26 Dis 2014

PELANCARAN PORTAL DAN SIDANG MEDIA FESTIVAL KRAF JOHOR 2014




JOHOR BAHRU, 16 DISEMBER 2014 – Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia hari ini mengadakan Pelancaran Portal dan Sidang Media sempena Festival Kraf Johor 2014 oleh Puan Rugayah binti Mohd Salleh, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor bertempat di Kraftangan Malaysia Cawangan Johor. Hadir sama ialah Encik Abdul Manan bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia.

Sidang Media ini diadakan bertujuan untuk memaklumkan kepada pihak media mengenai satu portal khas yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi memberikan informasi kepada masyarakat umum mengenai Festival Kraf Johor 2014.

Festival Kraf Johor 2014 merupakan satu aktiviti mempromosi produk-produk kraf tempatan yang berlangsung mulai 18 hingga 31 Disember 2014 bermula dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall. Penganjuran Festival Kraf Johor 2014 merupakan kali ke-4 diadakan dan dijadikan sebagai acara tahunan setelah mendapat maklum balas positif yang diterima daripada pengunjung dan pengguna kraf di selatan tanah air sejak mula diperkenal pada tahun 2011.

Objektif utama penganjuran Festival Kraf Johor ialah untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna; memperluaskan pasaran kraf; memberi kesedaran dan maklumat terkini mengenai industri kraf negara serta menanam minat pengguna terhadap kraf tempatan.

Aktiviti Utama yang diketengahkan sepanjang penganjuran ini ialah Jualan Produk Kraf, Pameran Dan Jualan Produk Baru, Pameran Landskap & Seni Taman, Demonstrasi Kembang Api, Demonstrasi Masakan & Kuih Tradisional dan Interaktif Kraf. Turut diadakan juga sempena festival ini ialah Aktiviti Galakan Pengunjung seperti Persembahan Kesenian, Permainan & Pertandingan Congkak, Persembahan Karaoke Rakyat, Idola FKJ 2014, Persembahan Artis Akademi Fantasia, Tazkirah Laman Rohani, Mini Pesta Buku, Seni Khat @Craft, Roda Klasik@Craft, Si Comel Meow@Craft, Warna-Warni @Craft dan Bonsai @Craft.

Festival Kraf Johor merupakan penjenamaan semula nama aktiviti yang sebelum ini dikenali dengan Promosi Kraf Malaysia Peringkat Negeri Johor. Penjenamaan semula ini dilihat lebih bertepatan dengan konsep serta tambahan aktiviti baru yang diketengahkan. Penggunaan nama Negeri Johor memenuhi sasaran sebagai ruang promosi yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi hub pemasaran kraf di zon selatan tanah air. Penggunaan nama Negeri Johor itu juga tidak membataskan penyertaan usahawan dari lain-lain negeri. Penyertaan usahawan daripada pelbagai bidang kraf dari seluruh Malaysia merupakan dokongan utama menjayakan festival seumpama ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi :
KRAFTANGAN MALAYSIA CAWANGAN JOHOR
LOT PTB2002, JALAN CENDERASARI
OFF JALAN DATIN HALIMAH
80350 LARKIN, JOHOR  Ɩ  TEL : 07- 235 0431  Ɩ  LAYARI : www.festival.kraftangan.gov.my

Tiada ulasan: