5 Okt 2012

Sekalung Ucapan Tahniah atas Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti tahun 2012 peringkat Persekutuan


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti tahun 2012 peringkat Persekutuan terutamanya kepada semua warga kerja Kraftangan Malaysia sendiri kerana turut menerima anugerah ini. Majlis penyampaian telah diadakan pada 3 Oktober 2012 yang lalu di Agensi Remote Sensing Malaysia bagi memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada kementerian/jabatan/agensi Kerajaan Persekutuan yang memperoleh prestasi cemerlang 4 bintang iaitu pencapaian tertinggi dalam penarafan Indeks Akauntabiliti pengurusan kewangan Kerajaan. 

Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti yang diperkenalkan bagi tahun kewangan 2007 bertujuan untuk membudayakan pematuhan undang-undang dan peraturan serta menambah baik prestasi pengurusan kewangan kementerian/jabatan/agensi di peringkat persekutuan dan negeri.

"Pengurusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan sektor awam dapat dipertingkatkan ke tahap yang tinggi selain pembudayaan kerja yang berasaskan amalan terbaik. Implikasi penarafan Indeks Akauntabiliti ini juga dapat meningkatkan persepsi dan keyakinan awam terhadap tatacara pengurusan dan penggunaan wang awam yang dilaksanakan oleh kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan. Sesungguhnya, pengurusan kewangan yang mantap dapat membantu menjayakan agenda transformasi negara yang sedang giat digerakkan bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020"...... petikan ucapan Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara.

Saya berharap, Kraftangan Malaysia terus melipatgandakan usaha untuk terus mengekalkan pengurusan kewangan yang cekap dan mantap agar budaya kerja yang cemerlang ini akan menjayakan lagi tranformasi negara secara tidak langsung.

Syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada Kraftangan Malaysia!


Tiada ulasan: