1 Okt 2013

MAJLIS PERASMIAN PROMOSI HIASAN DALAMAN DAN SENI TAMAN 2013

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kerana telah menyempurnakan Majlis Perasmian Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 pada 30 September 2013 (Isnin) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.




Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar Ab Thambi dan Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan & Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsudin.

Terima kasih kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis perasmian ini. Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman masih berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay sehingga 6 Oktober 2013. Semua dijemput hadir bagi memeriahkan lagi promosi ini.






Petikan akhbar Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)


Mohamed Nazri berkata, industri kraf tempatan khususnya produk hiasan dalaman dan seni taman dilihat berpotensi untuk dijadikan titik tolak kepada hasrat kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkenal di rantau Asia.

"Kita sasarkan Tahun Melawat Malaysia 2014 menerima jumlah kunjungan pelancong asing seramai 28 juta orang dan daripada jumlah itu kita yakin industri kraf dapat menyumbang sebahagian daripada RM65 bilion nilai sasaran pendapatan negara yang disumbangkan dari aktiviti pelancongan.

"Sebagai peneraju industri kraf negara, Kraftangan Malaysia perlu bergandingan dengan agensi kerajaan dan swasta untuk memantapkan sektor pelancongan termasuk usahawan produk kraf yang menjadi sebahagian daya penarik pelancong ke negara ini," katanya.

Bagi memastikan produk kraf sentiasa relevan di pasaran katanya, penggunaan dan eksploitasi sumber semula jadi perlu dilakukan sepenuhnya khususnya sumber daripada hasil tanah dan rimba yang sering dijadikan sebagai produk bagi hiasan dalaman dan seni taman.

Bagi meluaskan pengaruh penggunaan produk kraf dalam seni bangunan pula katanya, rundingan bersama arkitek tempatan serta jurutera binaan perlu dilaksanakan selain pendekatan lebih kreatif juga boleh diambil untuk berbincang dengan pereka hiasan dalaman bagi menggalakkan penggunaan produk kraf sebagai pelengkap.

Sementara itu Sohaimi berkata, Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2013 yang berlangsung selama 10 hari bermula 27 September hingga 6 Oktober ini melibatkan seramai 200 usahawan dalam pelbagai bidang kraf seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf.




Tiada ulasan: