDAK HARUS PUDAR, MALAH IA PERLU SENTIASA DIGILAP AGAR, KEKAL DAN TAHAN MENGHADAPI CABARAN PELBAGAI PERSEKITARAN.
SEBELUM MENGAKHIRI UCAPAN, SEKALI LAGI SAYA MEMPERINGATKAN KEPADA SEMUA WARGA KRAFTANGAN MALAYSIA SUPAYA DAPAT MEMBERI TUMPUAN SEPENUHNYA KEPADA SAMBUTAN HARI KRAF KEBANGSAAN YANG BAKAL TIBA.

SEKIAN DAHULU UNTUK PERHIMPUNAN KALI INI, SELAMAT MENJALANKAN TUGAS DAN SELAMAT MAJU JAYA.
WASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


TERIMA KASIH.