19 Nov 2009

PERUTUSAN TAHNIAH KEPADA PELAJAR IKN

Graduan yang dikasihi,

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar Institut Kraf Negara (IKN) yang telah menamatkan pengajian pada sesi kali ini.Berkat kesabaran, ketekunan sepanjang mengikuti pengajian telah membuahkan hasil. Saya percaya, dalam tempoh tersebut, para pelajar semua telah memperolehi segala ilmu, pengalaman dan kemahiran dalam pelbagai bidang yang ditawarkan di IKN.

Hidup tanpa ilmu umpama malam tanpa bulan. Kepada barisan graduan yang baru sahaja selesai menerima sijil dan diploma, cabaran hidup anda telah sedia menunggu. Pilihlah jalan yang anda rasa tepat dengan diri anda berpandukan segala ilmu yang diberikan dan dibekalkan oleh tenaga pengajar semasa menuntut di IKN. Semoga latihan dan kemahiran yang dipelajari, anda dapat mengaplikasi dan mampu melakukan perubahan untuk diri,keluarga dan masyarakat kelak.

Akhir kata, saya bagi pihak Kraftangan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua anggota kerja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kerana telah memberikan komitmen bagi menjayakan Majlis Konvokesyen IKN ke-8 ini. Penghargaan khas jua kepada semua tenaga pengajar yang telah memberikan tumpuan penuh dedikasi bagi mendidik anak bangsa. Tahniah dan syabas diucapkan sekali lagi kepada semua graduan.


Sekian, Wassalam.

Tiada ulasan: