27 Apr 2015

PETIKAN UCAPAN KSN SEMPENA MAJLIS APC JABATAN PERDANA MENTERI PADA 23/4/2015


BUDAYA KECEMERLANGAN
Saya yakin Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diberikan pada hari ini merupakan pembakar semangat dan pendorong untuk semua warga JPM berkhidmat dengan lebih baik ke arah peningkatan mutu kerja dan produktiviti. Saya juga percaya penganugerahan ini merupakan penghargaan di atas keupayaan warga cemerlang JPM untuk sentiasa berusaha maju ke hadapan bukan sahaja sebagai peneraju perubahan, tetapi juga sebagaipenggerak utama ke arah kecemerlangan perkhidmatan awam.

Kepada semua penerima anugerah pada hari ini, saya ingin mengingatkan bahawa ini hanyalah langkah permulaan bagi anda semua untuk terus berusaha menjadi penjawat awam yang lebih cemerlang pada masa akan datang. Jadikanlah anugerah kecemerlangan yang kita terima ini sebagai satu amanah dan cabaran untuk kita terus memberi komitmen yang terbaik dalam tugasan kita seharian.

Penyampaian perkhidmatan dan kecekapan tadbir urus yang baik (good governance) serta mengutamakan budaya kerja cemerlang merupakan ekspektasi yang perlu diberi perhatian selaras dengan dasar Kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Kecemerlangan individu sahaja tidak cukup bagi menjamin kejayaan sebuah organisasi. Kecemerlangan itu seharusnya diterapkan dalam budaya kerjasama sepasukan (teamwork) dan selari dengan nilai-nilai ‘Cepat, Tepat dan Integriti’ (CTI) dan prinsip ‘Produktiviti, Kreatif dan Inovasi’ (PCI) yang telah diperkenalkan pada tahun 2012. Hasilnya, tahun 2014 telah menyaksikan pelbagai pengiktirafan dan anugerah yang berjaya diperolehi oleh JPM.

Jurulatih lagenda American football, Vince Lombardi pernah menyatakan, “Pencapaian sebuah organisasi adalah hasil usahasama setiap individu di dalam organisasi tersebut.” Berdasarkan ungkapan ini, kejayaan JPM pada tahun 2014 ini merupakan kejayaan anda semua. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua di atas kejayaan ini dan saya amat berharap agar kecemerlangan ini akan dapat terus dikekalkan untuk masa yang akan datang.

MENANGANI CABARAN MASA KINI DENGAN BIJAK
 Tahun 2014 merupakan tahun yang amat mencabar bagi Malaysia. Bermula dengan kehilangan MH370, disusuli dengan tragedi MH17 dan diakhiri dengan banjir terbesar dalam sejarah Negara pada bulan Disember lepas, kesemua ini telah memberi impak yang besar kepada Kerajaan. Iktibar dari peristiwa-peristiwa tersebut mengkehendaki kita memantapkan dan menambahbaik Standard Operating Procedure (SOP) yang berkesansupaya wujud proses tindakan dan sistem komunikasi, pelaporan, penguatkuasaan kawalan yang lebih cekap, sistematik serta bersepadu.

Peristiwa-peristiwa ini memberikan peringatan yang baik kepada kita tentang pentingnya kolaborasi dan kerjasama yang erat di antara Kementerian dan Jabatan dan mengikiskan budaya kerja secara berasingan atau silo. Justeru itu, saya menyarankan agar semua Jabatan dan Agensi JPM menambahbaik SOP masing-masing terutamanya yang melibatkan pengurusan krisis dan pelaksanaan projek-projek Kerajaan.

Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada hari ini telah mewujudkan fenomena globalisasi Dunia Tanpa Sempadan termasuk kemasukan maklumat-maklumat tanpa tapisan melalui laman media sosial yang disebar luas dan dikongsi di Facebook, Youtube, Twitter, Instagram dan sebagainya. Sebagai penjawat awam, kita seharusnya dapat menilai dengan bijak setiap maklumat-maklumat yang diperolehi agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat negatif dan menyeleweng seperti penyebaran ideologi “Islamic State of Iraq and al-Syam” (ISIS).

Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam  sekiranya didapati terlibat dengan gerakan ideologi tersebut dan juga kegiatan-kegiatan ekstremis yang lain. Kita seharusnya sedar bahawa sebagai penjawat awam, kita juga boleh berjihad dengan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan masyarakat. Ini merupakan sumbangan yang amat besar dan insyaAllah usaha-usaha murni dan ikhlas ini akan diberkati oleh Allah SWT.

INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Kerajaan sentiasa mengutamakan perkhidmatan yang bersih dan berintegriti sepertimana yang telah ditekankan dalam nilai-nilai ‘Cepat, Tepat dan Integriti’ (CTI) perkhidmatan awam. Sehubungan itu, tahap disiplin penjawat awam yang tinggi dalam melaksanakan tugas amatlah diharapkan demi menjayakan setiap gagasan yang dibawa. Harapan saya agar setiap warga JPM dapat memikul amanah ini dengan baik dan sentiasa mengamalkan integriti yang tertinggi dalam melaksanakan tanggungjawab kita seharian. Berikanlah perkhidmatan yang terbaik agar Perkhidmatan Awam Malaysia disanjung tinggi dan dipercayai oleh rakyat.

Baru-baru ini dalam satu sesi bersama media mengenai tindakan susulan terhadap Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1, saya telah menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa memandang serius terhadap segala teguran dari laporan Ketua Audit Negara. Seterusnya, saya telah menegaskan bahawa tindakan susulan perlu diambil dengan sewajarnya, selain melakukan penambahbaikan secara berterusan untuk mengelak teguran yang sama di masa hadapan.

GST DAN KENAIKAN KOS KEHIDUPAN
Seperti yang telah kita semua sedia maklum, berkuatkuasa 1 April 2015, Kerajaan telah memperkenalkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan atau “Goods and Services Tax” (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (Sales and Service Tax, SST). Kita seharusnya sedar bahawa GST diperkenalkan bagimemperbaiki dan menyusun semula sistem percukaian Negara pada masa kini supaya lebih berkesan, saksama, efisien dan telus.

Terdapat banyak kekeliruan dan maklumat yang salah tentang GST yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu yang tersebar luas di media sosial. Justeru itu, sebagai penjawat awam kita seharusnya memberi penerangan dankefahaman yang betul kepada rakyat tentang faedah dan kebaikan GST.

Dengan pelaksanaan GST ini, terdapat golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga barangan runcit dengan sewenang-wenangnya. Ini seterusnya memberi kesan kepada kos kehidupan seharian. Penjawat awam juga tidak terlepas daripada kesan kenaikan kos ini.

KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM DIUTAMAKAN

Baru-baru ini CUEPACS telah menuntut agar gaji penjawat awam dinaikkan sebanyak 35 peratus. Ini berdasarkan andaian mereka bahawa terdapat sebilangan besar penjawat awam yang bergaji di bawah RM 850 sebulan.

Terlebih dahulu, saya ingin menyatakan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan penjawat awam. Kenaikan kos barangan dan keperluan kehidupan lain memberikan impak terhadap kehidupan seharian kita. Dalam masa yang sama, Kerajaan juga perlu menangani defisit fiskal Negara yang terkesan dengan pergolakan ekonomi dunia. Dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, tentunya kebajikan penjawat awamsentiasa diambil kira oleh Kerajaan. Bagi golongan yang bergaji di bawah RM 850 sebulan, Kerajaan telah merancang kenaikan gaji pokok golongan ini pada tahun 2015.   


Tiada ulasan: