15 Jan 2010

Teks Ucapan Ketua Pengarah Sempena Perhimpunan Bulanan - Januari 2010

Bismillahirrahmaanirrahiim
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani)


Terima kasih tuan pengerusi majlis, yang dikasihi Encik Ramli Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Tuan Haji Shahrudin Mohd Nor Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Pengarah Institut Kraf Negara, Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengurus Besar Syarikat Karyaneka Sdn. Bhd, Pengurus Syarikat Kraf Holding dan warga kraftangan semua.



Assalamu’alaikum w.b.t.

Salam sejahtera Dan Salam satu malaysia

Syukur ke hadrat Allah Subhanawata’ala yang memungkinkan kita berkumpul pada pagi ini di perhimpunan kali yang pertama bagi tahun 2010. Hari ini tanggal 14 Januari 2010 bersamaan dengan 28 Muharam Tahun 1431 Hijrah. Berada ditahun baru memerlukan kita untuk merenung kembali apa jua kekurangan kita pada tahun lepas dan berazam untuk menanamkan tekad menuju kepada kejayaan yang diredahi.

Kita melangkah ke tahun 2010 dengan cabaran- cabaran yang bakal menanti serta memantapkan lagi semangat bekerja serta mempertingkatkan lagi usaha dalam pelaksanaan aktiviti tahun 2010.


Saudara saudari sekelian

Cabaran utama kita bagi tahun 2010 adalah untuk mencapai KPI yang ditetapkan oleh Kementerian iaitu memperolehi sasaran jualan sejumlah RM100 juta iatu peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding Tahun 2009 sejumlah 90 juta. Tahun 2009 kita telah berjaya mencapai KPI tersebut dan saya menyeru kepada semua untuk bekerja dengan lebih gigih lagi bagi mencapai hasrat kerajaan terhadap kraftangan Malaysia bagi memastikan kraftangan Malaysia terus relevan ke arah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Saya juga ingin menyeru, sebagai penjawat awam kita mestilah berpegang teguh kepada prinsip profesional yang total dan berani mencuba kaedah-kaedah baru untuk melaksanakan transformasi ke arah memodenkan organisasi kita, seperti yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri semasa berucap pada majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 11 Januari lalu.
Saudara saudari sekalian

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua atas kegigihan menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kita pada tahun 2009, sehingga kita dapat melaksanakan setiap aktiviti yang dirancang.

Tahun 2009 menyaksikan perbelanjaan pembangunan mencatatkan prestasi perbelanjaan sebanyak 89% peratus dan 100 peratus bagi peruntukan mengurus. Ingin diingatkan, dalam kita mengejar prestasi perbelanjaan yang baik, elemen berbelanja secara berhemah janganlah kita abaikan. Amalan perbelanjaan secara berhemah menekankan supaya amalan pengurusan perbelanjaan dilaksanakan secara cermat, terkawal dan tidak berlebih-lebihan. Antara langkah yang disarankan adalah:-

• Mengelakkan penyusunan semula organisasi yang melibatkan pertambahan jawatan atau penubuhan badan berkanun baru

• Menghadkan bilangan pegawai yang terlibat bagi perjalanan tugas rasmi ke luar negara

• Mengendalikan majlis dan upacara keraian secara sederhana dan dihadkan kepada benar-benar penting sahaja

• Menjimatkan penggunaan utiliti, bahan bakar serta bahan-bahan lain dan

• Mengawal perbelanjaan bagi tuntutan lebih masa.

Selaras dengan itu juga semua agensi dan badan berkanun kerajaan disaran melaksanakan dengan lebih tegas langkah-langkah penjimatan berikut:

• Menghentikan amalan menghidangkan makanan dan minuman secara berlebihan semasa persidangan / seminar / mesyuarat / bengkel atau sebarang acara rasmi dan

• Menghentikan pemberian door gift untuk sebarang upacara rasmi kerajaan atau majlis keraian seperti majlis penganugerahan / perasmian / pelancaran / persidangan / makan malam / mesyuarat dan sebagainya.

Saudara saudari sekalian

Tugas yang menanti kita ditahun 2010 baru bermula, yang memerlukan kita menggembleng usaha secara bersepadu untuk mencapai matlamat yang sama. Usah jadikan kepentingan diri sebagai penghalang bagi kita mencapai matlamat organisasi. Aktiviti terbesar dan pertama bakal ditempuhi adalah Hari Kraf Kebangsaan.

Saya percaya, setiap bahagian sedang giat membuat persediaan untuk aktiviti bahagian masing-masing. Sambutan Hari Kraf Kebangsaan bagi tahun 2010 akan berlangsung selama satu bulan bermula pada 24 Februari hingga 24 Mac 2010, manakala sambutan di Kompleks Kraf bermula pada 24 Februari hingga 13 Mac 2010.

HKK 2010 akan membawa tema “Kraf Kreatif dan Inovatif”. Saya menggesa semua jawatankuasa agar membuat persiapan rapi mulai sekarang supaya aktiviti tuan/puan lancar dan berkesan. Elakkan membuat perolehan di saat akhir. Patuhi segala peraturan perolehan yang memerlukan ketelusan dan ketanggungjawaban tinggi daripada tuan/puan.
Saudara saudari sekalian

Saya menyeru kepada semua, marilah kita bersama menggunakan segala kekuatan yang ada pada setiap individu untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dirancang pada tahun 2010 ini mencapai kejayaan. Jadikan tugas sebagai ibadah dengan menggabungkan tugas bersama etika kerja serta ciri keperibadian yang baik, bagi menyumbang kepada kerja berkualiti. Semangat kerja berpasukan tidak harus pudar, malah ia perlu sentiasa digilap agar kekal sinar, bercahaya dan berdaya tahan bagi menghadapi cabaran pelbagai persekitaran.

Sekian dahulu selamat menjalankan tugas dan selamat menyambut tahun baru 2010.

Wabillahitaufik wassalamu`alaikum warahmatullah wabarakatuh.


Terima kasih.

Tiada ulasan: