9 Jan 2014

TEKS UCAPAN YBHG DATO' KETUA PENGARAH SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN BAGI BULAN JANUARI 2014

TEKS UCAPAN

KETUA PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN
DI PANGGUNG SARI
BANGUNAN SERI UTAMA,
KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
  
TARIKH
9 JANUARI 2014 (KHAMIS) 

JAM
8.00 PAGI 
Bismillahirrahmaanirrahim

Terima kasih  Saudara Pengerusi Majlis

Yang Berusaha  
Tuan Haji Ramli  Mohd Noor  
Timbalan Ketua Pengarah  (Operasi)

Tuan Haji Shahrudin  Mohd Nor  
Timbalan Ketua Pengarah  (Pembangunan) 

Pengarah-pengarah Bahagian  
Pengarah  Institut Kraf Negara
Pengurus Besar  Karyaneka Sdn. Bhd  
Pengurus  Kraf Holding Sdn. Bhd.
dan Warga Kraf tangan  semua

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Saya memanjatkan kesyukuran  ke hadrat Allah S.W.T  kerana dengan limpah kurniaNya  dapat kita bertemu lagi  pada perhimpunan pertama untuk tahun 2014 .  Saya juga  amat bersyukur  dipanjangkan usia untuk bersama-sama  saudara-saudari sekalian  berkhidmat di Kraftangan Malaysia  dan menjaga industri kraf negara  agar sentiasa berada  di tahap yang cemerlang .

Rasanya belum terlambat  untuk saya mengucapkan  selamat tahun baru 2014  kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia , Karyaneka  dan Kraf Holding  dengan harapan agar  tahun 2014 ini  akan membawa lebih banyak kejayaan  kepada kita semua  dalam melaksanakan amanah  memperkasa industri kraf  yang menjadi tunjang kepada perkhidmatan kita .

Menyorot kembali kejayaan  sejak tiga tahun kebelakangan ini , saya amat berbangga  dengan pencapaian Kraftangan Malaysia  di dalam penganjuran aktiviti  mahupun pencapaian KPI yang ditetapkan. Seperti mana saudara-saudari sedia maklum kayu pengukur utama  pencapaian KPI ini ialah  sasaran jualan kraf . Tahun 2011, sasaran yang ditetapkan ialah  sebanyak RM109 juta dan berkat usaha semua kita berjaya mencapai jualan dengan cemerlang iaitu sebanyak RM143 juta . 

Begitu juga pencapaian,  bagi tahun 2012 , daripada sasaran RM300 juta  kita memperoleh capaian  sebanyak RM341.9 juta.  Kejayaan ini  diulang untuk tahun 2013, sehingga November sahaja  kita telah berjaya mencapai jualan  sebanyak RM384.3 juta melebihi sasaran yang ditetapkan  sebanyak RM350 juta. Jumlah ini menunjukkan  inisiatif dan strategi yang dirangka  bertepatan dengan perancangan yang dibuat .  Oleh yang demikian,  tidak mustahil untuk kita mencapai sasaran jualan  sebanyak RM1billion  pada tahun 2016 .

Namun demikian,  saya mengingatkan kepada semua  bahawa  untuk tahun 2014,  Kraftangan Malaysia  perlu mencapai sasaran jualan kraf sebanyak RM430 juta .  Angka ini merupakan satu angka besar  yang perlu dicapai  dan kita pula berdepan  dengan pelbagai cabaran  terutamanya kenaikan harga barang  yang boleh mempengaruhi kuasa beli masyarakat  terhadap produk kraf .  Selain daripada itu,  peruntukan pembangunan  dan mengurus tahun semasa yang terhad ini membatasi kita untuk melaksanakan  aktiviti-aktiviti yang telah dirancang . Oleh itu,  perlu diingati bahawa kekangan peruntukan ini  bukannya penghalang  untuk kita semua bersama-sama melaksanakan aktiviti-aktiviti  yang telah direncanakan .

Gagasan rancangan 5 tahun  Kraftangan Malaysia  yang bermula tahun 2012 hingga 2016  dilihat sebagai pelan strategik  yang komprehensif  ke arah pencapaian  dan usaha-usaha kita selama ini .  Walaupun rancangan 5 tahun  bukannya perkara baru  namun diperingatkan bahawa kita perlu sentiasa  mengkaji , mengubahsuai  mengikut keadaan  dan bertindak segera  bagi memastikan setiap pelan perancangan  mengikut situasi ekonomi semasa.  Proses ini menjadikan kita  semua sebagai warga kerja  yang dinamik  dan pro-aktif .

Tahun 2014 juga  telah diisytiharkan sebagai  tahun melawat Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan  giat mempromosikan Malaysia  dan terkandungnya di dalamnya  destinasi pelancongan, budaya , seni  dan kraf tangan tempatan .  Oleh itu,  perolehan industri kraf  dijangka akan melonjak  berikutan dengan kegiatan promosi  dan limpahan pelancong-pelancong asing ke negara ini kerana produk kraf sering dikaitkan dengan pelancong.

Setiap tahun, Kraftangan Malaysia menganjurkan Hari Kraf Kebangsaan  (HKK) satu-satunya program  bertaraf antarabangsa dan dinanti-nantikan oleh  orang ramai dan usahawan kraf .  Tahun ini penganjuran HKK  akan diadakan pada 26 Februari  hingga 10 Mac 2014  dan majlis perasmiannya  akan disempurnakan oleh  Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri  Rosmah Mansor , isteri Perdana Menteri Malaysia  pada 27 Februari 2014 (Khamis).  Penganjuran HKK selama 13 hari ini  dijangka menjana pendapatan sebanyak RM26 juta kepada usahawan kraf . 

Bagi kesempurnaan penganjuran,  HKK yang ke-13 ini  saya  menyarankan agar  semua jawatankuasa yang dibentuk  pada mesyuarat jawatankuasa induk HKK  terus bertindak segera  membuat persiapan  kerana tarikhnya semakin hampir . 

Yang Amat Berhormat , Perdana Menteri Malaysia  pada 30 Disember yang lalu  mengumumkan langkah-langkah penjimatan sektor awam  dan dilaksanakan pada 1 Januari 2014 . Terkandung di dalamnya  11 perkara  yang perlu diambil perhatian  dan tindakan penjimatan  seperti yang disarankan .  Saya melihat usaha ini  sebagai satu langkah yang tepat  bagi kita semua  sebagai penjawat awam memperkemaskan  tadbir urus kewangan  dengan cermat  dan perbelanjaan mengikut keperluan . 

Langkah-langkah ini  bukan sahaja mengelak boros  dalam penggunaan peruntukan  malah mendidik kita semua membuat perancangan rapi  bagi pelaksanaan setiap aktiviti .

Sebelum mengakhiri ucapan , saya ingin merakamkan  penghargaan terima kasih  kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia  yang menyumbang usaha dan  tenaga di dalam menjayakan setiap aktiviti-aktiviti  sehingga meletakkan Kraftangan Malaysia  sebagai sebuah organisasi yang cemerlang .  Harapan saya  semoga tahun 2014  memberi kesejahteraan  dan iltizam yang cukup bermakna  dalam usaha  kita meningkatkan imej  dan peranan Kraftangan Malaysia . 

Saya percaya komitmen  dan usaha yang bersungguh-sungguh  daripada saudara saudari  warga Kraftangan Malaysia  akan mencorakkan kejayaan  pada masa-masa akan datang .

Sekian, Wabillahitafik Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Terima kasih

Tiada ulasan: