2 Jun 2015

PERAYAAN HARI GAWAI DAYAK (SARAWAK)


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat menyambut Perayaan Hari Gawai Dayak (Sarawak) kepada semua masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak yang disambut pada 1 dan 2 Jun 2015. Semoga tahun 2015 ini memberi hasil dan rezeki yang lebih kepada semua. Sedikit perkongsian maklumat berkenaan Hari Gawai:


HARI GAWAI

Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.
gawai1
Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.
gawai2
Setelah upacara persembahan selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. 
Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.  

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.  
Pesta Gawai dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.


Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my/

1 Jun 2015

PESTA KEAMATAN (SABAH)

Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai ini disambut oleh kaum Kadazan/Dusun sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan biasanya disambut sepanjang bulan Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan "ketua pendita"
keamatan1
Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan'.  
Kaum Kadazan percaya kepada makhluk halus dan mereka mempercayai terdapat lima jenis makhluk halus yang dikenali sebagai :- Kinoingan, Ketua makluk halus dan Pencipta, Rusad semangat semua benda hidup kecuali manusia,  Koududuvo semangat manusia, Tombivo semangat orang yang telah meninggal, dan Rogon semangat jahat.

keamatan2
Menurut kepercayaan orang Kadazan, semangat padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan - yang juga dikenali sebagai Bambaazon, yang disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada kehidupan. Semangat padi Bambaazon amat dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."
Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai "arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'. 

Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/

13 Mei 2015

TEMA HARI GURU 2015



Tarikh 16 Mei setiap tahun dipilih sebagai Hari Guru iaitu hari sambutan di mana kita menghargai jasa guru. Tema Hari Guru tahun 2015 kali ini ialah Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. 

Berikut adalah huraian kepada Tema Hari Guru 2015.

1. Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan bertaraf dunia. Warga pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.

2. Peranan guru juga tidak terbatas hanya kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan pelajar serta penggunaan bahan sumber secara berkesan.

3. Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013 - 2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid, iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.


16 MEI - SEJARAH HARI GURU

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.
1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
2. Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
3. Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/